SAYA buat pertama kalinya menjejaki kota raya Jakarta, lndonesia hampir 40 tahun yang lampau.Ketika itu saya baharu menginjak usia awal 20-an, sebagai guru muda belia dan penulis muda yang baharu berkembang mekar. Hasil tulisan saya mula mendapat tempat di akhbar-akhbar arus perdana seperti Berita Harian dan Berita Minggu di samping disiarkan cerita pendek saya di RTM.
Di sekitar Taman lsmail Marzuki, Jalan Cikini Raya, Jakarta. |
Keratan akhbar Berita Minggu (Malaysia) 13/1/1980.
|
Tidak saya duga, pada pertengahan akhir bulan disember 1979, saya telah terpilih mewakili delegasi GAPENA atas tiket bersama PPJ (Persatuan Penulis Johor) menghadiri Pertemuan Sasterawan Nusantara ke-2 di Jakarta.Sebagai anak muda yang baharu mengakhiri zaman remaja dan memasuki fasa awal dewasa, menempuh pengalaman di tengah kota Jakarta yang pada ketika itu kepadatan penduduknya hampir 5 juta (kini, khabarnya Jakarta sudah 15 juta!). Ketika itu tanggapan warga lndonesia khususnya di Jakarta begitu asing persepsinya terhadap Malaysia walaupun zaman pascakonfrontasi lndonesia-Malaysia telah lebih 10 tahun berakhir.
Penulis (Rajiee Hadi) bersama delegasi Malaysia antaranya Zam lsmail, Said Jamhari, Dzukurnain lthnain. |
Pertemuan yang berlangsung di Taman lsmail Marzuki di Jalan Cikini Raya, Jakarta berlangsung dengan amat meriah dan teruja dalam pelbagai segi. Saya dan delegasi tiba di kota raya Jakarta dan diraikan oleh kaki tangan Kedutaan Malaysia di Jalan Chakroaminoto Jakarta.Kami tinggal di penginapan yang selesa dalam Taman lsmail Marzuki yang mula mengukir nama ketika itu.
Kemudian semua delegasi diraikan sebagai tetamu negara di Istana Presiden di Bogor bersama Bapak Suharto, Presiden lndonesia dan Naib Presiden/Wakil Presiden Bapak Adam Malik sambil menikmati jamuan makan dan persembahan pelbagai kesenian dan kebudayaan dari seluruh pelosok lndonesia. Saya teruja kerana menjadi jurufoto tidak rasmi bagi acara-acara rasmi tersebut termasuk mengmbil foto Bapak Suharto dan Bapak Adam Malik secara berhadapan di meja santap VVlP. Suatu pengalaman yang tidak dapat saya lupa sehingga kini. Kamera saya ketika itu berjenama Yashica Electro-X yang terkenal pada masa itu itu.Yang lucunya, sebenarnya saya sendiri belum mahir menggunakan kamera tersebut sebagaimana jurufoto profesional. Namun sikap yakin diri dan mahu mencuba sesuatu yang baharu dan mencabar menjadi nadi gerak dalam jiwa saya.
Di Jakarta, saya mula mengenali dan bersahabat dengan penulis-penulis muda seangkatan saya seperti Pipiet Senja, Eddy D Iskandar, lwan Moenaf, Zatako (Zainuddin Amir Koto) dan termasuk penulis-penulis muda dari Singapura. Ketika itu nama singkatan saya 'Roy' begitu popular disebut-sebut oleh teman-teman lndonesia sebagaimana nama seleberiti filem lndonesia Roy Marten yang terkenal pada era tersebut.
Taman Mini Ancol, Jakarta. |
Beberapa hari di Jakarta saya secara peribadi bersama rakan-rakan lndonesia berjaya menimba pengalaman menyelusuri kawasan-kawasan gelandangan rakyat jembel, pasar besar Senen yang baharu dibuka dan beberapa tempat yang menarik. Bersama rakan-rakan negara saya berkesempatan ke Bina Ria, Taman Mini Ancol, Monumen Nasional dan sebagainya.
Yang terkesima dan menjadi memori, saya ialah menyambut malam TAHUN BAHARU 1980 di Jakarta. Saya sendiri menyaksi anak-anak muda 'leka dan berkhayal' menari mengikut rentak dangdut secara bebas pada tengah malam sambutan tahun baharu di Monumen Nasional (Taman Monas). Oh nostalgik. Sebenarnya, banyak kisah mahu diceritakan tetapi cukuplah sekadar memadai di situ sahaja,
Tiada ulasan:
Catat Ulasan