HAJI DR. RAJIEE HADI

HAJI DR. RAJIEE HADI
SERIBU WARNA SERIBU MAKNA

2 Mac 2018

TRAGEDI SAMPAN KARAM SUNGAI MUAR

MASA terus berlalu, tanpa diduga telah berlaku hampir 45 tahun yang lampau. Pada ketika itu (tarikh dan tahun sebenar penulis tidak pasti..kerana enjin carian google belum wujud lagi; apa yang pasti sebelum tahun 1982, selepas tahun 1978) penulis sebagai guru muda yang bertugas di sebelah sesi petang di sebuah sekolah menengah dalam derah Muar; seperti biasa mahu bersarapan lontong Wak Lip di Pekan Serom 3.


Penulis di jeti  Serom 3 Panggung, Muar 


Suasana awal pagi kira-kira jam 7.30 pagi Pekan Serom 3 bagaikan hinggar-binggar kerana orang ramai berkumpul di sana-sini. Penulis yang baharu sampai ke warung Wak Lip mulalah mendekati beberapa pelanggan di situ. Di situ telah sedia ada seperti biasa; Pak Atan Khatab, Mat Gedebuk, Pak Atan Salu, Encik Mat lkan dan Cikgu Atan, Yang lain-lain, ada berkumpul bersembang di Kedai Buku Pak Hashim.
Gambar Hiasan

Dipendekkan cerita, di warung Wak Lip penulis mendapat gambaran awal mengenai dua buah sampan kotak yang membawa murid-murid Sekolah Kebangsaan Serom 3 dan Sekolah Menengah Tengku Mahmud lskandar ,Sungai Mati menyeberangi Sungai Muar seawal jam 7.00 pagi dari pangkalan Kampung Tanjung Selabu, terbalik dan tenggelam  secara tiba-tiba dilanda arus air pasang di Sungai Muar. Jumlah pelajar dalam sampan tersebut yang didayung secara manual sekitar 15-18 orang. Salah seorang pendayung sampan yang digelar namanya 'Ajal' telah sedaya upaya bergelut dan menyambung nyawa bagi menyelamatkan anak-anak kecil yang berusia antara 7-17 tahun.

Tanpa membuang masa, penulis dengan motosikal Honda Cub JX 5930 bergegas ke Serom 3 Panggung yang mana terletak jeti sampan penambang yang berulang-alik setiap hari ke Kampung Tanjung Selabu yang termasuk dalam mukim Jorak daerah Pagoh, Muar. Penulis lihat orag ramai mula berjejeran di sepanjang tebing sungai. Bantuan dari polis marin dan pertahanan awam mula tiba dari bandar Muar.

Sedihnya, sampan dan anak-anak sekolah telah hilang dibawa arus; ada yang menjangkakan arah ke hulu sungai dan ada yang menduga ke muara sungai. Kerja-kerja mencari mangsa sampan kotak diteruskan sepanjang hari dengan bantuan penduduk kampung juga. Penulis tidak boleh berlama berada di situ kerana jam telah menunjukkan angka sebelas pagi. Penulis harus berkemas bersedia untuk ke sekolah.

Gambar Hiasan
Sepanjang petang itu, penulis terasa resah. Di mana-mana orang bercerita. Maklumat belum diterima.Maklumlah tidak ada kemudahan ICT canggih seperti zaman sekarang. Namun ada khabar angin yang dibawa selepas jam 2 petang mula ditemui satu persatu mayat murid-murid sekolah tersebut.

Apabila pulang dari sekolah sekitar jam 6 petang, penulis melintasi Pekan Serom 3 dari Pekan Bukit Gambir. Tanpa berlengah lagi, penulis membelok motosikal ke sebelah kiri jalan menuju jeti Serom 3 Panggung. Setibanya di tempat kejadian, kawasan di tempat kejadian telah dipenuhi orang ramai. Beberapa buah ambulans dengan lampu merah kecemasan telah bersiap sedia. Penulis telah berjaya menyelit di tengah-tengah kumpulan orang ramai mahu melihat sendiri mangsa-mangsa tragedi dengan mata kepala sendiri.
Gambar Hiasan

Penulis difahamkan sudah lebih daripada 5 mangsa yang mati kelemasan telah dibawa ke Hospital Muar sejak tengah hari itu. Pada ketika itu, kerja-kerja mencari mangsa masih diteruskan. Penulis sendiri melihat mangsa-mangsa yang terbaring terbujur kaku yang terdiri kanak-kanak lelaki dan perempuan sekolah rendah sekitar 4 orang dan pelajar perempuan sekolah menengah, 2 orang. Dengan berpakaian sekolah dan berkasut yang lengkap membuatkan penulis sebak dan  air mata berlinangan.

Apa yang penulis tidak lupa, salah satu mayat (murid lelaki sekolah rendah) menggenggam erat sapu tangan yang tersimpul rapi dan utuh wang syiling 20sen. Betapa eratnya genggaman yang tidak dilepaskan; begitulah erat dan sebati ingatannya akan kasih sayang  kedua-dua ibu bapa yang memberikan wang saku persekolahan pada hari itu. Penulis tidak sanggup memaparkan adegan-adegan yang menyayat hati kerana membuatkan peristiwa ironis itu terkesan dan membungkam kembali.Operasi mencari saki baki mangsa berterusan hingga ke malam.

Seperti biasa, tragedi hari itu menjadi berita utama di semua stesen TV. Menteri Besar Johor ketika itu Dato' Othman Saat mula bercakap mengenai tindakan susulan dan projek masa hadapan. Cakap-cakap orang politik bukanlah perkara baharu bahkan sudah jadi klise atau lumrah. Ada sosek-sosek dan ura-ura mahu membina jambatan menghubungkan Kampung Serom 3 Panggung- Kampung Tanjung Selabu. Ada cakap-cakap kerajaan akan memberi bantuan  membekalkan enjin sangkut bot penambang. Dan macam-macam spekulasi selepas tragedi itu.

Selepas beberapa bulan dan menjangkau beralih tahun, penulis mengunjungi ke kawasan tragedi itu. Ada ketikanya sebelah pagi, selepas asar bahkan selepas lsyak. Penulis cuba berimaginasi dan mengumpulkan daya kreativiti dan sensitiviti lalu bertanya diri sendiri; apakah penulis berupaya seperti Shahnon Ahmad menggarap novel dengan paparan peristiwa yang dinamik dan kritis bersandarkan daya kepekaan diri ? Rasa resah, gelisah dan peristiwa tragis berawang-awangan dalam minda penulis dan sering mengusik mimpi dan igauan tatkala tidur.
Gambar Hiasan
Alhamdulillah, penulis berjaya menulis sebuah cerpen yang mengutip daripada tragedi tersebut. lni suatu kejayaan dan kepuasan peribadi. Cerpen tersebut berjudul 'PENANTIAN" yang telah disiarkan dalam majalah MASTIKA, 1 Mei 1983. Bagi mereka yang berkelapangan bolehlah menelusuri di perpustakaan-perpustakaan ternama seperti Perpustakaan Negara, DBP, UKM bagi merujuk koleksi majalah tersebut yang telah dijilidkan.

Setelah 45 tahun, penulis kembali ke lokasi tersebut. Jeti di situ telah diperbaiki dan ada penambaikan seperti tempat persiaran mini. Sesekali ada bot berenjin merentasi seberang sungai. Pelajar-pelajar Kampung Tanjung Selabu tidak lagi bersekolah menyeberangi sungai tersebut. Lantaran kini telah ada kemudahan bas dan prasana lain maka ibu bapa telah beralih ke pekan Jorak. Penulis terfikir, ada baiknya jika di situ, di pinggir tebing jeti penambang Serom 3 Panggung didirikan plak peringatan sebagai memori agar menjadi peringatan dari generasi ke generasi.

'Ajal' nama remaja yang menjadi pendayung sampai pada hari tragedi itu telah terselamat kerana kecekapannya berenang. Ajal juga telah turut sama-sama membantu mencari mangsa-mangsa dalam kejadian itu. Dan setelah 45 tahun berlalu, penulis tidak pasti sama ada  Ajal masih bernafas lagi atau telah pun menemui ajal. Wallahualam.
Al-Fatihah! (DRH)


14 ulasan:

  1. Tragedy pada 5 Mei 1980. Sila semak

    BalasPadam
    Balasan
    1. Wah...ye 2 org mangsa perempuan adalah makcik sy tu kami baru berumur 2 tahun

      Padam
    2. Masa tu saya darjah satu di SKBR, Gersik, Muar, ptg haritu telah dikejutkan apabila mendapat berita bhw salah seorang sepupu saya adalah mangsa tragedi tersebut. Sehingga kini setiap 13/5 pasti teringat Tragedi Perahu Karam Tg. Selabu. Alfatihah untuk Arwah Encah b. Yunos (nama panggilan) dan semua mangsa terlibat.

      Padam
  2. Salah seorang mangsa yg terselamat

    BalasPadam
  3. Boleh hubungi saya: Dr Haji Rajiee Hadi 01137803611.

    BalasPadam
  4. Salam..wahai penulis, sy ad mada kejadian tesebut... Masing2 tidur seperti di lalaikan. Bukal ajal tetapi kerani sekolah yg bernama en hamdan yg menyelamatkn. Pm sya.. 0143648202

    BalasPadam
  5. Assalamualaikum Dr. Arwah pendayung sampan merupakan atuk saya. Saya masih kecil ketika itu. Ibu dan bapa saya mungkin lebih mengetahui kisahnya jika Dr ingin mengetahuinya secara lebih terperinci

    BalasPadam
  6. terima kasih Tn Dr Rajiee Hadi atas perkongsian ini..mayat murid lelaki itu adalah abang saya..moga pemergiannya serta yang lain-lain adalah syahid..sy boleh dihubungi di talian 0197588892

    BalasPadam
  7. Terima kasih semua. Hubungi whsapp hp no.+601137803611.

    BalasPadam
  8. Sahabat saya lebih tahu kisah sebenar sbb dia antara mangsa yg terselamat. Dia berjaya menyelamatkan 6 orang kalau tak silap saya. Beliau datang ke sekolah dalam keadaan basah lokos..

    BalasPadam