SELAIN ibu bapa, guru merupakan sumber utama pelajar mendapatkan kasih sayang, berkongsi masalah dan mendapatkan sokongan. Guru harus memahami bahawa sekiranya pelajar terlibat dengan tingkah laku berisiko ini bermakna mereka melakukan sesuatu perlakuan yang tidak dapat dikawal dan berterusan memberikan kesan negatif. Ekorannya menimbulkan pertentangan dengan nilai agama dan sosial yang akhirnya tidak dapat diramalkan kesan buruk yang akan berlaku.
Sebelum guru mengenali sama ada pelajar mereka terlibat dengan tingkah laku berisiko tinggi atau tidak, mereka terlebih dahulu mengetahui dan memahami keperibadian atau tingkah laku mereka. Dalam keadaan normal, pelajar sering berbincang bersama ibu bapa, guru ataupun rakan sebaya.
Dalam beberapa isu kebelakangan ini, kedapatan pelajar yang tidak lagi berminat menghabiskan masa berehat bersama ahli keluarga mereka. lni menandakan isyarat atau petunjuk paling awal bahawa anak remaja mereka telah mula mempunyai masalah dan mula menghindari diri daripada berinteraksi dengan ibu bapa. Perubahan ini akan terbawa-bawa di alam persekolahan yang mana pelajar seperti ini akan berinteraksi bersama rakan-rakan sebaya yang mempunyai masalah yang sama dan saling mempengaruhi.
Guru yang prihatin dengan perubahan awal tingkah laku pelajar mereka perlu segera mengambil tindakan; bertanyakan kenapa berlakunya perubahan rutin harian yang telah biasa dilakukan dengan baik tetapi berubah sebaliknya. Dengan tindakan awal ini, pelajar yang mahukan perhatian guru akan merasakan dirinya dihargai dan diambil berat. Sebenarnya inilah yang mereka mahukan.
Petunjuk lain termasuklah cara pelajar berinteraksi dengan rakan-rakan lain, berenggang hubungan dengan kawan-kawan rapat di sekolah dan di rumah, cara berpakaian dan penggunaan wang yang mungkin berlebihan.
Guru harus berhati-hati apabila mengesyaki bahawa pelajar mereka telah mula terjebak dengan tingkah laku berisiko. Hubungan dua hala antara guru dengan ibu bapa; khususnya guru darjah/tingkatan haruslah terjalin tanpa sebarang kepentingan atau prejudis. Kadangkala anak didik kita tidak terlibat dengan perlakuan menyeleweng tetapi mendapati rakan rapat mereka yang terlibat dengan mereka akan berasa bersalah untuk tidak sama-sama turut serta. Dalam keadaan ini ibu bapa dan guru sepatutnya terlebih dahulu mengetahui perubahan tingkah laku anak remaja dan pelajar mereka dengan merujuk sumber daripada rakan rapat dan rakan-rakan kawan di sekolah yang selalu berinteraksi dengannya.
Pelajar berisiko acapkali pandai menyembunyikan aktiviti berisiko tinggi yang telah dilakukan dengan pelbagai cara. Ada yang memberitahu bahawa mereka tidak terlibat dalam pelanggaran disiplin tetapi dengan helah bela diri menuding rakan-rakan mereka yang melakukannya. Jika keadaan ini berlaku, ibu bapa atau guru boleh membawa rakan mereka yang terlibat bagi memastikan sama ada anak-anak anda atau pelajar anda juga turut terlibat atau sebaliknya.
Guru sewajarnya mengetahui bahawa ibu bapa yang intim hubungannya dengan anak remaja akan lebih mudah dapat mengesan perubahan tingkah laku anak-anak remaja mereka apabila mula terlibat dnegn tingkah laku berisiko tinggi. Perubahan cara percakapan, tidak suka menghabiskan masa lapang bersama keluarga, mula berbohong, , tidak menghabiskan waktu santai di rumah dan mula tidak berminat untuk memberi tumpuan kepada amalan keagamaan dan mengabaikan tugasan sekolah di rumah antara lain beberapa petanda pelajar bertingkah laku berisiko. Justeru kerjasama erat guru memperoleh info daripada ibu bapa amatlah membantu.
Bersandarkan senario ini terdapat sekelompok ahli sosiologi Barat membuat kesimpulan bahawa anak-anak remaja ini mudah terjebak dengan tingkah laku berisiko tinggi berpunca daripada keadaan masyarakat yang berkonsepkan teknologi elektronik. Kebebasan dan kemudahan pencapaian maklumat yang digunakan untuk tujuan tidak baik yang berleluasa hari ini memudahkan lagi remaja terlibat dengan aktiviti berisiko tinggi.
Guru sewajarnya memahami situasi yang mana kedapatan ibu bapa dan anak remaja gagal utuk mendapat kata sepakat dalam berbagai-bagai hal disebabkan sikap, persepsi dan matlamat perlakuan di antara kedua generasi ini ternyata berbeza. Apabila ibu bapa secara berterusan menegur anak remaja yang melewat-lewatkan waktu untuk bersolat atau bersembahyang misalnya, anak remaja akan menyatakan bahawa waktu bersolat masih panjang. Contoh ini menunjukkan perbezaan pendapat dua generasi kendatipun telah ditentukan tempoh yang sebaik-baiknya untuk bersolat.
Sehubungan ini dapatlah dirumuskan bahawa konflik di antara anak remaja dengan ibu bapa , guru dengan pelajar mudah diatasi apabila di peringkat perhubungan awal anak-anak didik ini diletakkan peraturan khusus yang perlu dipatuhi dengan tegas, bijaksana berhemah demi mewujudkan kesejahteraan kedua-dua belah pihak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan