PROFESION keguruan
selamanya dianggap mulia dan disanjung tinggi kerana peranan guru atau pendidik
bukan sekadar mengajar dan mendidik anak bangsa tetapi sebenarnya untuk
melahirkan satu generasi yang seimbang dan berketrampilan diri yang unggul.
Justeru sebagai
pendidik, sewajarnya kita berbangga dan menghargai kerjaya yang dihormati ini
agar kita berjaya merealisasikan hasrat murni yang terkandung dalam Falsafah
Pendidikan Negara.Apatah lagi cabaran dunia pendidikan era globalisasi abad
ke-21 yang hebat ini memerlukan guru melengkapkan diri dengan ciri-ciri
berkualiti bagi membawa tahap pendidikan negara yang lebih cemerlang.
Dan tuntutan semasa juga
memerlukan warga pendidik atau guru memerlukan kemahiran generik seperti
kemahiran teknologi maklumat (ICT), kemahiran komunikasi dan hubungan interpersonal dan
berusaha melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang relevan.
Para pendidik juga
dituntut agar sentiasa meningkatkan tahap kecekapan kerja melalui amalan budaya
kerja cemerlang, pembelajaran sepanjang hayat dan kod etika tatasusila
perguruan serta mengamalkan budaya kerja yang positif serta amanah dalam
menguruskan sumber pendidikan.
Kendatipun warga
pendidik merupakan agen perangsang minda utama pembangunan minda masyarakat
namun berbekalkan semangat yang kental dan obor perjuangan yang membara maka
mereka boleh berjaya mendepani dan menangani pelbagai masalah demi mendidik
anak-anak bangsa.
Dengan menghayati
sifat-sifat dan nilai-nilai murni, kualiti guru atau pendidik akan lebih
perkasa lagi dengan sikap guru yang inovatif , kreatif dan kritis. Lantaran
guru yang membudayakan dan memakmurkan ilmu,menatarkan kemahiran dan keupayaan,
sering menggabungjalinkan dengan maklumat dan pendekatan baru kependidikan,
bersifat dan bersikap penuh profesionalisme setiap masa akan melahirkan ke arah
guru yang lebih berkualiti.
Guru-guru yang memiliki
peribadi dan sahsiah mulia sebagai model akan menjadi ikutan pelajar.
Sementelahan pula seorang guru berkualiti ialah yang mempunyai ilmu yang
tinggi dan relevan, ketinggian budi pekerti, bersangka baik, ikhlas,keyakinan
diri yang tinggi,berfikiran terbuka dan mempunyai jati diri yang mantap.
Dan kesyukuran tidak
terhingga saya kepada Allah Subhanahuwataala yang telah memberikan limpah
hidayah dan rahmat-Nya kepada penulisan buku ini. Semoga buku “Travelog Guru ” yang dipaparkan ini dapat dijadikan teladan, kiasan,
perbandingan,peringatan dan sempadan dalam kehidupan warga pendidik.
Kepada bakal-bakal guru
yang akan menerjuni bidang keguruan kelak, buku ini diharapkan akan menjadi
aspirasi dan motivasi untuk anda jadikan bimbingan dan pedoman dalam perjuangan
di lapangan ini.
Kepada Hajah Misah binti
Mos ibu saya yang banyak membuahkan inspirasi dalam hidup saya; tiada dapat
budinya dibalas seumur hidup saya. Begitu juga kepada anak-anak dan menantunya
sekalian serta cucu-cucitnya khususnya cucu-cucunya: Muhammad Hatta, Halimatuns
Saqdiyah, Muhammad Haziq, Hayati Syaqira, Muhammad Haqim, Hazira Syafiqa,
Muhammad Helqmi, Muhammad Hafizi Syauqi, Harlina Fatihah, Hasmaheera Syafiqa
dan Muhammad Hilqman didoakan akan ada di antara kalian akan meneruskan
perjuangan dalam bidang pendidikan yang murni ini.
Dan kepada sesiapa juga
yang turut membangkitkan jiwa dan semangat saya dalam menjayakan penulisan dan
kelahiran buku ini tetapi tidak disebut namanya satu persatu namun mereka tetap
tersemat di kalbu saya.Semoga Allah S.W.T sentiasa memelihara dan melindungi
kita dari dunia hingga ke akhirat.Salam takzim saya kepada semua yang berbudi.
Selamat membaca.(oleh : Dr. Haji Rajiee Hadi)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan