oleh DR RAJIEE HADI , USTAZAH NORUMAZA HASHIM & USTAZAH DR. HAJAH MAHNESSA A.KADIR
PENGENALAN
Dari perpesktif Islam, pengertian proses pengajaran dan
pembelajaran (P&P) merupakan segala perubahan atau peristiwa
yang berlaku ke atas diri seseorang atau individu . lni merupakan proses P&P dalam Pendidikan lslam dan ianya merupakan suatu ibadah dan amanah kepada
guru untuk diberikan kepada murid-murid. Ia juga merupakan satu-satunya jalan dan
teknik bagi manusia untuk sampai kepada kebenaran (hakikat) yang bertolak dari
premis tauhid yang tidak memisahkan dari aspek akal dan jasad sebagai sesuatu yang
bersepadu.
Pengajaran dan pembelajaran menurut Islam merupakan
pembentukan keseluruhan potensi diri individu dengan berlandaskan
nilai-nilai ketuhanan atau rohani. Sehubungan ini, agar manusia boleh menjalankan
tugas sebagai khalifah di muka bumi dan sebagai hamba Allah S.W.T yang terbaik.
Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud “ Tiada pemberian orang tua
terhadap anaknya yang lebih utama selain pendidikan yang baik” dan
“ajarilah anak-anak kamu kalimah La IIaha IIallah ( tiada tuhan
melainkan Allah) sewaktu ia mulai berbicara dan ajarlah mereka untuk membaca La
IIaha IIalah sewaktu menghadapi kematian.
2.0 Kaedah Pengajaran Berteraskan
Pendidikan Menurut Islam.
Mendidik murid-murid saudara baharu perlu menggunakan
ilmu yang tepat atau diambil daripada al-Quran dan hadis. Guru perlu
mengambilnya sebagai panduan untuk mendidik murid-murid saudara baharu mereka.
Iman dan takwa adalah asas dalam pendidikan awal murid-murid khususnya
murid-murid saudara baharu kerana dengan asas inilah Rasulullah S.A.W berjaya
mendidik para sahabatnya.
Murid-murid saudara baharu patut diperkenalkan supaya mencintai Rasulullah
S.A.W dan mencintai keluarga baginda. Sabda Rasulullah S.A.W yang diriwayatkan
oleh At Tabrani daripada Ali bin Abi Talib yang bermaksud ‘ Ajarlah
anak-anak kamu tiga perkara, mencintai nabi kamu, dan mencintai keluarganya
serta membaca al-Quran. Sebab para pembaca al-Quran berada di arasy
Allah S.W.T bersama-sama para anbiya’-Nya dan ashfiya-Nya pada hari
tiada naungan melainkan naungan Allah S.W.T sahaja.
Murid-murid saudara baharu juga perlu dibiasakan untuk
mentaati kedua ibu bapa dan guru. Perasaan kasih dan takut terhadap ibu bapa
dan hormat kepada guru akan menghalang mereka daripada bersikap melawan atau
menentang.Guru atau ibu bapa bergaul dengan anak didik mereka hendaklah secara
berhikmah dan kasih sayang. Selain itu membiasakan murid-murid saudara
baharu dengan adab susila yang baik sejak mereka masih kecil lagi amat
dituntut. Sebagai rujukan asas kepada para pendidik, Allah S.W.T menjelaskan
dalam Al-Quran tentang kebijaksanaan Luqman Hakim dalam mendidik anaknya secara
berperingkat-peringkat sebagai proses pengajaran dan pembelajaran anaknya.
3.0 PEMERINGKATAN ILMU ISLAM SECARA UMUM
3.1 Pelajaran Peringkat Pertama
Kebijaksanaan manusia adalah sebenar adalah juga
kebijaksanaan Tuhan, ( true human wisdom is also divine wisdom),
kedua-duanya tidak boleh dipisahkan . Permulaan bagi semua kebijaksnaan adalah
sifat keakuran dan kekuasaan Allah S.W.T. Anak-anak yang baru dilahirkan
( jika dilahirkan terus daripada ibu bapa Islam ) akan diazankan pada
telinga kanan bayi lelaki dan diqamatkan pada telinga kiri dan bayi perempuan
sebagai tanda pengenalan terhadap pencipta yang sebenar.
Tugas ini merupakan tanggungjawab
ibu bapa terhadap anak-anak. Tindakan ini supaya fikiran dan hati anak-anak
yang baru dilahirkan akan dapat menerima kasih sayang daripada AllahS.W.T
Mudah-mudahan dengan perlaksanaan amalan ini, setiap bayi akan dapat mengingati
pelajaran pertama sehingga ke akhir hayatnya.
3.2 Pelajaran Peringkat Kedua
Murid-murid saudara baharu akan diajar untuk
berbuat baik kepada ibu bapa dan guru. Ketaatan juga ditegaskan kepada
ibu bapa dan guru agar mereka terus menyedari betapa pentingnya dan berjasanya
kedua ibu bapa dan guru dalam hidup mereka. Sifat syukur terhadap Allah S.W.T
sebagai pencipta akan diikuti dengan perasaan taat yang tidak berbelah bagi
terhadap ibu bapa dan guru.
3.3 Pelajaran Peringkat ketiga
Balasan daripada Allah S.W.T terhadap semua tindakan
semasa hidup diajar kepada murid-murid saudara baru. Penegasan terhadap
kekuasaan Allah S.W.T dalam mengetahui apa sahaja yang diniatkan, diperlakukan
dan diperkatakan oleh murid-murid saudara baharu diberitahu supaya mereka
bersedia dengan pengajaran mengenai hari keadilan dan pembalasan.
3.4 Pelajaran Peringkat keempat
Kewajipan murid-murid saudara baharu untuk menunaikan
solat sebanyak lima kali sehari akan ditekankan. Pengajaran diikuti dengan
penekanan terhadap bacaan dan hafalan al-Quran sebagai melengkapi dan
menyempurnakan ibadat solat tersebut. Tanggungjawab guru di sini adalah
mengajar anak didik mereka agar boleh membaca al-Quran dan berusaha untuk
menghabiskan bacaan keseluruhan al-Quran antara umur lapan hingga sepuluh
tahum. Sementara ibadah seperti solat dan berpuasa itu pula boleh dipraktikkan
seawal usia tujuh tahun.
3.5 Pelajaran Peringkat Kelima
Guru akan mendidik murid-murid saudara baharu tentang
perbuatan baik dan jahat. Mendidik murid-murid saudara baharu agar
melakukan perbuatan yang baik dan disukai Allah S.W.T dan melarang serta
menjauhi perbuatan yang boleh mendatangkan kemurkaan Allah S.W.T.banyak
membantu memupuk keperibadian Islam di jiwa mereka seawal usia.Penjelasan
terhadap hak setiap murid-murid saudara baru untuk menyuruh ke arah kebaikan
dan melarang perbuatan kejahatan ke atas setiap ahli dalam keluarga yang
diberikan.
3.6 Pelajaran Peringkat Keenam
Sifat sabar dalam diri setiap murid-murid saudara baharu
diajar. Guru patut mendidik mereka baru agar bersabar ke atas setiap ujian
Allah S.W.T dan dalam menempuhi kesusahan dan ketegasan dalam kehidupan. Mereka
dididik dan diajar agar menjauhi sifat berputus asa dan mengalah dalam perkembangan
hidup.
3.7 Pelajaran Peringkat Ketujuh
Mendidik murid-murid saudara baharu agar membuang
perasaan angkuh dan takbur, sama ada terhadap Allah S.W.T atau sesama manusia.
Mereka turut didedahkan dengan keburukan dan kelemahan sekiranya
mempunyai angkuh dan takbur dalam diri.
3.8 Pelajaran Peringkat Kelapan
Melarang murid-murid saudara baharu daripada bersifat
angkuh dan meninggi diri sebaliknya sentiasa merendah diri dan bersifat
sederhana dalam segala hal. Mereka juga dididik supaya bersifat merendah
diri dalam hal-hal yang berkaitan dan tidak bersifat keterlaluan dalam
sesetengah hal, sebaliknya lebih bersifat sederhana.
3.9 Pelajaran Peringkat Kesembilan
Bersifat sederhana dalam kehidupan patut diajar kepada
setiap murid-murid saudara baharu. Perasaan ingin bersederhana sangat penting
dalam kehidupan bagi memupuk sifat ikhlas dan reda.
4.0 PENDEKATAN DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN
PENDIDIDIKAN ISLAM
Pendekatan dari segi konsep dalam pendidikan adalah
cara mendekati sesuatu. Ianya merujuk kepada bagaimana cara sesuatu mata
pelajaran diajar berdasarkan objektifnya. Dalam ayat lain pendekatan dalam
bidang pendidikan pula merujuk kepada satu set teori pembelajaran yang
beraksiomatik dan diamalkan dalam pengajaran sesuatu mata pelajaran berdasarkan
kepada objektifnya dan pendekatan haruslah berlandaskan kepada modal,
prinsip atau teori pembelajaran.
Justeru pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang digunakan sebagai medan
dakwah kepada murid-murid saudara baharu adalah di antaranya:
i.
Pendekatan
Deduktif
ii.
Pendekatan
Induktif
iii.
Pendekatan
Bersepadu
iv.
Pemusatan
Pelajar
v.
Bertema (
Thematic Approach)
Pendekatan Deduktif didefinisikan sebagai suatu
pendekatan mengajar yang
bermula daripada satu atau beberapa rumus, prinsip ,
hukum atau peraturan diikuti dengan aplikasinya ke atas contoh-contoh yang
khusus. Pendekatan deduktif ini juga boleh digunakan bagi memperolehi
kesimpulan yang baru daripada rumus, prinsip, hukum atau peraturan yang telah
diketahui Contohnya kejadian alam semulajadi seperti awan, langit,
gunung, laut dan sebagainya adalah ciptaan Allah S.W.T dan manusia tidak mampu
untuk menciptakannya kerana keupayaan dan kuasa manusia adalah terhad.
Pendekatan Induktif pula melibatkan aktiviti mengumpul dan
menafsir maklumat-maklumat, kemudian membuat kesimpulannya yang mana guru
memulakan pengajaranya dengan memberikan beberapa contoh yang khusus tetapi
mengandungi satu prinsip yang sama . Justeru berdasarkan kepada contoh yang
telah diberi , murid-murid saudara baharu dibimbing memikir, mengkaji , mengenal
pasti dan mentafsir maklumat yang terkandung dalam contoh-contoh khusus itu
kemudian membuat kesimpulan yang berkenaan.
Contohnya murid-murid saudara baharu ini dikehendaki
menyenaraikan nama- nama benda atau subjek di sekeliling mereka seperti meja , kerusi,
kipas, lampu, tingkap, pintu , buku, pen , pensil dan sebagainya
dirumuskan bahawa benda-benda yang disenaraikan dan dikumpulkan itu adalah
hasil pembuatan manusia dengan Allah S.W.T mengurniakan akal fikiran kepada
manusia untuk mencipta secara kreatif dan inovatif. Sementara guru pula
haruslah membantu membimbing dan menghubungkait serta menggabungjalinkan
benda-benda ciptaan manusia dan banding beza dengan hasil ciptaan Allah S.W.T.
Pendekatan pengajaran seterusnya adalah pendekatan bersepadu yang
membawa maksud melaksanakan semua unsur yang terdapat dalam kurikulum,
secara bercantum atau bersatu yang mana semua ilmu diajar dengan cara saling
berkaitan di antara satu sama lain. Di bawah rancangan KSSR konsep kesepaduan
diamalkan dalam penggunaan strategi penggabungjalinan dan penyerapan. Ini
adalah bertujuan untuk menjalin serta mengadunkan unsur-unsur ilmu,
nilai, kemahiran belajar dan penggunaan bahasa yang baik.
Contohnya dalam pelajaran wuduk tahap satu,
murid-murid saudara baru sebelum mengambil wuduk dikehendaki membaca niat ,
pada asasnya pelajaran wuduk dalam konsep ibadah namun ianya boleh
digabungjalinkan dengan akidah kerana niat merupakan asas penting dalam sesuatu
kepercayaan dan amalan kepada Allah S.W.T maka tanpa niat tidaklah sah wuduk
tersebut.Guru sewajarnya menerangkan secara jelas hubung kait dan gabung jalin
antara aspek akidah (niat) dan ibadah (rukun).
Pendekatan pengajaran keempat adalah pemusatan pelajar. Menerusi
pendekatan pemusatan murid saudara baharu , guru dan murid bersama-sama memainkan
peranan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Murid aktif menyertai
komunikasi berbentuk dua hala. Guru menyoal dan murid menjawab dan sebaliknya.
Suasana kepepimpinan adalah bersifat demokratik.
Dalam pendekatan ini pencapaian objektif pembelajaran
murid-murid saudara baharu diutamakan. Pendekatan ini lebih menekankan
perkembangan murid (dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek), pembelajaran
kendiri , pengarahan kendiri, kaedah dapatan dan inkuiri penemuan, Selain itu
pendekatan pemusatan pelajar turut menekankan ujian formatif yang
menggunakan hasil ujian untuk memperbaiki dan mengatasi kelemahan –kelemahan
murud di samping kefahaman dan bahan-bahan bermakna. Contohnya murid- murid
saudara baru tahap satu (7-9 tahun) diajar menghafal sifat-sifat Allah
S.W.T seperti wujud,qidam, baqa’ dan seterusnya.
Guru meminta murid-murid saudara baharu ini menghafal
secara lisan secara bergilir-gilir atau guru menyebut sifat Allah yang pertama,
kemudian guru meminta murid saudara baharu menyebut sifat Allah yang kedua dan
selanjutnya.Guru memberi arahan secara berfokus atau berpusat dengan menumpukan
kepada seseorang murid atau kumpulan dalam kelas.Dengan ini guru berupaya
membantu murid-murid saudara baharu bagi meneguhkan kemahiran mendengar,kemahiran
menyebut/sebutan dan kemahiran mengingati/kognitif.
Menerusi pendekatan pengajaran tersebut murid lebih berminat terhadap pelajaran
yang dipenuhi aktiviti dan lebih berupaya menggunakan segala yang telah
dipelajari serta memindahkan kepada situasi baru. Naluri ingin tahu dapat
diperkembangkan lagi melalui kaedah seperti inkuiri dan penemuan. Dalam aspek
ini murid-murid saudara baru sentiasa mempamerkan sifat-sifat sosial yng
positif seperti berkerjasama , bertimbang rasa, tolong menolong dan
sebagainya.
Pendekatan pengajaran yang kelima adalah pendekatan bertema ( Thematic
Aproach) .Tema memberi maksud idea yang besar, dengan itu pengajaran
tematik bermakna pengajaran yang dismpaiikan melalui satu idea yang besar
, Contohnya tema seperti solat perkara-perkara samiyyat, bersuci dan
lain-lain.
Pada kebiasaannnya satu-satu tema kemudiannya
dipecahkan kepada komponen-komponen yang kecil. Dalam setiap komponen terdapat
lagi topik-topik kecil yang dibincangkan. Contohnya bertemakan puasa Ramadan
yang akan dibincangkan adalah sub topik seperti niat berpuasa Ramadan, rukun
puasa, syarat sah puasa, perkara-perkara yang membatalkan puasa. Dengan
berdasarkan sesuatu tema; pengetahuan murid-murid saudara baru ini dapat
dikembangkan secara komprehensif yang berkaitan dengan pelajaran puasa Ramadan.
5.0 BAHAN –BAHAN DAN PRINSIP-PRINSIP DALAM PENGAJARAN
DAN PEMBELAJARAN PENDIDIKAN ISLAM
Apabila mendidik dan mengajar serta diselitkan dengan
mengukuhkan dakwah lslamiah kepada saudara baharu beberapa prinsip Pendidikan
Islam telah digunakan iaitu Prinsip dari mudah kepada sukar/abstrak ( Minas
Sahlah ila Syu’bah), Prinsip dari Dekat kepada yang Jauh ( Minal
Qarib ila Baid), Prinsip dari perkara yang diketahui kepada yang tidak
diketahui ( Minal ma’alum ilal majhul, Prinsip dari Dekat kepada yang
Jauh ( Minal Qarib ila Baid), Prinsip dari perkara yang diketahui kepada
yang tidak diketahui ( Minal ma’alum ilal majhul), Prinsip
daripada maujud kepada mujarad dan Prinsip daripada yang spesifik kepada
yang umum ( Minal Khas ilal Am).
Prinsip dari mudah kepada
sukar ( Minas Sahlah ila Syu’bah) bermaksud isi atau kandungan yang akan
disampaikan kepada murid-murid perlu ditingkatkan supaya yang mudah didedahkan
kepada para pelajar sebelum yang susah diperkenalkan. Sebagai contoh manusia
mencipta kereta atau motokar, manusia membina rumah, membuat kerusi meja tetapi
Allah S.W.T mencipta angin,hujan,malam,bintang,matahari dan seumpamanya. lnilah
kejadian dan fenomena alam yang patut mereka ketahui asal usul kejadian .Setiap
yang ada atau wujud mesti ada si penciptanya.
Pemeringkatan ini penting bagi
tujuan supaya murid dapat mengikutinya secara beransur-ansur dan murid yang
lemah akan dapat dikesan dan dibantu pembelajarannya. Dalam erti kata lain guru
hendaklah sentiasa mengamalkan prinsip ini dalam semua pengajarannya supaya isi
yang disampaikan berkesan dan mencapai objektifnya.
Prinsip dari dekat kepada yang jauh
( Minal Qarib ila Baid). Prinsip ini menjurus kepada memberi bimbingan kepada
pelajar untuk mengenali sesuatu topik dengan membawa contoh yang terdekat
dalam proses pembelajaran dan pengetahuan pelajar. Kebiasaannya pelajar berasa
agak sukar memahami mata pelajaran akidah yang disampaikan oleh guru atau
daripada buku teks. Justeru guru mestilah kreatif dalam memberi contoh
terdekat dengan mudah serta pengetahuan dan pengalaman para pelajar
sehingga dapat menghilangkan kekaburan dan kefahaman mereka.
Dalam bidang ulum syariah ada baiknya contoh diberikan
berdasarkan cara murid-murid bersolat atau mendirikan sembahyang.Ada
murid-murid saudara baru ini yang telah pun mengalami amalan pengetahuan itu
sendiri seperti solat lima waktu sehari semalam. Ini mungkin kerana ada
murid-murid ini yang telah mempelajarinya daripada saudara tertua, rakan sebaya
atau daripada ibu bapa mereka. Tetapi tidak dinafikan juga ada murid-murid atau
ahli keluarga mereka yang tidak pernah solat.
Penyampaian tajuk solat hendaklah dilakukan dari yang
dekat kepada jauh seperti
bermula dari memperkenalkan waktu solat fardu dan
rakaatnya, niat dan cara mendirikan solat.Berdasarkan prinsip ini guru dapat
menyusun langkah dan aktiviti yang sesuai serta kaedah dan teknik yang berkesan
untuk memudahkan mencapai objektif pelajaran. Di dalam bilik darjah, semasa
pengajaran menggunakan prinsip ini guru dapat mengesan kemampuan murid untuk
memahami pelajaran ini dengan membuat penilaian lisan yang berterusan seperti
soal jawab di samping penglibatan murid secara maksimum terutama dalam amali
solat. Prinsip ini hendaklah diamalkan dalam pengajaran Ulum Syariah yang lain
juga.
Prinsip dari perkara yang diketahui
kepada yang tidak diketahui ( Minal ma’alum ilal majhul). Prinsip ini
pula berperanan untuk menghubungkan pelajaran yang akan disampaikan dengan
perkara yang berlaku dan berkaitan dengan pengalaman dan kehidupan setempat
murid. Dalam hal ini guru akan melaksanakan pengajaran dengan menyelidiki
terlebih dahulu pengetahuan sedia ada murid yang mana semasa penerangan guru
dimana-mana langkah samada melalui soalan , gambar bahan dan sebagainya.
Guru sewajarnya mengaitkan pelajaran yang lalu dengan pelajaran yang baru juga
berkaitan dengan prinsip justeru itu di dalam merancang isi pelajaran
penyampaiannya juga hendaklah dirancang dengan mengamalkan prinsip dari yang
diketahui kepada yang belum diketahui. Guru mengaitkan pengalaman baru dengan
pengalaman sedia ada murid-murid saudara baru..
Dalam pelajaran ulum syariah bagi mata pelajaran
fekah, murid-murid-murid saudara baharu telah pun tahu mengenai apakah erti wuduk
atau mengambil air sembahyang. Sebahagian murid-murid saudara baru telah pun
mengalami cara-cara mengambil wuduk dengan meniru perbuatan ibu bapa mereka.
Prinsip ini memberi penekanan kepada amalan yang teratur yang mana bermula dari
pengalaman yang ada pada murid dan dikembangkan kepada yang belum diketahui
seperti guru memperkenalkan anggota wuduk yang wajib dan sunat, sempadan setiap
anggota wuduk tersebut dan cara mengambil wuduk yang betul.Pengajaran
berdasarkan prinsip ini akan berjaya mencapai objektifnya apabila guru
menggunakan kaedah dan teknik yang sesuai dan penglibatan pelajar dalam amali
wuduk tersebut.
Prinsip daripada maujud
kepada mujarad bersandarkan daripada sesuatu benda yang wujud dan boleh
dipegang, dilihat dan dirasa membawa kepada sesuatu yang abstrak. Perkara/isu/topik yang
abstrak ini memerlukan daya deria yang merangsang pemikiran untuk mengetahuinya
dengan bukti-bukti yang wujud di sekitar murid-murid. Justeru menerusi
rancangan pengajaran dan isi pengetahuan yang dikembangkan hendaklah berasaskan
kepada pengetahuan sedia ada murid-murid; misalnya kewujudan benda-benda di
persekitaran mereka.
Dalam pelajaran tauhid misalnya guru mengajar mengenai
kewujudan Allah S.W.T itu wujud dan bukti kewujudan Allah ialah
wujudnya alam ini. Pengetahuan murid-murid yang sedia ada ialah mereka
mengetahu bahawa setiap benda yang ada pada mereka ada pembuatnya. Mereka tahu
kerusi yang mereka duduk ada tukangnya, meja yang mereka gunakan ada
pembuatnya, kereta yang mereka naiki ada kilang pengeluar dan pembuatnya malah
baju yang mereka pakai ada tukang jahitnya, semuanya itu tidak terjadi dengan
sendiri, begitu juga dengan alam ini seperti langit, bumi, sungai, lautan dan
semua yang mereka nampak, pegang dan rasa penciptanya ialah Allah s.w.t. Alam
ini tidak terjadi dengan sendirinya.
Jika kita kagum dengan rekaan kereta yang canggih,
rekaan alat-alat teknologi yang hebat tentulah pembuat dan perekanya hebat.Namun
ketahuilah bahawa Allah S.W.T lebih maha hebat lagi kerana Allah telah mencipta
manusia dan alam.Oleh yang demikian dengan menjalankan prinsip dari yang wujud
kepada mujarad atau abstrak maka pengajaran dapat berjalan dengan lancar dan
objektif dapat dicapai.
Prinsip daripada yang spesifik
kepada yang umum ( Minal Khas ilal Am) berperanan untuk membimbing pelajar
mengenali sesuatu tajuk pelajaran dengan menemukan bahagian-bahagian
kecil secara beransur untuk disimpulkan menjadi satu fakta atau hukum dan
peraturan yang mana bagi memastikan keberkesanannya.
Perkembangan isi pelajaran ianya haruslah disusun
berdasarkan sesuatu yang khusus kepada sesuatu yang umum. Oleh itu dalam
pengajaran tersebut, pendekatan induktif dengan prinsip khusus kepada umum
adalah berbeza, kerana prinsip ini lebih menekankan kepada perkembangan isi
pelajaran untuk mencapai objektif yang telah ditetapkan. Justeru menerusi
prinsip ini guru hendaklah memilih isi pelajaran yang tersusun dan sesuai serta
mempunyai ciri-ciri khusus isi pelajaran .
Contohnya sekiranya guru mengajar mengenai hadas kecil
dan hadas besar, guru hendaklah menjelaskan dahulu ciri-ciri khusus hadas kecil
atau hadas besar , sebelum membuat satu konsep atau pengertian yang umum
tentang ciri-ciri yang telah diterangkan.
Guru perlu terlebih dahulu memberikan ciri-ciri hadas
kecil seperti kencing, najis binatang, buang air besar, darah dan
sebagainya,Selepas itu barulah guru memberi penjelasan berhubung topik
yang berkaitan.
Prinsip ini akan lebih merangsang murid untuk mengetahui perkembangan isi
tersebut sehingga guru memastikan bahawa segala kaedah dan strategi pengajaran
yang dijalankan bertepatan dan akhirnya objektif yang ditetapkan tercapai.
KESIMPULAN
Murid-murid atau kanak-kanak khususnya bagi murid-murid
saudara baharu sekolah rendah sama ada pada Tahap Satu (7-9 Tahun) dan Tahap Dua
(10-12 tahun) merupakan anugerah yang sangat berharga. Justeru sewajarnya guru
memberi didikan yang benar dan sempurna agar mereka berkembang menjadi seorang
remaja dan dewasa yang menepati ciri-ciri jati diri, sebagaimana yang dikehendaki dalam ajaran lslam.
Guru sewajarnya juga sentiasa memastikan setiap pelajar boleh mengingati dan memahami arahan dan ajaran yang disampaikan
oleh guru. Misalnya dalam pelajaran tata cara berwuduk dan rukun-rukun dalam
solat.Sepanjang proses pembelajaran dan pengajaran berlangsung sudah tentu guru
perlu memberi sepenuh perhatian ke atas setiap tingkah laku dan gerak balas
murid-murid.Di samping itu wujudkan suasana pembelajaran dan pengajaran yang
penuh kasih saying dan mesra supaya murid-murid saudara baru ini berasa
seronok dengan subjek Pendidikan lslam dan tidak berada dalam situasi terpaksa.
Sebagai penutup, guru Pendidikan lslam hendaklah
sentiasa turut serta bersama murid-murid saudara baharu sepanjang proses
pengajaran dan pembelajaran berlangsung.Dan yang lebih berkesan, guru hendaklah
sentiasa memberikan contoh yang positif sebagai model untuk mereka ikuti sama
ada dari sudut bahasa, berpakaian,sikap, perlakuan mahupun penonjolan
afektif.Mudah-mudahan kemahiran dan kebijaksanaan guru mengenal pasti ekspresi
muka dan gerak badan murid-murid seperti ini akan menjalinkan kesefahaman dan
kekal jiwa dan roh lslam untuk selama-lamanya. (sumber tulisan: oleh DR
RAJIEE HADI & NORUMAZA HASHIM, DR. MAHNESSA A.KADIR )@ Hakcipta Terpelihara.
Bibliografi
Al-Quran al- Karim
Abdullah Basmih. 1985, Tafsir Pimpinan Al-Rahman
Kepada pengertian Al-Quran, Kuala
Lumpur :Bahagian Agama Jabatan Perdana Menteri.
Ahmad Mohd. Salleh, 1997 Kuala Lumpur : Pendidikan
Islam, Asas Dinamika Guru Jld 1,
Penerbit fajar Bakti.
Atan Long. 1981, Pedagogi-Kaedah Am Mengajar, Kuala
Lumpur : Fajar Bakti Sdn.Bhd.
Fariza Md. Sham dll. 2006,Dakwah dan Kaunseling Di
Malaysia, Penerbit Universiti
Kebangsaan Malaysia.
Ghazali Daruslam. (2001), Pedagogi Pendidikan Islam,
Kajang, Utusan Publications &
Distributors Sdn. Bhd.
Mohd Nashuha Jamidin. 1995, Kemahiran Berfikir dan
Belajar , Shah Alam : Fajar Bakti
Sdn. Bhd.
Nur Raudah Hj. Siren dll.(2006),Dakwah Islam Semasa,
Konsep dan Perlaksanaan,Penerbit
Universiti Malaya.
Latar Belakang Ringkas Penulis:
Dr. Haji Rajiee Abdul Hadi yang juga terkenal dengan nama pena 'Rajiee Hadi' dalam bidang penulisan khususnya penulisan kreatif: puisi & cerpen ialah mantan Pensyarah Kanan Universiti Kolej Perguruan Ugama Seri Begawan, Bandar Seri Begawan,Negara Brunei Darussalam.Beliau pernah menjawat Ketua Unit Profesional Pembangunan Keguruan di Jabatan Penyelidikan, Maktab Perguruan lslam (kini IPGM), Bangi, Malaysia dan Ahli Panel Penggubal Soalan M-Test Bahagian Pendidikan Guru, Kementerian Pelajaran Malaysia.Beliau juga pernah menjawat sebagai pensyarah sambilan di UNITEN dan UPM Malaysia.Bidang kepakaran beliau dalam pendidikan ialah metodologi pengajaran,komunikasi bahasa dan psikologi bahasa & sastera Beliau juga adalah mantan Ketua Pengarah DRH Consultans & Research Institute di firma perundingan pendidikan & keluarga & kini Penasihat kepada Awan Prima Group.
Ustazah Norumaza Hashim berkhidmat lebih 10 tahun sebagai guru siswazah di sekolah rendah Kementerian Pelajaran Malaysia.Sebelum itu beliau berkhidmat selama 5 tahun sebagai pensyarah di sebuah kolej swasta di Kelantan Darul Naim, Malaysia.Beliau memperoleh ijazah Sarjana Muda Usuluddin (kepujian) di Universiti Malaya,Kuala Lumpur dan Diploma Pendidikan lslam (cemerlang) daripada Maktab Perguruan lslam,Bangi, Malaysia. Beliau memperoleh Sarjana Pendidikan (M.Ed.) dalam bidang kaunseling lslam di Universiti Kebangsaan Malaysia,Bangi, Malaysia.
Ustazah Dr. Hajah Mahnessa A.Kadir memperoleh ijazah PhD daripada Fakulti Pengajian lslam UKM,Bangi,Malaysia. Beliau berpengalaman menjalani kerja lapangan dakwah di perkampungan Orang Asli dalam daerah Gua Musang, Kelantan. Beliau memperoleh ijazah Sarjana Agama ( S.A) dalam bidang Usuluddin & Falsafah lslam daripada Universiti Negeri Imam Bonjol, Padang, lndonesia dan Sarjana Pendidikan (M.Ed.) dalam kaunseling lslam di Fakulti Pendidikan UKM. Sebelum itu, beliau juga memperoleh Diploma Pendidikan KPLI ( kepujian) daripada Maktab Perguruan lslam,Bangi. Beliau bertugas sebagai pensyarah dan mantan ketua unit di Politeknik Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.
Nota: Kertas kerja ini telah dibentangkan di Politeknik Kota Kinabalu, Sabah Malaysia pada November 2015.
Dr. Haji Rajiee Abdul Hadi yang juga terkenal dengan nama pena 'Rajiee Hadi' dalam bidang penulisan khususnya penulisan kreatif: puisi & cerpen ialah mantan Pensyarah Kanan Universiti Kolej Perguruan Ugama Seri Begawan, Bandar Seri Begawan,Negara Brunei Darussalam.Beliau pernah menjawat Ketua Unit Profesional Pembangunan Keguruan di Jabatan Penyelidikan, Maktab Perguruan lslam (kini IPGM), Bangi, Malaysia dan Ahli Panel Penggubal Soalan M-Test Bahagian Pendidikan Guru, Kementerian Pelajaran Malaysia.Beliau juga pernah menjawat sebagai pensyarah sambilan di UNITEN dan UPM Malaysia.Bidang kepakaran beliau dalam pendidikan ialah metodologi pengajaran,komunikasi bahasa dan psikologi bahasa & sastera Beliau juga adalah mantan Ketua Pengarah DRH Consultans & Research Institute di firma perundingan pendidikan & keluarga & kini Penasihat kepada Awan Prima Group.
Ustazah Norumaza Hashim berkhidmat lebih 10 tahun sebagai guru siswazah di sekolah rendah Kementerian Pelajaran Malaysia.Sebelum itu beliau berkhidmat selama 5 tahun sebagai pensyarah di sebuah kolej swasta di Kelantan Darul Naim, Malaysia.Beliau memperoleh ijazah Sarjana Muda Usuluddin (kepujian) di Universiti Malaya,Kuala Lumpur dan Diploma Pendidikan lslam (cemerlang) daripada Maktab Perguruan lslam,Bangi, Malaysia. Beliau memperoleh Sarjana Pendidikan (M.Ed.) dalam bidang kaunseling lslam di Universiti Kebangsaan Malaysia,Bangi, Malaysia.
Ustazah Dr. Hajah Mahnessa A.Kadir memperoleh ijazah PhD daripada Fakulti Pengajian lslam UKM,Bangi,Malaysia. Beliau berpengalaman menjalani kerja lapangan dakwah di perkampungan Orang Asli dalam daerah Gua Musang, Kelantan. Beliau memperoleh ijazah Sarjana Agama ( S.A) dalam bidang Usuluddin & Falsafah lslam daripada Universiti Negeri Imam Bonjol, Padang, lndonesia dan Sarjana Pendidikan (M.Ed.) dalam kaunseling lslam di Fakulti Pendidikan UKM. Sebelum itu, beliau juga memperoleh Diploma Pendidikan KPLI ( kepujian) daripada Maktab Perguruan lslam,Bangi. Beliau bertugas sebagai pensyarah dan mantan ketua unit di Politeknik Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.
Nota: Kertas kerja ini telah dibentangkan di Politeknik Kota Kinabalu, Sabah Malaysia pada November 2015.
mohon nota yang lengkap ini sy buat rujukan
BalasPadam