DIASPORA Melayu di luar Nusantara hingga ke Afrika antara yang mendorong Prof.Emeritus lsmail Hussein menggerakkan gagasan mencari Melayu sejak menerajui Gabungan Persatuan Penulis
Nasional (Gapena) selama empat dekad. Walaupun ada pihak yang sinikal dengan
usaha mencari Melayu tetapi sedikit pun tidak mematahkan iltizamnya untuk
membuktikan Melayu berada di seluruh dunia.
Beliau
tidak pernah bosan dengan jelalah demi jelajah dengan memanfaatkan pengalaman
intelektualnya untuk menemukan Melayu yang berada di luar lingkaran Nusantara.
Ini bagi mewujudkan satu kesinambungan kembara bangsa Melayu yang panjang sejak
berzaman dahulu. Menguasai sastera dan budaya telah dijadikan pelantar untuk
mengunjurkan langkah ke serata benua mencari dan menyusuri sosiobudaya Melayu
di luar lingkaran dunia Melayu.
Itulah
Profesor Emeritus Ismail Hussein yang kembali ke rahmatullah pada 20 Oktober
lalu pada usia 82 tahun. Beliau ialah adik kepada Sasterawan Negara Abdullah
Hussein dan abang kepada pelukis tersohor negara, Ibrahim Hussein. Lebih separuh
daripada usianya dihabiskan dalam bidang akademik khususnya dalam sastera dan
budaya.
Ismail
telah senama dengan Gapena, sebuah badan induk yang memayungi lebih 20
persatuan penulis seluruh negara. Bukan sahaja kerana menjadi Ketua Satu paling
lama tetapi sepanjang empat dekad itu banyak peristiwa berlaku dalam sastera
dan keilmuan sastera. Tetapi pengalaman yang panjang dalam bahasa dan
kesusasteraan ditambah dengan sikap yang tidak lentur kepada provokasi
membuatkan Ismail tidak terperangkap dalam kepentingan pihak tertentu.
Misalnya
kebijaksanaan Ismail menguruskan Gapena terutama ketika dilanda gelombang pada
awal 1990-an apabila ada pihak yang mahu mengambil alih tampuk kepimpinan
Gapena, Ismail menangani dengan penuh hemah dan sangat luar biasa. Terbukti
pendekatan politik untuk menumbangkan Ismail daripada kerusi Ketua Satu Gapena
tidak berjaya. Beliau tidak pernah rasa tergugat dengan percubaan menukar
teraju Gapena kerana menganggap itu satu proses demokrasi.
Malah
Gapena di tangan Ismail juga memperlihatkan pendirian yang sangat jelas
berhubung isu kebahasaan misalnya dasar bahasa Melayu yang cuba
diperkotak-katikan oleh sesetengah birokrat dalam kerajaan. Dasar pendidikan
yang mengutamakan bahasa Inggeris dalam pengajaran subjek Sains dan Matematik
ditentang dengan tegas oleh Ismail.
Pemergian
tokoh ilmuwan sastera ini cukup dirasai bukan sahaja di negara ini malah
masyarakat Melayu di luar lingkaran Nusantara. Kajian yang telah dibuat Ismail
mendapati bahawa orang Melayu menduduki sebahagian dunia iaitu dari Asia
Tenggara sehinggalah ke Afrika dan Ismail yakin untuk menjadikan bahasa Melayu
sebagai bahasa gugusan Melayu ini.
Walaupun
begitu Ismail bukan cauvanis. Beliau cuma memperjuangkan pemerkasaan ilmu dan
bahasa Melayu tetapi sangat terbuka kepada kaum lain dalam gagasan
kesusasteraan kebangsaan. Tidak hairanlah kalau Ismail pernah menterjemahkan
Tirukkural pada tahun 1967. Tirukkural merupakan teks klasik Tamil yang ditulis
antara abad kedua dan kelima.
Dalam
konteks Melayu dan kebahasaan, Gapena telah digerakkan memainkan peranan
penting untuk menjalin hubungan dan kerjasama dengan masyarakat Melayu di
dunia. Ini dibuktikan dengan pertemuan serta simposium kebudayaan Melayu yang
diselenggarakan di Sri Lanka, Vietnam, Yunnan-China, Cape Town-Afrika Selatan,
Mindanao-Filipina, Madagaskar, Bangkok-Thailand, dan Tanah Suci (Mekah dan
Madinah).
Kemuncak
daripada usaha itu ialah penyelenggaraan Simposium Jaringan Melayu Antarabangsa
dan Simposium Melayu Sedunia di Shah Alam pada tahun 1996, susulan daripada itu
ditubuhkan Yayasan Sekretariat Melayu Antarabangsa dan Ismail telah dilantik
menjadi Pengarah Eksekutif.
Pada
tahun 2001 disusuli pula dengan Persidangan Dunia Melayu di PWTC-Kuala Lumpur.
Kegiatan asas Gapena memang tertumpu kepada pembinaan bahasa dan sastera Melayu
di Malaysia dan di rantau ini, terutama melalui pertemuan Sasterawan Nusantara
yang dianggotai oleh Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia dan Singapura.
Ismail
dilihat sangat signifikan dengan kesusasteraan dan kebudayaan apa lagi
kedudukannya sebagai sarjana dan tokoh akademik yang menumpahkan pemikiran yang
bukan sedikit ketika menjadi pensyarah di Universiti Malaya .
Mahu tidak mahu bercakap tentang sastera terutama tradisi kesarjanaan, nama
Ismail tidak boleh dipinggirkan.
Presiden
Persatuan Penulis Nasional (Pena) Dr. Mohamad Salleh Rahamad mengakui usaha
Ismail dalam memartabatkan bahasa Melayu selama mengetuai Gapena, serta
membuktikan bahawa Melayu adalah bangsa yang besar dan disegani di peringkat
antarabangsa.
“Walaupun
usahanya selama ini dikritik serta mendapat pandangan yang kurang elok daripada
banyak pihak, namun perjuangan bagi memastikan bahasa Melayu menjadi bahasa
yang disegani di dunia tetap diteruskan. Semangat Ismail itu saharusnya ada
dalam setiap diri pejuang bahasa ketika ini,” tegas Salleh.
“Beliau
seorang ahli akademik yang melakukan pelbagai kajian tentang bahasa, sastera
dan budaya Melayu. Jika sebelum ini kajian banyak dilakukan hanya di dalam
negara sahaja namun keberanian beliau untuk membuat kajian yang meliputi bangsa
Melayu di seluruh dunia seharusnya mendapat kepujian,” jelas Salleh.
Antara
hasil tulisan Ismail ialah Sejarah Pertumbuhan Bahasa Kebangsaan Kita (1966),
Trirukkural (1967), The Study of Traditional Malay Literature with a Selected
Bibliography (1974), Sastera dan Masyarakat (1974), Kepimpinan dalam Kebudayaan
(1984) dan Segugus Pandangan dan Harapan (1988).
Sementara
itu bagi Ketua Satu Gapena, Dr. Abdul Latiff Abu Bakar berkata, perjuangan
Ismail ketika hayatnya telah berjaya membentuk satu pelantar kepada kita untuk
meneruskan legasi yang dibawa olehnya selama ini.
“Walaupun
tahu tentang perjalanan pembangunan negara yang semakin maju, namun Ismail
sebenarnya tidak mahu bahasa, sastera serta budaya Melayu ditinggal begitu
sahaja kerana nilai yang adalam ungkapan Melayu itu cukup besar,” jelas
Latiff.(sumber: Rasdan Ahmad,UM,26/10/2014)
Nota:DRH membesar awal dewasa bersama usia wal penubuhan GAPENA. Ketika GAPENA baharu menempa nama di persada tanah air, DRH berbangga bersamanya.Memakai t-shirt memaparkan frasa GAPENA adalah amat membanggakan ketika itu. Bahkan di kampung , ketika pada zaman seorang guru muda, DRH rasa nama GAPENA lebih gah dan tersohor daripada UMNO. Sebagai ahli PPJ yang menjadi kerabat GAPENA, DRH berbangga kerana terpilih dalam delegasi GAPENA ke Pertemuan Sasterawan Nusantara 1 di Taman lsmail Marzuki, Jakarta lndonesia 1979.
Sejak itu DRH melihat Prof.Emiritus lsmail Hussein, budayawan terbilang yang terus membara dalam perjuangannya meletakkan nama 'Melayu' di seanterio dunia.DRH sering mengikuti setiap kegiatan GAPENA; baik siri Hari Sastera, Hari Puisi, Pertemuan Dunia Melayu dan seterusnya.Dan DRH berpeluang lagi bersama beliau dan GAPENA ke Pertemuan Dunia Melayu di Kota Jeddah,Saudi Arabia pada tahun 2000.
Namun begitulah adat dunia,Pada abad ke-21 dengan hambatan kehidupan, DRH 'kurang' mengikuti kegiatan-kegiatan GAPENA-DBP di hujung 'kemalapan' dunia sastera tanah air. DRH terkedu, terkejut dan turut berasa amat sedih mendalam atas pemergian Pendeta lsmail Hussein ke rahmatullah. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan dihimpunkan ke dalam golongan para solihin. Al-fatihah!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan