HAJI DR. RAJIEE HADI

HAJI DR. RAJIEE HADI
SERIBU WARNA SERIBU MAKNA

4 Mei 2018

FITNAH: BARAH MAUT DALAM PRU-14


Maksud Fitnah

  • Merendahkan diri seseorang di mata segolongan masyarakat atau
    masyarakat umum.
  • Menyebabkan seseorang tersebut dicemuh, dihina, dibenci atau dikeji.
  • Merosakkan reputasi diri seseorang dalam mana-mana jawatan, profesion
    atau perniagaan
  • Merosakkan kredibiliti seseorang

Jenis Fitnah

Slander � fitnah dalam bentuk pertuturan atau penyiaran melalui medium komunikasi pendengaran atau penglihatan
Libel � fitnah dalam bentuk bahan bercetak seperti akhbar, majalah, buku, gambar, imej, visual

Bentuk Tindakan Fitnah

1. Fitnah Jenayah
Tindakan di bawah Kanun Jenayah (Penal Code) Seksyen 499-502
  • Secara amnya, melibatkan fitnah terhadap pegawai kerajaan dalam kapasiti rasminya atau seseorang yang mungkin boleh menjejaskan
    ketenteraman awam.
  • Jika sabit kesalahan, penjara sehingga 2 tahun dan/atau denda
Tindakan di bawah Akta Hasutan 1948 (Sedition Act 1948)
  • Hasutan dalam bentuk penerbitan yang menyebabkan kebencian atau mewujudkan kekacauan terhadap pemerintah atau kerajaan
  • Menimbulkan rasa tidak puas hati terhadap pemerintahan kerajaan
  • Menimbulkan perasaan benci di kalangan kaum di Malaysia
  • Jika sabit kesalahan, denda tidak melebihi RM 5,000.00 dan atau penjara sehingga 3 tahun bagi kesalahan pertama dan untuk kesalahan seterusnya , penjara tidak melebihi 5 tahun.
  • Tindakan hanya boleh dimulakan oleh kerajaan melalui Peguam Negara dan tidak melalui individu

2. Fitnah Sivil
Tindakan di bawah Akta Fitnah 1957 (Defamation Act)
  • Tindakan dimulakan atas kapasiti persendirian.
  • Plaintif dalam kes memohon penghakiman dan ganti rugi
Pihak yang Terlibat
  • Plaintif mempunyai hak untuk menentukan defendan dalam kesnya.
  • Selalunya, dalam kes libel, pihak yang terlibat ialah penulis, editor, penerbit, pencetak, dan kadangkala penjual bahan bercetak tersebut.
  • Dalam kes yang melibatkan teknologi maklumat (IT) seperti e-mel, sistem pesanan ringkas (SMS) dan lain-lain, orang yang bertanggungjawab ialah penulis, penyebar dan pembekal maklumat tersebut.
Bentuk Ganti Rugi dan Penghakiman
  • Ganti Rugi Khas - perkara ini perlu dibuktikan secara khusus oleh plaintif bahawa kerugian tersebut ditanggung. Butir-butir ganti rugi
    mesti diberikan.
  • Ganti Rugi Am � Mahkamah selalunya memutuskan perkara ini berdasarkan fakta kes.
  • Ganti Rugi Teladan (Exemplary Damages) � harus dituntut secara khusus dan mahkamah hanya membenarkannya sekiranya mahu menghukum defendan.
  • Ganti Rugi Teruk (Aggravated Damages) � hanya dibenarkan jika kes fitnah tersebut amat serius.
  • Sekatan/halangan (Injunction) � ini bertujuan menghalang penerbitan atau pencetakan diteruskan pada masa akan datang.
    Memohon Maaf Secara Terbuka � selalunya dalam kes libel, plaintif menuntut agar defendan memohon maaf dengan cara pengiklanan.

Pembelaan

  • Justifaksi (justification) � bukannya satu pembelaan yang mudah kerana defendan harus membuktikan erti perkataan yang didakwa berunsur fitnah tersebut mempunyai lebih daripada satu maksud.
  • Perlindungan (Absolute Privilege) � perkara ini merangkumi prosiding mahkamah, prosiding parlimen dan semua komunikasi rasmi.
  • Perlindungan Bersyarat � perkara ini terpakai dalam kes penulis tersebut menyuarakan pendapatnya tanpa niat jahat.
  • Komen berpatutan (Fair Comment) � penulisan yang mengandungi fakta dan juga komen yang berpatutan.
  • Fitnah yang tidak sengaja � penulis atau penerbit tidak berniat untuk menerbitkan perkataan fitnah tersebut atau tiada mempunyai pengetahuan hal keadaan tersebut merupakan atau boleh difahamkan sebagai fitnah.
  • Permintaan maaf dan pembayaran ke dalam mahkamah � perkara ini hanyalah bertujuan mengurangkan ganti rugi.
  • Masa yang terbatas (Limitation Act) � tindakan harus dimulakan oleh plaintif dalam masa 6 tahun dari tarikh penerbitan atau penulisan atau pertuturan
  • Kebenaran daripada plaintif � plaintif sendiri telah membenarkan penulisan tersebut. Misalnya, temu bual, komen.
  • Penyebaran secara tidak sengaja (innocent dissemination) � pembelaan ini adalah untuk perpustakaan, penjualan surat khabar atau majalah, kedai buku dan lain-lain.
  • Penerbitan secara tidak sengaja (innocent publication) � sama seperti fitnah yang tidak disengajakan. 

Puisi: FITNAH

fitnah itu
belati menikam
lubuk sanubari
tanpa peduli
jeritan batini

fitnah itu
tusukan duri
onak cakari
mimpi ngeri
nestapa realiti

fitnah itu
busar arjuna
menembusi hati
seksa membara
bertahun sengsara

fitnah itu
racun kalbu
durja derita
siapa peduli
jiwa lara

fitnah itu
serkam api
punah lestari
musnah bestari
membakar diri

fitnah itu
laknat Ilahi
membunuh sesama
saudara sendiri
tamadun insani

DR RAJEE HADI
Nilai N9,
9 Oktober 2017.


Sumber Rujukan :  " Undang-Undang Fitnah" oleh Norhafsah Hamid, Peguam Bela & Peguam Cara Tetuan Adam & Co.dibentangkan di Seminar Penerbitan Kebangsaan di DBP pada 20 Mac 2003.

3 Mei 2018

PRU -14 PEDOMAN MEMILIH PEMIMPIN

PENULIS mewarwarkan pedoman memilih pemimpin yang menjadi tular di media sosial. Semoga para pembaca dengan waras dan rasional berdaya upaya memilih personaliti pemimpin yang akan memperjuangkan dan membela kehidupan rakyat/orang awam bersandarkan isu-isu hari ini untuk kebaikan generasi anak-anak cucu akan datang. Tersilap pilih buruk padahnya. Usahlah mengungkit keburukan silam. Jadikan kisah sejarah pemimpin dan pejuang lslam seperti Khalifah Umar Al-Khatab , Khalid Al-Walid dan lain-lainnya yang bangkit menjadi pejuang dan pembela ummah walaupun sebelum itu mereka memiliki sejarah hitam.



MEMILIH PEMIMPIN

Memilih pemimpin
Suatu kewajipan, bukan pilihan
Bukan momokan sesuka hati
Bukan disuap harta ringgit
Bahkan menjadi tuntutan agama
Bukan sekadar santai bercanda gurau
Ada perhitungan dosa pahala
Bukan sekadar mengisi masa

Dunia medan pilihan
Akhirat menerima balasan

Kelak kita akan ditanya
Mengapa kita memilihnya
Atas dasar harta
Atas dasar agama
Dasar perjuangan kemanusiaan
Atau dasar apa?

Memilih pemimpin
Perlu kebijaksanaan
Perlu ketelitian saksama
Kerana pemimpin itu
Penentu dasar negara
Pemutus kata kebajikan rakyat
Pembina corak budaya
Pengolah kehidupan sejahtera

Gaya kehidupannya jadi ikutan
Pola pemikirannya jadi pegangan
Pemimpin adil sumber keberkatan
Pemimpin zalim mengundang kemurkaan

Memilih pemimpin
Mestilah berasaskan ilmu
Bukan mengikut nafsu melulu
Agar diri tidak tertipu

Justeru, ingatlah selalu
Pesanan keramat buatmu
Tersalah membuat pilihan
Penyesalan tiada kesudahan
Kebahagiaan bakal hilang
Kecelakaan bakal bertandang

Memilih pemimpin
Utamakanlah ciri-ciri keunggulan
Akhirat menjadi wawasan
Berilmu penuh wibawa
Integriti menjulang agama
Cakna rakyat jelata
Keadilannya melata
Bertaqwa menjauhi dosa
Al-Quran dan al-sunnah jadi dasarnya

Jawatannya adalah amanah
Bukan aset untuk bermegah
Keredaan Allah jadi matlamat
Demi kebaikan dicurahkan khidmat
Pasti rakyat selamat
Negara berkat berdaulat
Allah melimpahkan rahmat
Bukan pemimpin yang berpoya-poya
Mempamerkan lambang duniawi
Tetapi yang peka derita ummah sejagat
Bencikan rasuah dan hipokrasi!



2 Mei 2018

MANIFESTO

MANIFESTO ialah gagasan atau kerangka rancangan.Manifesto itu bukanlah sesuatu yang bersifat sempurna,lengkap. syumul dan mustahid. Yang tidak boleh diubah hanyalah kitab suci Al-Quran. Manakala perlembagaan ada prasyarat dan pensyaratan andainya mahu dipinda,diubah atau seumpamanya. Bahkan bukan sesuatu yang mudah.

Justeru, tidak boleh disamakan dengan dengan manifesto yang merupakan dokumen rasmi sesebuah pertubuhan atau persatuan untuk menghebahkan agenda masing-masing bagi para penyokong atau pengikut mereka.

Negara Malaysia sudah 60 tahun merdeka, termasuk sebelum 1963 di bawah Persekutuan Tanah Melayu. lni bermakna Malaysia sudah menempuhi 13 kali Pilihan Raya Umum (PRU).lni bermakna  anda (rakyat) boleh menyenaraikan seberapa banyak kandungan manifesto yang telah dijanjikan oleh parti Barisan Nasional/BN (termasuk Perikatan) selama ini yang memenangi PRU dan memerintah negara ini. Anda boleh bertanya diri anda dan anda boleh senaraikan kandungan manifesto yang ditunaikan atau tidak ditunaikan atau hanya slogan-slogan kosong oleh BN.

 Sekiranya terdapat beberapa kekeliruan dalam kosa kata dalam manifesto seperti kata ' tetapi, dan' atau 'damai,harmoni' dan sebagainya; biarlah kita sama-sama merujuk kepada mereka yang arif dalam bidang linguistik Melayu khususnya pakar psikolinguistik dan semantik. Usahlah berhujah mengikut tafsiran dan kemahuan hawa nafsu sendiri. ltulah manifesto. (DRH)

1 Mei 2018

Puisi: PADA ZAMAN INI


Pada zaman ini adalah terlalu sukar
mencari buku-buku A.Samad Said
mahupun Shahnon Ahmad atau ,Keris Mas
ataupun Tongkat Warrant, jauh sekali Kemala atau
Zurinah Hassan penyair wanita doktor falsafah
di toko-toko buku di gedung berjenama
dan pedih sekali di toko kota terpencil desa

Pada zaman ini adalah terlalu sukar
ilmu kemanusiaan mahu diurusniagakan
apatah buku-buku sastera dan majalah
telah lama terpinggir di gubuk pustaka tua
di sekolah dan pusat dokumentasi universiti
sementara aku terus menerima buku puisi
kiriman penyair setia dengan cetakan sendiri  

Pada zaman ini rakyat senegara
dan dikatakan sebangsa sejiwa 
amat mengejar teknologi benda
dan menghitung sains harta dengan
status mempamerkan gelar dan pangkat
dengan segala buku dan majalah import serba
erotika dan picisan sosok menggoda

Pada zaman ini tidak kurang juga
buku-buku agama dan majalah kerohanian
yang kian banyak ditulis para bijaksana agama
ada yang mengaku ustaz serba-serbi
dan buku motivasi karya yang pakar tumbuh melata
tatkala manusia juga kian runtuh
akhlak dan maruah diri!


DR. RAJIEE HADI
20-7-2012
Shah Alam,SDE. 
(Harakahdaily: 13 September 2012)

30 April 2018

Puisi: BERSIHKAN LAMAN INI

kita bersihkan laman  rumah ini
peninggalan warisan nenek moyang
di desa yang kian sepi ditinggalkan
bendang gersang yang tidak dipedulikan
tetangga yang menyulam masa silam

kita bersihkan gubuk pusaka yang kian runtuh
agar kita sentiasa ingat asal-usul dahulu 
buat anak cucu yang tidak betah lagi
menangkap keli memasang lukah di tambatan
kerana sungai jernih telah  jauh dari pandangan

kita bersihkan jerebu kota dan desa
dari serombong muntahan sang haloba
penguasa dan hulubalang petualang 
yang kini memberi sisa-sisa untuk esok
racun onak duri berbisa kalbu terluka

kita bersihkan sarang yang melakari lelangit
walau pintu senja kian menghampiri
kebendaan kota kian rakus menghimpit
kerana tiada jalan lain untuk dipilih
dan kita padamkan segala kotor terpalit!


RAJIEE HADI,
12 Julai 2011. 

(Puisi ini untuk  para pejuang anak semua bangsa, Malaysia tanah airku tercinta)
Puisi ini telah disiarkan juga dalam HARAKAHDAILY pada 13 Julai 2011. 


28 April 2018

Puisi: PILIHAN RAYA


Marilah mari mengundi parti saya parti anda
Parti serupa atau berlainan agenda
parti kita atau parti semua
parti kami atau parti mereka
berlaga waspada diawasi suruhanjaya
bertentang mata pedih lidah bicara
singgah seketika simpang jalur gelora

Marilah mari mula gempita
gendang  canang gegak manifesto
kapal gemawan berarak dari samudera
kelasi nahoda sarat muatan jong di dermaga
di setiap pelabuhan panji-panji berkibar mega
di kota desa bangsawan opera kembali bergema
pada purawara hilang  petanda subur tiba-tiba
ada cetera baru lama digilap arca senjakala

Marilah mari turun gelanggang wadah terbilang
pencak hulubalang beduk nobat palu gemilang
tangkis menangkis gerak tangkas keris dijulang
pedang tombak lembing panah bedilan hujah
bagai subuh sesudah mentari terik malam purnama
berduyun warga dingin bahang suasana warna
percik bara di sulah dahi dalam damai tanah air
ada kelam hanyir longkang dan jernih sungai kehidupan
kita laksanakan mengundi pilihan penentu warisan.

RAJIEE HADI
Mac 2004,

Malaysia.


Puisi:PULANG KE DESA, MENJELANG PILIHAN RAYA

Masih ada
hutan dara di desaku
bukit gunung yang kebiruan
kabus pagi yang segar kedinginan
jalan berturap dan merah terbentang
saling bertentang dalam kedamaian

ada nyaman
tersimpan segar udara
udara pesona idaman
nasi lemak kuih-muih asli kampungan
juadah pagi enak bersantai keluarga
jentera roda di jalan besar
sesekali mencuit degup kota

pulang ke sebuah desa
di sebalik banjaran kecil
menghijau tanah air pertiwi
penghuni menjunjung rukun insani
matahari tersenyum duniawi
ada indah bianglala di sebalik sini

RAJIEE HADI
Tangkak-Muar, 2004.