HAJI DR. RAJIEE HADI

HAJI DR. RAJIEE HADI
SERIBU WARNA SERIBU MAKNA

3 April 2013

PENDATANG ASING BAHAYA MALAYSIA TERKINI


PENDATANG asing telah 'menawan' negara kita dari Langkawi hingga ke Johor Bahru dan dari Perlis hingga ke Sabah. Pendatang Myanmar yang tidak kita sedar kehadiran mereka pun, ramai sudah ditangkap di Kuala Lumpur dan di Johor Bahru. Pendatang bangsa lain jangan dikata lagi. Bebas di mana-mana. Bahkan ada syarikat yang menggunakan pendatang haram sebagai "Pengawal Keselamatan".

Frasa 'menawan' bermakna mereka sudah 'menguasai kita' sehingga jabatan penguat kuasa pun tak begitu berkesan lagi menangani pelbagai kerenah jenayah mereka. Di Kuala Lumpur umpamanya, Datuk Bandar mengaku penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak mampu mengambil tindakan terhadap pendatang yang berniaga di gerai. Ini kesalahan yang sangat kecil. Apatah lagi jenayah besar dan sofistikated.


(Gambar Hiasan Ketika Operasi Daulat di Lahad Datu,Sabah,Malaysia)


 Negara kita yang aman makmur dan sikap kita yang suka berbudi dan 'tak kisah apa nak jadi', mengundang macam-macam jenis pendatang dari seluruh dunia. Makin ramai, tak terkira jumlahnya. Pelbagai berita jenayah pendatang - yang serius - tersiar dalam televisyen dan akhbar hampir setiap hari - dah jadi macam cerita hiburan.

 Semakin banyak koloni haram orang asing didirikan, terutama di sekitar Lembah Klang hingga ke Pulau Langkawi - termasuk mendirikan rumah batu - di atas tanah milik kerajaan, di pinggir pantai dan malah di atas tanah milik peribadi. Tidak nampak penguat kuasa, termasuk polis yang bertindak. Koloni ini dipercayai menjadi tempat persembunyian dan penampungan pendatang haram. Contohnya, "kampung orang Burma" di Pulau Langkawi - jelas terpampang di depan mata. Situasi ini bagaikan sudah jadi perkara biasa.Justeru kita tidak perlu berbuat apa-apa!

Jadi Syurga Pendatang Haram

Tragedi yang tidak pernah terduga di Lahad Datu dan Semporna - jelas membuktikan bahawa pendatang yang kita sambut dan beri layanan istimewa, boleh membawa gerombolan pengganas
bersenjata, menggugat kedaulatan dan keselamatan kita. Nyatalah, persamaan rumpun bangsa dan agama bukan suatu jaminan.

Kita terlupa pesan nenek moyang: "Buat baik berpada-pada. Ada musuh dalam selimut. Ada gunting dalam lipatan".

Sebagaimana kata Johan Jaafar:" Sudah terlalu lama we have taken things for granted. Kita terlalu bermurah hati; membenarkan mereka datang ke bandar-bandar, pulau-pulau dan wilayah kita. Ada kes-kes pencolekan dan pembunuhan. Masih juga kita menutup mata".

Mereka mendirikan kampung air dan kita tidak buat apa-apa tindakan. Tanpa kita sedar mereka sudah berada di mana-mana. Bandar-bandar di sempadan (termasuk di Semenanjung) jadi syurga orang asing. Kita terkejut melihat jutaan pendatang haram di keliling kita. (New Straits Times 16 Mac 2013).

Sebenarnya "kita" tak terkejut kerana "kita" tak pernah ambil kisah dan belum terasa ada bahaya. Walaupun Utusan Malaysia sering mengingatkan kita. Tiba-tiba Lahad Datu dan Semporna menyebabkan kita menangis tak berlagu. Berkempenlah kita memungut derma untuk anak-isteri perajurit yang terkorban. Lagu-lagu patriotik pun berkumandang semula di radio dan televisyen.

Menurut banci penduduk 2010, sebanyak 27.7 peratus (%) penduduk Sabah adalah bukan warganegara. Sekarang 2013 - sudah berapa peratus? Mana-mana negara pun yang mempunyai penduduk bukan warga negara begini ramai - apa lagi pendatang haram - lambat laun pasti akan ditimpa mala petaka bencana politik yang serius.


Beberapa tahun terakhir ini kita mengalami masalah sosial-politik yang semakin serius - akibat terlalu ramai rakyat yang asalnya pendatang - berjuang untuk mendapat lebih banyak kuasa politik. Pemimpin-pemimpin mereka juga masih kuat mempertahankan budaya, bahasa dan identiti asal mereka. Di Sabah, lebih serius lagi apabila ada pendatang yang menuntut Sabah adalah pusaka milik mereka.

Kata Presiden Benigno Aquino, terdapat 800,000 pekerja Filipina di Malaysia (sebahagian besar pastilah di Sabah). Di samping itu, menurut Mohd. Zaki Harry Susanto, Setiausaha Persatuan Rumpun Etnik Suluk, ada 300,000 orang Suluk yang terdaftar sebagai warganegara Malaysia. Tiada yang pasti berapa ratus ribu pula pendatang haram, termasuk yang mendirikan koloni dan hidup bebas di pulau-pulau di perairan timur Sabah.

Wartawan NST, Desmond Davidson yang membuat tinjauan di Pulau Bum Bum menulis cerita yang menarik mengenai pendatang haram dari Sulu. Di pulau ini terdapat 50 kampung, dua daripadanya didiami pendatang Sulu. Jumlah mereka sekitar 200 orang, tetapi merekalah yang paling banyak menimbulkan kacau-bilau.

Suku Bajau - majoriti penduduk daerah Pantau Pantau - tidak senang hati kerana Sulu Filipina ini menduduki kampung itu tanpa mempedulikan undang-undang.

Kata Ketua Kampung, Bhogo Abad, "Mereka menanam jagung dan ubi kayu di atas tanah milik orang dan menganggap tanah itu milik mereka. Mereka membina surau sendiri. Tidak mematuhi peraturan agama yang ada dan tidak mengakui saya sebagai ketua kampung. Di pulau ini seperti di selatan Filipina - tidak ada undang-undang. Tidak ada polis."

Tragedi pencerobohan di Sabah ini, bukan lagi sekadar isu keselamatan tetapi telah menjadi masalah politik yang sensitif dan amat sulit ditangani. Di belakangnya ada persaingan merebut kuasa politik. Membabitkan pula hubungan dengan negara jiran tetangga. Menyukarkan pula kita membezakan antara orang "Sulu" dan "Suluk" - antara generasi Tun Datu Mustapha dan anak cucu mereka dengan generasi yang baharu tiba. Kesetiaan mereka masih di selatan Filipina, tetapi mahu terus menetap di Malaysia. Inilah akibat membiarkan pendatang 'menawan' kita.

Salah Kita Sendiri

Salah satu kesalahan besar kita ialah melunakkan panggilan "pendatang haram" sebagai "pendatang tanpa izin". Terlalu berbudi bahasa bukan pada tempatnya. Akibatnya kita merasa pendatang haram bolelah kita terima - bukan suatu kesalahan besar. Tiada membawa apa-apa bahaya. Sekarang kita lihat padahnya.

Kata bekas, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan: "Pekerja asing terutama PATI (pendatang haram), tidak mempunyai ketaatan kepada Malaysia. Kalau terlalu banyak pekerja asing - kalau berlaku apa-apa - terdapat 'askar tersedia' di sini. Justeru kita perlu perketat penguatkuasaan untuk memastikan tiada lagi PATI (pendatang haram) masuk ke negara ini."

(Benarlah pemerhatian Musa, 'askar tersedia' sudah ada di Lahad Datu dan Semporna.)

Kata Musa, " Kalau tak silap saya, kita ada dua juta PATI, sedangkan polis 100,000 dan tentera 150,000. Cukupkah polis dan tentera hendak menghadapi mereka?" Jawab Musa, "Tak cukup!"

Tegasnya: "Kemasukan pelancong dan pelajar asing juga perlu dipantau dengan lebih ketat bagi memastikan mereka tidak menyalahgunakan kebenaran yang diberikan, untuk aktiviti jenayah. Kita mahukan pelancong bukan pelacur. Kita mahukan negara jadi hab pendidikan, bukan hab pengedar dadah." (Utusan Malaysia 19 Mac 2013).

Pesan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, insiden di Sabah ini "is a wake-up call for us, not only for the government but also the rakyat". Tidak saja di Sabah, tetapi di seluruh negara. Mesti bangun dan bertindak tegas macam "Ops Daulat".

Peristiwa hitam - ganas - kejam di Sabah ini sepatutnya benar-benar menyedarkan kita daripada terlena oleh kesenangan: Bahawa "pendatang haram" - dari mana juga - adalah "musuh kita". Mestilah ditangani dengan tegas - bersepadu dan sungguh-sungguh. Perdana Menteri sudah melancarkan tindakan tegas di Sabah. Tidak boleh lagi ada tindakan sambil lewa. -
 (sumber petikan bebas daripada akhbar-akhbar tempatan)

24 Mac 2013

PENCERAMAH MOTIVASI KINI BANYAK YANG TEMBERANG ?





APABILA jenama ‘Islam' itu laris, ramai orang menggunakannya. Sama ada mereka itu ikhlas kerana Allah, ataupun kerana ‘market demand' hanya Allah sahaja yang maha mengetahui. Bermula dari pelbagai produk makanan dan barangan cuba dikaitkan dengan agama sehingga kepada pelbagai jenis motivasi. Akhirnya, agama kelihatan murah dan selekeh.

Ubat-ubatan yang entah apa-apa kualitinya dikaitkan kononnya makanan Nabi SAW Sama seperti sesetengah para penjual tamar di Mekah dan Madinah yang apabila melihat orang asing akan berteriak memanggil pembeli dengan menyebut: "Tamar Nabi! Tamar Nabi! Tamar Nabi!"

Saya sering menjawab mereka dengan berkata: "Tamar Nabi SAW baginda sudah pun makan dan habis pada zaman tersebut. Ini tamar awak punya, bukan Nabi SAW punya."

Malangnya, orang yang tidak tahu akan tertipu lalu membeli tamar dengan harga berlipat kali ganda hanya disebabkan laungan ‘tamar Nabi SAW'. Agama sering menjadi alat penipuan dan kepentingan golongan yang pandai mengekplotasikannya.

Tuntutan pasaran

Saya tidak menyatakan semua, tapi sesetengah penceramah motivasi yang tidak mendalami agama juga demikian. Oleh kerana ceramah merupakan pendapat utama ataupun besar bagi sesetengah pihak, maka mereka mencari jalan untuk memenuhi ‘market demand' (tuntuan pasaran).

Apabila mereka melihat unsur agama mendapat sambutan, maka mereka pun memasukkan unsur agama dalam ceramah-ceramah mereka. Malangnya, mereka mula ‘merepek' ataupun mengada-adakan atas nama agama apa yang tiada asas dari al-Quran dan al-Sunnah.

Contohnya, ada yang menyatakan kita sebelum tidur hendaklah memohon maaf kepada semua kenalan. Jika Islam mewajibkan hal yang seperti ini, tentulah sukar bagi para sahabat yang pada zaman mereka tiada SMS, telefon, WhatsApp ataupun apa sahaja teknologi seperti hari ini.

Islam menyuruh kita memohon maaf apabila kita melakukan kesalahan, bukan setiap kali hendak tidur. Pandangan motivasi seperti itu sekadar menggayakan syarikat-syarikat telekomunikasi sahaja.

Ada pula yang menyuruh isteri sentiasa memohon agar suami menghalalkan makan dan minum yang diberikan. Ini adalah kedangkalan faham terhadap hukum syarak. Suami diwajibkan syarak memberikan isteri dan anak-anak makanan, minuman, pakaian dan tempat tinggal. Jika suami gagal memenuhi hal ini tanpa sebab yang sah maka dia berdosa di sisi Allah.

Jika gagal, suami yang sepatutnya meminta maaf kepada isteri dan anak-anak. Lihat arahan Allah kepada suami yang menceraikan isteri yang bermaksud:

"Tempatkanlah isteri-isteri (yang menjalani iddah) itu di tempat kediaman kamu sesuai dengan kemampuan kamu; dan janganlah kamu adakan sesuatu yang menyakiti mereka (di tempat tinggal itu) dengan tujuan hendak menyusahkan kedudukan mereka (supaya mereka keluar meninggalkan tempat itu), dan jika mereka sedang mengandung, maka berikanlah kepada mereka nafkah sehingga mereka melahirkan anak yang dikandungnya; kemudian jika mereka menyusukan anak untuk kamu, maka berikanlah kepada mereka upah; dan berundinglah antara kamu (dalam hal penyusuan) dengan cara yang baik. Dan (sebaliknya) jika kamu (dari kedua pihak) mengalami kesulitan, maka bolehlah perempuan lain menyusukannya. Hendaklah orang yang mampu (suami) memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang di sempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadaNya. (Ingatlah) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan."(Surah al-Talaq ayat 6-7)

Hatta dalam iddah dan selepas bercerai pun masih ada tanggungjawab suami. Inikan pula semasa perkahwinan masih berjalan. Firman Allah lagi yang bermaksud:

"Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi sesiapa yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya." (Surah al-Baqarah ayat 233).

Walaupun majoriti ulama berpendapat ibu hanya disunatkan ataupun digalakkan menyusukan anaknya, namun mereka tetap berpendapat jika tiada siapa selain ibu yang dapat menyusukan anaknya, maka menjadi wajib ke atas ibu untuk menyusu. (Wahbah al-Zuhaili, al-Tafsir al-Munir, 2/360. Beirut: Dar al-Fikr al-Mu'asir 1991)

Pandangan timbulkan salah faham

Justeru, anak memang wajib berbuat baik dan menghormati ibu, tetapi dalam Islam tiada ungkapan kena meminta halal susu ibu yang telah kita minum. Sebaliknya, jika seseorang ibu meninggalkan anak tanpa susuan dan tiada gentian yang selayaknya, maka ibu itu berdosa.

Demikian isteri tidak perlu meminta halal dari suami kerana itu adalah tanggungjawab yang Allah fardukan ke atas suami. Hanya isteri memohon maaf jika dia gagal menunaikan tanggungjawabnya sebagai isteri. Nabi SAW mengingatkan suami dan bapa dengan sabda baginda:

"Seseorang cukup berdosa dengan dia cuai terhadap sesiapa yang menjadi tanggungjawabnya untuk memberi makan". (Riwayat Abu Daud, bertaraf hasan)

Pendapat-pendapat seperti itu meletakkan isteri dalam keadaan bersalah kerana memakan nafkah yang suami berikan sehingga kena meminta halal. Malangnya, kurang ditekankan tanggungjawab suami terhadap keluarga. Ini memberikan persepsi yang salah tentang Islam. Juga menjadikan suami sering rasa tidak bersalah atau kurang bersalah atas kecuaiannya.

Ini diwarisi sehingga dalam politik di mana rakyat sentiasa dianggap bersalah sehingga terpaksa akur apa sahaja yang dilakukan oleh penguasa disebabkan pemberian ataupun kemudahan infrastruktur yang diberikan ataupun disediakan oleh kerajaan. Tanpa mengingatkan itu adalah tanggungjawab penguasa yang jika mereka cuai mereka berdosa.

Nafkah haram?

Ada pula penceramah motivasi yang menyatakan anak-anak yang tidak cemerlang belajar disebabkan sumber wang pendapat bapa itu tidak halal. Isteri dianggap turut berdosa atas pendapatan haram suami. Kita bertanya, apa yang hendak mereka jawab mengenai anak-anak non-muslim yang cemerlang sedang ibu bapa mungkin terlibat dengan riba dan seumpamanya.

Dalam Islam, isteri-anak tidak bersalah atas kerja buat suami. Nafkah yang diberikan suami kepada isteri dan anak adalah halal diterima kerana itu tanggungjawab suami. Dosa hanya ditanggung oleh pihak suami sahaja jika wang itu diterimanya secara haram. Adapun isteri dan anak, mereka menerimanya secara halal kerana ia nafkah yang wajib.

Seorang lelaki bertanya kepada Abdulllah bin Mas'ud: "Aku ada jiran yang memakan riba dan dia selalu menjemputku makan".

Jawab ‘Abdullah bin Mas'ud: "Engkau dapat makan, dosa ditanggung olehnya." (Musannaf ‘Abd al-Razzaq, bil: 14675)

Dalam riwayat al-Baihaqi, seseorang bertanya Ibn ‘Umar bahawa beliau ada jiran yang memakan riba atau mempunyai pekerjaan yang haram, kadang-kala dia jemput makan, bolehkah hadir?.

Jawab Ibn ‘Umar: Ya" (al-Sunan al-Kubra, bil: 11138)

Al-Syeikh al-‘Allamah Muhammad Solih ibn al-Uthaimin pernah ditanya mengenai hukum nafkah yang diterima oleh isteri dan anak dari suami yang terlibat dengan bank riba, apakah mereka boleh mengambilnya.

Beliau menjawab: "Ambillah nafkah itu dari bapa kamu. Kamu mendapat kenikmatan, dia pula mendapat dosa. Ini kerana kamu mengambil nafkah tersebut secara berhak. Harta padanya, dan kamu tiada harta. Kamu mengambilkan dengan cara yang benar. Sekalipun kesalahan, balasan dan dosa ke atas bapa kamu, jangan kamu gusar. Nabi SAW pun menerima hadiah dari Yahudi, memakan makanan Yahudi, membeli dari Yahudi sedangkan Yahudi terkenal dengan riba dan harta haram, tetapi Rasulullah SAW memakannya dengan jalan yang halal. Maka, jika seseorang memilikinya dengan jalan yang halal, maka tidak mengapa."

Ahli motivasi juga jangan lupa, wang yang diperoleh melalui motivasi yang tidak benar dan menggunakan nama Allah dan rasul-Nya secara salah juga termasuk dalam senarai yang haram.

Bacaan datangkan khasiat

Ada pula pakar motivasi mengeluarkan petua kononnya bacaan itu dan ini mendatang pelbagai khasiat. Ada yang kata baca fatihah untuk ibubapa setiap pagi mendatangkan rezeki. Padahal tiada bukti dari al-Quran dan al-Sunnah yang menyebut kelebihan itu. Pemberi rezeki hanyalah Allah. Bilakah Allah menurunkan wahyu kepada mereka ini memberitahu jika manusia baca ayat-ayat ini Dia akan turunkan rezeki?

Inilah yang al-Imam Ibn Jauzi (meninggal 597H) ulas mengenai tipu daya iblis terhadap golongan wu'adz dan tukang cerita ini:

"...maka golongan awam dan wanita begitu suka kepada mereka. Lantas orang ramai tidak lagi sibuk dengan ilmu sebaliknya mereka berpaling kepada cerita-cerita dan perkara yang diminati oleh orang yang jahil. Maka timbullah berbagai bidaah dalam bidang ini... di kalangan mereka ada yang memalsu hadis-hadis dalam al-targhib (menggalakkan ibadah) dan al-tarhib (menakutkan orang ramai terhadap maksiat). Iblis menipu mereka lalu mereka berkata: tujuan kami ialah untuk menggalakkan orang ramai kepada kebaikan dan menghalang mereka daripada kejahatan. Ini adalah penambahan mereka terhadap syariat. Justeru dengan perbuatan ini, syariat pada sisi mereka adalah cacat dan berhajatkan kepada penyempurnaan."

Mereka lupa sabda Nabi SAW: "Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka" (Ibn Jauzi, Talbis Iblis, m.s. 143 , Beirut: Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah).

Bukan tujuan tulisan ini menghalang ahli-ahli motivasi bercakap agama, tetapi pastikan apa yang disebut itu berasas dan benar dari segi faktanya.


(sumber oleh: PROF MADYA DATUK DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN bekas mufti Perlis. Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi mana-mana media yang menyiarkannya .Judul asal artikel ini  'Bila Cermah Motivasi Merepek', MK,15 Mac 2013)

3 Mac 2013

SULU: TRAGEDI SEBUAH KEHIDUPAN



MENYELUSURI sejarah silam Kesultanan Sulu pernah  suatu zaman Kesultanan Sulu gah di persada dunia, sejarahnya persis era PEMERINTAHAN KESULTANAN MELAYU MELAKA. Ramai pendakwah dari keturunan Rasulullah S.A.W dan juga WALI SONGO  dari tanah JAWA telah sampai ke kepulauan SULU dan mengislamkan rakyatnya.

 Mereka  ditanam dengan ketauhidan yang sangat kuat dalam hati. Mereka hidup aman damai dengan kasih sayang dan keberkatan melata di bumi SULU yang subur dan pernah menjadi saksi tertegaknya kerajaan ISLAM suatu masa dahulu dengan nama SULU DARUL ISLAM

Kini masyarakat di Kepulauan Sulu hidup dalam keadaan yang amat daif, tanpa bekalan air bersih yang mencukupi, tanpa bekalan elektrik, rumah yang usang beratapkan rumbia berlantaikan buluh, tiada pendidikan yang sempurna, jauh daripada pembangunan dan kecanggihan teknologi, tanpa kewarganegaraan, tersisih dan berserakan di mana-mana. 

Kehidupan kanak-kanak Sulu yang memerlukan pembelaan, pendidikan, dan usaha mengembalikan zaman kanak-kanak
yang gembira.
Kawasan perairan Sulu belum tercemar, dan menjadi tempat pembiakan ikan, di jetinya sahaja
banyak ikan sebesar tapak tangan berenang-renang.

Kehidupan yang sentiasa kelaparan serta susah akibat kemiskinan yang menghimpit dek kesan peperangan yang panjang; era penjajahan Sepanyol, Amerika,Jepun dan kembali berperang dengan Amerika. Di pulau Luzon identiti Kemelayuan dan keislaman telah pudar dan hilang akibat kristianiti dan percampuran perkahwinan penduduk tempatan dengan keturunan Cina,Jepun dan imperialis Amerika.

Bersandarkan  semerbak harum mewangi suara kemanuasiaan sejagat membawa mesej cinta dan kasih sayang untuk semua warga rumpun Nusantara ini maka kita berkongsi derita lara umat Nabi S.A.W dmi sebuah rahsia cinta. Kita memfokuskan untuk menyeru semua pihak yang mahu bersama agar dapat membantu dan meringankan kesusahan rakyat umat Islam di Sulu supaya mereka dapat menikmati makanan dan keperluan asas yang mampu meringankan kesusahan mereka. Sudah sampai masanya kita hulurkan kasih sayang yang lama tidak dinikmati umat Islam di SULU.

Kepulauan Sulu 100% adalah Islam. Sulu pernah didatangi pendakwah Arab yang dikatakan daripada keturunan Rasulullah S.A.W. Mereka inilah yang telah mengislamkan keseluruhan masyarakat di Sulu dan berkahwin dengan masyarakat setempat dan menetap sehingga kini. Masyarakat Sulu sangat menghormati golongan ulama . Mudah-mudahan ada saudara seagama yang bangkit membantu atas dasar kasih sayang, kedamaian dan persaudaraan dalam Islam.

Dengan semangat dan DASAR KASIH SAYANG pada umat baginda Nabi S.A.W sebuah badan NGO 'Ikatan Kekeluargaan Rumpun Nusantara (HARUM) tampil mengambil inisiatif merintis MISI KEMANUSIAAN KASIH SAYANG dengan sumbangan berupa pakaian dan wang kepada rakyat SULU TERTINDAS. Beberapa siri Misi Kemanusiaan ini akan dihantar lagi untuk membantu meringankan bebanan yang ditanggung rakyat Islam di sana. Alhamdulillah segala perjalanan selamat cuma memenatkan dan mereka  melihat sendiri kedamaian SULU dan kemelaratan rakyatnya yang menagih seteguk rasa kasih.
Anak kecil yang tidak mengerti apa-apa ini menemani ibunya mengambil air untuk kegunaan harian ; redup mataknya mneceritakan 1001 kisah duka masyarakat Sulu yang hidup tanpa bekalan air dan elektrik sejak sekian lama. 

Namun tragedi pencerobohan apa yang dinamakan 'Tentera DiRaja Kesultanan Sulu' (tidak mewakili keseluruhan rakyat Sulu) ke Lahad Datu,Sabah,Malaysia yang mana kemuncaknya berlaku tembak menembak pada 1 Mac 2013 yang mengakibatkan dua komando VT69 PDRM terbunuh dan beberapa cedera serta terbunuhnya beberapa orang di pihak lawan sungguh menyayat hati. (kini 3/3/2013 5 anggota PDRM telah terbunuh termasuk di Semporna,Sabah)

Penulis mengucapkan takziah yang mendalam kepada kepada semua mangsa saudara se-lslam khususnya kepada keluarga anggota pasukan keselamatan Malaysia yang dipertanggunjwabkan menjaga kedaulatan negara.Semoga Allah cucuri rahmat ke atas roh mereka. Begitulah bermulanya era penjajah Sepanyol sejak abad ke-16 memecahbelahkan kita umat lslam lantaran permusuhan dan dendamnya selepas zaman perang salib.Kita umat lslam dan bangsa rumpun Melayu di wilayah lain; beringat-ingatlah bahawa musuh lslam sentiasa wujud tidak kira mengira waktu dan zaman.








Anak kecil yang tidak mengerti apa-apa ini menemani ibunya mengambil air untuk kegunaan harian; redup matanya menceritakan 1001 kisah duka masyarakat Sulu yang hidup tanpa bekalan air dan elektrik sejak sekian lama.



Beratapkan rumbia, berlantaikan buluh; kedaifan ini melata ke seluruh Kepulauan Sulu.



Pemandangan pekan di Kepulauan Sulu, aktiviti perniagaan di sini juga sekadarnya sahaja. Yang banyak dijual adalah makanan ringan --itu sahaja kemampuan mereka di sini. Selebihnya ubi,kelapa dan sumber alam menjadi sandaran mereka untuk hidup.


Pemandangan laut lepas dan aktiviti laut masyarakat Sulu.


Keadaan sebenar kedai di Kepulauan Sulu ..perhatikan deretan kedai yang usang dan jalan tanah


Rumah di kawasan pantai juga ibarat perkampungan setinggan yang berasak-asak serta laluan yang sempit bertitikan buluh.


Si ibu menangis kerinduan setia menanti kepulangan anak perempuannya yang telah berhijrah dan berkahwin di Malaysia tetapi tidak berani kembali ke Kepulauan Sulu. Air mata kerinduan bergenang di kelopak mata si ibu menceritakan rasa kerinduan kepada anak tercinta, mengenangkan kudrat semakin lemah, beliau berdoa berharap agar dapat menatap wajah dan melepaskan kerinduan kepada anak yang disayangi . Kesan peperangan yang panjang menyebabkan ramai ahli keluarga terpisah dan berpisah.


Keadaan sekolah dari pintu masuk hadapan, ibarat hidup segan mati tidak mahu.Bandingkan SJK Cina dan SJK Tamil di Malaysia.


Keadaan atap sekolah di Sulu yang sangat daif dan berlubang-lubang dan kayu yang mula mereput.


Sekolah saudara se-Islam di Filipina yang tidak mendapat perhatian, namun masih digunakan kerana masih ada yang sanggup mengajar walaupun tidaklah mendapat gaji yang setimpal.


Dua gambar di atas ini menunjukkan bagaimana daifnya sekolah umat ISLAM di SULU, Berbaju pink adalah pengetua sekolah berkenaan . Menurut beliau bantuan untuk sekolah telah lama dihentikan. Namun dengan penuh dedikasi beliau tetap meneruskan usaha mendidik anak-anak muda.


Anak kecil yang tidak bersalah; mereka menjadi mangsa kerakusan dan ketamakan manusia. Kebanyakan rumah masyarakat di SULU hanya berdindingkan buluh, beratapkan jerami, dikatakan hanya sebuah sahaja rumah batu sempurna di pulau ini


Masjid ini mengambil masa yang sangat lama untuk disiapkan dan menanti lebih sumbangan untuk menampung kos pembinaannya bagi kegunaan umat Islam di sana. Perhatikan lumut-lumut yang terbentuk pada dinding masjid ini.Betapa sukar sekalipun kerana cintakan ISLAM mereka terus berusaha dan yakin dengan bantuan ALLAH ; itulah semangat rakyat Kepulauan Sulau yang kuat tauhidnya kepada ALLAH SWT.


Keadaan dalam masjid yang masih menanti sumbangan untuk disiapkan bagi kegunaan umat Islam di Sulu


Kepulauan SULU mempunyai pantai dan pemandangan yang indah memukau. Tahukan anda kepulauan SULU di iktiraf dunia sebagai mempunyai pantai tercantik di dunia namun--belum diterokai. Rumah ini dihuni keturunan pendakwah Islam (Syarif) yang pernah datang dan mengislamkan rakyat di sini.


Ahli keluarga Pak Harun yang menjadi tempat singgah kami menyelami kesusahan kehidupan mereka yang digambarkan dengan imej negatif oleh media antarabangsa. Garis-garis kedut di mukanya serta wajah sayu anak-anaknya menggamit isi hati kami.


Keadaan lantai rumah beralaskan kepingan buluh yang yang berlubang -lubang menggambarkan kesusahan kehidupan 8 sekeluarga


Dalam kesusahan mereka sangat meraikan tetamu, kehadiran delegasi MISI KEMANUSIAAN KASIH SAYANG mewakili rakyat Malaysia diraikan dengan penuh rasa ikatan persaudraan seolah-olah telah lama berkenalan dan mereka sangat mengharap agar kita bantu membela nasib mereka


Beginilah keadaan dalam rumah umat ISLAM SULU, tiada bilik..inilah tempat tidur satu keluarga. Sesetengah anak lelaki dewasa perlu tidur di luar beralaskan lapik sekadarnya . Perhatikan anyaman buluh yang mulai mereput. Tiada elektrik, sumber air terhad dan tiada apa-apa. Kembali ke zaman Tanah Melayu era 1940-an


Seorang anak muda SULU terpaksa menanti air untuk kegunaan keluarganya. Bekalan air untuk minum dan kegunaan harian terpaksa dicatu di sana.


Biarkan gambar ini menceritakan kesusahan RAKYAT SULU yang tertindas


Gambar anak ini berjaya kami rakam; hibanya hati melihat kemelaratan mereka terpaksa ditanggung anak-anak kecil yang tidak mengerti apa-apa.


Pengangkutan utama di SULU...dalam kesesakan lori ini seorang ibu terpaksa menyusukan anak kecilnya yang menangis kelaparan. Menitis air mata seorang ahli misi mengenangkan kesengsaraan yang dihadapai rakyat SULU.


Kehidupan masyarakat yang dinafikan hak dan kewarganegaraan...wajah ini perlu digembirakan . Masyarakat Sulu mempunyai wajah orang Melayu Semenanjung Malaysia.Maklumlah mereka adalah rumpun Melayu  Nusantara. Mereka kuat berpegang pada intipati ajaran Islam-Ketauhidan Kepada Allah.


Persis stor dan tidak layak lagi dihuni...pemandangan ini biasa di SULU namun mereka tetap yakin kepada ALLAH dan kalimah syukur sentiasa meniti dibibir mereka. Begitu berbekas kesan dakwah ISLAM pada jiwa UMAT ISLAM SULU.


Pemandangan indah Kepulauan Sulu yang sangat mendamaikan jiwa ....masih banyak kawasan yang kami tidak sempat pergi ini hanya secebis dari beratus-ratus gugusan pulau di Kepulauan Sulu


Kepulauan Sulu mempunyai "crystal clear water" ....kemasinannya kurang berbanding laut di Malaysia. Sangat berlainan suasana udara pantainya

Begitulah serba sedikti perkongsian foto dan gambaran kehidupan masyarakat Islam di SULU. Penulis mengucapkan syabas dan berterima kasih kepada pasukan misi HARUM. Semoga ada NGO lain baik di Malaysia mahupun di Brunei dan lndonesia bersedia berlapang dada menghulurkan bantuan kepada mereka. 


Maka terfikir di benak penulis; " Alangkah bertuahnya rakyat Malaysia yang membuka pintu pula kepada pendatang luar dari China dan lndia pada zaman silam hingga ke saat ini,Sekiranya kepulauan Sulu dahulu itu 'dimasukkan' ke dalam gagasan Malaysia pada suatu waktu dahulu alangkah beruntungnya nasib mereka yang walang...Begitulah induknya Filipina yang bagaikan 'menyisihkan tidak berlaku adil' kepada wilayahnya Sulu termasuk Mindanao'. Nasib Sabah dan Sarawak amat gemilang setelah bersatu dalam Malaysia.Fikir-fikirkanlah! (DRH) (sumber disesuaikan daripada: http://www.harum2012.blogspot.com) 

24 Februari 2013

MENGAPA ULAMA BERBEZA PENDAPAT ?

ADA yang keliru melihat pelbagai fatwa dan pandangan ulama diberikan dalam satu-satu isu, sama ada isu yang melibatkan cabang akidah, lebih-lebih lagi dalam isu hukum ibadah, muamalat dan sebagainya. Lebih mendukacitakan terdapat yang begitu 'tidak faham' atau sengaja 'buat-buat tidak faham' sehingga ke peringkat menuduh para ulama mencipta hukum halal dan haram menurut kehendak mereka sendiri, malah menjustifikasikan tuduhan mereka dengan mengatakan para ulama mencabuli hak Allah yang hanya Dia boleh menetapkan hukum.

Kecetekan ilmu khususnya berkenaan Fiqh dan Usul Fiqh serta peranan dan tugas para ilmuan Islam adalah antara punca tuduhan liar sedemikian berlaku.

Kejahilan ini menyebabkan ada sebahagian mereka mencerca ilmuan Islam sebagai "ingin jadi tuhan" kerana mengharamkan sesuatu, khususnva apabila bertentangan dengan kesukaan mereka. Memang benar, dalam Islam seorang manusia tidak berhak untuk mengharam dan menghalalkan sesuatu, hanya Allah dan Rasul-Nya yang menentukan. Hakikatnya para ilmuwan Islam sama sekali tidak mengharam dan menghalalkan sesuatu berdasarkan selera mereka, tetapi mereka menuruti garis panduan yang telah ditetapkan oleh Allah dan Rasulnya, melalui kefahaman terhadap ayat-ayat al-Quran, Hadis Nabi dan segala jenis tafsirnya berdasarkan konteks bahasa, sebab turun, konteks masa dan setempat dan lain-Iain.

Sebahagian kumpulan manusia yang keliru, suka mencela para ilmuwan Islam disebabkan perbezaan pandangan mereka dalam sesuatu isu. Mereka dituduh tidak konsisten, mengelirukan dan pelbagai lagi. Lebih buruk, apabila orang awam ini merasakan pandangan mereka yang tidak didasari ilmu itu disangka lebih benar lalu mula mencerca ilmuwan Islam yang tidak disukai mereka atau kesemuanya sekaligus.

Sebenarnya perbezaan ijtihad dalam hal ehwal hukum ini telah wujud sebelum imam-imam mazhab empat lagi, ia telah pun bermula sejak zaman Sahabat bersama dengan Baginda SAW. Begitupun perbezaaan ini dan ia bukanlah sesuatu yang negatif sekiranya dapat difahami asasnya, ia hanya akan menjadi negatif apabila orang ramai tidak memahaminya, taksub kepada sesuatu pandangan serta tidak pandai rnengendalikannya. Di ruangan terhad ini beberapa contoh ingin diketengahkan sebab-sebab perbezaan itu berlaku, antaranya:

Sebab Pertama : Arahan Nabi Yang Berbeza Untuk Individu Tertentu

Sebagai contoh, dalam isu fiqh ibadah. Imam Muslim meriwayatkan terdapat sahabat yang cacat pengelihatan mengatakan, “Aku tidak mempunyai pemandu untuk ke masjid untuk solat berjemaah, maka berilah aku keizinan untuk menunaikannya di rumah sahaja.” Lalu Baginda SAW memberikan keizinan kepadanya. Namun, apabila Baginda mengetahui orang tersebut menetap berhampiran masjid sehingga boleh mendengar laungan azan, Baginda SAW menarik semula keizinannya. (rujuk Sohih Muslim, No:1486) Walaupun begitu, Nabi pernah memberi keizinan kepada saorang sahabat yang lain bernama 'Itban bin Malik, tanpa ditarik semula keizinan. (rujuk Sohih Muslim, No:14-96).

Kedua-dua arahan mempunyai latar belakang kisah yang tersendiri, Maka para ulama mempunyai pendirian berbeza dalam menanggapi kedua peristiwa ini sehingga memberi kesan kepada ijtihad dan cara mereka meletakkan hukum. Lalu perbezaan pendapat tersebar. Begitu juga halnya Nabi pernah memberikan izin kepada Abu Bakar as-Siddiq untuk mendermakan keseluruhan hartanya, sedang Nabi tidak mengizinkan sahabat yang lain untuk melakukan hal yang sama, (rujuk Sunan Abi Daud, No:1678 dan No:3319). Kedua-dua kes contoh ini bukan merupakan kes terpencil malah ia berlaku dalam kekerapan yang banyak.

Ia jelas menunjukkan Nabi memberikan arahan dan keputusan berbeza kepada orang yang berbeza. Kebiasaannya mempunyai hubung kait dengan latar belakang individu yang bertanya. Atas sebab ini, muncul ulama yang memberikan fatwa berbeza, disebabkan perbezaaan dalam mengambil dalil dan memahami konteksnya. Jika ingin difahami, sebahagian ulama berpendapat bahawa Nabi membenarkan Abu Bakar as-Siddiq RA menyedekahkan keseluruhan hartanya kerana Baginda mempunyai keyakinan terhadap keimanan Abu Bakar RA, di samping yakin Abu Bakar mampu untuk terus istiqamah dengan Islam, tanpa merneinta-minta bantuan daripada Baginda Rasul, walau dalam keadaan seluruh hartanya telah disedekah. Namun keyakinan yang sama tidak bagi individu yang lain menyebabkan Nabi melarangnya.

Sama keadaannya dalam kes sahabat bernama Hamza Ibn 'Amr al-Aslami, beliau sudah terkenal dengan amalan berpuasa banyak. Tatkala beliau ingin bermusafir, beliau bertanya kepada Nabi, Baginda menjawab, “Kamu bebas sama ada untuk berpuasa atau berbuka” (rujuk Sohih Bukhari, No:1943) Sedangkan dalam hadis lain, Nabi menyebut, “Tiada sebarang kebaikan untuk mengekalkan puasa tatkala dalam perjalanan jauh” (rujuk Sohih Muslim, No:2612). Kita dapat melihat perbezaan fatwa dan ijtihad pasti wujud disebabkan dua arahan Nabi yang berbeza dalam dua situasi yang juga berbeza.

Tentunya, kumpulan sahabat yang mengetahui dan mendengar jawapan Nabi kepada Hamza berbeza dengan kumpulan yang mendengar Baginda ketika melarang. Hasilnya, masing-masing akan membawa dan menyebarkan apa yang didengarinya kepada orang lain dan berterusan. Akhirnya, akan dapat dilihat dua hukum dalam satu isu. Atas dasar itu, terzahir peranan, keperluan kepada kebijaksanaan dan kajian mendalam oleh para ulama dan ahli fiqh, iaitu bagi menentukan hukum yang lebih tepat bagi situasi yang berada di hadapannya, di waktunya dan negaranya. Mereka akan menentukan sumber rujukan hadis dan latar di sebalik hadis terbabit, bagi mengeluarkan jawapan hukum yang paling sesuai bagi keadaannya.

Sebab Kedua : Arahan Khusus Dilihat Sebagai Arahan Umum

Terdapat juga ketikanya, Nabi SAW memberikan arahan khusus kepada individu tertentu, namun ia didengari oleh sahabat yang lain lalu menganggapnya sebagai arahan umum buat semua lalu menyebarkannya, sebagai contoh: Ibn Umar meriwayatkan bahawa Nabi bersabda, “Mereka yang mati akan diazab kerana ratapan si hidup.” (rujuk Sohih Bukhari, No:1287)

Isteri Baginda Nabi SAW, 'Aisyah RA menolak kandungan hadis ini dengan berpendapat ia adalah kes khusus untuk seorang wanita Yahudi sahaja, (rujuk Sohih Bukhari, No:1289). 'Aisyah juga membawakan ayat al-Quran yang jelas menolak beban dosa si hidup ditanggung oleh si mati, ini adalah satu kes yang jelas bagaimana arahan Nabi boleh dianggap oleh sekelompok ulama sebagai khusus, manakala yang lain mengambilnya sebagai umum untuk semua.

Selain itu juga berlaku kes seorang sahabat Nabi yang miskin bernama Sulaykh al-Ghartafani, memasuki masjid ketika khutbah sedang berjalan, Nabi SAW mengarahkannya untuk menunaikan solat tahiyyatul masjid dua rakaat terlebih dahulu. (rujuk sohih Muslim, No:2023). Terdapat ulama yang memahami arahan Nabi itu sebenarnya adalah khusus untuk sahabat miskin ini sahaja, ia adalah kerana Nabi inginkan para sahabat yang lain dapat melihat tahap kemiskinan sahabat tersebut (sewaktu beliau solat), seterusnya tergerak untuk membantunya kelak.

Atas kayakinan ini, mazhab Hanafi melarang sesiapa solat tahiyyatul masjid ketika khatib sedang berkhutbah, fatwa tersebut berbeza dengan beberapa mazhab lain yang menggangap kebenaran tersebut adalah untuk semua umat Islam dan umum bukan khas untuk seorang sahaja.

Para sahabat Nabi yang berada di masjid ketika itu juga mempunyai perspektif berbeza terhadap arahan Nabi, lalu ada yang meriwayatkannya tanpa dikhususkan kepada apa-apa kes tertentu manakala ada yang memahami sebaliknya. Hasilnya, perbezaan pendapat dan ijtihad bertaku, sama ada dalam kalangan sahabat sendiri dan tentunya di zaman selepas itu. Ibn Qutaybah di dalam kitabnya Ta’wil Mukhtalaf al-Hadis pernah mambawakan kata-kata sahabat Imran al-Husayn ertinya, “Demi Allah, aku sedar aku boleh meriwayatkan cukup banyak hadis jika aku ingin, namun amalan yang dilakukan oleh kebanyakan sahabat menghalangku dari melakukannya. Sepengetahuanku terdapat kekurangan (kurang tepat) dalam sebahagian penyampaian mereka.”

Atas dasar ini, Khalifah Umar al-Khattab semasa pemerintahannya, melarang para sahabat meriwayatkan hadis dalam kadar yang terlalu banyak kerana dibimbangi ketidakfahaman mereka serta latar belakang mereka selaku para sahabat yang agak jauh dari Nabi serta kurang pakar dalam bab hukum, lalu boleh menyebabkan kefahaman mereka tersasar daripada konteks sebenar lalu menambah kusut dan keliru.

Atas sebab itu, kita dapat melihat hanya beberapa orang sahabat sahaja yang banyak meriwayatkan hadis seperti Abu Hurairah, ‘Aisyah sendiri dan beberapa yang lain, itu pun sekadar sukar untuk rnelebihi 5,000 hadis, (rujuk Tazkiratul Huffadz, Imam Shamsuddin Az Zahabi, 1/7)

Sebab Ketiga : Perbezaan Kefahaman dan Persepsi

Agak kerap juga berlaku, sesuatu ibadah Nabi dilihat oleh ramai sahabat di waktu-waktu yang berlainan, Keadaan ini menghasilkan kefahaman yang berbeza-beza terhadap apa yang perlu dilakukan. Sebagai contoh, ketika Nabi SAW menunaikan Haji, sebahagian sahabat mengatakan Nabi melaksanakan Haji Ifrad kerana beliau mendengar Nabi menyebut, “Labbayka bi hajjatin...” ertinya (Aku mempersembahkan diriku untuk-Mu, Wahai Allah untuk melaksanakan haji), (rujuk sunan an Nasa’ie dan al Bayhaqi, No : 8830)

Ramai ahli hadis mengatakan jalur periwayatan hadis ini adalah sohih, namun begitu sebahagian sahabat lain pula meriwayatkan bahawa Nabi melaksanakan Haji Qiran (rujuk sohih Bukhari, No:1563; Muslim, No : 2995) Kedua-dua periwayatan ini kelihatan bertembung kerana kedua-dua jenis Haji adalah berlainan antara satu sama lain.

Masalah membesar apabila haji Qiran juga boleh dimulakan dengan lafaz yang sama. Ketika itulah wujudnya peranan ulama Mujtahid sama ada daripada kalangan sahabat Nabi atau selepasnya. Mereka bertanggungjawab untuk mengharmonikan nas-nas yang kelihatan bertembung ini dan menjelaskan kekeliruan.

Sa'id Ibn Jubayr seorang ulama besar dalam kalangan tabien, pernah menegaskan kekeliruan seperti ini kerap berlaku, sebagai contoh, ketika Nabi berada di Miqat di zul khulayfa untuk memulakan ihram, Baginda menunaikan solat sunat dua rakaat di dalam masjid dan memulakan ihramnya. Maka sebahagian sahabat yang dapat melihat perlakuan Nabi itu, kemudiannya ketika Nabi menaiki untanya, dan sewaktu unta ingin bergerak Nabi menyebut “labbayk…” , ketika itu sudah pasti ramai yang berada di sekeliling Nabi dan mendengar Baginda melafazkan kalimah itu.

Disebabkan ramainya sahabat di sekeliling Baginda, maka tidak semua dapat mendengar dengan jelas, kemudian, di ketika Nabi berada di puncak Bayda, sekali lagi Baginda melafazkan “Labbayk…” secara kuat. Semua sahabat yang mendengar pada setiap kali Nabi mengucapkannya akan mempunyai persepsi yang berbeza dengan yang lain, kerana ada yang mendengar buat pertama kali dan ada yang mendengar buat kali ketiga dan kedua. Keadaan itu adakalanya boleh menyebabkan perbezaan dalam meyimpulkan hukum dan sunnah.

Abdullah ibn Abbas adalah antara yang mendapat gambaran paling jelas tentang tata cara Nabi menunaikan haji, beliau dikira sebagai salah seorang ulama mujtahid dalam kalangan sahabat yang perlu dirujuk bagi mendapatkan penjelasan dan panduan yang tepat. Selepas zaman sahabat, para ulama mujtahid sentiasa mempunyai maklumat yang lebih jelas, namun begitu, ia tidak dapat mengelak daripada perbezaan persepsi yang akhirnya membawa kepada kesimpulan hukum yang berbeza.

Sebab Keempat : Satu Perkataan Yang Mempunyai Pelbagai Maksud

Sudah menjadi kebiasaan dalam apa jua bahasa, satu perkataan boleh sahaja mempunyai dua tiga atau lebih maksud, sama ada perbezaan itu berdasarkan bahasa rasmi dan persuratan ataupun terpengaruh oleh dialek setempat. Dalam hal ini, perkataan wudhu adalah jelas merupakan perbuatan ibadah khusus untuk menunaikan solat dan memegang al-Quran. Namun begitu dari sudut bahasanya, wudhu juga membawa maksud membersih dan membasuh tangan dan boleh membawa maksud wudhu pada istilah ibadah.

Imam at-Tirmidzi menyebut dalam kitab beliau "Shama'il Muhammadiah", seorang sahabat bernama Salman suatu hari bertanya kepada Nabi, katanya menurut kitab Taurat, wudhu selepas makan boleh membawa berkat, lalu beliau meminta ulasan daripada Baginda Nabi, Nabi kemudiannya menjawab, “Wudhu sebelum dan juga selepas makan adalah sumber keberkatan dalam makanan tersebut”. (rujuk Shamail, No:186)

Dalam hadis yang disebutkan oleh Salman ini, majoriti ulama berpendapat lafaz wudhu yang digunakan merujuk kepada erti asalnya iaitu basuhan tangan dan bukan wudhu pada istilah Fiqh (iaitu basuhan beserta niat bermula dari wajah dan seterusnya). Demikian juga sebuah dalam situasi yang direkodkan oleh Bazzar, bahawa sahabat Nabi Muadz RA ditanya, “Adakah kamu mengambil wudhu selepas menikmati makanan yang dibakar oleh api? Beliau menjawab, “Kami hanya membasuh tangan dan mulut sahaja”. Namun ia dilafazkan sebagai wudhu.

Keadaan ini menyebabkan para ulama mazhab boleh berbeza ijtihad dalam menentukan sama ada perlu berwudhu dalam bentuk ibadah khusus setiap kali selepas menikmati makanan yang dibakar di atas api atau hanya perlu membasuh mulut dan tangan? Majoriti berpegang kepada erti wudhu secara bahasa iaitu basuhan sahaja, namun terdapat ulama yang berpandangan selainnya.

Bersandarkan kepada sebab-sebab yang dinyatakan di atas dan banyak lagi sebab yang lain, hukum di dalam pelbagai bab dan bidang hukum juga turut terkesan, lalu muncul pandangan dan ijtihad yang berbeza dari seorang alim kepada yang lain. Orang ramai tidak perlu merasa pelik dan susah hati dengannya. Yang perlu, serahkan urusan kepada mereka yang pakar dan ahli di dalam bidang mereka. Jika orang awam sudah mula berfatwa bersandarkan satu dua hadis atau ayat, dan kemudian merasa diri lebih benar dari kefahaman mendalam dan kajian khusus oleh para ilmuwan, itulah tanda kehancuran akan mendatang. (sumber : Dato' Dr. Haron Din)

18 Februari 2013

BENARKAH GURU SEJARAH TIDAK FAHAM SEJARAH ?

oleh Dr Rajiee Abdul Hadi
LAPORAN sebuah akhbar harian tempatan ada menyebut bahawa Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) tidak bersetuju dengan kenyataan yang mendakwa ramai guru Sejarah tidak faham sejarah negara.

Presidennya, Hashim Adnan menegaskan, adalah tidak mungkin guru Sejarah kabur dalam memberikan penerangan tentang sejarah negara kerana perkara tersebut adalah pengkhususan yang ditekankan ketika berada di universiti.

Justeru beliau telah mengukuhkan sangkalannya benar berdasarkan keputusan para pelajar yang cemerlang dalam peperiksaan awam saban tahun. Adakah andaian ini benar? Saya yakin, Hashim Adnan tersilap menafsir apa yang dimaksudkan guru sejarah tidak faham sejarah.


Sebenarnya tidak faham sejarah; tidak tahu cara penyampaian ilmu sejarah adalah dua situasi berbeza. Namun tidak dinafikan isu ini bersangkut-paut dengan kemahiran bahasa yang mana jelas menimbulkan banyak kekeliruan

Oleh itu kaedah komunikasi yang berkesan  guru tersebut perlu pertingkatkan lagi. Dan tidak mustahil ada juga guru yang terbawa-bawa dengan 'ideologi pemikiran'nya yang negatif kerana diselaputi oleh sikap perkauman yang songsang.

Saya sendiri mendapat respons daripada seorang guru/pensyarah pendidikan yang pernah berpengalaman sebagai guru di sekolah selama 15 tahun (selebihnya sebagai pensyarah/pendididik guru di IPGM). Beliau pernah menempuh pengalaman sebenar.

Suatu tengah hari beliau secara kebetulan lalu di koridor sebuah kelas; tingkatan 4.Kebetulan seorang guru sejarah keturunan bukan Melayu sedang berdiri mengajar di hadapan kelas dengan suara lantang yang jelas kedengaran ke cuping telinganya.Ya, antara isi pelajaran yang beliau  terdengar ialah begini..."Malaysia telah dibuka oleh Parameswara ketika menemui Melaka....."

Sekilas dengar seperti tidak ada silapnya. Ya, sebagaimana frasa yang diujarkan begini: 'Bilakah Malaysia mencapai kemerdekaan'? lnilah yang boleh mengelirukan jika ada guru sejarah 'tidak jujur' menerangkan tentang sejarah.

Sayugia  apabila mengaitkan mengenai pembukaan Melaka oleh Parameswara (ingat Parameswara bukan  orang Keling dari benua Keling: istilah fakta dari buku SEJARAH MELAYU tetapi ialah seorang yang beragama hindu (kerana ketika itu pengaruh hindu mendahului selepas animisma)yang mana anak raja dari dinasti Saleindra di Palembang,Sumatera yang mana sudah tentulah daripada rumpun mahawangsa Melayu)sudahlah tentulah belum ada nama Malaysia (bermula 1963).

Melaka  walaupun disebut negeri tetapi berstatus sebuah negara yang berkerajaan dan berpelembagaan (Kanun Melaka). Sebab itu dalam buku sejarah Melayu disebut 'Negeri China', Negeri Arab' dan sebagainya bagi merujuk negara yang berkerajaan.

Begitu juga jika ditanya 'Bilakah Malaysia mencapai kemerdekaan'? Harus diingat bahawa kemerdekaan yang dicapai pada 31 0gos 1957 pada ketika itu ialah sebuah kerajaan yang bernama Persekutuan Tanah Melayu yang mana lnggeris menyebutnya 'Malaya'. lstilah 'Malaysia' hanya l;ahir pada tahun 1963 atas idea sebuah gagasan penggabungan Sabah,Saarawak,Singapura dan Semenanjung Tanah Melayu.

Bahkan tidak salah jika guru Sejarah tersebut menyebut tokoh-tokoh yang dikatakan 'kiri'oleh penjajah lnggeris seperti lbrahim Yaakob, Dr Burhanuddin Helmi, Ahmad Boestamam, lshak Haji Muhammad dan seumpamanya sebagai pejuang kemerdekaan bangsa dan tanah air di samping tokoh-tokoh yang sedia ada. Pokoknya guru sewajarnya bijak main peranan dan berhemah dalam komunikasi.

INILAH realiti sejarah yang sepatutnya guru Sejarah atau sesiapa pun tidak menjadi kabur atau berpura-pura kabur. Kesilapan ini bukan hanya ditujukan kepada guru Sejarah sahaja tetapi kepada orang awam keseluruhannya. Kebenaran itu pahit tetapi kesilapan itu menghancurkan!(sumber :HD, 30/01/13)

11 Februari 2013

SANG NILA UTAMA KETURUNAN RAJA MELAKA ?


SANG NILA UTAMA ialah seorang putera Melayu dari keturunan diraja Srivijaya yang menubuhkan kerajaan Singapura lama pada tahun 1324. Baginda ialah anak kepada pasangan Sri Nila Pahlawan (Sri Maharaja Sang Sapurba Paduka Sri Trimurti Tri Buana) dan Wan Sendari (anak kepada Demang Lebar Daun pemerintah Palembang). Menurut Sejarah Melayu, Sri Nila Pahlawan dari keturunan Iskandar Zulkarnainmuncul di Bukit Siguntang Mahameru bersama dua saudaranya, Sri Nila Utama dan Sri Krishna Pandita.
Pada masa itu, Palembang diperintah oleh seorang Raja bernama Demang Lebar Daun. Apabila mendengar khabar ada anak raja besar keturunanIskandar Zulkarnain turun di Bukit Siguntang, baginda pun terus ke sana untuk bersemuka dan mengambil berkat kebesaran anak raja itu.
 Nila Pahlawan kemudiannya berkahwin dengan anak kepada Demang Lebar Daun dan Tuan Telanai bernama Wan Sendari. Baginda kemudiannya mengambil alih takhta Palembang dari Demang Lebar Daun selepas satu sumpah setia. Baginda memakai gelaran "Sri Maharaja Sang Sapurba Paduka Sri Trimurti Tri Buana" (Sang Sapurba).
Sri Nila Pahlawan dikurniakan 4 orang anak iaitu Sang Maniaka, Sang Nila Utama, Puteri Chandra Dewi, Puteri Sri Dewi dan Puteri Mengindra Dewi.
Selepas serangan hebat tentera Majapahit pada kurun ke-13, baginda dan keluarga diraja yang lain berpindah ke Bintan dan baginda mangkat di sana. Baginda digantikan putera keduanya, Sang Nila Utama yang memakai gelaran "Sri Maharaja Sang Utama Parameswara, Batara Sri Tri Buana".
Ketika pergi memburu di sebuah pulau, Sang Nila Utama ternampak seekor rusa dan mengejarnya sehingga baginda sampai ke sebuah batu besar. Baginda membuat keputusan memanjat batu tersebut hingga ke puncaknya lalu ternampak sebuah pulau lain dengan pantai yang putih dan cantik.
Baginda diberitahu oleh salah seorang menterinya yang pulau itu ialah Temasek. Baginda membuat keputusan untuk melawat pulau tersebut namun dalam pelayaran ke sana kapal baginda dipukul ribut yang kuat dan dimasuki air.
Untuk mengelakkan kapal itu dari karam, pengiring baginda membuang semua barangan berat ke dalam laut untuk meringankan kapal. Bagaimanpun, kapal itu masih dimasuki air dan karam sedikit demi sedikit. Atas nasihat nakhoda kapal, baginda membuang mahkota kerajaan yang berat ke dalam laut, serta merta ribut berhenti dan mereka selamat sampai ke Temasek.
Baginda mendarat di muara sungai Singapura sekarang dan terus menuju ke hutan untuk memburu haiwan liar. Tiba-tiba baginda ternampak binatang pelik yang berbadan merah, berkepala hitam dan berdada putih. Binatang itu kelihatan sangat cantik dan bergerak dengan pantas hilang ke dalam hutan.
Baginda bertanyakan tentang binatang itu kepada Bendahara lalu diberitahu yang ia seekor singa. Bagaimanapun, kajian terbaru di Singapura menunjukkan singa tidak pernah hidup di situ, apa yang mungkin ternampak oleh Sang Nila Utama ialah seekor harimau malaya.[1][2]
Merasakan ini adalah petunjuk yang baik, baginda memutuskan untuk membina sebuah kota baru di Temasek dan menamakannya "Singapura". "Singa" bersempena nama binatang yang dijumpai baginda dan "pura", satu perkataan sanskrit bermaksud "kota" atau "bandar". Jadi "Singapura" bermaksud kota singa atau bandar singa.
Sang Nila Utama terus memerintah Singapura selama 48 tahun dan mangkat pada tahun 1372 dan dimakamkan di Bukit Larangan (hari ini Fort Canning Hill).
Sang Nila Utama telah berkahwin dengan puteri Demang Lebar Daun dari Palembang iaitu Raden Ratna Cendera Puri, yang juga merupakan ibu saudara Sang Nila Utama dari sebelah ibunya (adik-beradik Wan Sendari)[3]. Hasil perkahwinan dikurniakan seorang putera bernama Paduka Sri Pekerma Wira Diraja (1372 – 1386).
Selepas kemangkatan baginda Sang Nila Utama, 3 lagi Raja memerintah Singapura bermula dari anakdanya iaitu Paduka Sri Pekerma Wira Diraja (1372 – 1386), cucunya Paduka Seri Rana Wira Kerma (1386 - 1399) dan yang terakhir cicitnya Paduka Sri Maharaja Parameswara (1399 - 1401).
Pada tahun 1401, cicit baginda iaitu Paduka Sri Maharaja Parameswara diusir dari Singapura selepas Majapahit berjaya menawan Singapura. Baginda kemudiannya melarikan diri ke utara dan menubuhkan kerajaan Melaka pada tahun 1402.
Sang Nila Utama ialah anak kepada Sri Nila Pahlawan (Sang Sapurba) yang diceritakan dalam Sejarah Melayu sebagai nenek moyang legenda Raja-raja Melayu. Dari keturunan baginda, wujud dinasti-dinasti kerajaan di alam Melayu seperti Melaka, Johor dan Perak. Sultan Perak ke-34, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah (1984 - sekarang) ialah keturunan langsung dari Sultan Perak pertama, Sultan Muzaffar Shah I (1528 - 1549), iaitu salah seorang putera Sultan Mahmud Shah (1488–1528), Sultan Melaka terakhir.(sumber: Sejarah Melayu  & Wikipedia)