oleh : Dr Hj. Rajiee Hadi
KETIKA saya menerima tawaran dan mula mengikuti kursus asas
perguruan di maktab perguruan tersohor iaitu
Maktab Perguruan Bahasa /MPB (Language
lnstitute) di Lembah Pantai,Kuala Lumpur pada tahun 1976, perasaan,emosi dan
minda saya berbau syukur, bangga yang patriotik dan terharu yang boleh menyebabkan
titis-titis jernih membasahi pipi.Bapa saudara saya Abdul Hamid Puteh yang saya
panggil ‘Ucu’ (adik bongsu emak saya) yang bekerja sebagai anggota polis telah
menanti saya di Hentian Pudu Raya,Kuala Lumpur.
Walapun saya pernah datang bergelandangan di Kuala Lumpur
pada tahun 1975 dan bekerja sebagai pembantu gerai beberapa bulan sahaja di
Hentian Kota Raya atau dipanggil ‘Hentian Toshiba’ iaitu terminal bas ke Klang
yang berhampiran ‘Central Market’ tetapi sebagai anak remaja bahaya boleh
datang pada bila-bila masa. lbu bapa (panggilan emak dan abah) berpesan agar
Ucu menunggu dan membawa saya ke Jalan Pantai Baharu atau lebih dikenali dengan
nama Lembah Pantai.
Perjalanan saya dengan bas bersambung dari Muar ke Melaka (Mos Omnibus Sdn.Bhd), Melaka ke Tampin,
Tampin ke Seremban (Southern Bus Company)
dan Seremban ke Kuala Lumpur (Foh Hup Sdn.Bhd)
memakan masa lima jam.Perjalanan amat penat dan meletihkan.Mujur Ucu telah
sedia menunggu dan kami terus menaiki bas Seri Jaya untuk ke Jalan Pantai
Baharu. Kebetulan bas penuh dikerumumi oleh mahasiswa Universiti Malaya (UM)
dan Universiti Kebangsaan Malaysia(UKM kampus lama).
Saya terasa teruja dan sedikit cemburu melihatkan telatah
berberapa gaya dan penampilan mahasiswanya yang menjadi idaman saya semasa
zaman persekolahan di tingkatan enam dahulu.Lagu ‘Kasih Sayang’ nyanyian
A.Riyanto daripada filem ‘Akhir Sebuah Impian’ ketika itu begitu memberi
motivasi di kalangan kami. Jauh di hati kecil saya tentu di kampus UM telah
‘ditakluki’ rakan-rakan sepersekolahan seperti Syed Jaafar, Abdul Rahman
Abdol,Tumaisuri Sukaimi, Borhan Amin, Hashim Mos dan Ariffin Jais. Di UKM tentu
saya boleh bertemu Abu Hassan Harun, Masjidin dan Sit Zaleha .
Dan kemasukan saya ke MPB atau Language lnstitute (L.I) tentulah sesuatu yang membanggakan kerana
maktab perguruan ini dianggap berprestij dan tersohor namanya.Nama-nama tenaga
pengajarnya yang telah mencipta nama di situ seperti Lokman Musa, Awang Had
Salleh, Adibah Amin dan Mustaffa Kamal Yassin (Kala Dewata, bapa aktor Azmil
Mustaffa) sudah amat dikenali umum.Sudah tertanam di sanubari saya bahawa
kemasukan saya ke MPB ini adalah sebagai laluan untuk saya jadikan batu
loncatan untuk saya melanjutkan pelajaran ke menara gading pada suatu hari
nanti.
Sebagai bekas pelajar tingkatan enam yang menempuh dan meraih
Sijil Tinggi Persekolahan (STP/HSC) sudah tentu saya merasakan ada sedikit kelebihan
daripada para pelajar lepasan SPM/MCE.Selepas menjamu selera di kantin MPB
bersama Ucu pada petang itu lalu Ucu
menghantarkan saya ke pusat pendaftaran pelajar baru di lantai bawah Asrama
Bukit Pantai. Kemudian kami pun berpisah danUcu pulang ke Depoh Briget Pasukan
Polis Hutan (PPH) Jalan Pekeliling, Kuala Lumpur.
Namun sangkaan saya meleset. Di MPB saya bertemu rakan-rakan
guru pelatih yang lebih senior usianya. Ada yang pernah menjadi guru sandaran tidak
terlatih, ada yang sebelum itu pernah bekerja di sektor awam mahupun swasta. Dan
ada yang menganggur bertahun-tahun sebelum berjaya ke MPB.Dan di sinilah kami
bertemu, bergaul berganding bahu dan menimba ‘cerita kota ’ suka duka selama dua
tahun. Dan di sinilah nama ‘Rojins’ disebut setiap rakan MPB sebagai panggilan
nama manja..
Dan dengan elaun guru pelatih di luar kampus RM150 setiap bulan
atau RM40 berbaki setiap bulan jika tinggal dalam kampus maka boleh menyebabkan
bertambah lagi air mata saya jatuh berguguran ketika baru menginjak usia yang
ke-19 tahun.Bagi kami, ibu bapa pada zaman itu hanya membekalkan semangat dan doa
restu; bukan wang ringgit atau apa jua yang boleh melegakan. Jika ada guru
pelatih yang berwang kemungkinan mereka sebelum itu telah mempunyai pekerjaan
lain.
Kejayaan memasuki kursus pendidikan asas perguruan semata-mata
demi menjamin kerjaya masa hadapan di samping minat yang mendalam dalam bidang pendidikan
dan keguruan. Dalam bab ini dan seterusnya bukanlah saya mahu mengisahkan rentetan
perjalanan kehidupan saya semasa di MPB tetapi mahu menghubung kaitkan bagaimana
Maktab Perguruan lslam (MPI) itu telah menyentuh kehidupan saya seawal tahun
1977 lagi. Ketika itu saya berada pada tahun kedua di MPB.
Saya masih ingat MPI ‘menumpang’ premis MPB ketika saya
seronok menjalani aktiviti kokurikulum di sebelah petang. Saya aktif dalam pasukan
pengakap MPB.Saya juga bergiat dalam aktiviti kesenian di samping turut masuk kelab
karate MPB dan persatuan-persatuan lain.Kisah ini akan saya paparkan khusus dalam
bab lain.
Setiap petang rabu saya akan siap beruniform pengakap bersama
rakan-rakan sekuliah; Sahak Wahid, Museri Talib, Chew Hock Liong, Azizi Zakaria,
Arshad, Arumugasamy dan lain-lain. Kami dari kelas kuliah kumpulan PMIA 2
(Pengajian Melayu & llmuAlam). Manakala pasukan pandu puteri atau pengakap wanita
dari kelas kami ialah Teh Khadijah, Rusni, Asmah, Rukiah,Che Puteh dan Rohayah.
Kumpulan pengakap dari kelas kuliah PMS (Pengajian Melayu & Sejarah)
seingat saya Hassan Topit, Khairuddin anak Kuala Pilah (Allahyarham) Abdul
Kadir Abdullah (Yang DiPertua Persatuan Guru Pelatih MPB 1977)Jailani Ahmad
(anak Serom Lima) Masjidin, Sobri,Rashid Dogol dan Kamaruzaman Abdullah.
Dari kelas PIIA (Pengajian lnggeris & llmu Alam) antaranya
Roslan, Shanmugam, Rashid, Ranjit Singh dan Reduan. Dan dari kelas PPAK
(Pengajian Pendidikan Awal Kanak-Kanak) tidak ketinggalan Chan, Khairuddin Wahab,
Khatijah dan Hajah Kamisah Puasa. Apabila tiba jam 3.30 petang kami berkumpul
di Dataran MPB di hadapan bangunan ala Minangkabau lalu berbaris dan berkawad dengan
penuh semangat yang berkobar-kobar.
Kebetulan saya adalah ketua kumpulan bagi grup saya. Sahak
Wahid pula penolong ketua kumpulan. Dalam angin sepi-sepoi bahasa petang itu rambut
saya yang panjang dengan cermin mata persis Bruce Lee, berbuai-buai ditiup
angin. Kebetulan pada waktu itu juga jelas di hadapan
dataran tempat kami berhimpun kelihatan para guru pelatih MPI keluar dari bilik
kuliah masing-masing kerana menikmati waktu rehat.
Ada juga kelihatan beberapa pelajar MPI bersembang di
hadapan pejabat pengetua. Pengetua MPI (pengetua pertama) ketika itu, Dr Abdul Hamid 0thman (Tan Sri, meninggal dunia
2012).Sebagai anak-anak muda tentu kami ada sikap mahu menunjuk-nunjukkan
‘kehebatan dan ketampanan’ kami ketika berkawad ketika itu.Apatah lagi ketika pelajar-pelajar
puterinya@ bakal-bakal ustazah yang melintas hilir-mudik di hadapan kami dengan
tunduk sopan tersenyum-senyum mendalam penuh makna.
Sebenarnya pada peringkat awalnya, MPI hanya merupakan satu
unit Pendidikan Agama Islam di Maktab Perguruan Ilmu Khas (MPIK) Cheras, Kuala
Lumpur pada bulanFebruari 1977.
Unit Pendidikan
Agama Islam telah menawarkan kursus kepada 87 orang pelatih dengan tiga
orang pensyarah. Kursus yang ditawarkan hanyalah KursusPerguruan Sekolah Menengah
sahaja.
Selepas itu pada 25 April 1977, tertubuhlah Maktab Perguruan
Islam secara rasmi dan berpindah dari satu unit di MPIK ke bangunan MPB, sesi sebelah
petang sehingga November 1977. Di sini, Kursus Pendidikan Perguruan Sekolah Rendah
dimulakan dengan pengambilan 237 orang pelatih baru Tahun 1. Tiga jabatan diwujudkan
iaitu Jabatan Pengajian Agama Islam, JabatanPendidikan dan Jabatan Bahasa
Malaysia.
MPI di MPB hanyalah sehingga November 1977, ketika saya kian
hampir menamatkan kursus perguruan asas. Kemudian MPI berpindah kali kedua di
bangunan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di kampus Petaling Jaya sehingga
April 1983. Bermula bulan Mei 1983, Maktab Perguruan Islam berpindah pula
di bangunan UKM, Lembah Pantai Kuala Lumpur, sementara menunggu bangunan baru maktab
siap di pinggiran Bandar Baru Bangi, Selangor Darul Ehsan.
MPI mengalami perkembangan pesat sejak ia ditubuhkan. Pada tahun
1990 bilangan pelatih meningkat kepada 1,217 orang dan pensyarahnya bertambah kepada
110 orang. Kursus-kursus yang ditawarkan selain dari Kursus Perguruan Asas Pendidikan
Sekolah Menengah dan Rendah, Kursus Dalam Cuti, Kursus Diploma Pendidikan dan Kursus
Dalam Perkhidmatan turut ditawarkan.
Dan sudah tentu kini di MPI setelah dinaikkan taraf kepada lnstitut
Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) mulai 1 April 2006 telah menjalani banyak perubahan
pesat dalam kurikulumnya; antaranya mengendalikan kursus sarjana muda perguruan
(B.Ed.) dan terus mengelolakan Kursus Perguruan Lepasan ljazah (KPLI), Kursus Lepasan
ljazah Guru J-QAF dan latihan-latihan guru dalam perkhidmatan.
Sepanjang yang saya tahu dan ketika travelog ini ditulis lapan
buah jabatan telah ditubuhkan iaitu Jabatan Pendidikan Islam, Jabatan Pengajian
Al-Quran dan Sunnah, Jabatan Bahasa Arab dan Tamadun Islam, Jabatan Pendidikan,
Jabatan PengajianMelayu, JabatanBahasa, Jabatan Kajian Sosial dan Jabatan Bahasa
Inggeris dan Jabatan Penyelidikan. Dan
seterusnya dari MPB ke MPI maka perjuangan saya dalam dunia pendidikan bermula
dan berterusan tanpa noktah akhirnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan