DR HAJI RAJIEE BIN ABDUL HADI ialah anak jati Muar, Johor, kelahiran Serom 2 Hilir yang menggunakan nama
pena RAJIEE HADI dan ROHA. Nama samaran lain yang pernah digunakan ialah Guru
Bahasa, Pak Ngah, R.H.Roy, Adzie Roha , Idah Eeijar , Syeikh Al-Latis, Meera Nur Adira dan lain-lain lagi. DR.RAJIEE HADI memperoleh pendidikan dasar dan menengah hingga ke tingkatan enam di
Muar,Johor. Pada tahun 1976 melanjutkan pendidikan perguruan di Maktab
Perguruan Bahasa, Kuala Lumpur (kini lnstitut Pendidikan Bahasa Melayu)
sehingga memperoleh sijil perguruan ikhtisas @setaraf Diploma Perguruan Malaysia pada
tahun 1977. Mula dilantik menjawat guru terlatih @Pegawai Perkhidmatan Pendidikan pada 3 Januari 1978.
Setelah mengajar beberapa tahun di
sekolah menengah beliau melanjutkan pelajaran pada tahun 1983 di Universiti
Pertanian Malaysia (UPM) dan memperoleh Sarjana Muda Pendidikan Kepujian (B.Ed.Hons) dalam kajian bidang metodologi
dan pedagogi bahasa.Kemudian pada sesi 1987/88 beliau diterima meneruskan
pengajian Sarjana Sastera (M.A) di Fakulti Sains Kemasyarakatan dan Kemanusiaan
UKM Bangi dalam kajian teori dan puisi. Dan kemudian beliau
berkhidmat sebagai pensyarah dan Ketua Unit di Maktab Perguruan lslam,Bangi (MPI, kini
lnstitut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Pendidikan
lslam) Seterusnya pada sesi 1996/97
beliau melanjutkan pengajian ijazah
kedoktoran di UKM dan di Liberal Arts
Berkeley University, California,USA dan memperoleh Ph.D pada 2002 dalam bidang kajian psikologi bahasa
dan sastera.
Dalam bidang
penulisan, beliau menulis pelbagai genre sastera termasuklah puisi, cerpen,
skrip drama dan novel kanak-kanak.
Beliau juga menulis kertas kerja, resensi, jurnal, esei, rencana dan
buku-buku kajian sosiobudaya,
pendidikan, psikologi, kesusasteraan dan kebahasaan. Beliau menulis di Berita Harian/Berita Minggu sejak
penghujung tahun 1970-an. Beliau pernah
dilantik sebagai stringer Berita Harian/Berita Minggu secara rasmi
bermula pada tahun 1983 di Muar, Johor, setelah mendapat bimbingan bengkel
daripada Tokoh Wartawan Negara A. Samad
lsmail (Tan Sri, Allahyarham) dan Ahmad Sebi Bakar (Datuk). Kemudian pada tahun
1981, beliau menjadi penulis tamu akhbar Warta
Tebrau atas undangan SN A. Samad
Said (Datuk).
Karya beliau tersiar
dalam pelbagai akhbar dan majalah di Malaysia, Singapura, Brunei dan
Indonesia, antaranya ialah Dewan Sastera, Dewan Siswa, Teman Pelajar,
Dian, Jurnal Dewan Bahasa, Pelita
Bahasa, Mastika, Al-Islam, Harakah, Jurnal Pemikir, Jurnal Penulis, Berita Minggu, Mingguan Malaysia, Bahana (Brunei Darussalam), Nino Bagus, Fikiran Rakyat (Indonesia),
portal berita Harakahdaily, Malaysiakini
dan banyak lagi. Karyanya dalam bentuk buku ialah cerpen perseorangan Tirai Malam (1981, Tra-Tra Publication),
novel kanak-kanak Pengadilan (1988,
Pustaka Yakin Pelajar), Bumi Hijau
(1991, Marwilis Publisher & Distributors), kumpulan puisi perseorangan Cinta Arafah (2003, Diwangsa
Publications & Distributors), dan buku-buku akademik persekolahan terbitan
Dewan Bahasa dan Pustaka, Fajar Bakti, Pustaka Sistem Pelajaran, Pustaka
Pertiwi, Edusystem Sdn. Bhd., Travelog Guru Seribu Warna Seribu Makna (2015) terbitan Awan Prima, Antologi Puisi Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta (2015) Awan Prima dan lain-lain lagi.
Beliau juga
aktif dalam beberapa pementasan teater bersama Badan Teater Rakyat Muar
(BATERA, 1978-1982) bersama-sama
penggiat teater tempatan ketika itu, seperti Saparman Bakri, Dzulkarim Daud dan
Mahfar Tahir. Di Universiti Pertanian Malaysia, Serdang (UPM), beliau pernah
berlakon dalam teater Atap Genting, Atap
Rumbia (1985) arahan Aripin Said /Roselina Khir Johari.
Di Maktab Perguruan
Bahasa, Kuala Lumpur (MPB), beliau terbabit dalam pementasan teater Hari Jadi Nona (1976) dan Bayang-Bayang (1977) di bawah arahan
Elias ldris dan Khairuddin Wahab. Beliau pernah memenangi hadiah utama,
antaranya Sayembara Penulisan Puisi dan Cerpen MPB (1977, kini IPGM Kampus
Bahasa Melayu), Sayembara Penulisan Kreatif UPM, Serdang (1984), Sayembara
Penulisan Puisi Sejarah Nasional (1992) dan Sayembara Puisi Hari Guru Wilayah
Persekutuan Kuala Lumpur (1994) dan Sayembara Puisi Bosnia, 1994 (menggunakan
nama wanita) dan memenangi tempat pertama dengan hadiah RM3000.00. Beliau ialah
salah seorang pemenang pertandingan menamakan kereta nasional, Proton Saga
(1985) yang mendapat hadiah sagu hati bernilai RM3000.00.
Sebagai aktivis bahasa, sastera dan
kemasyarakatan, beliau pernah menganggotai Persatuan Penulis Nasional (PENA),
Persatuan Penulis Johor (PPJ), Kelab Sastera Dewan Bahasa dan Pustaka (KSDBP),
Persatuan Kesusasteraan Bandingan Malaysia
(PKBM) dan Persatuan Linguistik Malaysia (PLM).
Beliau turut bergerak cergas sebagai Presiden Kesatuan Kebangsaan Guru
Bahasa Melayu Se-Malaysia (KKGBMS), Exco Kongres Guru-Guru dalam Perkhidmatan
Pendidikan (KONGRES), Ahli Majlis
Permuafakatan Pengurusan Pendidikan Kementerian Pendidikan/ Pelajaran Malaysia
dan Ahli Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Guru Kebangsaan (1998-2005). Kini,
beliau ialah Presiden Pengamal Pendidikan Malaysia (PPPM/PENDIDIK) sejak tahun
1999. Beliau juga pernah bergiat dalam NGO (Badan Bukan Kerajaan) seperti Pertubuhan Pasukan Pengakap Negeri Johor,
Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM), Persatuan Persahabatan
Malaysia-China (PPMC), Persatuan Pengguna Selangor-Kuala Lumpur (FOMCA) dan
persatuan penduduk/ kariah masjid setempat.
Sebagai guru pelatih, beliau menjalani practical teaching di Sekolah Rendah Brickfield, Kuala Lumpur (1976) dan Sekolah Menengah Taman SEA, Petaling Jaya, Selangor (1977). Kemudian beliau bertugas sebagai guru
terlatih (1978-1995) Kementerian Pelajaran/Pendidikan Malaysia di beberapa buah
sekolah harian dan Sekolah Berasrama Penuh di Johor, Negeri Sembilan, Selangor
dan Kuala Lumpur. Di samping itu, beliau berkhidmat sebagai pensyarah sambilan
di Kolej Anjung Selatan, Bandar Baru Salak Tinggi,
Universiti Tenaga Nasional ( UNITEN, 1998-2000) Kajang-Putrajaya dan UPM Serdang
(1998-2000). Beliau pernah
berkhidmat sebagai Pengerusi
PIBG di salah sebuah
sekolah menengah agama di Selangor Darul Ehsan, 2003-2004.
Dalam
kerjaya pendidikan, Dr. Rajiee bin Abdul Hadi juga pernah berkhidmat sebagai
pensyarah dan menjawat jawatan Ketua Unit Pembanguan Profesionalisme Keguruan,
di Jabatan Penyelidikan dan Pembangunan Profesionalisme, Maktab Perguruan Islam
(kini, Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Pendidikan Islam) Bangi,
Selangor Darul Ehsan (1995-2005). Beliau pernah dilantik oleh Bahagian Pendidikan
Guru (BPG) Kementerian Pelajaran/Pendidikan Malaysia sebagai Ahli Panel
Penggubal Soalan M-Test, iaitu
peperiksaan untuk mengikuti kursus perguruan lepasan ijazah di IPBA, Kuala
Lumpur (2003).
Setelah
berkhidmat sebagai Ketua Fasilatator Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 2006-2007, kemudian pada tahun 2008 beliau berkhidmat sebagai Pensyarah Kanan di
Universiti Kolej Perguruan Ugama Seri
Begawan Negara Brunei Darussalam. Semasa di Brunei Darussalam, beliau dilantik
menjadi ahli panel penemuduga kemasukan para pelajar baharu untuk mengikuti
kursus Diploma Perguruan,Diploma Perguruan Tinggi, dan Sarjana Muda Perguruan.
Beliau pernah dilantik menjadi ketua hakim bagi Pertandingan Forum Hijrah IPTA
Negara Brunei Darussalam 1429H/2008. Beliau yang telah berkecimpung dalam dunia
pendidikan selama 35 tahun sebagai guru terlatih (1978-2013) juga ialah kolumnis majalah PENDIDIK, penyair, penganalisis,
blogger, fasilatator, motivator
dan sebagai Ketua Pengarah kepada DRH
Consultants and Services & Research
lnstitute. Kini, beliau ialah penyair dan penulis bebas, di samping selaku Penasihat kepada Awan Prima (002413917-D).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan