“Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum menjadi dewasa
Dialah ibu dan dialah
bapa juga sahabat
Alor kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat...
Dua
rangkap puisi di atas nukilan Sasterawan Negara Dato’ Usman Awang adalah sifat
sempurna seorang insan yang bernama guru. Usman menyelam hati guru dan
mendedahkan sifat sempurnanya kepada semua, terutama kepada mereka yang pernah
menjadi murid kepadanya. Betapa benarnya Usman ketika mengkahiri puisi “Guru Oh
Guru” ini dengan rangkapan:
Jadilah apapun, pada akhir
kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulang ilmu
Penggilan keramat “cikgu” kekal
terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.”
Tafsiaran
semangat yang menjiwai puisi Usman ini mengingatkan sumbangan seorang bekas
guru yang juga seorang sasterawan, iaitu Haji Ismail Zamzam atau lebih dikenali
dengan Zam Ismail. Sifat-sifat yang terlukis dalam puisi itu adalah sesempurna
seorang guru bernama Zam. Walaupun sudah tidak lagi menulis di “papan hitam”
sekolah namun Zam masih dekat dengan profesion perguruan. Katanya, “Saya guru
dan pendidik dan sebagai seorang pendidik, sumbangan saya kepada masyarakat
merentas waktu selagi hayat dikandung badan.”
Amat
beruntunglah Zam yang pernah bertugas bekerja sebagai guru. Penyair Usman
mengungkapkan sifat dan fungsi guru dengan keindahan budi dan hati melalui
bait-bait yang puitis. Tidak seperti kebanyakan profesion lain, guru dihormati
dan dihargai, malah diktiraf sepanjang masa, terutama oleh bekas muridnya.
Profesion guru mempunyai harinya sendiri, iaitu Hari Guru yang disambut setiap
tahun pada 16 Mei, dua minggu sesudah rakyat menyambut Hari Pekerja. Maka
untungnya guru, bukan sahaja mereka merayakan Hari Guru tetapi juga Hari
Pekerja. Zam menerima anugerah tertinggi pendidikan itu bersama lima tokoh guru
atau bekas guru yang lain, iaitu Tan Sri Dr. Murad Mohd Noor (74) yang menerima
Anugerah Khas Menteri Pelajaran Untuk Kepemimpinan Pendidikan. Tokoh-tokoh guru
yang lain ialah Alice Wee Siew Eng (63), Krihnasamy a/l Thambusamy (62), Wan
Safinah Saleh (61) dan Ali Suhaily (60).
Zam
mewakili kaum guru dan bekas guru yang kegiatan kokurikulumnya adalah dalam
bidang persuratan. Anugerah ini akan menempatkan Zam yang berlatarkan
kesusasteraan sebagai sumber ilham pula kepada para sasterawan yang
menjadikan pendidik sebagai kerjayanya. Dan anugerah Tokoh Guru 2004
yang diterimanya itu adalah puncak daripada siri anugerah tokoh guru yang telah
diterimanya sempena Hari Guru.
Dua
tahun dahulu, Zam diiktiraf sebagai Tokoh Guru Johor. Setahun sebelumnya, Zam
dipilih sebagai Tokoh Guru Batu Pahat. Sementara pada tahun 1996 Zam menerima
anugerah Khidmat Cemerlang Kementerian Pendidikan. Rahsia kejayaannya? “Tidak
ada rahsia,” katanya. “Hanya diperlukan sikap positif ketika mendidik pelajar
supaya mereka bukan sahaja berilmu pengetahuan, malah berakhlak
tinggi, berwawasan dan berperi kemanusiaan yang secara langsung
membentuk masyarakat bertanggungjawab.”
Kerjaya
terakhir Zam dalam bidang pendidikan ialah sebagai Ketua Sektor Bahagian
Teknologi pendidikan, di Kementerian Pendidikan Malaysia (1993-1996).
Sebelumnya Zam merupakan Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia di Indonesia,
ketika itu dikenali juga sebagai Atace pendidikan, Kedutaan Besar Malaysia di
Indonesia. Pejabatnya terletak di Jalan Budikemuliaan di Jakarta Pusat. Zam
bertugs selama tiga tahun (1990-1993). Pengalamannya sebagai guru, pengetua
sekolah (terakhir sebagai pengetua Sekolah Menengah Dato’ Abdul Razak (SEDAR),
Seremban melengkapkan sahsiah dirinya sebagai pendidik yang tidak pernah kenal
erti letih dan bosan.
Lulusan
Sarjana Pendidikan Universiti Iowa Utara, USA ini bergiat
aktif dalam bidang persuratan secara berterusan. Ini merupakan salah satu
kriteria anugerah kecermelangan dan Zam mewakili bidang persuratan. Proses
pengembangan ilmu yang diamalnya secara berterusan dalam bidang ini tidak
terbatas kepada penulisan buku-buku yang ada kaitannya dengan alam
persekolahan. Zam turut berperanan menerbitkan hasil-hasil persuratan dan
penyelidikan sejarah melalui jawatan terkininya sebagai Timbalan Pengarah
Yayasan Warisan Johor.
Kini
beliau telah menerajui penerbitan hampir 30 judul buku melalui yayasan ini.
Antara judul-judul terakhir yang diterbitkan ialah “Shaharom Hussain Gapura
Sastera Johor” susunan Talib Samat yang pelancarannya disempurnakan sempena
Seminar Pemikiran Shaharom Hussain di Johor Bahru baru-baru
ini, “Sejarah Adat Istiadat Kesultanan Johor, 1529-1855” dan “Usman
Awang Penghubung Sastera Moden Dengan Akar Tradisi.”
Zam
menyahut seruan Kerajaan Johor agar “pulang kampung” untuk memberi sumbangan
kepada anak negeri Johor. Menteri Besar, Datuk Abd. Ghani Othman ketika mulai
memegang tampuk kuasa kerajaan di Johor satu dekad yang lalu telah menyeru
cerdik pandai anak Johor kembali berkhidmat di negeri sendiri. “Alhamdulilah,
saya memilih jalan yang betul dan kembali ke pangkuan negeri yang pernah
mendidik saya sebagai guru,” kata Zam ketika ditemui dalam Seminar Pemikiran
Shaharom Hussain di Johor Bahru, 5 Mei lalu.
Bidang
persuratan adalah wadah Zam dalam dunia pendidikannya. Malah Zam memberi ruang
untuk kesusasteraan bertapak di arena pendidikan. Dalam kegiatan ko-kurikulum,
misalnya, di mana sahaja Zam ditempatkan dia memberi nafas kepada kesussteraan.
Zam bertugas sebagai Guru Kanan bagi Matapelajaran Bahasa Melayu dan Sastera
Sekolah Tinggi Kluang pada tahun 1972 hingga tahun 1979. Pengalaman berkarya
ditambah pula dengan pengaruh karyanya memungkinkan pelajar lebih mesra
berinteraksi dalam bilik darjah. Satu kelebihan kepada pelajar untuk memahami
dan menghayati ajaran Zam.
Pada
tahun 1995 pula Zam dilantik sebagai anggota Panel Penasihat Penulisan Buku
Teks Bahasa Melayu Kementerian pendidikan. Dua tahun kemudian Zam ditugaskan
menulis buku-buku teks sastera dan panduan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu.
Barangkali pengalamannya sebagai salah seorang anggota Jawatankuasa Penggubal
Kertas Soalan Kesusasteraan Melayu di peringkat SPM pada tahun 1981 sebelumnya
menjadi pendorong kepada pihak terbabit untuk melantik Zam menulis buku teks
sastera.
Kegiatan
Zam di luar bidang perguruan adalah sepenuhnya dalam bidang kesusasteraan.
Malah Zam amat terhutang budi dengan dunia kesusasteraan kerana melalui
kegiatannya yang berterusan dalam dunia itulah dia diberi penghormatan untuk
terpilih sebagai salah seorang penerima Anugerah Tokoh Guru Nasional 2004. Zam
mula bergiat sejak tahun 1966 lagi apabila dia mengasaskan penubuhan Persatuan
Penulis Johor (PPJ). Zam menjadikan PPJ platfomnya pula untuk bergiat di
peringkat nasional mulai tahun 1972. Menurut catatan, Zam merupakan salah
seorang tokoh kesusasteraan negeri Johor yang paling lama memegang jawatan
Ketua Satu PPJ, iaitu selama 14 tahun. Zam dipilih Ketua Satu pada tahun 1967
hingga 1969. Kemudian dia dipilih semula pada tahun 1973 hingga tahun 1984. Dua
tahun kemudian Zam dilantik sebagai Penasihat tetap PPJ sehingga
sekarang.
Dalam
pemilihan jawatankuasa Gabungan Persatuan Penulis Nasional bulan lalu, Zam
terpilih sebagai seorang daripada lima anggota biasanya, mengalahkan dua calon
kawakan dari Selangor seperti Dato’ Ahmad Kamal Abdullah (Kemala) dan Dato’
Samad Maharuddin dari Kemudi. Di peringkat antarabangasa Zam terlibat aktif
dalam kegiatan sastera budaya dalam lingkungan Sijori (Singapura-Johor-Riau).
Zam dipilih sebagai salah seorang anggota Jawatankuasa Majlis Kerjasama
Persuratan (MAKEP) Rantau Selatan, Singapura, Johor dan Riau (2002).
Yang
mengharumkan namanya ialah kegiatan memfokuskan karya puisinya dalam
majlis-majlis rasmi anjuran institusi kerajaan baik di peringkat negeri mahupun
di peringkat kebangsaan. Misalnya, sempena perayaan Hari Ulang
Tahun ke-100 Batu Pahat beberapa tahun yang lalu, Zam diminta mencipta puisi
khas yang dibacakan dalam perayaan. Sebuah puisinya dibacakan dalam majlis
sempena perayaan Hari Kebangsaan peringkat nasional di Dataran Merdeka pada
tahun 2000. Puisi berjudul “Bersatu Ke Alaf Baru” bergema ketika berlangsungnya
lintas udara jet pejuang TUDM di hadapan dhif-dhif kehormat dan orang ramai
yang diketuai Duli Yang Dipertuan Agong.
Puisi
yang dicipta pada 15 Julai 1999 itu membabitkan tujuh rangkap. Dalam hening
pagi di hari bertuah, bergema kata-kata keramat dari bait-bait syahdu antaranya
dua rangkap yang paling mengharukan:
“...Siapalah kita
kalau bukan warga sebuah negara
merdeka
Siapalah kita
di arena antarabangsa
bersedia mendengar suara
kalau bukan warga sebuah
negara
berdaulat dan merdeka.
... tiada kematian paling nikmat
selain mengasihi tanah
leluhur
dan tanah kelahiran ini
di sini di bumi keramat ini
cinta kita terus seubur
bersemadi.”
Di
Pulau Pinang sebelumnya, Zam diberi penghormatan untuk membaca
puisinya dalam majlis pelancaran Tahun Membaca. Pada tahun 1989, Zam
terpilih untuk mewakili negara dalam Festival Baca Puisi Dunia di
Yugoslavia. Tidak ada yang lebih mengharukan Zam sebagai Tokoh Guru
Nasional selain melihat seorang bekas anak muridnya mencium tangannya ketika
Zam menerima cenderahti daripadanya. Anak muridnya itu, Datin Halimah
Saddique kini merupakan seorang exco kanan Kerajaan Negeri Johor.
Zam baru sahaja selesai membentangkan kertas kerja tentang Gapura Sastera Di
Atas Bukit dalam seminar sehari pemikiran Shaharom Hussain.
Demikianlah,
kesusasteraan, khususnya puisi, menjulang nama Zam bukan setakat sebagai
sasterawan tetapi juga sebagai pendidik. Pe ngiktirafan tertinggi dalam bidang
pendidikan tidak akan berjaya dirangkulnya tanpa kesusasteraan menjadi latar
kegiatannya. Zam memperkasa kesusasteraan dalam profesion gurunya, sebagaimana
halnya dia meningkatkan kerjaya perguruannya melalui penglibatannya dalam bidang
kesusasteraan. Dan tidak ada cara yang paling efektif untuk mengenang jasanya
selain pengiktirafan tertinggi sebagai Tokoh Guru Nasional 2004 yang
anugerahnya disampaikan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi
di Stadium Melawati, Shah Alam, pada 15 Mei 2004 lalu.
(sumber:
AF Yassin)
Nota: Zam lsmail atau lsmail Zamzam adalah
Ketua Satu Persatuan Penulis Johor (PPJ) ketika DRH menjadi ahli PPJ pada tahun
1978 yang lampau . Beliau banyak mendorong DRH terus maju dalam bidang
penulisan. Sajak DRH juga tersiar dalam 'Guru oh Guru' selenggaraan Zam lsmail).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan