HAJI DR. RAJIEE HADI

HAJI DR. RAJIEE HADI
SERIBU WARNA SERIBU MAKNA

31 Mac 2014

TRAVELOG GURU: PERISTIWA DI MAKTAB

PADA bulan Mac 1995 ,saya memulakan era baru dalam bidang pendidikan daripada seorang guru di bilik darjah yang mengendalikan secara terus pengajaran-pembelajaran (P&P) di sekolah-sekolah harian dan sekolah berasrama penuh (SBP kini ada di antaranya dipilih sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi/ SBT) hampir 17 tahun di bawah Bahagian Sekolah Kementerian Pelajaran/Pendidikan Malaysia (KPM) kepada pendidik guru atau pensyarah di maktab perguruan di bawah Bahagian Pendidikan Guru (BPG) KPM.

Berbekalkan pengalaman sebagai guru hampir 17 tahun dalam perkhidmatan dan berpengalaman mengajar pelajar-pelajar kelas peralihan (Remove Classes), tingkatan 1,2,3,4,5,6 Rendah dan 6 Atas adalah amat membantu yang mana rata-rata berpendapat kesahan dan kebolehpercayaan itu tidak boleh dipertikaikan.Walhal untuk menjadi pensyarah maktab perguruan pengalaman minimum lima tahun mengajar di sekolah,sudah dikira memadai.

Sebenarnya maktab perguruan KPM ini bukan sekadar institusi untuk menimba ilmu pendidikan dan pedagogi sahaja. Bahkan apa yang paling utama ialah institusi  ini adalah  ‘sekolah latihan’ yang membina sahsiah dan  insaniah guru. Di sinilah dahulu kami belajar mendisiplinkan diri, etika berambut rapi dan berpakaian kemas, berinteraksi dan berganding bahu dengan mengikut batasan agama dan budaya setempat serta belajar berketrampilan ketika berkomunikasi dua hala.

Pada mulanya saya tidak pernah mengimpikan mahu berkhidmat di MPI. Walaupun nama MPI pernah hadir dalam kehidupan saya .Saya menyimpan hasrat  sudah sekian lama mahu berkhidmat dan berbakti di MPB. Lagu MPB masih menjadi hafalan dan siulan saya sehingga hari ini: (Nota: Versi 2006: Judul 'Maktab Perguruan Bahasa' ditukarkan kepada 'lnstitut Bahasa' dengan sedikit pengubahsuain)

LAGU IPGM KAMPUS BAHASA MELAYU
Institut Bahasa yang berjasa
Institut mulia berharga
Tempat kami bersama-sama
Menjunjung bahasa ibunda
Kami pelaja rseluruhnya
memegang tujuan yang satu
Institut Bahasa yang berjasa
Lambang bangsa yang berpadu
Bahasa akan kami perkaya
Budaya kami bela
Tetap mempertinggi mutu bangsa
Untuk selama-lamanya
Institut Bahasa yang berjasa
Institut mulia berharga

Tempat kami bersama-sama
Menjunjung bahasai bunda
Pencipta: Mustafa KamilYassin (Kala Dewata)
Gubahan: A Murad Hamid

 Bukan sekadar lagu MPB bahkan pentas dewan MPB (kini dinamakan Dewan Za’ba) dan sekitar Lembah Pantai masih menjadi nostalgia yang tidak luput daripada memori saya. Di pentas itu saya menyanyi dengan penuh perasaan lagu ‘Selamat Tinggal Bungaku’ dengan iringan band MPB secara bidan terjun.Maklumlah malam itu merupakan minggu terakhir kami di MPB, sebelum kami akan menerima surat posting (penempatan) seawal bulan Januari nanti.

Persembahan nyanyian saya yang mengejut dan mendapat tepukan sorakan yang memberangsangkan.Selepas menyanyi, pada keesokan harinya Datin Kwok  pensyarah muzik saya begitu bersemangat memuji dan memberi galakan kepada saya.

“Tidak sangka, kamu boleh menyanyi.Kamu bagus menyanyi.Bagus…bagus..bagus”, ujarDatin Kwok berulang-kali. Saya hanya tersipu-sipu.Lagu tersebut begitu tersemat jauh di jiwa saya:

SELAMAT TINGGAL BUNGAKU

Selamat tinggal bungaku
Aku bermohon pergi dahulu
Terima kasih seruanku
Jasamu untuk diriku

Ke timur atau ke utara
Tak tentu di mana nak tujukan
Setitik air mata
Dititiskan dibuang jangan

Sekiranya aku masih
Berada nun jauh di balik awan
Salam yang bahagia
Khabar yang gembiraku kirimkan

Inikah akhir bertemu
Bila niankan berjumpa lagi
Ingatlah pesananku
Jaga baik dirimu sendiri


( Lagu : JoharBahar / Ahmad Wan Yet - Lirik : JoharBahar )

Di pentas dewan MPB itu juga gelanggang saya bersama teater ‘Hari Jadi Nona’ (1976) yang mana saya turut bersama terbabit dalam persembahan sketsa kuda kepang Johor bersama Khairuddin Wahab, Ali Mustari, Selamat 0mar dan lain-lain lagi.Pada tahun 1977 saya bersama Mahali (jika tidak silap) mempersembahkan teater“Bayang-Bayang” sempena sambutan Hari Guru di MPB pada 17 Mei 1977.. Saya yang memegang watak ‘wali’ terpaksa meminjam telekung guru pelatih wanita MPI yang tinggal berjiran dengan saya untuk menjayakan teater tersebut.

Justeru MPB tentulah tidak dapat luput daripada kenangan hidup saya.Kisah bunga hutan yang saya bawa dari Cameron Highland ketika hujan turun di tangga bukit MPB terkulai lesu layu dan jatuh bertebaran di tengah gelit amalam; adalah sebuah kisah lawak yang tidak kesampaian.

Kisah pensyarah yang menguruskan penempatan Encik Dawam Kahat (yang turu tmemberi kuliah Kesusasteraan Melayu) yang mencari saya kerana belum menyerahkan borang penempatan tetap menjadi ingatan saya.“Kenapa kamu belum serahkan borang?”Tanya Encik Dawam di hadapan kelas PMIA 2.

Saya diam seketika lalu bertanya, “Boleh saya minta posting ke Sabah Cikgu?”.Mendengarkan permintaan saya, kawan-kawan sekuliah saya semuanya tergelak tanpa mengetahui hujung pangkalnya. Saya tahu mereka yang digelar ‘Sabah Ranger’ dan ‘Sarawak Ranger’ telah mula menampakkan  kemurungan  di raut wajah masing-masing.

Ada yang terpaksa meninggalkan buat sementara tunangan dan kekasih hati. Ada yang berangan-angan mahu memperisterikan gadis Kadazan di pinggir lembah Kundasang, dilereng Kinabalu yang terkenal berkulit putih mulus. Kamaruzzaman Abdullah, OmarMamat dan  Hassan Topit adalah antara sahabat semaktab saya yang akan dihantar ke Malaysia Timur.

“Mengapa?Kamu tahu, semua kawan kamu nak ke Semenanjung..kamu pula yang nak ke Sabah. Kenapa…?” tanya Encik Dawam lagi.

“Aghh…saya tak ada buah hati pun di sini..”jawapansaya yang bersahaja membuat seisi kelas  ketawa mengilai ;termasuk Encik Dawam pun turut merasakan kelucuan itu. Dipendekkan cerita, peristiwa itu biarlah setakat itu dan tamat di situ sahaja. Apa yang berlaku kemudian adalah sejarah yang menjadi lakaran sejarah.

Saya telah katakan sejak awal bahawa MPB tetap terpahat di wadi kalbu saya. Sebab itu sejak penghujung tahun 1980-an saya telah ‘mengintai dan merisik’ di BPG bertanyakan mengenai peluang kekosongan jawatan pensyarah di MPB. Tetapi ditakdirkan ketika itu; jawapannya belum ada kekosongan.

Demi kecintaan mula berputik dalam bidang pendidikan saya bersama-sama teman sekuliah MPB Zahid, Dahlan, Rusnah,Azizi dan Rusni berpeluang menghadiri Konvensyen Pendidikan Pertama (KONPEN 1) anjuaran Persatuan Suluh Budiman yang diterajui Prof Dr Awang Had Salleh (Prof. Emeritus, kembali ke rahmatullah pada 1 Julai 2013, al-fatihah) di Sekolah Menengah Sains.Air Keruh, Melaka (kini Sekolah Menengah  Sains Sultan Muzaffar Shah)pada tahun 1977.Di konvensyen inilah saya melihat sendiri ketokohan dan kewibawaan Dr Awang Had Salleh selaku Pengerusi Konpen 1. Banyak kertas kerja yang dibentangkan dan dibahaskan yang menyentuh mengenai kekurangan anak-anak Melayu dalam bidang profesional seperti kejuruteraan, kedoktoran, teknikal, perakaunan dan sebagainya.

Dalam konvensyen ini ramai para cendekiawan dan sarjana Melayu yang turut sama berbahas dengan celik minda bagi mengutarakan idea dan gagasan demi pendidikan anak-anak Melayu pada masa hadapan. Ekoran daripada konvensyen inilah lahirnya idea-idea program seperti program matrikulasi dan asasi sains, maktab-maktab sains mara, lahirnya Universiti Tekonolgi Malaysia (UTM) dan seumpamanya.Dr Awang Had Salleh yang saya temui dan kenali secara dekat pada tahun 1977 terus maju jaya dalam kerjayanya dan adalah tokoh pendidikan yang banyak berjasa kepada negara.Kali terakhir saya bersama menghadiri majlis ilmu ialah pada tahun 2000, kami sama-sama menjadi peserta di Pertemuan Dunia Melayu di Jeddah, Saudi Arabia anjuran Gapena dan Kedutaan Malaysia di Arab Saudi.


Semasa menjadi guru pelatih di MPB, saya berpeluang menghadiri majlis pelancaran Hari Guru peringkat kebangsaan 16 Mei 1977 di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya,Kuala Lumpur. Tema Hari Guru pada tahun itu ialah  ‘Dedikasi dan Disiplin Asas Kemajuan Pendidikan’. Apa yang menarik dalam majlis itu berlangsungnya majlis penyampaian hadiah Sayembara Mengarang Novel Hari Guru 1976. Dalam majlis itu saya menyaksikan Dr Mahathir Mohammad, Menteri Pelajaran ketika itu menyampaikan hadiah kepada para pemenang utamanya iaitu Baharuddin C.D (Arca Berdiri Senja), Abdul Talib Hassan (Saga) dan Ibrahim Omar (Cucu) .Lagu ‘Guru Malaysia’ yang bergema,berkumandang dalam DTC Universiti Malaya pada ketika itu masih terngiang-ngiang di cuping telinga saya dan member motivasi yang tidak boleh diucapkan dengan kata-kata:


Guru Malaysia

Kami guru Malaysia
Berikrar dan berjanji
Mendidik dan memimpin
Putera puteri Negara kita

Pada Seri Paduka
Kami tumpahkan setia
Rukun Negara kita
Panduan hidup kami semua 

Di bidang pembangunan 
Kami tetap bersama
Membantu, membina
Negara yang tercinta

Amanah yang diberi
Kami tak persiakan 
Apa yang kami janji
Tunai tetap kami tunaikan


(Lagu&Lirik: Hashim Ahmad)


( bacaan lanjut buku Trevelog Guru oleh Dr. Haji Rajiee Hadi)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan