HAJI DR. RAJIEE HADI

HAJI DR. RAJIEE HADI
SERIBU WARNA SERIBU MAKNA

9 Februari 2016

DARI LEMBAH MENUJU KE PUNCAK

SEBELUM Persekutuan Tanah Melayu (PTM) mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, rata-ratanya penduduk Tanah Melayu menjalankan kegiatan pertanian sara diri sekadar ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.’ Bahkan pepatah lama , ‘rezeki secupak,tidak akan jadi segantang’ begitu menebal di sanubari masyarakat Melayu tradisi. Kebanyakan mereka mengusahakan sawah padi , menoreh getah  dan menangkap ikan sungai sebagai punca pendapatan..

Justeru ,bagi penduduk Kampung Serom 2 Hilir dalam Mukim Serom (mengandungi Kampung Serom 1 (satu) hingga Kampung Serom 8 (lapan), pos Sungai Mati  dalam negeri Johor Darul Takzim yang terletak kira-kira 14km dari Bandar Muar (dikenali Bandar Maharani) masih dibelenggu kehidupan desa yang asli serba kekurangan infrastruktur. Apabila mahu ke Bandar  Maharani,Muar mereka akan berkumpul di jeti penambang Tanjung Agas menanti feri kecil yang sering berulang-alik mengambil dan menurunkan penumpang menyeberang Sungai Muar  iaitu sungai terpanjang negeri Johor ke Bandar Maharani,Muar.Tambang feri ketika itu sekitar 10-20 sen sehala perjalanan. Kuih apam balik, kacang rebus dan mee bandung Muar menjadi  sangat popular untuk dijadikan  ole-ole dibawa pulang dan bagaikan suatu kemestian .Apabila jambatan Muar yang dikenali dengan nama Jambatan Sultan lsmail dibuka secara rasmi 1967 maka perkhidmatan feri penambang pun dihentikan sedikit demi sedikit.

Pada zaman itu, penduduk Kampung Serom 2 Hilir yang terletak 1 km dari jalan besar menuju ke Bandar Muar masih menggunakan sumber air perigi dan lampu gasolin dan pelita minyak tanah. Pada malam hari bunyi bersahutan burung-burung hutan adalah suatu kebiasaan. Pada masa itu, cerita hantu kopek, hantu galah, hantu Jepun dan pontianak  menjadi hiasan bibir orang-orang tua dan menakutkan anak-anak remaja dan kanak-kanak. Apatah lagi pada waktu itu siri cerita pontianak lakonan Maria Menado begitu terkenal dan banyak ditayangkan di pawagam seluruh negeri Johor.

Kampung Serom 2 Hilir yang berkongsi sebatang jalan merah  ke Kampung Sungai Keladi di penghujung jalan di pesisir hulu Sungai Muar, tidak ketinggalan mengusahakan pertanian getah, pinang, kelapa, dusun buah-buahan dan tanaman kontan seperti pisang, ubi keladi dan sayur-sayuran. Penduduk Kampung Sungai Keladi, Belemang dan Kampung Serom 3 Panggung (panggung bermaksud lantai yang bertiang di tepi sungai yang dijadikan jeti/pangkalan kecil bagi meninjau ke seberang sungai) menjalankan aktiviti harian memancing,  menjala, memukat dan memasang lukah ikan tapah, mayung, sembilang, keli, udang dan ketam di pesisiran Sungai Muar yang kaya dengan hasil sungainya.

Ibu saya, Misah (dikenali di kampung dengan nama Kintan) adalah anak kedua yang berbapakan Mos bin Haji Hassan (dikenali juga dengan nama Musa) dan beribukan Fatimah  binti Hussein Abang sulung ibu saya ialah Abdul Rahman. Apabila jodoh Mos (tidak lama kemudian meninggal dunia) bersama Fatimah tidak panjang, nenek  saya ’Fatimah’ (saya panggil ’atuk’)berkahwin secara ’salin tikar’ bernikah dengan Puteh bin Midon yang telah kematian isterinya(kakak kepada nenek saya). Puteh, datuk tiri saya (yang saya panggil ’ayah’) membawa dua anak juga iaitu Tijah dan Rahmah. Selepas perkahwinan Puteh dan Fatimah mereka dikuniakan  empat anak iaitu Zainun (Allahyarham), Ahmad, 0nn dan Abdul Hamid. Walaupun dalam keluarga ibu saya ada yang tidak seibu sebapa namun hubungan mereka adik beradik amat akrab seperti adik beradik kandung.Bahkan saya sendiri membesar  sehingga dewasa tidak merasakan wujudnya perbezaan dalam hubungan antara sepupu kami. Hubungan kami di rumah gadang peninggalan datuk moyang kami sungguh meriah dengan kasih sayang.

Ibu saya Misah @ Kintan (kini Hajah Misah) berkahwin dengan Abdul Hadi bin Manja (lahir 1911, Allahyarham, meninggal dunia 1994) pemuda Kampung Sungai Mati, Muar yang telah berusia lewat 30-an pada tahun 1951.Manakala ibu saya ketika itu baharu berusia 18 tahun (lahir 1933) .Abdul Hadi berbapakan Manja  bin Sintal dan beribukan Mimah binti Buang. Manja adalah anak Sintal yang mana datuknya adalah Penghulu Latis yang menjadi penghulu bagi mukim Temiang dan Sungai Terap dalam daerah Muar. Muar ketika itu umpama sebuah negeri. 


Penghulu Latis yang hidup pada abad ke-19 dikhabarkan antara penghulu yang menandatangani surat pengistiharan tahun 1877 kepada Temenggung lsmail yang memperakukan Temenggung Abu Bakar sebagai Maharaja Abu Bakar iaitu Sultan Johor moden. .Dan Mimah ialah nenda saya yang berbinti Buang. Nenda Mimah dikatakan daripada susur galur keturunan bergelar "Raja" daripada keturunan raja-raja Bugis dari Kepulauan Melayu Riau.Oleh kerana ibu sebelah nenda saya yang berkahwin dengan "orang kebanyakan" maka gelaran "Raja" telah tidak digunakan lagi. Walaupun nenda saya berkahwin dengan datuk Manja bersaudara sepupu tetapi jodoh mereka tidak panjang.Sebagai anak tunggal, Abdul Hadi tinggal bersama ibunya di sebuah rumah usang berhampiran pekan Sungai Mati di hadapan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan lnggeris Pei Hwa, Sungai Mati.


Kemudian Mimah bernikah dengan Limat dan dikuniakan anak-anak: Jaafar, Rajimah, Etan dan Umar. Manja pula bernikah dengan Yamah @ Endut dan dikurniakan anak-anak: Hashim, Nong, Rogayah @ Gayah, Md.Zin dan Nafsiah @Not. Walaupun datuk saya Manja dikhabarkan banyak meninggalkan harta dan tanah pesaka dan berasal daripada keturunan penghulu abad ke-19 yang mana ketika itu penghulu setaraf umapama menteri pada zaman sekarang  namun bapa saya yang sejak kecil hidup dalam daif dan kemiskinan bersama ibu kandungnya tidak pernah menuntut haknya sehingga ke akhir hayatnya.Usia bapa yang lanjut dan matang menyebabkan saya sebagai anaknya memperoleh banyak pengalaman daripada cara didikannya kepada saya.

lbu melahirkan anak sulungnya Mohamad  Zaidin pada tengah hari 27 Disember 1952 di  rumah gadang datuk saya di Kampung Serom 2 Hilir. Anak comel yang berkulit putih cerah kemerah-merahan ini ditatang dengan penuh kasih sayang bagai menatang minyak yang penuh. Ketika itu bapa saya sudah pun meninggalkan kerja-kerja kampung membuka,menajak dan membajak tanah bendang di Kampung Pulau Penarik, Sungai Mati bersama bapa tirinya, Limat. Bapa saya juga pernah  menjadi drebar/pemandu teksi tetapi berhenti kerana menurut ibu saya bapa  sering beriktikaf di Masjid Jame’ Sungai Mati. Nenek Mimah (saya juga memanggilnya ’atuk’) mahukan bapa mendirikan rumah sendiri di belakang rumahnya selepas berkahwin dengan ibu. Tetapi ibu kurang bersetuju. lantaran ada kawan bapa mencadangkan agar bapa mecari rezeki di tempat baru di Wealth Estate iaitu ladang getah milik konglomerat lnggeris (dikenali juga dengan nama Joo Kam Estate), Jementah, Segamat,Johor. Dan pada tahun 1952 bapa dan ibu pun berpindah di tempat baharu.

Setiap menyambut Aidilfitri dan Aidiladha, bapa dan ibu akan balik ke Kampung Serom 2 Hilir rumah sebelah ibu dan menjenguk juga rumah datuk sebelah bapa di Kampung Sungai Mati.. Jarak antara kampung ini lebih kurang 4 km sahaja.  Apabila ibu mengandungkan saya, ibu juga pulang ke rumah gadang itu. Pada era pramerdeka ketika semangat menuntut kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu sedang membara dan membakar semangat para nasionalis tanah air maka selepas zuhur sekitar jam 3.00 petang saya pun dilahirkan untuk berhijrah ke alam duniawi dari rahim ibu dengan begitu mudah di rumah datuk saya di bumi bertuah Kampung Serom 2 Hilir.

Saya dan abang sulung Mohamad Zaidin dibawa tinggal bersama bapa dan ibu di Wealth Estate,Jementah, Segamat. Menurut cerita ibu, semasa bayi ,tubuh saya yang montel dan berkulit cerah sering dikelek,ditatang dan dikendong oleh gadis-gadis remaja ,anak jiran-jiran di kuarters ladang tersebut. Bapa dan ibu yang menoreh getah di ladang akan mengambil kami di rumah pengasuh yang dipanggil ’Kak Zai’ pada sebelah tengah hari.

Apabila ibu saya mengandungkan anak ketiganya Zulasri, bapa dan ibu berpindah ke tempat baharu bagi menambah rezeki dengan lebih baik iaitu di Sagil Estate,Tangkak,Johor milik Dunlop Estate  Berhad yang beribu pejabat di Melaka. Di Sagil Estate atau Ladang Sagil kami ditempatkan di kuarters yang bernama Kongsi Sepuluh atau Gunung Ledang Division yang terletak kira-kira 65 km dari Bandar Muar dan 35 km dari Bandar Segamat.Di kuarters ini kami sekeluarga tinggal di barek teres setingkat. Kami berkongsikan air pili yang dipam dari tangki kecil berhampiran rumah. Rumah barek yang tidak berbilik hanya disediakan bilik mandi, ruang dapur dan ruang tidur yang beralaskan ambin papan.Ada juga disediakan pangkin di bahagian luar bagi tujuan berbaring berseorangan atau duduk bersantai.

Pada tahun 1959, abang sulung Mohamad Zaidin  atau ‘Abang Din’ yang amat manja dengan bapa mula menginjak usia tujuh tahun. Demi masa hadapan, bapa yang mahukan anak-anaknya berjaya menuntut ilmu telah sedia berkorban berpisah dengan anak sulungnya. Bapa melepaskan ’Abang Din’ tinggal bersama datuk di Kampung Serom 2 Hilir,Muar. Abang Din mendaftar masuk darjah satu di Abdullah English Primary School di pekan Sungai Mati. Abang Din sering dihantar Tuk Puteh@ayah yang setiap awal pagi mencari rezeki dengan memandu teksi yang disewanya sering menumpangkan Abang Din ke sekolah dengan teksinya. Saya pernah mendengar  cerita bahawa rakan persekolahan Abang Din antaranya ialah Jaafar 0nn seorang seleberiti yang terkenal.Semasa cuti sekolah Abang Din akan pulang ke rumah kami di  kuarters Kongsi Sepuluh..Saya masih ingat, ketika itu usia saya empat tahun, Abang Din berkebolehan dan amat gemar menyanyi lagu Allahyarham P.Ramlee berjudul ’Kalaulah Kaca Menjadi Intan’

Dan tidak siapa pun menduga pada awal tahun pembukaan persekolahan  tahun 1961, Abang Din yang pada pagi itu tidak menumpang teksi Tuk Puteh tetapi membonceng duduk di palang hadapan basikal yang ditunggangi Pak Cik Onn (bapa saudara saya, adik ibu saya yang ketika itu berusia 12 tahun) telah mendapat kemalangan ngeri, dihempap batang pokok kelapa yang tiba-tiba tumbang menghempap kepala Abang Din di hadapan Sekolah Menengah lnggeris Pei Hwa, pekan Sungai Mati.  Akibat malapetaka itu, Abang Din meninggal dunia di tempat kejadian kerana mengalami pendarahan teruk di tempurung kepalanya. Takdir telah menentukan, Pak Cik Onn terselamat dan panjang umur hingga ke saat ini. 


Saya masih ingat, kejadian itu memberi bekas mendalam dalam kehidupan bapa dan ibu saya. Dan selepas Abang Din meninggal dunia, saya secara peribadi merasakan  jiwa dan raga saya hingga kini bagaikan anak sulung. Saya belajar ke menara gading dan mahu dijadikan teladan dan motivasi kepada adik-adik dan ahli keluarga yang lain.Apabila saya mula bekerja sebagai guru terlatih, saya berasa bertanggungjawab menolong ibu bapa saya yang sudah pun berpindah kerana bersara ke Kampung Serom 2 Hilir pada tahun 1976. Dengan gaji sebagai guru terlatih lepasan maktab yang tidak seberapa ketika itu dapatlah saya membantu ibu bapa saya membaiki rumah Melayu lama di bahagian serambi dan dapur.

Berbalik lepada kisah saya semasa kanak-kanak, apabila saya mula diterima belajar ketika berusia enam tahun (sebenarnya lima tahun)  pada tahun 1961 di Kelas Tumpangan (seakan kelas tadika pada zaman sekarang) di Sekolah Kebangsaan Sagil Estate (SKSE) yang terletak di Central Sagil Estate iaitu kira 20 km dari barek kami. Pada awalnya bapa saya telah menghantar saya ke sekolah dengan berbasikal berulang-alik. Mujur tidak lama kemudian seorang lelaki Cina yang kami panggil ’Ah Kau’ dan kemudian adik iparnya ’Ah Chow’ bersedia menawarkan perkhidmatan menggunakan kereta persendiriannya bagi menghantar saya  dan kawan-kawan pergi-pulang dari sekolah secara bayaran bulanan.


SKSE  ini dikongsi bersama dengan murid-murid Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil yang beroperasi pada sebelah petang. Sekolah ini hanya berdindingkan kadbod keras yang memisahkan antara satu kelas dengan satu kelas yang lain.Guru-gurunya  hanya sekitar enam hingga lapan orang. Saya masih ingat antara nama-nama guru yang mengajar SKSE ketika itu ialah Cikgu Mahmud, Cikgu Haris, Cikgu Misdi dan Cikgu Baharom. Tidak ada guru bahasa lnggeris yang mengajar kami. Rakan-rakan sekelas saya antaranya yang masih saya ingat ialah Abdul Rashid Omar (nama gelaran ‘Abu’), Abdul Samat Musa, Ramlah Jalal dan Jamaluddin Mohamad.


Saya hanya bertahan belajar di SKSE hingga setakat darjah empat.Saya bertukar ke sekolah lain kerana ibu bapa saya mementingkan pelajaran Agama lslam kerana ketika itu di ladang tersebut tidak ada sekolah atau kelas fardu ain. Di samping itu SKSE sebuah sekolah di pedalaman yang terlalu banyak ketinggalan terutama aspek ketiadaan guru, kemudahan asas sekolah dan tidak berpotensi menjanjikan masa hadapan. Apatah lagi sudah menjadi kebiasaan bagi ibu bapa di ladang hanya berpuas hati anak-anak mereka memperoleh pelajaran asas hinggá setakat darjah enam sahaja.

Kini SKSE hanya tinggal tapak nostalgia.  Pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah membina sekolah kebangsaan di tapak yang baharu di Northern Division,
Ladang Sagil yang jaraknya empat kilometer dari pekan Sagil, Tangkak,Ledang. Dan dengan rasminya pada tahun 1970 SKSE telah berpindah ke tapak dan bangunan baharu bersebelahan jalan besar Muar-Segamat. Kira-kira empat tahun kemudiannya SKSE telah ditukar dengan nama baharu Sekolah Kebangsaan Puteri Ledang (SKPL). Dengan ’sekolah baharu’ maka penjenamaan semula sekolah ini telah dilakukan secara drastik selari dengan arus perdana sistem pendidikan negara dan statusnya sebagai sekolah bantuan kerajaan sepenuhnya.


Sebenarnya selepas kemalangan ngeri yang menyebabkan kematian Abang Din pada tahun 1961, bapa dan ibu saya agak serik mahu menghantar saya bersekolah di kampung datuk yang prasarananya lebih baik.Tetapi memandangkan di rumah kongsi tidak ada guru yang boleh mengajar membaca al-Quran, akhirnya saya berpindah ke Sekolah Kebangsaan Lelaki Serom Tiga (3), (SKLST) pekan Serom pada tahun 1966 dan masuk ke darjah lima.Di sekolah ini saya menempuh suasana baharu kerana SKLST adalah sekolah yang terdiri hanya murid-murid lelaki sahaja.Murid-murid lelaki sekolah ini agak nakal dan suka membuli pelajar baharu seperti saya.Saya sering berendam air mata teringatkan bapa dan ibu yang jauh di mata.Namun syukurlah sejak zaman kanak-kanak saya bagaikan sudah mengerti makna reda dan sabar menghadapi cabaran ini. Rakan-rakan sekelas yang masih tidak luput di kotak memori saya ialah Abdul Rashid Wahab, Rahmat Johan, Abdul Rahman Limat, Mohamad Zan Abu Bakar, Yunus Chik, Yusof Othman, Hamdi Yasin, Mohamad Zaki Azim, Mohamad Norklar Azli (digelar Matnor Kelawar),Abdul Razak Mohamad, Ngarisan Jurimi, Harun Masdar, Rif’an Said, Md.Deris Tahir  dan lain-lain lagi.

Dan babak kehidupan seterusnya saya tinggal bersama datuk di rumah gadang di Kampung Serom 2 Hilir, tempat saya dilahirkan sehinggalah saya masuk belajar di tingkatan satu di Sekolah Menengah Tengku Mahmud lskandar, (STMI)  Sungai Mati, Muar pada tahun 1968. Di kampung ini saya belajar mengaji al-Quran  sehingga khatam dengan Puan Zaharah yang mesra dipanggil ’Kak Arah’ iaitu ibu kepada sahabat sekampung saya, ldris Abon yang lebih akrab dipanggil ’Apah’. Di kampung ini juga saya dan adik-adik saya yang turut ikut jejak tinggal di kampung datuk iaitu Zulasri dan Mohamad Shafiee telah belajar kelas agama Jabatan Agama lslam Johor (JAIJ) pada sebelah petang.


Apabila Pak Uteh Abdullah (menantu datuk saya) meninggal dunia pada tahun 1966 dan kemudian disusuli isterinya, Mak Uteh Zainun (adik ibu saya) pada tahun 1967, mereka meninggalkan lapan orang anak yatim piatu iaitu Mohamad Zain, Zabedah, Abdul Karim, Abdul Rashid, Zambroo, Zalina,Nora dan Halib. Pada awal tahun –tahun kematian ibu bapa mereka, datuk saya telah memelihara lapan anak yatim piatu ini bersama saya dan dua adik saya. Dan turut tinggal sama juga sepupu saya Sulaiman dan Abdul Kadir. Oleh itu bagi saya untuk  memperoleh kasih sayang dan perhatian sepenuhnya daripada datuk saya tentulah mustahil.Namun masa saya yang terluang banyak disikan  dengan membaca buku-buku cerita, akhbar jawi Utusan Melayu dan novel. Saya juga gemar meneliti buku atlas peta dunia dan membaca bahan yang berkaitan sejarah dan ilmu alam (geografi).

Tidak tinggal  bersama ibu bapa dan kehilangan kasih sayang adalah asam garam kehidupan saya semasa kecil dan remaja..Pada masa itu, bukan tiada remaja nakal yang ponteng sekolah, merokok, menghisap ganja dan berjudi.Mujur saya tidak terjebak dengan elemen negatif yang melanggar disiplin sekolah. Dengan memperoleh keputusan terbaik,kepujian dan lulus semua subjek dalam peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) 1970 maka melayakkan saya belajar di tingkatan empat.

Kemudian dengan meraih pangkat kedua dan menjadi pelajar terbaik subjek Sejarah  dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 1972, saya bersama rakan sekelas iaitu Ngarisan bin Jurimi (pesara Guru Besar), Liza binti Sitam (Allahyarham, bekas kakitangan perkhidmatan awam Negeri Johor), dan Norizan bin Kulob (Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor/SUK, mantan Pengrah Jabatan Agama lslam Negeri Johor) telah terpilih sebagai para pelajar cemerlang sekolah dan terpilih memasuki ke tingkatan enam pada tahun 1973 di sekolah  berasrama harian berprestij ketika itu, Sekolah Menengah Dato’Seri Amar DiRaja (SDAD)di Bandar Maharani, Muar, Johor. Saya juga kemudian lulus kertas peperiksaan English Sylabus X MCE iaitu peperiksaan Bahasa lnggeris untuk pelajar dari aliran lnggeris.


Di lereng kehidupan ini, saya mula yakinkan diri akan memulakan pendakian ke puncak kejayaan. Pada awalnya, kerjaya sebagai peguam sentiasa berputik dan tersemat dalam jiwa saya. Apabila ada masa terluang saya akan cuba menghadirikan diri ke galeri awam dalam mahkamah di Bandar Maharani, Muar sekitar tahun 1974 bagi mengikuti tertib prosiding yang dijalankan.Dalam diri saya berazam mahu menjadi seorang pejuang demi masa hadapan keluarga, agama, bangsa dan negara saya. Namun demikian saya sebagai hamba-Nya yang lemah hanya mampu merancang. Dan bagaimana pula saya bertukar arah menjadi seorang guru atau pendidik, hanya sejarah dalam kehidupan yang telah melakarnya dari semasa ke semasa  setelah dilantik menjadi guru terlatih pada 3 Januari 1978.(oleh Dr Haji Rajiee Hadi Al-Latis)

AMARAN:  HAK CIPTA TERPELIHARA. DILINDUNGI AKTA SKMM.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan