HAJI DR. RAJIEE HADI

HAJI DR. RAJIEE HADI
SERIBU WARNA SERIBU MAKNA

10 Oktober 2017

KASSIM AHMAD KEMBALI KE RAHMATULLAH



Sarjana kontroversi Kassim Ahmad meninggal dunia, selepas dilaporkan koma semalam akibat masalah jangkitan kuman dan jantung tersumbat.
Sarjana kontroversi Kassim Ahmad meninggal dunia di hospital di Kulim Bandar Baru pada usia 84 tahun.

Peguam syariah yang mewakilinya dalam kes semakan kehakiman, Rosli Dahlan berkata beliau dimaklumkan perkara itu oleh anak lelaki Kassim, Ahmad Syauqi.
Rosli berkata kesihatan Kassim merosot selepas terheret untuk kes di Mahkamah Syariah dan mahkamah sivil.

Kassim terkenal sebagai sarjana dan ahli politik kiri yang terpalit dengan dakwaan antihadis – dakwaan yang dinafikan sehingga ke hujung hayatnya.

Di bidang sastera, beliau antara sosok penting yang terlibat dengan politik sastera Islam sekitar 80-an dengan Sasterawan Negara Datuk Shahnon Ahmad, selain terkenal dengan puisi-puisi yang malar segar.

Di bidang akademik, beliau menjadi sarjana tampil dengan pandangan mengejutkan bahawa Hang Jebat seorang wira sebenar Melayu berbanding Hang Tuah.
Jenazah Kassim selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kulim, Kedah. (Sumber : disesuaikan daripada: MK 10/10/2017)



BELANGSUNGKAWA


SOSOK tubuh yang berjalan di deretan kedai Jalan Bangsar berhampiran NST pada  pertengahan tahun 1976, bersama- sama beberapa sahabatnya yang aku tidak berapa pasti, namun yang kukenali antaranya Syed Husin Ali, Kampo Rajo -- sedang rancak bersembang setelah mereka berhenti minum di Restoran  Muhibah di Jalan Bangsar -- Jalan Riong hala masuk NST. 

Dia sosok yang kukagumi kerana puisi "DIALOG (Jebat)" yang mengguris hatiku ketika zaman era"Mahasiswa Menggugat" 1970-an di tanah Lembah Pantai, Kuala Lumpur. Kassim Ahmad bukan setakat seorang sarjana Kesusasteraan Melayu yang tersohor di tanah  air bahkan namanya telah terukir di SOAS di University of London.

Beliau  penyair politikus yang telah meninggalkan kesenangan  demi perjuangan politik. Tanpa segan-silu aku menghampiri  dan berkenalan dengannya sambil mengucapkan  selamat berjuang.Di akhir usianya beliau penulis bebas, pemikir dan ahli falsafah kontroversi tetapi bervisi yang tiada gantinya di Malaysia.

Kepada Allah dia datang kepada-Nya dia kembali. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan diampuni Allah segala dosa-dosanya dan dimasukkan ke dalam ahli syurga. Al- Fatihah. (oleh :Dr.Rajiee Hadi )


Tiada ulasan:

Catat Ulasan