HAJI DR. RAJIEE HADI

HAJI DR. RAJIEE HADI
SERIBU WARNA SERIBU MAKNA

20 Julai 2016

BUKIT GAMBIR KE KUALA LUMPUR


APABILA saya menawarkan diri untuk berkhidmat sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah atau Guru Siswazah di Sekolah Menengah Sungai Besi (SMSB) Kuala Lumpur pada tahun 1992, saya berazam akan menghadapi pelbagai cabaran daripada murid-muridnya yang majmuk dan berlatarbelakangkan dari pelbagai sosiobudaya.

Saya sendiri telah menemui pengetuanya Abdul Manaf bin Abdul Rahman (Haji) untuk bertanyakan kekosongan. Beliau secara terbuka tidak menghadapi masalah menerima saya.  Sekiranya saya mahu berkhidmat pada sesi petang buat masa itu. Saya cuma  diminta berhubung sendiri di JPWKL, Sebenarnya selepas SMSS saya ditempatkan cuma enam bulan di Sekolah Menengah Taman Desa, Kuala Lumpur. 0leh kerana lokasi sekolah ini agak jauh dari rumah saya di Seri Kembangan maka saya mohon dipindahkan ke SMSB.

PADA ketika itu para pelajar SMSB majoritinya adalah anak-anak tentera daripada Kem Sungai Besi. Selebihnya adalah anak-anak dari kampung setinggan yang berdekatan seperti Kampung Selamat (kini Pangsapuri Desa Tasik), Kampung Malaysia Raya, Kampung Perantau,Kampung Pulau, Kampung Baharu Salak Selatan dan lain-lain lagi. Taburan komposisi kaum murid-murid keturunan Melayu, Cina dan lndia tidak jauh bezanya. Apa yang paling pokok , masalah disiplin dan menghadapi pelajar berisiko menjadi topik perbincangan sesama guru.Saya akur dan bersikap profesional.

 Walaupun saya pernah mengajar di Sekolah Menengah Bukit Gambir (SMBG), Muar, Johor pada 1978-1982 yang majmuk juga para pelajarnya tetapi kenakalan murid-murid di sekolah luar bandar tidak sama dengan murid-murid di bandar raya seperti Kuala Lumpur ini.Saya mahukan sesuatu yang mencabar.Di Kuala Lumpur, Sekolah Menengah Datuk Lokman, Sekolah Menengah Jalan Cheras (digelar sekolah cap kunci),Sekolah Menengah San Peng,Sekolah Menengah St.Gabriel. Sekolah Menengah Confussion adalah antara sekolah yang terkenal dengan kenakalan pelajar dan vandalisme ketika itu. Saya rasa tidak adil jika saya selama-lamanya bagaikan berada di zon selesa di sekolah berasrama penuh. Saya mahu mengaplikasikan gabung jalin pengalaman mendekati para pelajar yang berbagai-bagai rencam latar keluarga.

Sepanjang saya di SMSB 1992-1994/95 saya telah memegang jawatan ketua panitia mata pelajaran, menjadi ‘bendahari’ menguruskan hal kewangan sekolah yang berkaitan yuran yang mana saya ditugaskan menjadi penolong pengetua yang berkaitan soal pengurusan kewangan sekolah dan ketua pusat sumber sekolah.

 Saya masih ingat sewaktu saya memegang jawatan ketua pusat sumber sekolah yang diberi amanah menguruskan perpustakaan, bilik audio visual dan bilik teknologi pendidikan; saya memperkenalkan motto yang berpandukan nama saya ‘R- rajin- A-amanah-J-jujur-I-ikhlas- E-elok- E-efisyen. Syukur, berpandukkan motto tersebut; murid-murid dan guru-guru juga turut terbawa mematuhi disiplin apabila berada di bilik pusat sumber. Dalam erti kata lain, saya tidak perlu berjela-jela menerangkan apakah yang patut dilakukan apabila berada di bilik pusat sumber.

Bersandarkan pengalaman di SMSB saya yakin selain ibu bapa, guru  merupakan sumber utama pelajar  mendapatkan kasih sayang, berkongsi masalah  dan mendapatkan sokongan.  Guru  harus memahami bahawa sekiranya pelajar terlibat dengan tingkah laku berisiko ini bermakna mereka melakukan sesuatu perlakuan yang tidak dapat dikawal dan berterusan memberikan kesan negatif. Ekorannya menimbulkan pertentangan dengan nilai agama dan sosial  yang akhirnya tidak dapat diramalkan kesan buruk yang akan berlaku.

Sebelum  guru  mengenali sama ada pelajar  mereka terlibat dengan tingkah laku berisiko tinggi atau tidak, mereka terlebih dahulu mengetahui dan memahami keperibadian atau tingkah laku mereka.  Dalam keadaan normal,  pelajar sering  berbincang bersama ibu bapa, guru ataupun rakan sebaya.

Dalam beberapa isu saya dapati kedapatan pelajar yang tidak lagi berminat  menghabiskan masa berehat bersama ahli keluarga mereka. lni  menandakan isyarat atau petunjuk paling awal bahawa anak remaja mereka telah mula mempunyai  masalah dan mula menghindari diri daripada berinteraksi dengan ibu bapa. Perubahan ini akan terbawa-bawa di alam persekolahan yang mana pelajar seperti ini akan berinteraksi bersama rakan-rakan sebaya yang mempunyai masalah yang sama dan saling mempengaruhi.

Bagi saya guru yang prihatin dengan perubahan awal tingkah laku pelajar  mereka perlu segera mengambil tindakan; bertanyakan kenapa berlakunya perubahan rutin harian yang telah biasa dilakukan dengan baik tetapi berubah sebaliknya. Dengan tindakan awal ini, pelajar yang mahukan perhatian guru akan merasakan dirinya dihargai dan diambil berat. Sebenarnya inilah yang mereka mahukan.

Selain itu bagi saya, guru sewajarnya mengenal pasti petunjuk lain termasuklah cara pelajar berinteraksi dengan rakan-rakan lain, berenggang hubungan  dengan kawan-kawan rapat  di sekolah dan di rumah, cara berpakaian dan penggunaan wang yang mungkin berlebihan.

Di SMSB juga saya perhatikan ada guru yang sentiasa  berhati-hati apabila mengesyaki bahawa pelajar mereka telah mula terjebak dengan tingkah laku berisiko. Hubungan dua hala antara guru dengan ibu bapa; khususnya guru darjah/tingkatan  haruslah terjalin tanpa sebarang kepentingan atau prejudis. Kadangkala anak didik kita tidak terlibat dengan perlakuan menyeleweng tetapi mendapati rakan rapat mereka yang terlibat dengan mereka akan berasa bersalah untuk tidak sama-sama turut serta.  Dalam keadaan ini ibu bapa  dan guru sepatutnya terlebih dahulu mengetahui perubahan tingkah laku anak remaja dan pelajar mereka  dengan merujuk  sumber daripada  rakan rapat dan rakan-rakan kawan di sekolah yang selalu berinteraksi dengannya.

Kami para guru menyedari bahawa pelajar berisiko  acapkali pandai menyembunyikan aktiviti berisiko tinggi yang telah dilakukan dengan pelbagai cara. Ada yang memberitahu bahawa  mereka tidak terlibat dalam pelanggaran disiplin  tetapi dengan helah bela diri menuding  rakan-rakan mereka yang melakukannya.  Jika keadaan ini berlaku, ibu bapa atau guru  boleh membawa rakan mereka yang terlibat bagi memastikan sama ada  anak-anak anda  atau pelajar anda juga turut terlibat atau sebaliknya.

Saya dan rakan sejawat sudah pastilah  mengetahui  menerusi pertemuan guru-ibu bapa atau info daripada  mesyuarat agung Persatuan lbu Bapa Guru (PIBG) bahawa ibu bapa yang intim hubungannya dengan anak remaja akan lebih mudah dapat mengesan perubahan tingkah laku anak-anak remaja mereka apabila mula terlibat dnegn tingkah laku berisiko tinggi. Perubahan cara percakapan, tidak suka menghabiskan masa lapang bersama keluarga, mula berbohong, , tidak menghabiskan waktu santai di rumah dan mula tidak berminat untuk memberi tumpuan kepada amalan keagamaan dan mengabaikan tugasan sekolah di rumah antara lain beberapa petanda pelajar bertingkah laku berisiko. Justeru kerjasama erat guru memperoleh info daripada ibu bapa amatlah membantu.

Bersandarkan senario ini terdapat sekelompok ahli sosiologi Barat membuat kesimpulan bahawa anak-anak remaja ini mudah terjebak dengan tingkah laku berisiko tinggi berpunca daripada keadaan masyarakat  yang berkonsepkan teknologi elektronik.  Kebebasan dan kemudahan pencapaian maklumat yang digunakan untuk tujuan tidak baik yang berleluasa hari ini memudahkan lagi remaja  terlibat dengan aktiviti berisiko tinggi.

Dalam erti kata lain ,guru sewajarnya memahami situasi yang mana kedapatan  ibu bapa dan anak remaja gagal utuk mendapat kata sepakat dalam berbagai-bagai hal disebabkan sikap, persepsi dan matlamat perlakuan di antara kedua generasi ini ternyata berbeza.  Apabila ibu bapa secara berterusan menegur anak remaja yang melewat-lewatkan waktu untuk  bersolat atau bersembahyang misalnya, anak remaja akan menyatakan bahawa waktu bersolat masih panjang.  Contoh ini menunjukkan perbezaan pendapat dua generasi kendatipun telah ditentukan tempoh yang sebaik-baiknya untuk bersolat.

Justeru itu setelah hampir lima tahun (selepas 1995) saya meninggalkan SMSB, saya memperoleh berita gembira mengenai kejayaan sekolah ini.Walaupun kejayaan bukan dari aspek akademik tetapi kejayaan cemerlang dalam kokurikulum telah membuktikan impian falsafah dan misi pendidikan negara tercapai jua. SMSB telah dinobatkan sebagai johan  kebangsaan ‘Pertandingan Dikir Barat Sekolah-Sekolah Malaysia’. Syabas kepada Haji Borhan Md.Zain yang menjadi pengetuanya ketika itu.

Sepanjang saya berkhidmat di sekolah-sekolah; baik di sekolah-sekolah harian di luar bandar mahu di bandar dan juga  di sekolah berasrama penuh atau sekolah biasa pada tahun-tahun 1978 hingga 1995; saya dapat merumuskan  bahawa konflik  di antara anak remaja dengan  ibu bapa , guru dengan pelajar mudah diatasi apabila di peringkat perhubungan awal anak-anak didik ini    diletakkan peraturan khusus yang perlu dipatuhi  dengan tegas, bijaksana berhemah  demi mewujudkan kesejahteraan  kedua-dua belah pihak. (oleh Dr Haji Rajiee Hadi al-Latis)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan