HAJI DR. RAJIEE HADI

HAJI DR. RAJIEE HADI
SERIBU WARNA SERIBU MAKNA

10 April 2018

TUAH -JEBAT DALAM PRU-14

Ilustrasi Hang Tuah
BERIKUT intisari petikan dialog (telah diubahsuaikan oleh penulis) bersandarkan buku pegangan  "Sejarah Melayu" (Tun Seri Lanang) , "Sejarah Melayu"(susunan Shealabear) dan Hikayat Hang Tuah oleh A.Samad Ahmad:


"Tuah..Tuah oh Tuah..alangkah moleknya...Abang Tuah dan Jebat berpadu tenaga menumbangkan dan menghapuskan Sultan Melaka yang zalim ini.."

"Apakan daya adindaku Jebat...Tangan Tuah ini telah terikat dengan kesetiaan tidak berbelah bahagi. Dan pantang anak Melayu durhaka.."

" Cis Tuah...selama ini hamba memperjuangkan ketidakadilan & kezaliman baginda Sultan ke atas rakyat sahayanya.lnilah satu-satunya peluang untuk kita bersatu, berpadu tenaga, jasad dan jiwa Tuah..."




Pertikaman Sengit Tuah - Jebat


BEGITULAH sedutan daripada lipatan sejarah silam.Tuah berjaya membunuh Jebat. Jebat pejuang ketidakadilan akhirnya mati dibunuh sahabat karibnya Tuah,  yang bagaikan saudara kandung. Kesetiaan Tuah yang membabi buta, adalah kemenangan peribadi di pihak sang penguasa. Tetapi pemerintah yang zalim (sultan) terus berkuasa, bersifat tamak haloba, mengumpulkan kekayaan harta & mementingkan nafsu dunia.

KESUDAHANNYA, Melaka dan empayar kesultanannya  (Nation State)  jatuh kalah ditewaskan kuasa asing! lnilah analogi yang diterjemahkan daripada metafora & simile "kisah Sultan Melaka (pemerintah), Tuah ( parti berjenama agama yang dikatakan "bersekongkol" secara tidak rasmi dengan parti pemerintah) dan Jebat (pakatan baharu yang berpaksikan suara rakyat)" yang menghadapi PRU 14 ini dengan pertandingan amat sengit dalam sejarah selepas 60 tahun kemerdekaan negara. Dan bukan mustahil masa hadapan rakyat akan cerah atau punah. Dan apakah akan berulang sejarah dua zaman? (DRH) 


9 April 2018

WAN MALEK MENINGGAL DUNIA

TIDAK ramai mahasiswa dari Kelantan, sewaktu penulis sambung studi di peringkat ijazah pertama pada awal 1980-an di sebuah IPTA tanah air. Seingat penulis, beliau satu-satunya rakan sekuliah kami dari Negeri Cik Siti Wan Kembang. Sebab itu, kami perhatikan rakan kami ini bergaul dengan semua rakan dari pelbagai negeri. Beliau juga kelihatan mundar-mandir bermotosikal ke rumah  rakan-rakan lain untuk sesama berbincang mengenai kerja tugasan kumpulan (assigment) dan sebagainya.

Begitulah rakan penulis, Wan Abdul Malek bin Sulaiman yang ketika itu tubuhnya agak berisi dan sasa persis bintang filem Cathay Keris, Allahyarham Malek Selamat.Tidak banyak yang penulis ketahui mengenai Wan Malek ini; terutama; di asrama manakah beliau menginap semasa tahun pertama di universiti. Dan siapakah rakan-rakan rumah sewanya. Apa yang penulis tahu Wan Malek boleh bertutur bahasa lnggeris dengan baik loghat Kelantan kerana latarnya dari sekolah Sultan lsmail Secondary School.



Nama Wan Malek muncul semula apabila era telefon pintar whasapp. ltupun setelah beliau bersara dan tinggal di rumahnya di Pengkalan Chepa, Kota Baharu. Daripada "keluh-kesahnya" kehidupan rutinnya sekadar "bermain" dengan anak cucu dan sesekali berkunjung rumah anak menantu, khabarnya di Kajang, Selangor. Sesekali ada juga komen-komen pedasnya melalui whasapp mengenai situasi politik semasa  tanah air.  Selepas tamat memperoleh ijazah, beliau hanya bersemenda di kampung halamannya di Kota Baharu sehingga bersara.
Allahyarham Wan Malek bin Sulaiman

Hampir dua bulan lalu, penulis dikejutkan dengan berita daripada ahli keluarganya; beliau menjalani pembedahan pintasan jantung di Hospital USM Kubang Kerian, Kelantan. Beliau sewajarnya berehat sepenuh masa daripada gangguan-gangguan psikologi semasa. Namun, sebagai insan biasa; sesekali beliau menghilangkan rasa kesunyiannya dengan berceloteh dan mencelah juga mengirimkan komen dan bertanya khabar kepada rakan-rakan whasap.

Ditakdirkan, Allahyarham Wan Malek baharu bercakap/berbual/bersembang dengan penulis 3 hari lalu dengan panjang lebar di luar kebiasaannya. Bukan mudah penulis mahu mengangkat telefon dan berbual kerana penulis lebih gemar bermesej. Entah apa tergerak hati pada hari itu, penulis bertindak sebaliknya.Dalam perbualan ada gelak tawa dan senda gurau spontan. Dan di antara kami banyak berbual mengenai diri peribadi masing-masing,

Allahyarham memberitahu kepada penulis, usianya 65 tahun tahun.Penulis katakan usia itu masih muda,Selama ini penulis menjangkakan usianya hampir70 tahun.Beliau menghimbau kenangan manis dan bernostalgia zaman kami di kampus terutamanya menyiapkan kerja tugasan kumpulan pada saat-saat akhir bersama arwah lsa Dahalan, anak jati Kuala Pilah. Kelucuan itu membuatkan kami saling ketawa.Penulis juga ada mengingatkan Allahyarham jangan menaiki sebarang tangga kerana beliau baharu menjalani "by pass". Beliau tidak henti-henti menyebut merindui zaman lampau.

Akhir perbualan, penulis katakan pada suatu hari nanti penulis akan ke Kota Baharu dan akan menziarahinya. Namun tidak diduga,  pada subuh lsnin,  9 April 2018 Allah lebih menyayanginya; daripada Allah dia datang, kepada Allah dia kembali. Sebelum dikebumikan jenazahnya berada di rumahnya di Kampung Tanjung Mas, Kota Baharu, Kelantan. Semoga Allah SWT cucuri rahmat ke atas rohnya & dimasukkan ke dalam ahli syurga. Al-Fatihah. (DRH).

8 April 2018

Puisi: TSUNAMI MALAYSIA

Ada tsunami melayu
ada tsunami cina
ada tsunami india
ada tsunami iban
ada tsunami dayak
ada tsunami kadazan
ada tsunami dusun
bahkan tsunami bajau
murut dan lainnya bersatu
dalam kalbu satu jasad
gelombang satu hasrat

Tsunami melanda kini
taufan dalam nurani
badai dalam sanubari
ombak dalam diri
menentang korupsi
wang bara polusi
kononnya segala raja
maruah diurusniaga
kita kehilangan warga
kabut menyelubungi mega
tanah air penuh curiga

Tsunami mendatang
usah dipersalahkan
tidak siapa mengundang
badai sengsara itu
resah derita ini
suara hati marhaen
berani itu benar
merasai jerit nanar
hampir punah lara
segala belantara
damai tercinta

RAJIEE HADI,
BSP, BANGI.
8 April 2018.

7 April 2018

GAJAH SAMA GAJAH BERPERANG

SEJARAH Kesultanan Melayu Melaka yang hebat hampir 600 tahun silam, termasyhur dan tersohor sebagai pusat perdagangan, pusat perkembangan syiar Islam dan persuratan Melayu akhirnya jatuh tersungkur di tangan 'orang asing' kerana sikap tamak, dendam, cemburu dan iri kesumat yang tidak berkesudahan.

Walaupun para perajurit Melayu Melaka bersemangat waja, kental patriotiknya dan gagah perkasa hingga dapat menewaskan serangan pertama 1509 armada Feringgi (Protugis yang datang dari Goa, India) yang diketuai de Suqueirra namun dendam yang berlarutan  menyerang Melaka sekali lagi yang diketuai oleh Alfonso de Albuqarque dapat merobohkan benteng Melayu Melaka dan menewaskannya.

Apakah rahsia kemenangan Protugis? Kerana ada musuh dalam selimut, gunting dalam liputan.  Kerana hasutan dan dalang yang menabur duri kebencian dan kemusnahan orang-orang Melayu seperti Raja Mandeliar dan Si Kitol.  Kerana robohnya kesatuan dan kesepakatan bangsa Melayu ketika itu yang mula berpuak-puak dan bersengketa sesama mereka.

Penulis pada 5 April 2018 di Lexis Hotel PD N9

Kerana perebutan harta, emas dan kuasa maka fitnah digunakan untuk melaga-lagakan sesama sendiri.  Kerana hilangnya semangat juang kependekaran orang-orang Melayu ketika itu lantaran keuzuran Hang Tuah dan sahabat-sahabatnya serta matinya Hang Jebat.


Bahkan kerana kebanjiran pendatang dan pedagang asing yang lebih mementingkan harta dan kekayaan tanpa meyumbangkan apa-apa untuk pertahanan.  Bahkan kerana mengabaikan ajaran-ajaran agama Islam dan lebih mementingkan hiburan dan perkara-perkara khurafat.  Manakala pemerintah utama waktu itu asyik diulit keseronokan duniawi.

Kini datang lagi setelah ratusan tahun.  Sengketa, dendam dan cemburu yang melingkari isu korupsi, sogokan, salah guna kuasa, video seks dan kesalahan perilaku banyak mencelikkan mata masyarakat, bahkan ada yang kini melalaikan masyarakat.  Di sana sini kedapatan tohmah, cacian dan keaiban didedahkan di khalayak tanpa segan-silu.  Apakah sejarah 'roboh kota Melaka' akan berulang?  Justeru demi masa depan anak-anak dan generasi kita, ingatlah pesan bijak bestari janganlah 'gajah sama gajah berperang, pelanduk yang mati di tengah-tengah'.
(sumber : Harakahdaily: Selasa, 29 Mac 2011 oleh Dr. Rajiee Hadi)

NOTA: SETELAH hampir 10 tahun komentar penulis disiarkan dalam sebuah portal berita tempatan, kini terbukti berlakunya sengketa antara 'Gajah Baik" dan "Gajah Jahat"... Jika gajah sama gajah berperang seperti bidalan Melayu lama, sudah tentulah yang mati di tengah-tengah ialah sang pelanduk yang bertubuh kerdil.  Tetapi  kini kesungguhan "Gajah Baik" yang memerangi "Gajah Jahat" untuk menghapuskan kebatilan dan kedurjanaan telah menemui pelbagai cabaran dugaan serta pengkhianatan.  Semoga apa yang terjadi kepada Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka dan segala jajahan takluknya yang musnah dan roboh tidak menimpa lagi kepada negara kita, Malaysia tercinta.  Biarlah Kota Melaka yang merupakan 'Negara Bangsa' (Nation State) menjadi batu tanda peringatan kepada kita pada setiap waktu dan zaman dan ikhtibar kepada setiap generasi - (DRH)


4 April 2018

KELEBIHAN BULAN REJAB

SABDA Nabi s.a.w.: "Hendaklah kamu memuliakan bulan Rejab,nescaya Allah muliakan kamu dengan seribu kemuliaan pada hari kiamat."

Sabda Nabi s.a.w.: Bulan Rejab bulan Allah, bulan Sya'aban bulanku & bulan Ramadan adalah bulan umatku.
Kemuliaan Rejab dengan malam ISRAK MIKRAJnya, Sya’aban dengan malam NISFUnya Ramadan dengan LAILATUL-QADARnya.
Malam awal Rejab mustajab doanya.(Dalam Kitab Raudhoh Iman Nawawi)
* Puasa sehari pada bulan Rejab mendapat syurga tertinggi (Firdaus).
* Puasa dua hari dilipatgandakan pahalanya.
* Puasa tiga hari pada bulan Rejab dijadikan parit yang panjang, yang menghalangkan individu itu ke neraka (panjangnya setahun perjalanan).
* Puasa empat hari pada bulan Rejab diafiatkan daripada bala dan daripada penyakit yang malapetaka besar dan daripada fitnah Dajal di hari kiamat.
* Puasa lima hari pada bulan Rejab, aman daripada azab kubur.
* Puasa enam hari pada bulan Rejab, keluar kubur bercahaya muka.
* Puasa tujuh hari pada bulan Rejab, ditutup daripada tujuh pintu neraka.
* Puasa lapan hari pada bulan Rejab, dibuka baginya lapan pintu syurga.
* Puasa sembilan hari pada bulan Rejab keluar dari kuburnya lalu, MENGUCAP DUA KALIMAH SHAHADAH tidak ditolak dia masuk syurga.
* Puasa 10 hari pada bulan Rejab Allah jadikan baginya hamparan perhentian di Titi Sirotolmustaqim pada tiap-tiap satu batu di hari kiamat.
* Puasa 16 belas hari pada bulan Rejab akan dapat melihat wajah Allah di dalam syurga dan orang yang pertama menziarahi Allah di dalam syurga.
* Puasa 19 belas hari pada bulan Rejab, dibina baginya sebuah mahligai di hadapan mahligai Nabi Allah Ibrahim a.s dan Nabi Allah Adam a.s.
* Puasa 20 hari pada bulan Rejab, diampunkan segala dosanya yang telah lalu. Maka mulailah beramal barang yang tinggi daripada umurnya (pembaharuan umur).
Dan berkata Saidina Ali:
* Puasa Rejab 13 hari seperti puasa tiga ribu tahun.
* Puasa Rejab 14 hari seperti puasa sepuluh ribu tahun.
* Puasa Rejab 15 hari seperti puasa seratus ribu tahun.
Kelebihan bulan Rejab dari segala bulan seperti kelebihan Quran atas segala Qalam.
Berpuasa sehari pada bulan Rejab seperti puasa empat puluh tahun dan diberi minum air dari Syurga.
Berpuasa 10 hari pada bulan Rejab dijadikan dua sayap, terbang seperti kilat di atas Titi Sirotalmustaqim di hari kiamat.
Beruasa sehari pada bulan Rejab seperti mengerjakan ibadat seumurnya.
Berpuasa pada awal Rejab, pertengahannya dan akhirnya seperti puasa sebulan pahalanya.
Bulan Rejab Syahrullah (Bulan Allah), diampunkan dosa orang-orang yang meminta ampun dan bertaubat kepada Allah. Puasa Bulan Rejab wajib baginya:
* Diampunkan dosanya yang lalu.
* Dipeliharakan Allah baki umurnya yang tinggal.
* Terlepas daripada dahaga pada hari kiamat.

Penulis kunjung ziarah ibu yang masih ada pada bulan mulia ini.


Orang yang lemah tidak boleh berpuasa pada bulan Rejab hendaklah bersedekah tiap-tiap hari sekurang-kurangnya sebuku roti. Sasiapa bersedekah pada bulan Rejab seperti sedekah seribu dinar, dituliskan kepadanya tiap sehelai bulu roma jasadnya seribu kebajikan, diangkat seribu darjat, dihapus seribu kejahatan.

Setiap hari puasanya pada bulan Rejab dan sedekahnya pada bulan Rejab seperti ibadat seribu haji dan umrah, dan umpama dibina mahligai seribu bilik dan seribu bidadari, lebih cantik daripada matahari seribu kali.
Bulan Rejab bulan Allah. Bersedekah pada bulan Rejab dijauhkan Allah daripada api neraka kerana kemuliaan bulan Rejab, Bulan Allah. Allah jadikan di belakang bukit Jabal Qar bumi, yang putih yang penuh dengan
malaikat dengan panji-panji berhimpun pada tiap malam Rejab meminta ampun oleh mereka kepada umat Muhammad s.a.w.
Allah menjawab: Telah aku ampunkan mereka! Barangsiapa meminta ampun (bersitighfar) kepada Allah pagi dan petang 70 kali atau 100 kali, pada bulan
Rejab diharamkan tubuhnya daripada api neraka.
Sesiapa berpuasa sebulan pada bulan Rejab, Allah berseru kepadanya:
“Telah wajib hakmu atas-Ku, maka mintalah olehmu kepada-Ku. Demi ketinggian- Ku dan kebesaran-Ku, tidak Aku tolakkan hajatmu. Engkau adalah jiran-Ku di bawah `arasy-Ku, engkau kekasih-Ku daripada segala makhluk-Ku,
engkau terlebih mulia atas-Ku. Sukakanlah kamu, tiada dinding antara-Ku dan antara kau”.(daripada kitab Raudatul Ifkar)

Penulis menziarahi pusara ayahandanya pada bulan penuh barakah ini.
Puasa pada 27 bulan Rejab seperti berpuasa enam puluh bulan pahalanya. Jika disertai dengan sedekah seperti puasa seribu tahun, kerana kebesaran hari ISRAK-MIKRAJ.
Sesiapa yang menjernihkan atau melapangkan kekeruhan, kesusahan, kesempitan orang mukmin pada bulan Rejab dikurniakan Allah kepadanya mahligai yang besar di dalam syurga Firdaus.
Sesiapa berpuasa tiga hari pada bulan Rejab dan beribadat pada malamnya (berjaga), maka bagaikan dia berpuasa tiga ribu tahun.
Dan diampunkan baginya 70 dosa besar tiap-tiap hari, ditunaikan 70 hajat ketika keluar nyawanya daripada jasadnya, 70 hajatnya di dalam kuburnya, 70 hajat ketika terbang suhuf (ketika Quran dinaik ketika berlalu di Titian Siratalmustaqim) .
Rejab ertinya takzim (kebesaran, keagungan, kemuliaan,rahmat, pemurah, kebajikan). lantaran kebesaran, keagungan dan kemuliaannya. Dan bulan Rejab itu sendiri
Allah limpahkan rahmat-Nya, kemurahan-Nya dan terhadap hamba-hamba-Nya yang beriman dan beramal solih pada bulan Rejab, dengan berpuasa pada siangnya dan beribadat pada malamnya.
Demikianlah betapa istimewanya dan betapa agungnya bulan Rejab itu yang dinamakan dengan nama bulan ALLAH.
REJAB bulan menabur benih.
SYA’ABAN bulan menyiram tanaman.
RAMADAN bulan menuai.
REJAB menyucikan badannya.
SYA’ABAN menyucikan hatinya.
RAMADAN menyucikan rohnya.
REJAB bulan taubat.
SYA’ABAN bulan muhibbah.
RAMADAN dilimpahi pahala amalan.


(sumber & rujukan bebas daripada internet)

3 April 2018

SEMEMANGNYA WUJUD PROFESOR KANGKUNG

PADA mulanya penulis bersangka baik mengenai istilah Profesor Kangkung yang mula dilabelkan dahulu oleh mantan Naib Canselor, Universiti Malaya, Profesor DiRaja Ungku A Aziz.

Penulis  menyangkakan  tentulah dalam perebutan pangkat dan gelaran di IPTA tentulah ada 'yang memijak, yang dipijak dan yang terpijak'. Adat dunia, fitrah manusia selagi ada seketul hati hitam dalam diri manusia yang tidak beriman dan penuh nafsu-nafsi maka wujudlah fenomena hasad dengki, iri hati dan tindas menindas.
Walaupun penulis diberitahu seorang teman namun kerana gerak hati penulis maka penulis memperoleh pengalaman sebenar yang disaksikan sendiri.
Pilihan Editor
Jika buruk bahasa hodohlah pemimpin
Kisahnya bermula pada suatu majlis ilmu di sebuah dewan bertaraf  balai raya kampung. Kebetulan para pesertanya boleh bertutur dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dengan baik.
Muncul seorang  sarjana yang kononnya berasa beliau seorang profesor hebat punya PhD dari  luar negara berkhidmat pula di sebuah universiti ternama di Malaysia.
Semasa beliau membentangkan celotehnya (kerana tidak ada kertas kerja rasmi yang sebenarnya bersifat ilmiah) berhubung tentang salah satu cabang seni; cara komunikasi di hadapan audien seolah-olah beliau beranggapan berhadapan dengan para peserta/pendengar yang 'kangkung' juga.
Beliau berlagak seolah-olah beliau serba tahu di hadapan peserta yang tidak pun sampai 35 orang yang berada dalam dewan tersebut.
Bayangkan sebuah IPTA terpaksa membayar segala macam elaun perjalanan, makan minum dan penginapan di luar kawasan selaku seorang penjawat awam dengan wang cukai rakyat semata-mata kepada seseorang yang berstatuskan profesor tetapi hampas belaka dan mengecewakan.
Ada pendengar, penonton merangkap peserta bidan terjun bertanya soalan-soalan spontan bersifat kreatif dan kritis.Tetapi profesor ini cuba mengelak dan memberi beberapa jawapan yang tidak munasabah, tidak akademik, kebudak-budakan dan ' self-fish '.
Beliau asyik mempamerkan biodatanya dengan power point yang kelam-kabut lantaran sudah puas diusungnya ke sana ke mari.
Seperkara yang membosankan ialah sikapnya mempamerkan satu-satunya buku tulisan beliau yang penulis yakin hanya sebuah sahaja yang menyentuh tentang cabang seni itu yang diterbitkan sebuah penerbitan swasta ternama di Kuala Lumpur (yang mungkin hasil kajian ilmiahnya dahulu) yang entah di kedai mana ada dijual kini atau tersimpan di stor lelong kerana telah diterbitkan pada abad yang lalu.
Yang amat memeranjat ialah apabila ada 'peserta' bertanya tetapi dijawabnya:
“Anda dah baca buku saya? Tak payah saya jawab. Awak baca buku saya. Baca!” katanya sambil menempelak dengan berbagai-bagai cemuhan memalukan (tidak perlu penulis sebutkan) peserta yang bertanya.
Justeru, apakah ini sifat seorang cendekiawan dan akhlak seorang profesor? Sepatutnya dijawab dengan penuh santun, beradab dan berbudaya.
Kini barulah penulis percaya sememangnya wujud profesor kangkung yang hanya riak, angkuh dan berlagak tin kosong dengan satu atau dua buah bukunya yang diusung ke hulu ke hilir, mendabik dada tetapi tidak mencerminkan mahaguru yang dihormati.
Kepada mana-mana profesor (termasuk profesor madya yang bakal menjawat profesor) ingatlah itu cuma jawatan anda sahaja sebelum anda bersara wajib di IPT.
Ingatlah tidak semudah itu anda boleh digelar profesor selepas bersara (dengan meraih gelaran  Profesor Emiritus atau Prof DiRaja) sekiranya akhlak anda tidak menghormati tradisi dan budaya ilmu.
Usahlah fikir sekiranya anda berada di sisi orang politik  yang berkuasa dan punya kabel ampuh maka anda lupa diri, lupa daratan. Hidup umpama roda. Contohi para ilmuan tempatan seperti Prof. Emiritus Dr Awang Had Salleh, Prof. Emiritus Dr Abdullah Hassan, Prof. Emiritus  Dr Nik Safiah Karim, Prof. Emiritus Tan Sri Khoo Kay Kim dan lain-lain yang tetap kekal berbudi luhur dan bersantun tutur bicaranya dan kekal kaya sejarah pengalamannya. (sumber :MALAYSIAKINI, 9 Feb 2011)

NOTA: SETELAH hampir 10 tahun komentar penulis disiarkan; kini bergema semula frasa kata "Profesor Kangkung" diperkatakan masyarakat di sana sini. Apatah lagi pada era ICT yang serba cepat & pantas serta gejala C&P yang menjadi norma hidup turut mencorakkan gaya pemikiran para sarjana generasi masa kini. Namun apa jua tahap kesarjanaan yang diraih, aspek kemahiran komunikasi yang berkesan dan kemahiran berbahasa yang gramatis dan indah serta kemahiran berfikir aras tinggi atau kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis adalah suatu aspek yang tidak boleh dipandang remeh. Di sinilah gelanggang para sarjana "menguji kekuatan' sama ada ketahanan wibawa ilmunya bagaikan 'kangkung, bayam atau kailan'. - (DRH).


2 April 2018

PROSEDUR NILAI PRESTASI GURU WAJAR DIPERBETULKAN


Penulis terima banyak aduan sama ada melalui percakapan tidak formal mahupun menerusi persatuan dan kesatuan guru sama ada semasa lalu mahupun hingga kini, tentang rasa tidak puas hati warga pendidikan terutama di kalangan guru-guru atau pegawai perkhidmatan pendidikan; baik yang bertugas di sekolah-sekolah, maktab-maktab perguruan (kini lnstitut Pendidikan Guru Malaysia/IPGM), politeknik-politeknik (dahulu di bawah KPM, kini KPT) dan pejabat-pejabat pendidikan daerah.


Penulis tidak mahu menyentuh selok-belok di kementerian-kementerian lain. Tetapi memadailah bahagian-bahagian di Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).ltupun bukan semua aspek; sekadar secebis atau sekelumit isu ketidakpuasan hati para penjawat ini.
Rata-ratanya menzahirkan rasa tidak puas hati; bukan sahaja di kalangan mereka yang sedang berkhidmat atau mengajar tetapi ramai juga yang berstatus mulia sebagai pesara kerajaan Malaysia; meliputi mereka yang bersara wajib dan bersara pilihan kerana kelayakan dan hak-hak mereka yang tidak boleh dipertikaikan sesiapapun.
Ketidakpuasan ini bagaikan rumah siap pahat berbunyi.Walaupun kini situasi dan peluang kenaikan pangkat amat cerah dalam KPM kerana 'sesiapa yang rasakan dirinya layak boleh memohon sendiri' adalah adil dan bijak tetapi kisah-kisah masa lalu wajar penulis catatkan agar menjadi peringatan untuk generasi pendidik hari ini dan masa akan datang.

Semua pihak menyedari bahawa melalui beberapa skim/sistem yang diperkenalkan oleh kerajaan masa lalu seperti Sistem Saraan baru (SSB) dan Sistem Saraan Malaysia (SSM) pada idea asalnya baik dan ada beberapa yang boleh diterima pakai. Tetapi yang menjadi permasalahan pokok ialah pada peringkat perlaksanaannya.
Tanyalah guru-guru di sekolah atau pensyarah-pensyarah di mana-mana IPGM rata-ratanya (tidak semua) tidak berpuas hati dengan markah prestasi yang diperolehi, pemilihan kuota yang menimbulkan ketidakadilan dan kronisme yang diamalkan.Walaupun ini bukan tuduhan tetapi penulis cuma terima reaksi yang menzahirkan sedemikian.
Walaupun begitu  penulis cuma mahu bertanya; apakah pihak ketua pejabat atau jabatan seperti Pengarah atau Pengetua ataupun Guru Besar dan Timbalan atau Penolongnya benar-benar mematuhi prosedur yang ditetapkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) ketika melaksanakan memberi markah dan penilaian ke atas maklumat/borang Sasaran Kerja Tahunan (SKT) yang menetukan prestasi penjawat di bawahnya?
Maksudnya adakah Penilai Pertama, Penilai Kedua atau sesiapa yang telah dipertanggungjawabkan berjumpa,bersemuka dan berbincang dengan stiap staf ketika markah prestasi diberikan agar pihak/individu yang dinilai itu bersetuju?
Sebenarnya pertemuan bersemuka adalah salah satu prosedur telus dalam pemberian markah. Jika penjawat atau guru yang dinilai itu bersetuju atau tidak bersetuju adalah tidak salah mereka memberi sebab dan alasan-alasan konkrit yang mana akhirnya mereka boleh bersetuju atau menolaknya.Soalnya; adakah prosedur seperti ini ada dilakukan?
Penulis tidak menafikan, tidak semua Ketua Jabatan bersikap semborono atau tangkap muat sahaja. Namun sikap ambil mudah dan lepas tangan ini bukanlah mustahil ada terjadi.Yang mendukacitakan,implikasi dan impak ketua atau penolong ketua seperti ini yang bersikap 'tutup sebelah mata' adalah umpama parasit yang menjahanamkan sesuatu sistem dalam sesebuah organisasi.
Walhal tujuan kerajaan; khususnya Kementerian Pelajaran Malaysia adalah baik dan murni. Namun ada juga segelintir warga KPM pada masa lalu yang iri hati, dengki dan cemburu sesama sendiri. Natijahnya siapakah yang rugi jika ada di kalangan warga KPM khususnya di sekolah dan IPGM dan POLITEKNIK KPT (dahulu di bawah selia KPM) yang hilang keyakinan dan hilang kepercayaan yang mana menjejaskan prestasi kerjaya mereka?
Justeru penulis menyeru jika fenomena atau senario ini masih berlaku atau terjadi, kepada warga KPM silalah buat aduan terus ke pihak atasan KPM atau melalui kesatuan-kesatuan dan persatuan perguruan. Ketahuilah hak-hak anda sebagai seorang penjawat awam! (sumber:MALAYSIAKINI 16.3.11)

NOTA: Setelah lebih 5 tahun komentar ini disiarkan dalam portal berita Malaysiakini, 16 Mac 2011, pihak KPM khususnya di peringkat pengurusan sekolah-sekolah, lnstitut Pendidikan Guru (IPG) dan lain-lain di bawah KPM telah melakukan penambahbaikan demi kebaikan penjawat guru dan profesionalisme keguruan. Penulis juga berharap agar para pensyarah politeknik di KPT (dahulu di bawah selia KPM) diberi penilaian yang adil dan saksama khususnya para pensyarah veteran yang pernah bernaung di bawah KPM. Pihak penilai atau 'validator' sewajarnya yang berkelayakan akademik ijazah lanjutan (Master atau PhD) dan berpengalaman luas sebagaimana penilaian yang dibuat di IPTA di bawah KPT (DRH).