oleh Dr. Haji Rajiee Hadi
Pada Mesyuarat Agung Persatuan lbu Bapa Guru (PIBG) Sekolah Menengah Bukit
Gambir (SMBG) 1979, saya telah dilantik menjadi Penolong Setiausaha PIBG.
Pengetua (ketika itu disebut ‘Guru Besar’)
SMBG ialah Encik Abas bin Draman.Orangnya lemah lembut,perlahan tutur
katanya,,kelihatan pendiam tetapi bersikap ramah apabila didekati.Beliau secara
automatik adalah penasihat PIBG. Cikgu Abu Bakar Affandi yang ketika itu aktif
dalam politik kepartian setempat dilantik menjadi setiausaha. Saya masih ingat,
dengan tekun saya mencatat minit mesyuarat dan apa jua bahan perbahasan
daripada perwakilan ibu bapa. Sebagai lepasan MPB, saya dianggap mahir dalam
penulisan. Apatah lagi, Encik Abas Draman juga adalah lepasan MPB .
Sebagai guru baru dan dianggap muda saya menerima tanggung jawab dengan
penuh minat dan positif. Dalam hati saya berkata; inilah masanya saya mahu
belajar secara praktik dan proaktif sebanyak mungkin di lapangan. Saya juga
bersedia menjadi penolong setiausaha sukan merangkap ketua rumah sukan. Saya menjadi
ketua rumah sukan sesi petang bagi rumah Tun Perak.Manakala setiausaha badan
sukan sekolah dipimpin oleh Cikgu Sheikh lsmail bin Sheikh Sailan dan Cikgu
Mohamad bin Osman. Saya berbangga kerana melalui pasukan rumah sukan saya
inilah telah melahirkan atlit sekolah seperti Tan Ju San (lontar peluru dan
merejam lembing), Muhardi, Sukumaran,Aishah,Maria Talib, Suhaila dan Suhaili
dalam acara balapan.Kini saya difahamkan ada di antara mereka ,menjadi guru
pendidikan jasmani dan doktor perubatan sekarang.
Pada tahun 2002, selepas 23 tahun kemudian; anak ketiga saya Muhammad Haziq
memasuki tingkatan satu Sekolah Menengah Agama (disebut juga Sekolah Agama
Menengah di bawah kendalian Jabatan Agama lslam Selangor/JAIS ketika itu
(sekarang diambil alih KPM) Sungai Merab Luar,Sepang, Selangor Darul Ehsan
iaitu sebuah sekolah asrama harian.Dalam suatu mesyuarat agung PIBG sekolah
tersebut pada tahun 2002 itu, saya telah dilantik menjadi Timbalan Yang
DiPertua PIBG sekolah tersebut. Yang DiPertua atau Pengerusi PIBG pada masa itu
disandang oleh Prof Madya Dr Mudaser.Pengetuanya ialah Encik Latif Sadli
manakala Penolong Kanannya ialah Ustaz Sufian.
Dan satu tahun kemudiannya, saya dilantik pula menjadi Pengerusi/Yang
DiPertua PIBG bagi sesi tahun 2003-2004.Sebagai Pengerusi PIBG dan sekali gus
saya terbabit secara langsung dalam bidang pendidikan sama ada sebagai guru
sekolah dan pensyarah maktab perguruan di KPM , sebagai pemimpin kesatuan guru,
sebagai penulis yang sering menyuarakan rintihan masyarakat dan sebagai bapa
jua,ini menyebabkan ada beberapa perkara yang mana saya berada dalam dilema dan
konflik diri.
Semasa Muhammad Haziq di tingkatan 3, beliau adalah di antara pelajar yang
telah dikenakan tindakan disiplin digantung hari persekolahan kerana dikatakan
memanjat pagar sekolah keluar dari asrama putera tanpa izin guru atau warden ke
pasar raya Warta atau Bangi Utama di Bandar Baru Bangi, Selangor . Sebagai
Pengerusi PIBG dan sebagai guru yang pernah berkhidmat di SBP tentulah saya
lebih gembira jika terlebih dahulu pihak sekolah mengadakan siasatan dalaman
dahulu.lni kerana saya mendapat maklumat bahawa semasa pelajar-pelajar ini
melanggar disiplin didapati warden tidak ada bertugas ketika itu.
Walaupun ini tidak dapat dipastikan, saya yakin jikalau warden sentiasa
memantau dan menjalankan tugas dengan cekap, isu pelanggararan ini boleh
dielakkan.lni bersandarkan pengalaman saya semasa bertugas di sebuah sekolah
berasrama penuh(SBP) dahulu.Bahkan di SBP sendiri masih terdapat para
pelajarnya yang mengingkari disiplin yang dikenakan ke atas mereka.
Ekoran daripada isu ini, saya telah berjumpa Cikgu Mahadi (Allahyarham)
kaunselor lepasan UPM dan berbincang mengenai hukuman yang dikenakan ke atas
anak saya. Sudah tentulah saya menyatakan kebimbangan kerana peperiksaan
Penilaian Menengah Rendah (PMR) hanya tinggal beberapa bulan lagi.Hasil
perbincangan yang murni dan saling memahami, Muhammad Haziq dibenarkan kembali
ke sekolah segera setelah bercuti di rumah selama empat hari.
Sebagai bapa, saya
menasihatkan Muhammad Haziq agar menjadi pelajar yang komited, menghormati guru
dan hendaklah sentiasa mematuhi peraturan tinggal di asrama.Anak lelaki seperti
Muhammad Haziq yang seterusnya meningkat ke kelas SMA dan SPM tidak sunyi
daripada masalah disiplin. Apabila berada di tingkatan enam barulah Muhammad
Haziq sudah boleh menilai baik buruk demi masa hadapannya.Di sinilah saya
merasakan peranan PIBG sebagai jambatan penghubung yang merapatkan jurang dan
kesilapan komunikasi di antara pihak ibu bapa dan guru. Dan menerusi puisi ‘Di
Anjung Kehidupan’ (buat Haziq hari lahirmu 7 Ogos ):
Semalam,
haziq pada degup keempat belas
masih
berkaca dan punya besar impian
jauh pun perjalanan kerikil membentang
dia pasrah yakin masa depan
Dia putera kita yang peramah
mula mengenal kebebasan makna
tetapi tuan gurunya menasihatkan:
“lihatlah ikan-ikan di akuarium
bisa makan dan berenang sewenangnya
tidak harus bolos menyerang
akan pecahlah arca bertebaran
hilang pangkalan pedoman haluan
Semalam, haziq pada nafas keremajaan
setelah getar usia di hamparan
Ya taiban!Ya taiban! Ya taiban!
cabaran pasti datang di anjung kehidupan
Serdang ,
8/4/2003
Sayugia kita sedia ketahui bahawa setiap pihak khususnya Kementerian
Pendidikan Malaysia (KPM) mahukan hubungan Persatuan lbu Bapa Guru (PIBG)
dengan pengurusan sekolah perlu ada pada tahap terbaik dan berkesan.Bahkan
semua pihak mendambakan hubungan yang harmonis dan saling memahami antara satu
sama lain. Apatah lagi hasrat murni ini selaras dan sesuai dengan penubuhan
PIBG yang bertujuan menjadi jambatan penghubung di antara rumah dan sekolah
serta ibu bapa dan guru.Tambahan pula, semua pihak berharap PIBG
dapat memenuhi hasrat mulia itu sesuai dengan perkembangan pesat yang
dialami negara.
Justeru, kita sedia maklum bahawa fungsi utama penubuhan PIBG di
sekolah-sekolah ialah menjaga dan melindungi kebajikan pelajar-pelajar dan
guru-guru. PIBG juga berperanan memberi sumbangan untuk perkembangan sekolah
menerusi kegiatan-kegiatan akademik, kebajikan dan sosial seperti mana dalam
garis panduan surat pekeliling ikhtisas KPM bilangan 5/2001.
Sehubungan dengan ini, PIBG adalah gerakan komuniti yang sangat
penting dalam sistem pendidikan negara lantaran ia bukan sahaja dianggotai oleh
semua lapisan masyarakat, kaum atau keturunan tetapi mencakupi juga pelbagai
bidang pekerjaan dan latar profesion. Pelbagai latar dan situasi inilah yang
memberi kekuatan kepada PIBG untuk mengorak langkah dan bergerak maju mendukung
cita-cita pendidikan bangsa dan negara.
Oleh itu, dalam erti kata lain saya suka juga mengingatkan bahawa
PIBG bukan sahaja sekadar mengadakan mesyuarat agung malah boleh
bergerak aktif melalui forum, wacana ilmu, dialog, seminar dan
perundingan yang boleh mengambil langkah perlu bagi membendung salah laku dan
pelanggaran disiplin pelajar-pelajar sekolah. Kendatipun telah bertahun-tahun
PIBG memainkan peranan sebagai institusi penghubung antara rumah dan sekolah
namun belum banyak kajian yang menyentuh keberkesanan fungsinya.
Namun demikian dalam usaha merealisasikan usaha muafakat pendidikan, PIBG
yang dilihat sebagai satu-satu institusi yang boleh berperanan secara berkesan
maka penubuhan Majlis Permuafakatan PIBG Nasional (PIBGN) beberapa tahun yang
lalu adalah suatu usaha murni dan positif. Soalnya, sejauh manakah keberkesanan
badan induk ini dalam memenuhi amanah dan tanggungjawab serta boleh dijadikan
rujukan oleh PIBG lain boleh diperbincangkan secara sihat.
Setiap awal tahun persekolahan banyak laporan di akhbar, ramai ibu
bapa yang merungut kerana PIBG dilihat lebih cenderung dalam aktiviti pungutan
derma yang kini ada sesetengah PIBG yang menggunakan istilah ‘yuran
PIBG’ dan turut disenaraikan dalam kertas senarai tahunan pelbagai
yuran dan buku-buku rujukan sekolah. Sebenarnya sebahagian besar ibu bapa
tidak berkira sangat dalam soal menderma kepada tabung PIBG.
Namun apa yang menggusarkan kedapatan sesetengah PIBG yang mengenakan
derma/yuran tahunan PIBG yang kononnya diputuskan tetap atau wajib dalam
mesyuarat agung yang melebihi RM100.00 bagi setiap pelajar. Adakah sudah
tiba masanya KPM atau PIBGN menetapkan kadar derma tahunan maksimum PIBG agar
tidak timbul elemen penyalahgunaan kuasa?
Sebenarnya pungutan derma daripada ibu bapa, orang kenamaan, syarikat dan
firma untuk memperoleh sumber kewangan PIBG untuk membantu pembiayaan projek
sekolah bukanlah suatu paksaan. Ada PIBG yang beriltizam tinggi menganjurkan
motivasi untuk pelajar-pelajar sekolah dengan tujuan mengwujudkan kesedaran dan
keyakinan kendiri ke arah kecemerlangan akademik,sahsiah dan kokurikulum.
Di samping itu ada PIBG yang bermurah hati memberi sumbangan dalam bentuk
peralatan seperti projektor, komputer, mesin fotostat, peralatan kokurikulum,
prasarana sekolah, hadiah-hadiah dan sebagainya kepada pihak sekolah. Soalnya
adakah sumbangan seperti ini boleh mengabaikan pihak lain yang sepatutnya lebih
dipertanggungjawabkan? Adakah adil PIBG memberi sumbangan seperti ini dengan
menggalas beban ke pundak ibu bapa?
Sememangnya tidak dinafikan ada PIBG yang amat ghairah memfokuskan
tanggungjawab lebih ke arah kegiatan sosial berbanding kegiatan kebajikan dan
akademik.Tidak salah jika PIBG lebih mengutamakan menganjurkan kelas pemulihan
dan kelas-kelas tambahan percuma bagi pelajar-pelajar yang lemah dalam
mata pelajaran tertentu seperti Bahasa Melayu, Matematik dan Bahasa lnggeris.
PIBG juga boleh membantu pelajar-pelajar terutamanya yang
kurang cerdas supaya berupaya mengukuhkan kemahiran dan pengetahuan yang
diperolehi di bilik darjah demi meningkatkan prestasi dan pencapaian mereka
dalam peperiksaan kelak. Selain daripada itu PIBG juga boleh membantu
pelajar-pelajar miskin dan memberi sumbangan buku-buku di perpustakaan dari
semasa ke semasa. Bukankah buku-buku dan segala sumber ilmu itu merupakan harta
tidak ternilai untuk jangka masa panjang?
Kini sudah tiba masanya PIBG wajar berusaha merapatkan hubungan ibu bapa
dan masyarakat sekolah dalam melicinkan usaha mencapai matlamat
pendidikan. Sekiranya ibu bapa dan pihak sekolah mahu mendidik para
pelajar bersikap berjimat cermat dan tidak membazir seperti sering bertukar
ganti saban tahun berbagai-bagai pakaian rasmi selain uniform sekolah seperti
pakaian seragam kokurikulum, pakaian sukan, tanda nama dan sebagainya maka
adalah wajar dirancangkan dengan teliti agar sikap negatif ini boleh diatasi
dengan meletakkan kesungguhan dan kesepakatan bersama antara dua pihak.
Dan dengan lebih berkesan PIBG perlu menjurus usaha menyedarkan masyarakat
umum khususnya ibu bapa atau penjaga mengenai peranan mereka terhadap
pendidikan dan disiplin pelajar. Tegasnya, PIBG wajar bertindak sebagai pemberi
dorongan dan ransangan agar ibu bapa atau penjaga berminat dalam menghadapi
pelajaran anak-anak. Janganlah dipersalahkan ibu bapa jika ada ibu bapa yang
masih berdegil tidak mahu menghadiri mesyuarat agung tahunan kerana mereka juga
ada alasan tersendiri.
Sayugia dimaklumi, dengan menganjurkan aktiviti tanpa kutipan bayaran
tambahan maka diharapkan hubungan PIBG dan sekolah yang sedia terjalin akan
bertambah erat. Aktiviti menganjurkan bengkel keibubapaan, forum/dialog isu-isu
pendidikan semasa dan kegiatan bersama pelajar seperti bengkel teknik belajar,
motivasi, khemah ibadah, bina semangat dan sebagainya wajar kerap
diadakan secara berkala.
0leh yang demikian dengan usaha sebegini dapatlah diyakini
bahawa matlamat merealisasikan dan mengoperasikan sekolah penyayang dan
perkhidmatan penyayang ke arah mengwujudkan budaya ilmu akan melibatkan semua
individu dan agensi agar peka dan responsif. Dan yang menarik, diharapkan semua
ahli PIBG dan warga pendidik di sekolah akan menyedari bahawa pembentukan
generasi cemerlang yang boleh mengisi hasrat dan cita-cita wawasan pendidikan
negara adalah menjadi tanggungjawab semua pihak.
Sebab itu, saya sebagai guru, Yang DiPertua (YDP) PIBG, pemimpin kesatuan
guru,bapa dan penulis bebas begitu sering menghadapi dilema dan serba salah
apabila PIBG sekarang asyik memikirkan jalan mudah dengan menaikkan yuran
tahunan dengan alasan selaras dengan kehendak semasa.Dan dalam masa yang sama,
saya sebagai bapa tidak tergamak membebankan ibu bapa khususnya mereka yang
berpendapatan rendah dan mempunyai beban
tanggung jawab yang besar. Jelasnya YDP PIBG bukan jawatan yang sesuai untuk
saya yang prihatin terhadap golongan miskin.
Seperkara lagi yang suka saya sentuh ialah isu salah laku pelajar yang
sering dimomokkan oleh masyarakat dan media massa yang sering menuding kepada
golongan guru dan ibu bapa. Baik guru mahupun ibu bapa, usahlah kalut dengan
tohmahan orang ramai yang berbagai-bagai. Jadikan ikhtibar dan refleksi agar
kita sama-sama dapat memperbaikinya dari semasa ke semasa. Di mana-mana negara
maju pun masalah disiplin pelajar adalah lumrah dan fitrah yang terpaksa
ditangani oleh pihak yang berkenaan.
Kita sedia maklum pelajar dalam alam remaja sentiasa terdedah dengan
pelbagai ancaman dan desakan yang mengganggu ketenteraman emosi dan interaksi
sosial, kecelaruan idea dan pegangan hidup. Fenomena ini mengwujudkan
masalah dalam jiwa remaja. Apabila berlakunya
kehilangan atau kematian orang yang disayangi, mengidap penyakit serius,
ibu bapa bertukar pekerjaan, peperiksaan, konflik antara ibu bapa, kurang kasih
sayang keluarga dan tiada sokongan keluarga dan sosial maka berlakulah gejala
masalah disiplin yang bertali-temali.
Pada tahun 1993 Bahagian Sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)
dalam laporannya telah menyenaraikan tiga faktor diri pelajar yang menyebabkan
wujudnya kes pelanggaran disiplin. Faktor-faktor tersebut termasuk sikap
negatif terhadap pelajaran seperti tidak berminat dan mudah jemu; tiada dorongan
motivasi akibat kurang kemahiran asas belajar dan lebih mementingkan hiburan
serta gangguan kesihatan diri. 0leh itu adakah terfikir oleh guru dan ibu bapa
mahu mengatasi permasalahan ini?
Saya dan rakan-rakan sejawat yang pernah menghadapi masalah disiplin pelajar
sedia mengetahui bahawa pelajar yang
bermasalah ini ialah pelajar yang tiada kawalan diri, kurang mengerjakan kerja
sekolah dan latihan di rumah, kurang patuh kepada arahan guru, kurang
berminat untuk belajar, kurang hormat guru, suka mengganggu pelajar lain dan
suka membuat bising.
Dan kami juga menyedari bahawa golongan remaja juga boleh menghadapi
masalah kesihatan mental dan lazimnya bertingkah laku agresif termasuk
kedegilan, keresahan, tingkah laku bermasalah, penyalahgunaan bahan-bahan terlarang,
kemurungan, penderaan dan tingkah laku seksual dan kehamilan remaja luar
nikah.
Sebagai guru, eloklah kami memberitahu bahawa pelajar yang melanggar disiplin sebenarnya
tidak memahami peranan dan tugas mereka sebagai pelajar. Mereka tidak menyedari
bahawa tindakan sedemikian mendatangkan kemudaratan. Pelajar terbawa-bawa
dengan perasaan dan hilang kawalan diri dan mudah terpengaruh dengan
anasir luar.Selain itu pelajar terdedah kepada kehidupan yang bersifat hedonistik atau bersifat mementingkan
keseronokan, salah memilih rakan sebaya dan pelajar mengalami masalah
penyesuaian atau masalah peribadi.
Namun demikian sebagai guru dan ibu bapa khususnya dalam PIBG apa yang membimbangkan ialah kesalahan disiplin tegar
termasuk penyalahgunaan dadah yang dianggap serius oleh KPM. Kes ini
pernah menular dari peringkat sekolah
rendah lagi. Laporan KPM pada tahun 2009 dikatakan masalah kes dadah ada elemen
peningkatan di sekolah rendah iaitu daripada 0.78 peratus kepada
0.79 peratus.
Walaupun KPM dan PIBG Nasional
(PIBGN) sering menegaskan pada keseluruhannya isu yang melibatkan disiplin berada
dalam situasi terkawal walaupun membabitkan
kes berat seperti pukul buli, gaduh dan ponteng tegar namun
statistik tahun 2009 KPM menunjukkan
aduan disiplin murid-murid diterima bagi tempoh Januari hingga Ogos 2009
ialah 65 kes berbanding 2008 sebanyak
96 kes. KPM menegaskan kes ini terkawal andainya dibandingkan jumlah muri-murid
pada tahun 2009 (Utusan Malaysia, 1 Oktober 2009) seramai 3.2 juta murid sekolah rendah dan 2.2 juta
pelajar sekolah menengah di seluruh negara.
Bersandarkan perangkaan ringkas yang saya paparkan di atas, kesan
inilah yang perlu ditangani oleh ketua guru disiplin, kaunselor
terlatih dan semua guru di sekolah. Pengetua atau Guru Besar selaku
pemimpin sekolah sewajarnya memantau dari semasa ke semasa prosedur
pelaksanaan sesi kaunseling dan program di sekolah agar berjalan secara
profesional. Apatah lagi kini wujud kaunselor atau pegawai psikologi sepenuh
masa di sekolah.Yang penting, sesi kaunseling di sekolah tidak mengganggu waktu
pengajaran-pembelajaran formal di bilik darjah.
Kendatipun pelajar lelaki lebih cenderung merokok, menghisap ganja,
menghidu gam, menghidu petrol, minum minuman keras, menonton atau menyimpan
bahan lucah dan berjudi namun pelajar perempuan pula lebih cenderung
terlibat dengan rokok, bahan lucah dan bercinta.
Oleh itu sebagai guru saya nenegaskan bahawa peranan guru kaunseling dan
guru disiplin mengenal pasti masalah awal salah laku yang sering dilakukan
pelajar amat dialu-alukan; mencegah lebih baik daripada mengubati. Mereka
berperanan membantu pelajar mengurangkan dan seterusnya meninggalkan
salah laku tersebut. Sokongan dan dokongan ibu bapa dan setiap ahli komuniti di
luar sekolah banyak membantu mencegah salah laku pelajar agar tidak berterusan
menjadi barah dalam masyarakat.
Justeru saya tidak menafikan banyak
kajian mendapati punca pelajar terlibat dalam salah laku kerana
mereka tidak dapat memahami pengajaran guru bagi sesetengah mata
pelajaran yang diajar. Kesulitan yang dialami ini menyebabkan
mereka tidak berminat menumpukan perhatian dan berkecenderungan ponteng
kelas atau sekolah.
Ekoran daripada itu pelajar salah laku ini, tidak berminat dengan satu-satu
mata pelajaran dan tidak menyukai guru yang mengajar mata pelajaran tersebut.
Berdasarkan beberapa kajian yang penulis temui mendapati bahawa jikalau
pengajaran-pembelajaran berlaku dengan berkesan maka masalah disiplin tidak
akan timbul. Ini disebabkan
faktor minat kepada subjek pelajaran dan personaliti si pengajar/guru.
Selain itu saya dapati ada kajian
juga menunjukkan salah satu punca pelajar tidak minat belajar ialah kerana mereka tidak berminat
dengan beberapa mata pelajaran yang diajar, tidak membuat tugasan sekolah dan
tidak mengulang kaji pelajaran. Dengan itu mereka tidak memberikan
tumpuan sepenuhnya kepada pengajaran guru; sebaliknya mereka sering
mengganggu pembelajaran- pengajaran dalam kelas.
Sebagaimana sedia maklum terdapat banyak masalah yang timbul dalam
kehidupan seharian pelajar. Di peringkat awal, pelajar mula menghadapi
konflik dengan keluarga dan rakan sebaya terutama yang melibatkan aspek
halangan komunikasi, kebejatan sosial dan silang budaya. Mereka tidak
dapat meluahkan perasaan mereka kerana tidak ada siapa yang boleh dipercayai .
Senario ini menyebabkan wujudnya tekanan perasaan dan konflik dalam diri.
Situasi demikian disebabkan pelajar tersebut memerlukan orang tengah yang berperanan mendidik; berbeza dari
guru kelas atau guru subjek.
Saya merasakan mereka
memerlukan rakan ‘dewasa’ yang mempunyai hubungan dan struktur
kognitif berbeza daripada seorang guru dan boleh meluahkan perasaan serta
rahsia hati tanpa curiga dan berasa gentar. Daripada kajian-kajian yang telah dijalankan
jelas menunjukkan betapa pentingnya peranan yang dimainkan oleh perkhidmatan
bimbingan dan kaunseling di sekolah serta maklumat berhubung dengan salah laku
pelajar dan sikap atau persepsi pelajar-pelajar terhadap
perkhidmatan tersebut.
Kesimpulannya saya berkeyakinan bahawa untuk melahirkan pelajar yang bermoral bukanlah mudah.
Pembentukan pelajar dipenuhi beberapa faktor yang bertali- temali.
Jika gagal salah satu faktor ini maka kecewalah sistem pendidikan kebangsaan.
0leh itu kaedah pengajaran dalam bilik darjah yang membentuk lima
faktor yang saling kait mengait iaitu: rakan sebaya, pengaruh kurikulum dalam
sistem pendidikan, kaedah pengajaran yang diterima daripada guru, pengaruh
keluarga dan pengaruh persekitaran khususnya media massa, sewajarnya
dipraktiskan oleh guru dengan berhemah lagi bijaksana.
Pendekatan kasih sayang yang luhur murni tanpa pilih kasih dan tidak
prejudis banyak membantu guru menjayakan proses pengajaran-pembelajaran.
Tegasnya, bahaya besar akan menimpa masyarakat jika dibiarkan permasalahan
salah laku pelajar berterusan. Dan sudah sewajarnya kerajaan menekankan
betapa perlunya pendidikan agama dan moral serta aspek kebahasaan dan
komunikasi di sekolah-sekolah diberikan keutamaan dan penilaian kembali. lni selaras
dengan hasrat kerajaan menerapkan nilai-nilai Islam, dan semangat
patriotisme satu Malaysia dalam pentadbiran negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan