HAJI DR. RAJIEE HADI

HAJI DR. RAJIEE HADI
SERIBU WARNA SERIBU MAKNA

13 Jun 2012

POLITIK SASTERA MERUGIKAN BANGSA


PENYAIR Leo AWS baru saja menerbitkan kumpulan puisi ke-23 yang diberi judul Waktu Kaumulakan dan Gurindam Rakyat, memuatkan karya peribadi di samping tokoh lain termasuk Dr Rajiee Hadi, Dr Ibrahim Ghaffar dan Aladin Mohamad.

 Sebahagian besar karyanya diterbitkan sendiri menerusi syarikat Pustaka Dewan Puisi kerana beliau yakin tiada pihak yang sudi melayani bentuk puisi yang dihayatinya.

 Leo mula berkarya sejak awal 1970-an, namun nama jarang diperkatakan kerana puisinya dianggap ‘asing’ daripada kebanyakan karya tempatan.

 Penyair T Alias Taib menganggap karya Leo sebagai ‘cerpuisi’  kerana adunan puisi dan esei yang agak ketara. Dia berkarya secara prosaik dan santai. Ada ketikanya, ungkapannya tidak melebihkan tanggapan yang ditemui dan menukang bait karya seada-adanya.

 Penyair Zahari Hasib juga sering dianggap prosaik dan menggunakan ungkapan yang dianggap ‘biasa’ sebagai pengucapan seni. Zahari membawa imej realis yang kaya dengan kejutan pada bait akhir karyanya.
 Begitu juga Wadi Leta SA, Hilmi Rindu, Awang Abdullah, Puzi Hadi,  Daeng Ramli Akil, Marsli NO dan Nawawee Muhammad yang menemui gaya tersendiri dalam berkarya.

 Pengalaman bertahun-tahun seseorang penulis boleh mendewasakan mereka, namun suasana di Malaysia berlainan sekali.

Karya mereka tidak  dianggap besar kerana tabii  seseorang penulis dianggap terhormat apabila berada di Kuala Lumpur,  atau setidak-tidaknya berada dalam lingkaran kelompok yang ada kaitan dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) atau badan penulis yang sering sorak-sorai dengan publisiti.

 Isu politik sastera sudah lama kedengaran. Sejak dekad 60-an, dakwaan kelompok dan kabilah seni sudah kerap kedengaran. Pengkritik Mohd Affandi Hassan  pernah menegur golongan yang menguasai DBP dan grup penulis yang dianggap terbaik walaupun mutu karyanya boleh dipertikaikan.

 Penulis yang dianggap HB Jassin Malaysia, Yahaya Ismail pula  pernah mempertikai   karya  memenangi Hadiah Sastera Malaysia  (kini Hadiah Sastera Perdana)  yang dianggap rendah mutu berbanding sorak-sorai seni yang tidak berkesudahan.

 Pada dekad  80-an, sekumpulan penulis muda yang lahir dengan  gaya tersendiri namun asing pada pandangan pengkritik dan pengkaji seni. Nama Marsli NO, Azim Salleh,   Ismaily Bongsu, Pyanhabib, Napie Mat, Lee Cheong Beng dan Awang Abdullah dianggap mewakili kelompok berkenaan. Namun karya mereka jarang diperkatakan secara serius, kerana penelaah sastera lebih mesra untuk memperkatakan generasi  90-an hingga ada yang merasakan sikap luar biasa ini sebagai mengelirukan fakta perkembangan sastera tanah air.

 Kewujudan Minggu Penulis Remaja  sering dikaitkan sebagai landasan untuk memencilkan kelompok 80-an dan pengkritik lebih seronok memperkatakan karya yang kebetulan menjadi anak didik mereka sepanjang Minggu Penulis Remaja.

 Memang diakui Minggu Penulis Remaja berjaya melahirkan bakat baru, namun apabila segelintir pembimbing menjadikan ruang untuk membina kelompok dan kabilah sendiri, semangat melahirkan sasterawan terbaik boleh dipertikai. 

 Keadaan ini mendorong suasana politik sastera yang     tidak berkesudahan. Ada sesetengah pembimbing  digelar ‘ayahanda’ yang kononnya jujur membantu generasi baru.  Perasaan saling menghormati antara pembimbing dan bakal penulis menjadikan suasana saling bergantung yang akhirnya ada kelompok penulis dijulang,  pada masa sama meminggirkan grup lain.

 Jangan terperanjat jika sehingga kini kita gagal melahirkan generasi pelapis yang berbobot. Jangan kaget jika majalah yang khusus untuk kegiatan sastera sekadar  2,000 edaran saja. Kenapa karya penulis yang sama disiarkan Dewan Sastera saban tahun?
 Jangan terperanjat jika Indonesia, Thailang dan Filipina lebih tinggi pengucapan seninya kerana memiliki barisan penulis yang berwibawa dan berdaya tahan.

Kita sekadar meriah dengan sorak-sorai dan santai seni.  Kita meriah dan seronok dengan acara baca puisi dan selingan ringkas yang akhirnya tidak ada apa-apa.  

Ketika segelintir penulis yang merasakan terpinggir masih mencari karya sejati dalam arena kesusasteraan tanah air , jangan terperanjat apabila kita menemui badut seni yang melahirkan karya dangkal. jahil dan daif.  Sastera kita kekal lesu dan layu kerana segelintir golongan seni sendiri yang mahukan keadaan begitu. Pengkritik dan sarjana asatera pula bagai tidak melihat masalah sebenar yang melingkari sastera Malaysia meraka sekadar mengadunkan teori yang diceduk daripada buku tanpa melihat realiti permasalahan politik saster tempatan.


Mungkin kita berbangga mempunyai sedozen Sasterawan Negara dan puluhan pemenang Sea Write Award. Hebat sangatkah karya mereka untuk berdepan kerenah dan politik sastera Malaysia? (Sumber:Imlan Adabi, BH, 13/06/12)



19 Mei 2012

IKHTISAS KEGURUAN


PERSATUAN Pengamal Pendidikan Malaysia (PENDIDIK) menyambut baik cadangan Kementerian Pelajaran Malaysia yang mahu mengkaji cadangan supaya setiap guru di negara ini perlu memiliki lesen keguruan oleh sebuah organisasi profesional seperti yang perlu dimiliki oleh doktor atau peguam.

Sehubungan itu pihak PENDIDIK bersetuju pandangan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zakarshi bahawa dengan adanya lesen ia merupakan salah satu kaedah bagi mengekalkan integriti, imej dan martabat guru di negara ini dalam memastikan orang ramai tidak hilang kepercayaan kepada golongan tersebut.

Namun pihak persatuan suka mengingatkan bahawa kaedah seperti lesen ini pernah dipraktikkan oleh Kementerian Pelajaran sebelum era 1980- an yang mana setiap guru terlatih yang baru ditempatkan mengajar di sesebuah sekolah diwajibkan mendaftar dan memohon buku pendaftaran sebagai guru terlatih daripada Pendaftar Sekolah-Sekolah Kementerian Pelajaran.

Dengan memiliki buku pendaftaran yang bagaikan seperti lesen guru-guru tersebut secara rasmi diterima sebagai pegawai perkhidmatan pendidikan/pelajaran.

Buku pendaftaran yang diperbaharui setiap tahun itu juga berfungsi bagi membatalkan atau menggantungkan lesen mengajar seseorang penjawat itu.

Soalnya, adakah prosedur ini masih dipraktikkan? Jika tidak dipraktikkan mengapa dimansuhkan?

Bagaimanapun persatuan berpandangan bahawa apa yang penting seseorang guru itu wajib memiliki kelulusan ikhtisas dalam bidang keguruan sama ada di peringkat sijil, diploma atau sarjana muda pendidikan. Memiliki kelulusan ikhtisas dalam bidang pendidikan adalah kriteria wajib bagi memperoleh lesen mengajar. Justeru sudah tiba masanya kaedah ini diperluaskan juga di sekolah-sekolah persendirian dan kelas-kelas tiusyen. Dengan ini profesion keguruan tidak sewenang-wenangnya disandang oleh guru sandaran/sementara/gantian.

Seperti mana profesion kedoktoran atau guaman yang tidak ada ada label sandaran, sementara atau gantian maka pihak persatuan berpendapat sudah tiba masanya Kementerian Pelajaran bertegas dalam soal ini demi memartabatkan profesion keguruan agar terus dihormati oleh masyarakat sepanjang masa.(sumber: Persatuan Pengamal Pendidikan Ulas Lesen Guru : UM, 27/05/10)

DR. RAJIEE HADI
Presiden

3 Mei 2012

KBKK & APLIKASI DALAM P&P


Pemikiran merupakan satu proses menggunakan minda untuk mencari makna dan pemahaman terhadap sesuatu, menerokai pelbagai kemungkinan idea atau ciptaan serta membuat pertimbangan yang wajar, bagi membuat keputusan dan menyelesaikan masalah dan seterusnya membuat refleksi dan metakognisi terhadap proses yang dialami. Dalam erti kata lain kemahiran berfikir adalah proses menggunakan minda sama ada untuk mencari makna dan pemahaman terhadap sesuatu, membuat pertimbangan dan keputusan atau menyelesaikan masalah.

Kemahiran Berfikir dalam pengajaran dan pembelajaran memainkan peranan yang penting kerana ia membolehkan murid memahami, menilai serta mengaplikasikan maklumat yang diterima dalam pelbagai situasi. Kemahiran Berfikir Secara Kritis dan Kreatif (KBKK) adalah merupakan salah satu konsep yang diperkenalkan dalam situasi Pembelajaran Bestari. Ianya bertujuan untuk menggalakkan pelajar-pelajar berfikir dalam menentukan sesuatu cadangan atau jawapan. Beberapa alat bantu berfikir (thinking tools) digunakan sebagai panduan kepada guru-guru dalam mengendalikan pembelajaran dalam kelas.

Pelajar perlu menguasai kaedah kemahiran berfikir secara kritis, kreatif dan inovatif adalah penting kerana kemahiran berfikir yang terdapat dalam mata pelajaran membolehkan mereka membanding dan membeza, meneliti bahagian-bahagian kecil dan keseluruhan, menyusun mengikut urutan, membuat inferens, menjana dan menghasilkan idea, dan mencipta analogi. Di samping itu penggunaan alat-alat berfikir membantu kita menggunakan minda dengan lebih bijak dan berkesan. Pemikiran kita menjadi lebih tersusun, luas, jelas dan kita tidak terburu-buru melakukan sesuatu.




Berdasarkan maklumat di internet banyak maklumat dan bahan bantu mengajar boleh diperolehi, contohnya berdasarkan laman web  berkaitan mata pelajaran muzik : http//:malaysiana.pnm.my yang memaparkan tentang lima kategori  alat muzik tradisional.




Alat-alat muzik kordofon ialah alat-alat yang mengeluarkan bunyi kerana adanya getaran pada tali yang ditegangkan. Alat-alat muzik rebab, sape dan lain-lain tergolong dalam kategori ini.
Dalam kategori ini digolongkan alat-alat muzik yang menghasilkan bunyi melalui kulit atau membrane yang ditegang dan dipalu.Pelbagai jenis alat gendang dan rebana Melayu tergolong dalam kategori membranofon. Kebiasaannya digunakan  dalam menghasilkan lagu-lagu rakyat.



Erofon adalah alat-alat muzik yang menghasilkan bunyi melalui lubang udara. Dalam masyarakat pribumi Malaysia,terdapat beberapa jenis alat muzik erofon seperti serunai, seruling, nafiri, seruling hidung dan lain lain yang sejenis.
Idiofon adalah alat-alat muzik yang menghasilkan bunyi melalui tindakbalas pada rangka badan yang bergema. Contoh alat muzik idiofon pribumi Malaysia ialah kumpulan gong dan jenis-jenisnya. Dalam kategori idiofon terdapat alat-alat muzik'metallophone', yang diperbuat daripada logam gangsa seperti saron dan gendir dalam ensemble gamelan.


Erofon Bebas

Erofon bebas adalah suatu alat muzik yang menghasilkan bunyi melalui lubang udara dengan car meniupnya, penjenisan alat adalah berbeza dari erofon. Ianya diperbuat dari pelbagai bentuk yang berbeza dan diperbuat dari bahan yang bersifat sementara seperti daun-daun kayu, daun kelapa dan sebagainya. Penghasilan bunyi tidak mengikut kod muzik yang ditetapkan dan bukan untuk tujuan dipermainkan bersama alat muzik yang lain.


            Berdasarkan laman web tersebut  terdapat ciri reka bentuk kemahiran berfikir antaranya iaitu  kemahiran berfikir secara kritis. Kemahiran berfikir secara kritis merupakan kecekapan dan keupayaan  menggunakan minda untuuk menilai  kemunasabahan , kewajaran sesuatu idea, meneliti kebenaran dan kelemahan sesuatu hujah dan membuat pertimbangan yang wajar dengan menggunakan alasan dan bukti. Di antara kemahiran  berfikir secara kritis adalah membanding dan membeza , membuat kategori, meneliti bahagian-bahagian kecil dan keseluruhan, menerangkan sebab, membuat sekuen ,urutan dan menentukan sumber yang dipercayai, membuat ramalan, mengusul periksa andaian dan membuat inferens.



                                    
         Rebab                                                                                                     Gambus



                                         
                  Pipa                                                                                                  Yan Qin

Mengklasifikasi  atau mengkategori juga merupakan kemahiran berfikir dalam mengelompokkan sebilangan perkara dalam kaetegori tertentu sebagaimana contoh gambar dibawah  yang menjelaskan lima kategori alat muzik.


                 
Kordofon                                       Membranofon                       Erofon



Alat-alat muzik kordofon ialah alat-alat yang mengeluarkan bunyi kerana adanya getaran pada tali yang ditegangkan. Alat-alat muzik rebab, sape dan lain-lain tergolong dalam kategori ini.
Dalam kategori ini digolongkan alat-alat muzik yang menghasilkan bunyi melalui kulit atau membrane yang ditegang dan dipalu.Pelbagai jenis alat gendang dan rebana Melayu tergolong dalam kategori membranofon. Kebiasaannya digunakan  dalam menghasilkan lagu-lagu rakyat.



Erofon adalah alat-alat muzik yang menghasilkan bunyi melalui lubang udara. Dalam masyarakat pribumi Malaysia,terdapat beberapa jenis alat muzik erofon seperti serunai, seruling, nafiri, seruling hidung dan lain lain yang sejenis.
Idiofon adalah alat-alat muzik yang menghasilkan bunyi melalui tindakbalas pada rangka badan yang bergema. Contoh alat muzik idiofon pribumi Malaysia ialah kumpulan gong dan jenis-jenisnya. Dalam kategori idiofon terdapat alat-alat muzik'metallophone', yang diperbuat daripada logam gangsa seperti saron dan gendir dalam ensemble gamelan.


                                    
                            Idiofon                                                                   Erofon bebas.

Selain  itu juga kemahiran berfikir secara kritis yang terdapat dalam laman web tersebut  juga boleh menggunakan kaedah soalan dan penyoalan. Soalan  penyoalan  membantu kita berfikir secara  mendalam dan meluas, contohnya sebagai guru, pengetahuan mengenai  soalan dan penyoalan membolehkan kita membentuk soalan dan menggunakannya secara berkesan dalam situasi pengajaran dan pembelajaran.Soalan yang baik harus mengambil kira semua aspek iaitu aras , skop dan fokus. Soalan yang dibentuk haruslah   mengikut aras taksonomi Bloom














Berdasarkan gambaran tersebut juga pelbagai soalan lisan dapat dibentuk di antaranya :

1.      Apakah jenis alat untuk dikategorikan?
2.      Apakah tujuan untuk mengkategori?
3.      Apakah ciri-ciri penting alat-alat muzik tradisioanal yang hendak dikategori?

Secara ringkasnya  kemahiran mikro berfikir secara kritis dapat membantu menjana idea para pelajar berdasarkan beberapa kemahiran yang telah dinyatakan.Ciri reka bentuk yang kedua iaitu kemahiran berfikir secara kreatif. Kemahiran  berfikir secara kreatif merupaka kecekapan atau keupayaan menggunakan minda untuk menerokai  pelbagai kemungkinan, menghasilkan sesuatu yang baru, asli, luar biasa dan bernilai sama ada bersifat maujud, abstrak, atau gagasan. Di antara kemahiran kemahiran berfikir secara kreatif  adalah mencipta anologi , menjana dan menghasilkan idea baru dan mencipta metafora.

Berdasarkan gambar di bawah kemahiran yang diguanakan adalah menjana dan menghasilkan idea baru dimana setiap alat muzik yang dipaparkan turut dinyatakan definisi, kelompok sesuatu  alat muzik contohnya  gambus dalam ketegori alat muzik kordofon :
Gambus

Pengenalan
Sejenis gitar bertali 6 dan membengkak di bahagian badannya hampir-hampir separuh bulat. Tali gitar diperbuat dari perut binatang atau loyang yang dipetik dengan kuku tenggiling. Badannya diukir dari sebatang kayu nangka yang berongga di dalamnya. Lehernya ditutup dengan sekeping kayu nipis dan permukaan badannya ditutup dengan kulit kambing atau kulit biawak.

Fungsi
Gambus lazimnya dimainkan untuk hiburan persendirian, pemuzik gazal dan muziknya menyerupai tarian Melayu seperti joget dan zapin di Johor.

Cara Bermain
Dipetik bagaimana cara bermain guitar.
Selain itu  secara tidak langsung sesuatu muzik  juga dapat dihubungkaitkan dengan muzik bagi sesuatu  budaya contohnya  kompang untuk majlis perkahwinan, nafiri untuk istiadat Pertabalan Raja, gendang dikaitkan untuk silat melayu dan sebagainya.






Kemahiran  reka bentuk yang ketiga  iaitu kemahiran menyelesaikan masalah.Menyelesaikan masalah adalah satu proses mental untuk mengatasi halangan yang sedang dihadapi berdasarkan tujuan tertentu.Menyelesaikan sesuatu  masalah  boleh menjadi cabaran kepada seseorang. Kejayaan dalam menyelesaikan masalah akan menimbulkan keseronokan  contohnya apabila anda berada dalam situasi berikut, adakah anda berfikir untuk membuat keputusan atau menyelesaikan masalah?
Situasi 1: Bagaimana alat-alat muzik tradisonal itu dimainkan?
Situasi 2: Pada majlis apakah alat-alat muzik itu dimainkan?
Situasi 3 : Apakah alat-alat muzik yang sesuai dimainkan bagi majlis-majlis rasmi>
Sebenarnya, kemahiran berfikir membuat keputusan berkait rapat dengan menyelesaikan masalah, antara objektif menyelesaikan masalah adalah membuat penyelesaian yang terbaik   serta mempertimbangkan banyak pilihan untuk membolehkan kita bertindak dengan bijak setelah memikirkan banyak pilihan dan kesan akibatnya. Beberapa langkah dalam menyelesaikan masalah boleh dilaksanakan berdasarkan tahap –tahapnya seperti berikut :
  • Menyedari masalah
  • Memahami masalah
  • Meneroka pilihan-pilihan penyelesaian
  • Meninjau kesan akibat
  • Memilih pilihan terbaik sebagai penyelesaian
Penggunaan alat fikir yang sesuai digunakan untuk menyelesaikan masalah seperti peta minda dan pengurusan grafik membantu menyelesaikan masalah. Kemahiran menyelesaikan masalah sering diaplikasikan dalam pengajaran berdasarkan tahap-tahap yang tertentu seperti berikut:
Pengaplikasian Dalam Pengajaran
  1. Permulaan: Perkenalkan tajuk bagi mata pelajaran yang diajar dan kemahiran berfikir yang dipilih dan rangsangkan perbincangan (pengurusan lisan) bagi menyelesaikan masalah menggunakan bahan rangsangan yang berkaitan dengan situasi yang memerlukan  penyelesaian.
  2. Perkembangan: Perkenalkan proses penyelesaian masalah dan Pengurusan Grafik (PG) yang hendak digunakan. Kemukakan isu dan isikan PG.
  3. Penutup: Merumuskan pilihan terbaik yang telah dibincangkan bagi menyelesaikan masalah berkaitan.



Kemahiran reka bentuk yang keempat ialah membuat keputusan membuat
keputusan ialah satu proses mental di mana seseorang itu bertindak untuk memilih satu pilihan yang terbaik daripada beberapa pilihan yang ada berdasarkan tujuan dan kriteria tertentu.Robin Forgarty & James Bellanca (1990) Teach Them Thinking  mengkategorikan kemahiran berfikir membuat keputusan sebagai pemikiran kritis dan mendefinisikannya sebagai "making a choice based on reasoned judgement". Mereka memberikan kata sinonim "decision making" dengan "judging, choosing, selecting".
Mereka juga memberikan menu untuk menggunakan kemahiran ini berdasarkan akronim J. U. D. G. E.
J  untuk Jot down occasion for decision
U untuk Use brainstorming for alternatives
D untuk Decide on best possibilities
G untuk Gauge positive and negative outcomes
E untuk Express selection; DECIDE.
             Alat bantu berfikir yang turut digunakan pada mata pelajaran muzik tersebut dalam membuat keputusan adalah berdasarkan pengurusan grafik. Grafik yang dipaparkan mengikut kategori alat-alat muzik  memberi jalan penyelesesaian terhadap soalan-soalan yang  telah dikemukakan dan secara tidak langsung memudahkan keputusan diambil bagi menyelesaikan sesuatu permasalahan contohnya; apakah alat-alat muzik yang terdapat dalam kategori alat muzik membrafon? Jawapanya sudah tentu beduk, geduk, kompang dan rebana ubi .

                                                      
                     Geduk                                                                                                    Rebana ubi
                         
                      Beduk                                                                                    Kompang

                Kesimpulannya kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif dalam sesi pengajaran dan pembelajaran banyak membantu pelajar memahami kandungan pelajaran.Penggunaan kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif dalam sesuatu mata pelajaran amat diperlukan bagi memberi kefahaman yang lebih jitu dan berkesan. Pelajar akan lebih proaktif dan inovatif apabila mengalami proses pembelajaran di bilik darjah. Di samping memupuk minat dan motivasi, KBBK melahirkan pelajar yang lebih berdinamik dan berketrampilan serta wujudnya daya keyakinan dalam diri mereka.(oleh Dr Rajiee Hadi:  catatan: Disebabkan masalah teknikal, foto alat-alat muzik tidak dapat disiarkan.Harap maklum)











21 Februari 2012

INTERLOK, UTHAYA SANKAR SB & SEBUAH TRAGIS

Penulis rasa isu novel lnterlok semakin dibiarkan berlarutan dikhuatiri kelak masyarakat menganggap seperti ' kebudak-budakan'. 

Sejak awal lagi penulis menekankan bahawa sesiapa yang mahu bercakap mengenai novel lnterlok maka wajib dibaca dan dihayati. Jika tidak dapat dihayati maka membaca hanya sekali tidak memadai. Bacalah dua atau tiga kali ataupun beberapa kali yang disukai.

Penulis rasa tidak perlulah berhujah berdasarkan pengalaman sendiri sebagai seorang Guru Bahasa Melayu, Guru Kesusasteraan Melayu, Pemeriksaan Kertas Peperiksaan Kesusasteraan Melayu SPM, penggiat kesusasteraan, penulis kreatif, wartawan sambilan, stringer sebuah akhbar arus perdana terkemuka dan lain-lain.

Tidak perlu penulis sebutkan yang 'lain-lain' lagi. Apatah lagi salah seorang ahli panelnya Uthaya Sankar SB dilaporkan oleh wartawan portal berita 'seorang novelis dan penulis cerpen terkenal'. Jikalau begitu, elok dan tahniahlah.

Soalnya; jika perbincangan tersebut dibincangkan dari sudut leksikologi , psikosastera dan psikolinguistik maka biarlah dibicarakan dari aspek tersebut. Dan sudah tentulah disiplin pembicara atau ahli-ahli panelnya juga berada dalam lingkungan tersebut.


Begitu juga andainya diperhalusi dari aspek sosiolinguistik,semantik, antropologi dan silang budaya maka keahlian dan kepakaran pembicara juga tidak boleh dipertikaikan lagi. Bak kata bidalan Melayu; jika tidak tahu menari, janganlah dikatakan tanah tinggi rendah; jika kail panjang sejengkal, janganlah lautan dalam hendak diduga; usahlah menangguk di air keruh; buang yang keruh,ambil yang jernih.

Kepada Uthaya Sankar SB yang penulis rasakan mewakili generasi anak muda pascamerdeka ataupun lebih tepat pasca-Malaysia; Uthaya tentulah mempunyai deria bara yang berkobar-kobar; semarak juang dan idealis memuncak.

Namun sebagai individu yang tahu sedikit sebanyak dunia penulisan, kreatif dan kreativiti adalah lebih baik Uthaya bercakap sebagai seorang seniman kreatif.

Apabila penulis membaca sebuah laporan daripada akhbar bahawa Uthaya juga salah seorang exco pemuda MIC maka penulis rasa agak kurang seronok dan dirasakan adalah malang jika Uthaya berfikir dan berdiri sebagai seorang exco pemuda MIC yang mana tentulah memakai kaca mata yang berkepentingan politik.

Walaupun ini hanya pendapat peribadi penulis sebagai sahabat dan rakan sesama penulis namun sewaktu pertemuan singkat dengannya sewaktu waktu dahulu penulis ada menyebut, " Jangan anda risau. Sesuatu bangsa atau individu itu akan dihormati dan dikagumi bukan kerana asal usul keturunannya tetapi kerana kejayaannya berjaya meningkatkan martabat diri dengan ilmu pengetahuan”.
Tegasnya, bukan kerana perkara-perkara yang remeh-temeh ini.

Sebenarnya penulis pun tidak mengenali sangat siapakah Uthaya Sankar SB ini. Maklumlah antara penulis dan beliau kami berbeza generasi.

Uthaya sudah pasti generasi pasca 13 Mei 69 yang mana era negara kita ke arah pembangunan dalam serba bidang; baik pendidikan, ekonomi mahupun pembinaan sosial.

Kebetulan semasa penulis bertugas di Negara Brunei Darussalam, pada awal pagi sering menonton RTM 1 slot laporan dan komentar akhbar-akhbar Malaysia lalu ternampak Uthaya di kaca TV yang pernah bekerja secara kontrak di RTM ketika itu.

Sebelum itu lama dahulu pernah penulis terserempak dengan beliau kerana ketika itu beliau satu-satunya anak muda keturunan lndia yang ikuti kuliah sarjana di Jabatan Persuratan Melayu UKM manakala penulis ketika itu sudah pun berjaya mendaftarkan diri sebagai mahasiswa PhD di UKM.

Ditakdirkan dalam kesibukan isu Interlok diperkatakan sana sini pada bulan Februari lalu, kebetulan penulis terserempak Uthaya di Shah Alam. Penulis sedang mencari bahan untuk satu projek penyelidikan manakala Sankar sibuk katanya kini bertugas sebagai wartawan di sebuah penerbitan.

Penulis seperti biasa, bertegur-sapa terlebih dahulu kerana berpegang kepada bidalan 'ular jika menyusuri akar takkan hilang bisanya'.

Oleh kerana komitmen dan hambatan waktu, penulis sekadar bertanya khabar dan berbual ringkas kerana kami saling memahami tanggungjawab masing-masing. Penulis bertanyakan tentang pengajian sarjananya di UKM. Beliau memberitahu pengajiannya tidak tamat, separuh jalan.

Penulis bertanyakan juga beliau mendapat ijazah pertama daripada universiti mana dan katanya dari Universiti Malaya dalam bidang pengajian media. Eloklah, ujar penulis jujur.

Apa yang penulis mahu nyatakan bahawa pada mulanya penulis menyangkakan mungkin Uthaya memperoleh disiplin linguistik Melayu atau antropologi ataupun dalam disiplin kesusasteraan Melayu seperti Lim Swee Tin sahabat lama penulis. Namun keadaan di sebaliknya.Tetapi tidak kisahlah.Yang penting ada minat, ada latar penglibatan dan ada kesungguhan.

Begitulah Uthaya Sankar yang penulis temui secara kebetulan. Kemudian penulis cuba memancing bertanyakan isu interlok. Tetapi mungkin situasi ketika itu, Uthaya cuba mengelaknya.

Penulis faham dan akur. Daripada situ penulis diberitahu olehnya bahawa kebolehannya berwacana dalam Bahasa Melayu kerana latarnya mendapat pendidikan formal di sekolah kebangsaan bukan SJK Tamil dan tinggal di kawasan perkampungan Melayu bukan di estet.

Dengan selamba penulis bergurau bahawa jika begitu penulis lebih mengenali masyarakat lndia di Malaysia daripada beliau. Penulis jelaskan bahawa penulis membesar dan bergaul dengan kehidupan di estet sejak dilahirkan dan membesar dalam kelompok komuniti Melayu,Cina dan lndia.

Dalam erti kata lain, penulis sangat masak dengan tingkah ragam dan gaya resam masyarakat lndia ketika itu di estet. Bahkan apa yang ada dalam budaya pemikiran masyarakat lndia di Malaysia ini penulis dapat rasakan.

Sebab itu lnterlok yang penulis pernah baca pada tahun 1970, dapat penulis hayati kerana penulis merasakan terlalu hampir dengan kehidupan itu dan tiada masalah apapun jika tidak dipinda apa jua pun.

lni adalah hakikat dan realiti serta bukan penghinaan; dan merupakan silap faham dan prasangka sia-sia.

Mungkin Uthaya boleh bertutur bahasa Tamil tidak dinafikan. Namun jika dibandingkan latar kehidupan penulis dengan Uthaya yang berlatarkan masyarakat lndia maka penulis yakin melebihi beliau dari aspek latar walaupun penulis gagal untuk belajar bertutur dan menulis Tamil kerana tidak belajar di SJK Tamil.

Sekadar pengalaman membesar dan bekerja sambilan di estet semasa remaja serta pernah mengendalikan kelas tiusyen Bahasa Melayu/Bahasa Malaysia untuk pelajar lndia yang mengambil SPM dan SRP (PMR) di estet pada tahun 1975. Ah, di manakah Uthaya ketika itu?

Justeru antara dipolitikkan dan disensasikan untuk meraih publisiti berhubung isu interlok yang belum berkesudahan; terserahlah kepada pembaca dan masyarakat untuk menilainya.
Kesimpulannya: Ikutlah resmi padi, semakin tunduk semakin berisi. lkutlah rentak dan adat, 'Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung'.(sumber:Tajuk asal Surat Terbuka Untuk Uthaya Sankar MKini oleh Dr. Rajiee Hadi)

18 Februari 2012

PENGEMIS DAN ZAKAT SALAH SIAPA?

DALAM nota pendek ini saya mahu merujuk bicara tentang aspek wang zakat.Dan saya  hanya menumpukan sumber zakat fitrah sahaja sebagai sumber ekonomi bagi membantu golongan lslam daif.

Walaupun kita ketahui pendapatan daripada zakat terus mengalir saban waktu bagi meningkatkan ekonomi ummah banyak daripada pelbagai   termasuk dana bersumberkan zakat pendapatan, zakat perniagaan,haiwan,wang,harta,barangan kemas  dan lain-lain namun ini belum lagi termasuk sumbangan dana dan peruntukan kerajaan, derma dan sedekah daripada orang ramai,NGO dan organisasi tertentu.

Hasil pendapatan ini biasanya akan diamanahkan atau diwakafkan ataupun diselenggarakan oleh jabatan-jabatan agama negeri masing-masing sama ada di bawah pengurusan Majlis Agama lslam negeri dan juga Baitulmal.

Sekilas pandang betapa cantiknya susun atur carta organisasi aliran pendapatan dan dana untuk membantu umat lslam agar tidak hidup merempat yang mana boleh menghampiri atau menjurus ke arah kekufuran.

Soalnya, jika di Malaysia kita ambil contoh titik tolak bermulanya pada hari kemerdekaan negara, 31 0gos 1957 hingga kini; anehnya masih kita 'dihebahhebohkan' dengan sang pengemis yang berkeliaran di sana sini, sang fakir yang merempat 'Bersamamu' hidup dalam kemiskinan, keluarga daif,dan orang kurang upaya (OKU),saudara baru dan seumpamanya yang miskin lara, mengemis dan mendamba berjurai air mata hiba hinggakan ironisnya mengharapkan bantuan di pihak gereja katolik atau mana-mana badan bagi menagih simpati.Apa sudah jadi wang zakat itu?

Kepada para pemegang amanah yang alim warak di jabatan atau majlis-majlis agama atau baitulmal apakah sudah jadi dengan wang zakat? Adakah membina kolej universiti,premis dan wisma yang didirikan atas logo lslam boleh mengeringkan derita air mata sang peminta?

Amat memalukan  jika yang menjadi keutamaan dikebelakangkan manakala yang tidak wajib dimercukan.Biarlah tanggungjawab kerajaan persekutuan dan negeri yang telah sedia ada peruntukan untuk agama lslam selaras dengan Perlembagaan Negara membangunkan masjid,sekolah,kolej dan sebagainya melaksanakan tanggung jawabnya. Dalam erti kata lain usah diusik wang zakat selagi ada kemiskinan dan kelaparan umat lslam.

Bayangkan andainya pada tahun 1957 zakat fitrah yang dikenakan setiap individu lslam sekitar seringgit. Sekiranya umat lslam ketika itu 12 juta anggarannya kita mengumpulkan RM12 juta! Masakan sang fakir miskin papa kedana berjumlah 10-15 juta ketika itu/ Tidak mungkin.

Rasa-rasanya sekitar 10% penduduk lslam yang  dalam kategori fakir dalam lingkungan  1.2 juta pada masa itu. Kerana semiskin-miskin orang Melayu pada zaman itu ada punya rumah sendiri,tanah dan dusun warisan sendiri yang boleh diusahakan untuk bercucuk tanam.

Saya percaya wang zakat fitrah yang terkumpul dalam satu tahun sahaja,RM12juta  PADA TAHUN 1957 boleh menyelesaikan isu sang fakir dalam negara Persekutuan Tanah Melayu ketika itu. lngat ini hanya anggaran kasar sahaja.

Justeru bagaimana pada era kini wang zakat fitrah RM6-7 setiap individu manakala penduduk lslam berjumlah hampir 20 juta? Dengan kiraan yang mudah anda boleh gambarkan berapakah wang yang terkumpul. ltu belum lagi merangkumi hasil mahsul zakat dan sumber-sumber yang lain.
Alangkah beruntung dan bertuahnya umat lslam.

Nota ini cuma mahu mencetuskan minda kritis pembaca secara permukaan dan dasarnya sahaja. Dan alangkah indahnya umat lslam daripada semua lapisan masyarakat,latar kepakaran dan kemahiran berganding usaha dan memfokuskan kebajikan ummah tanpa tertipu dek kebendaan semasa.Dan masa inilah kita memikirkan sebuah negara impian yang berkebajikan untuk kesejahteraan rakyatnya!


(oleh Dr Rajiee Hadi,Presiden Persatuan Pengamal Pendikan, Kuala Lumpur.)