CERPEN
SAAT DEMI SAAT
Oleh RAJIEE
HADI
Sepanjang penerbangan kita ke Kota Denpasar iaitu destinasi indah
di Pulau Bali, Mira asyik bercerita mengenai kebimbangannya meninggalkan Emilda
dan Emran. Sesekali kau bercerita pasal saat-saat kehidupanmu bersama arwah
yang terdahulu.
Aku berdiam diri sahaja bukan bermakna aku berminat mendengar
celotehmu itu tetapi kerana aku memahami dirimu kini yang dilanda krisis
identiti dan gangguan personaliti. Tetapi tanpa kuduga kau mengambil kesempatan
untuk terus bercerita dan berceloteh atas isu yang sama dan berterusan
berulang-ulang kali.
Aku tidak jemu pula sentiasa menenangkan gelojak jiwa dan
kecelaruan mindamu dengan memberi kata-kata motivasi dan menanamkan keyakinan
dalam dirimu.
Sebagai manusia biasa, hatiku juga tersentuh apabila kau
mempersendakan dan memperlelekehkan berhubung perkara-perkara yang tidak manis
kuperkatakan.
Aku tidak pasti sama ada kau di bawah sedar atau sebaliknya
memperkatakan banding beza hal-hal peribadi.
Aku dan Mira cuma berhasrat mahu bersantai sahaja di kawasan Kuta
di Denpasar pulau Bali yang terkenal itu. Tambahan pula kami kesuntukan waktu;
sekadar tiga malam.Pada hari pertama, kami cuma berehat di dalam kamar di
sebuah hotel yang sesuai untuk kami umpama seperti pasangan yang berbulan madu.
Hotel yang kami diami itu tidak jauh dari pantai Kuta dan kawasan
yang sibuk dengan berjualan aneka oleh-oleh dan cenderamata yang pelbagai
ragam.
Pada hari kedua aku dan Mira di Denpasar, pada sebelah petang kami
berkesempatan ke Tanah Lot di Kabupaten Tabanan yang terkenal dengan keindahan
puranya di atas batu karang di pinggir pantai . Kami dapat menyaksikan
keindahan matahari terbenam yang menakjubkan.
Sebelum itu pada sebelah pagi dan tengah hari kami ke Ubud, kawasan
membeli-belah di kawasan tanah tinggi. Kami kemudian bertolak ke Kintamani dengan
van yang dipandu oleh Pak Arman. lndahnya aku dan Mira dapat menyaksikan
pemandangan Gunung Batur dan danau Batur di Kabupaten Bangli sambil makan
tengah hari yang enak di restoran puncak itu.
Hari berikutnya pula aku dan Mira berkesempatan ke Nusa Dua dan
pantai Jimbaran. Nusa Dua terletak di selatan Bali dan terkenal kerana
keindahan alam pagi yang mempesonakan. Di sini aku dan Mira saling mengambil
potret untuk kenang-kenangan kami.
Pantai Jimbaran yang terletak di sebelah selatan bersebelahan dengan pantai Kedonganan.Pantai
ini terkenal kerana kejernihan airnya, nyaman
dan sesuai untuk berenang , bersantai dan berjemur diri.
Sekurang-kurang aku dapat melihat mata Mira jernih seketika
lantaran dapat melupakan perkara remeh-temeh yang difikir-fikirkannya selama
ini.
Dalam hatiku sering berteka-teki dan bersoalan ; apakah ini petanda
dan gejala keresahan jiwamu Mira, yang menghantui kehidupanmu masa lalu? Adakah
ini juga simpton ketidakpuasan kehidupan silammu yang terdahulu?
Walaupun aku cuba berdiam diri namun aku juga cuba ketawa dan
mengeluarkan hujah-hujah yang bersalutkan gurau senda. Seperti telahanku, ada
kebenarannya bahawa jika aku menyatakan bahawa tanpa kau sedari, kau tidak
berpuas hati akan kehidupan masa lalumu itu.
Sebab itu kau membangkitkan isu berkulit gelap dan berperut buncit.
Apakah arwah berkulit gelap dan berperut buncit? Apa yang aku tahu penghidap
atau pesakit kanser hati keadaan fizikalnya sememangnya begitu.
Adakah kau masih tidak memahami situasi dan kondisi itu? Ataupun
kau berpura-pura tidak mahu memahaminya?
Namun bersandarkan pengetahuan psikologi yang kutahu, hal-hal
sebeginilah yang dikatakan gangguan-gangguan personaliti yang menghantui fikiranmu.
Katamu Mira, kau tidak merasai alam percintaan praperkahwinan pada
ijab kabul yang terdahulu. Kau pun mengakui bahawa perkahwinan
pertamamu masa lalu dengan bekas tunangan orang dan bukan pilihan hatimu tetapi
atas kehendak keluarga.
Bahkan pada awal perkahwinanmu juga kau ada memberitahu kepadaku
bahawa kau sendiri tahu yang arwah menghidap penyakit kanser yang merbahaya
itu.
Adakah ini menyebabkan jiwamu sering berasa tidak puas kerana
ketika itu kau memaksa dirimu menyintai arwah?
Justeru, adakah kepura-puraanmu telah menjadi penyebab kau rasa
bersalah setelah kematiannya dan setelah memperoleh dua anak?
lbn Qayyim al Jawziyyah dalam kitab at-Tibb an Nabawi ada menyebut
selain penyakit jasmani terdapat sejenis penyakit hati atau rohani yang merupakan
satu penyakit yang dihidapi oleh manusia.
Mira, ketahuilah bahawa penyakit rohani merupakan salah satu
penyakit yang dihidapi manusia tetapi kurang mempunyai petanda zahir.la
melibatkan emosi,jiwa dan perasaan serta roh yang tidak boleh dilihat dengan
zahir pada pandangan mata kasar manusia.
Bahkan aku rasa Mira pun tahu bahawa penyakit hati ada disebut
dalam al-Quran sebanyak 28 kali seperti mana antaranya dalam Surah al-Baqarah
ayat 10, al-Maidah ayat 52, al-Anfal ayat 49, at-Taubah ayat 125, al-Hajj ayat
53 dan lain-lain lagi.
Menurut lbn Qayyim lagi penyakit hati itu terbahagi kepada dua
iaitu penyakit syubbah atau syak dan penyakit syahwat iaitu ingkar atau bangga.
Justeru
lbn Qayyim menegaskan penyakit hati atau rohani ini jelas disebut dalam
al-Quran seperti dalam surah al-Baqarah ayat 10 yang bermaksud:
“Dalam hati mereka (golongan yang munafik itu) terdapat penyakit
(syak dan hasad dengki),maka Allah tambahkan lagi penyakit itu kepada mereka…”
Mira aku juga mahu memetik firman Allah SWT dalam surah al-Mudassir
ayat 31 yang bermaksud:
“…dan (sebaliknya) supaya orang-orang (munafik) yang ada penyakit
(ragu-ragu) dalam hati mereka dan orang-orang kafir berkata: “Apakah yang
dimaksudkan oleh Allah dengan menyebutkan bilangan ganjil ini?”
Manakala berkaitan penyakit syahwat itu Mira, lbn Qayyim juga
mengaitkan dengan penyakit syahwat itu dengan perbuatan zina yang mana ada
melalui al-Quran Allah berfirman dalam surah al-Ahzab ayat 32 yang bermaksud:
“Wahai isteri-isteri Nabi, kamu semua bukanlah seperti mana-mana
perempuan yang lain kalau kamu tetap bertakwa. Oleh itu janganlah kamu
berkata-kata dengan lemah lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing)
kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya
(menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata
yang baik (sesuai dan sopan).”
Dan kesannya, adakah kau kini sentiasa teringatkan arwah dan tidak
semena-mena aku pula yang menjadi mangsa keadaan atau korban percintaan? Dan
adakah sebenarnya kau teringatkan impianmu bersama khayalanmu tatkala kau
berstatus balu dahulu?
Aku juga masih ingat lagi, selepas majlis pernikahan kita yang
sederhana itu, kau masih bercerita mengenai memori masa lalumu. Dan kau
bagaikan tidak percaya bahawa kau telah selamat dijabkabulkan denganku oleh
seorang kadi veteran lepasan pengajian lslam daripada Universiti lslam
Antarabangsa Madinah, Saudi Arabia.
Bukan calang-calang orangnya. Tuan Kadi yang fasih berbahasa Arab
dan Melayu itu. Syukur, pernikahan kita sah mengikut hukum syarak dan menepati
syarat rukun-rukun nikah.
Apakah kau fikir, pernikahan itu wajib disertakan mengikut adat
istiadat yang berdulangkan barangan mewah berjenama ? Ataupun diselaputi
emas,permata dan berlian?
Apakah mahar yang kuberikan khusus untukmu dengan persetujuanmu
juga sebagai hak seorang isteri dan nilaiannya lebih tinggi daripada kadar
mahar seluruh negeri di Malaysia itu tidak
bernilai buatmu, Mira?
Apakah hantaran senaskah
Al-Quran yang kuberikan sebagai simbolik untuk pedoman kehidupan kita di
duniawi dan ukhrawi tidak bermakna bagimu?
Dan apakah sebentuk cincin belah rotan buatan tempatan fesyen
terkini yang terbaik dari negeri Cik Siti Wan Kembang yang kusarungkan di jari
manismu itu hanya menjadi cebikan di bibirmu?
Bahkan kau sedia maklum Mira, menurut hadis riwayat lbn Hiban,
Hakim, Baihaqi dan Ahmad ada menyebut, “ Sebaik-baik perempuan adalah yang
paling murah maharnya.”
Dalam hadis riwayat Abu Muslim pula ada menyebut, “Abu Salamah bin
Abdurrahman, berkata,”Aku bertanya kepada Aisyah isteri Nabi Muhammad SAW,
“Berapakah nilai mahar yang diberikan oleh Rasulullah? Aisyah menjawab , “Mahar
yang diberikan baginda kepada isteri-isteri
baginda ialah sebesar 12 uqiyah dan nasya.
Aisyah berkata, “Apakah kau tahu apakah nasya itu? Aku berkata
,”Tidak”. Kata Aisyah, “Nasya itu adalah setengah uqiyah. Maka nilainya sekitar
500 dirham. Demikianlah mahar Rasulullah untuk isteri-isteri baginda.”
Oleh itu Mira, benarlah apa yang diperkatakan oleh Ustazah Zawiyah
seorang pendakwah bebas yang terkenal itu yang mana adalah bertepatan sekali
ujarnya, bahawa seorang gadis atau
wanita yang paling baik adalah yang paling murah maharnya. lni bertepatan
dengan hadis Rasulullah. Ustazah tersebut mengingatkan semula apa yang
disampaikan oleh baginda Nabi Muhammad SAW.
Malam ketiga kita dapat menjalinkan hubungan suami isteri dengan
lebih intim. Apa yang telah kita dapat
laksanakan sebagai pasangan suami isteri, biarlah menjadi album kenangan
peribadi kita yang indah.
Apa yang telah Mira buat dan apa yang Mira kecapi pada malam itu
biarlah menjadi lipatan sejarah yang mempesonakan bersama hembusan angin malam
yang beralun-alun desirannya dari arah pantai Kuta.
Angin malam itu bagaikan mengerti dan merestui hubungan suci kita
di kota Denpasar ini. Angin malam itu bagaikan memahami impianmu dan impianku
bersatu mencipta kenikmatan bersama anugerah Yang Maha Berkuasa.
Angin malam itu umpama dapat merasakan bahawa keintiman kita terasa
lebih mengasyikkan. Biarlah detik-detik yang kita lewati itu menjadi hiasan
abadi dalam dekorasi rumah tangga kita kelak.
Sebenarnya Mira, ketika kau meminta mahar dan hantaran yang mahal;
sedangkan bakal suami yang melamarmu tidak memiliki sesuatu yang kau pinta; itu
petanda kau boleh kehilangan keberkatan perkahwinan itu.lni disebabkan kau
telah menyulitkan sesuatu yang baik bagimu iaitu sebuah pernikahan.
Bahkan dalam suatu ceramah di TV berkaitan bab munakahat seorang
ustaz menjelaskan bahawa seharusnya pihak bakal isteri mempermudahkan maharnya,
mempermudahkan bakal suaminya yang hendak melamarnya. Kerana ini adalah sunah
Rasulullah. Hakikatnya adalah bahawa wanita sangat memerlukan pendamping
sepanjang kehidupannya.
Seandainya wanita itu menolak lantaran kerana isu mahar maka wanita
itu telah kehilangan seorang lelaki Muslim yang soleh dan akan merasai
kerugiannya. Situasi ini berbeza jikalau bakal suami itu seorang yang
berharta.Tidak salah memberi mahar yang tinggi kepada bakal isteri itu, kerana
mahar itu adalah bentuk penghargaan yang memuliakan wanita.
Justeru Mira, aku juga sedar betapa Rasulullah sangat memuliakan
wanita, begitu pula dengan mahar-mahar yang tinggi pada isteri-isteri baginda.
Apatah lagi Rasulullah juga seorang hartawan dan dermawan.
Aku juga masih ingat sirah Nabawi mengenai soal mahar apa yang
dikisahkan oleh Rasulullah kepada seorang pemuda ketika dia hendak
berkahwin.Pemuda itu meskipun tidak memiliki sebarang harta namun Rasulullah
menyuruhnya mencari sebentuk cincin walaupun daripada besi.
Apa yang menjadi peringatan kepada kita Mira, sesungguhnya lslam
sangat memuliakan wanita. Sebab apa? Kerana sekiranya wanita atau bakal isteri
itu tidak meminta mahar yang lebih maka tidak ada alasan mengapakah seorang
suami enggan memuliakannya. Berdasarkan keterangan yang aku nyatakan ini, aku
harap Mira memahami dan menerimaku seadanya.
Oleh yang demikian apa yang aku harapkan, apa yang telah Mira
miliki dan apa yang telah Mira kecapi
semasa kami bersama di Kota Denpasar ini ,terlihat jelas daripada
pancaran keriangan di wajahnya. Dan aku tabah membiarkan kenangan di Denpasar,
Bali itu berlalu dan beransur-ansur hilang dalam pesawat yang membawa kami
pulang ke tanah air. Masih kau ingatkah lagi Mira?
****************************************************************
Hak Cipta Dr Haji Rajiee Hadi@ Tidak dibenakan plagiat,ciplak,adaptasi dan apa jua peniruan.Kesalahan tersebut akan didakwa di mahkamah. Hak cipta dilindungi SKMM.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan