HAJI DR. RAJIEE HADI

HAJI DR. RAJIEE HADI
SERIBU WARNA SERIBU MAKNA

2 November 2011

TEMU BUAL ESKLUSIF BERSAMA DR. RAJIEE HADI

Suatu petang yang santai Ummi Nessa (UN) telah mewawancara Dr. Rajiee Hadi (DRH) seorang tokoh pendidik yang juga mantan aktivis kesatuan guru serta terlibat secara langsung dalam bidang penulisan,kesenian,kebudayaan dan kemasyarakatan. Beliau ialah mantan Presiden Kesatuan Kebangsaan Guru Bahasa Melayu Se-Malaysia(KKGBMS),mantan Ahli Majlis Jawatankuasa Agung (AMJA)Kongres Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia(KONGRES),mantan Ahli Majlis Permuafakatan Pengurusan Kementerian Pelajaran Malaysia,mantan Ahli Jawatankuasa lnduk Hari Guru Kebangsaan dan mantan Pengerusi PIBG salah sebuah sekolah menengah agama di Selangor. Beliau kini ialah Presiden Persatuan Pengamal Pendidikan Malaysia (PENDIDIK) . Semoga dapatan wawancara ini menjadi sumber inspirasi kepada semua para pendidik dan para pejuang kemanusiaan.


UMMINESSA
Assalamualaikum,apa khabar Dr?
DR. RAJIEE HADI
Waalaikumussalam wbkt. Alhamdulillah,khabar baik.

Selamat bertemu dan  terima kasih kerana sudi membuat sesi wawancara bersama UN  dalam bual bicara motivasi pendidikan.  Boleh saya panggil Dr  sahaja?

Boleh, saya selesa dengan panggilan itu.  Mahu panggil cikgu pun boleh.

Saya memilih Dr berdasarkan kepada kejayaan kerjaya pada suatu ketika dan sehingga kini.  Boleh Dr ceritakan pekerjaan  ataupun bidang apakah yang telah Dr diceburi?.

Begini…Jika’ nak diceritakan panjang ceritanya  dalam hal pengalaman  ini.Maklumlah pelbagai  tempat dan suasana tempat bertugas  khususnya  berkaitan dengan pendidikan. Saya telah berkhidmat di empat buah negeri;Johor,Negeri Sembilan,Wilayah Persekutuan dan Selangor.  Saya pernah berkhidmat sebagai guru pelatih di Selangor,Kuala Lumpur dan Johor.Kemudian sebagai guru terlatih di Johor,Negeri Sembilan, Selangor dan Wilayah Persekutuan.Pendek kata, dari sekolah harian hingga ke sekolah berasrama penuh,dari kelas peralihan hinggalah mengajar tingkatan enam selama 17 tahun. Kemudian sebagai pensyarah dan Ketua Unit Pembangunan Keguruan Jabatan Penyelidikan di salah sebuah  institusi perguruan di Malaysia sekitar sepuluh tahun dan bakinya sebagai pensyarah kanan di  salah sebuah universiti luar negara. Saya juga pernah berkhidmat sebagai pensyarah sambilan di Universiti Tenaga Nasional (Uniten) dan di Universiti Putra Malaysia (UPM) di samping beberapa buah kolej swasta. Kegiatan lain sebagai penulis bebas dan wartawan sambilan,  perunding motivasi dan psikologi.

Hmm..hmmm..  Rupa-rupanya  Dr  ni orang yang hebat ya...  Tak salah saya memilih Dr  dalam sesi ini.

Oh, ye ke? Saya rasa, sama seperti orang lain. Cuma saya merasakan mahu mengisi peluang bagi menimba pengalaman yang tidak saya perolehi semasa di bangku sekolah dahulu.Maksud saya dalam soal kepemimpinan.

Nampaknya Dr  ni lebih ke arah bidang yang  berkaitan pendidikan, iaitu mendidik dan menyuntik motivasi.  Sejak bilakah  Dr mula berminat dalam profesion ini?

Kalau nak diceritakan memang panjang. Sejarah bermula apabila saya berjinak-jinak dengan buku. Beginilah. sebenarnya…sejak kecil saya suka sangat membaca.  Seingat saya usia 5 tahun saya dah masuk   tadika  atau dahulu dipanggil “sekolah tumpang”kerana dah pandai membaca.  Bahan bacaan saya tidak setaraf dengan usia saya .  Contohnya pada usia 6-12 tahun, saya sudah mula membaca buku-buku karangan penulis terkenal seperti karya Hamka,Shakepeare,Abdullah Hussein, Abdul Moes,A.Samad Ahmad  dan ramai lagi. Sehingga sekarang, saya masih minat membaca. Tak kiralah sama ada buku, jurnal atau artikel.  Setiap pagi saya mesti membaca akhbar dan sekurang-kurangnya 1 buku setiap hari.Hahaha..sekarang sudah tentulah saya melayari berita-berita dalam internet termasuk blog. Saya suka bahan bacaan seperti autobiografi,motivasi dan pembangunan kendiri serta  politik semasa.   Jika tidak membaca bagai ada sesuatu yang tidak kena pada hari itu. 

Elok benar minat sebegitu diamalkan sehingga kini.  Suatu amalan yang patut dipuji. 

Terima kasih.  Minat  itu memang datang dalam diri bukan perlu paksaan sebenarnya.Ya..lah faktor persekitaran, latar dan zaman banyak mempengaruhi juga dalam kehidupan saya.

Saya setuju dengan Dr.

Memang patut dipupuk minat ’tu dari awal sebenarnya.Walau ketika itu tiada dorongan sesiapa tetapi bagi saya membaca ketika itu sebagai suatu escapism atau pelarian daripada kesunyian.Manalah banyak hiburan alternatif ketika zaman saya membesar.Tambahan saya jenis tidak suka berhiburan bersama rakan-rakan sebaya.Lebih gemar menyendiri.

Bagaimana dengan zaman persekolahan Dr.

Zaman persekolahan saya tidak mengalami kelengkapan walaupun tahap minimum.Maklumlah sekolah rendah di estet zaman kolonial;tiada guru bahasa lnggeris.Kemudian sekolah rendah di kampung yang terpaksa berasingan antara pelajar lelaki dan perempuan.Kekadang seorang guru terpaksa mengajar dua buah kelas pada suatu masa yang sama.Terpaksa berkejar ke sana sini mengawal bilik darjah yang berdinding kadbod. Justeru, kebanyakannya saya  sendiri memotivasikan diri saya berdasarkan kepada penelitian dan pemerhatian  dan kepekaan saya terhadap pengaruh  persekitaran tempat tinggal dan keluarga .Apatah lagi sejak kecil seusia 10 tahun saya berdikari tidak tinggal bersama ibu bapa tetapi tinggal bersama datuk yang mempunyai ramai cucu lain.  Minat membaca yang mendalam sejak kecil  banyak membentuk peribadi dan jiwa saya misalnya semasa saya di sekolah rendah, dan menengah rendah saya telah membaca karya penulis tersohor seperti Hamka, Arenawati, Acdiat K.Mihardja, Pramoedya Ananta Toer, Abdullah Hussin, A.Samad lsmail,A.Samad Ahmad,A. Samad Said dan lain-lain lagi. Dan saya telah membaca kesemua novel yang memenangi hadiah utama dan saguhati Peraduan Menulis Novel 10 tahun merdeka anjuran DBP.Novel-novel itu saya pinjam daripada ldris(sebenarnya milik abangnya) yang dikenali ”Apah”iaitu rakan zaman kecil saya.Sebenarnya abang sulung  ldris, Asaha Abong (kini Dato’)menjadi idola di kampung saya kerana menjadi pelajar pertama menjejaki kaki ke menara gading,Universiti Malaya,Kuala Lumpur pada awal 1960-an.

Seronok mengikuti pengalaman persekolahan Dr.  Apakah yang memotivasikan Dr  membaca?

Membaca adalah hobi saya. Pada mulanya, saya melihat banyak buku,kitab lama dan majalah klasik di atas loteng rumah datuk saya .Saya ambil kemudian membelek-belek sehingga timbul minat untuk mengetahui isi buku yang saya temui itu.  Jadi saya membacanya satu persatu.  Sehinggalah habis buku dan majalah yang ada saya baca semuanya.  Bahan-bahan kritikan masyarakat tulisan Abdul Rahim Kajai saya baca walhal bukan label kanak-kanak seusia saya ketika itu.

Bermakna Dr lebih matang berbanding usia...  betul begitu?.

Saya tak menafikannya.  Memang pemikiran saya lebih matang daripada usia.  Contohnya saya suka bergaul dan membincangkan topik-topik semasa dengan orang dewasa.  Sebenarnya menyeronokkan.  Kadang-kadang lucu pun ada.

Lucu?. Maksud Dr?

Lucu bila saya membicarakan tetang isu –isu semasa.Misalnya tika saya berusia 14-15 tahun saya sudah kritis tentang kemudahan jalan yang tidak berturap,parit yang tersumbat. Walhal bukan setaraf dengan usia saya. Dan saya terus menulis di ruangan forum pembaca akhbar Utusan Malaysia/Utusan Melayu lalu disiarkan.Gembiranya bukan kepalang! Kadang-kadang kena marah juga bila menyampuk perbualan orang dewasa.  Itulah yang melucukan saya. Saya dapat berbahas dengan orang yang lebih tua daripada saya.Hahaha..tapi tidaklah sehebat Hang Nadim!

Baiklah… Tadi Dr  beritahu saya.. banyak bidang yang telah diceburi.  Apakah  jawatan mutakhir Dr ?

 Pensyarah Kanan di salah sebuah IPTA di Brunei.

Hebatnya Dr .  Ok lah .. tentu banyak pengalaman yang dapat Dr perolehi semasa menjawat jawatan Pensyarah Kanan di sana ya…  Boleh Dr  ceritakan sedikit? 

Bekerja di tempat orang tidak sama dengan di negara sendiri.  Banyak birokrasi.  Saya sejujurnya tak berhasrat ’nak menonjolkan diri, siapa saya di sana. Kena faham-fahamlah.  Nanti mereka  menyangka kita ’nak melobi atau ’nak menunjuk-nunjuk pandai.Namun saya tetap berpegang kepada prinsip jika membabitkan hal-hal akademik.  0leh itu saya hanya bekerja rutin mengikut apa yang ditawarkan  atau diarahkan sahaja.Di samping memberi kuliah,menyelia praktikum mengajar mahasiswa perguruan, saya juga membuat penyelidikan,menulis esei dan membuat kerja-kerja terjemahan bahasa Melayu ke bahasa lnggeris.  Tapi pengalaman lain adalah; seperti dapat melihat sejauh mana kesungguhan pelajar di sana dalam mengejar ilmu...bak kata bidalan ’lain padang,lain belalang.’   

Apabila saya amati, Dr  lebih suka berkhidmat dan berbakti untuk orang lain. 

Maksud puan?.
Ya.. lah..berdasarkan bidang  yang Dr ceburi sebutkan tadi, menunjukkan Dr  berminat berinteraksi  dengan orang ramai.  Sebagai guru atau  pendidik ... ’kan selalu bertemu dan memberikan tarbiyah  kepada orang lain.

Betul ‘tu puan.  Saya memang suka bidang yang ada interaksi dan komunikasi dua hala yang positif . Ya.. lah antara pensyarah dengan pelajar contohnya. …

Emmm…….. Baiklah Dr.  Boleh Dr jelasakan perkara yang paling tidak disukai terutamanya membabitkan kerjaya Dr?

Berbicara tentang perkara yang paling saya tidak suka dalam kerjaya ini banyak berkaitan soal peribadi.  Misalnya,kedudukan  saya ketika saya berkhidmat di Malaysia  hanya staf biasa. Walaupun ada perkara-perkara yang saya rasakan patut berubah tetapi cepat-cepat saya beralah dan tak perlulah  terlalu berat untuk memikirkannya. Kerana tidak ada apa-apa perubahan pun kalau saya mencadangkan atau mengesyorkan sesuatu idea.  Saya paling tidak suka apabila ada individu atau pihak luar yang tidak berkaitan tetapi berkepentingan mencampuri urusan  kerja.Maksudnya yang nyata,mereka  yang tidak berkemahiran. Mereka hanya pandai berkata dan mengarahkan sahaja tapi tidak ada kemahiran untuk menunjukkan bukti apa yang diperkatakan kepada saya atau stafnya.  Saya pernah juga bersuara  mengenainya tetapi tiada apa tindakan yang diambil. 

Maksudnya Dr. rasa tak puas hati dengan birokrasi ?.

Saya tak kata aspek birokrasi sahaja. Tetapi banyak pihak yang memberi pelbagai alasan ’red tape’.  Sebab saya ni memang aktif dalam beberapa persatuan dan kesatuan guru. Banyak perkara dalam Perintah Am Kerajaan saya tahu. Jadi nampaklah di situ berberapa kelemahan kerana ada ketua yang tidak tahu banyak prosedur terutama soal peruntukan kewangan.  Sehingga pada satu tahap, saya merasakan  tidak ada guna bersuara kerana tidak ada keadilan di situ.

Nampaknya Dr. memang begitu komitmen dalam karier.

Memang itu adalah amanah yang diberikan kepada saya.  Saya kena melaksanakan yang terbaik walaupun ada ketikanya dianggap seperti suatu persaingan.



Maksud Dr tidak mendapat bantuan mana-mana pihak itu bagaimana?.

Maksud saya  semasa saya melanjutkan pelajaran di IPT di peringakat ijazah lanjutan sehingga PhD, saya tidak pernah mendapatkan biasiswa dari mana-mana pihak  baik dari pusat mahupun dari negeri.  Bermakna saya bebas dan mandiri.Saya menjual aset untuk menampung perbelanjaan pengajian ijazah lanjutan.

Saya sungguh teruja dengan kesungguhan dan keteguhan Dr untuk mencapai kejayaan tanpa mana-mana bantuan kewangan.  Jadi, apa rahsia Dr sehingga berjaya kini.

Tidak dinafikan semasa di tingkatan enam, maktab perguruan dan ijazah sarjana muda pendidikan saya dibiaya ala kadar sahaja oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.Walau tidak mencukupi saya berusaha bekerja sambilan mencari sumber rezeki tambahan. Selain sebagai penulis dan wartawan sambilan, saya menjual buku secara jualan langsung ke sekolah-sekolah.Sebab itu saya berkeyakinan bahawa kejayaan saya adalah hasil usaha sendiri dan tidak mengharapkan orang lain untuk mencapai impian dan cita-cita. Allah telah mengurniakan semangat yang tinggi kepada saya di samping sokongan dan seluruh isi keluarga  yang mendoakan kejayaan.

Berdasarkan  pengalaman  Dr,  minat membaca  agak mendalam .  Boleh Dr terangkan apakah perkara yang paling diminati selain membaca  dilakukan ketika lapang?.

Sebenarnya saya  minat dalam seni...drama dan  teater. Dahulu semasa awal perkhidmatan saya dalam bidang perguruan saya pernah berlakon teater ,mendeklamasi puisi, berpengakap dan   masa terluang saya suka membaca. Saya sasarkan membaca buku atau novel, sebuah naskah setiap hari.  Itu adalah amalan saya sejak dahulu lagi. Selain itu saya juga minat menulis puisi.  , menyanyi , berenang , jogging dan aktiviti kembara. Bagi saya masa itu adalah emas dan sangat berharga.Alhamdulillah telah menghasilkan 20 buah buku kreatif dan akademik. Buku terkini (2003) ialah kumpulan puisi perseorangan CINTA ARAFAH yang telah diterbitkan oleh Dwiwangsa Publication.

Apakah Dr pernah memenangi sebarang sayembara penulisan?.

Hahaha.  Ada ’tu adalah dalam genre puisi dan cerpen dalam beberapa sayembara di peringkat maktab,universiti,negeri dan kebangsaan..  Antaranya pada sekitar  tahun 90-an saya merangkul tempat pertama, hadiah RM3ribu dan mengalahkan  beberapa sasterawan terkemuka yang lain waktu tu...dalam sayembara menulis Puisi Bosnia anjuran PENA .Saya menggunakan nama seorang wanita.Hahaha...ramai yang tidak tahu rahsia ini.Seperkara yang tidak dilupai saya adalah salah seorang daripada sepuluh pemenang sagu hati dan memperoleh hadiah RM3 ribu menamakan kereta nasional, Proton Saga,1985. Selain itu,  saya suka menulis cerpen dan  puisi yang seringkali disiarkan di akhbar-akhbar dan majalah tempatan dan luar negara  termasuk di Brunei , lndonesia dan Singapura.  Tetapi kini aktiviti agak minimum kerana kesibukan dengan kerja hakiki saya. Namun kini saya kembali menulis esei  ilmiah dan kreatif semula.Saya berazam menulis buku-buku ilmiah.

 Tampaknya Dr agak arif dari segi ilmu pendidikan dan mendalami bidang kesusasteraan dan linguistik.

Bukan apa saya meminati semua  jurusan ilmu tapi yang paling minat psikologi bahasa dan sastera iaitu yang berkisar kognitif dan pemikiran.

Dr ada menyebutkan tentang perkara yang paling diminati iaitu membaca , menulis cerpen, puisi dan lain-lain. Bagaimana pula dengan perkara yang paling tidak disukai.

Perkara yang paling saya tidak suka semasa kanak-kanak dahulu ialah  terpaksa berjauhan  ibu bapa kerana tinggal dengan datuk. Ini kesan masa lalu saya.Saya menyendiri,sensitif tetapi memiliki daya sensitiviti yang tinggi.  Saya terpaksa tinggal dengan datuk sebab di kawasan kuarter ibu bapa,  lokasi sekolah agak jauh dan tidak bersesuaian. Bapa memutuskan  menghantar  saya dan dua adik saya ke rumah datuk  yang berhampiran bandar. Sangat sedih masa itu. Terasa macam anak terbuang saja.  Tapi apabila bapa saya menerangkan sebab mengapa saya di hantar ke kampung barulah  hati saya tenang walau kerap kesayuan. Sehingga sekarang walaupun hampir 50 tahun berlalu  saya masih dapat merasainya perit perpisahan dengan keluarga.

Benar apa yang dikatakan bapa  Dr . Bapa Dr sebenarnya memandang masa depan Dr . Dan apa yang terhasil sekarang, Dr agak kuat kini melawan perasaan dalam setiap perjuangan kesan   pengorbanan perasaan Dr berpisah daripada  keluarga pada masa silam.  Dan kini bagaimanakah Dr mengisi masa senggang ?

Masa senggangg saya biasanya saya membaca dan menulis artikel atau mengarang cerpen dan puisi.

Kehidupan sosial Dr?

Saya suka berpersatuan dan aktif dalam  NGO.Ehemmmm tidak keterlaluan saya katakan bahawa saya turut berarak bersama-sama para pejuang bahasa Melayu sewaktu menentang PPSMI (Pengajran & Pembelajaran Sains Matematik dalam Bahasa Inggeris). Kebetulan saya juga terlibat ketika penubuhan  Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP).  Saya ni sensitif sikit dengan isu-isu semasa yang sedang berlaku.  Kadang-kadang saya akan bersuara melalui online contohnya apabila ada isu yang dibincangkan tidak berkenan di hati saya akan menghubungi langsung dan berdialog dengan ahli panel sama ada di televisyen,radio mahupun dalam majlis-majlis  dialog terbuka.  Saya memang minat berjuang tentang perkara-perkara yang tidak betul dan  harus diperbetulkan.Ya, saya kritis tapi analitis...  Saya tak suka duduk diam sahaja.Ha..ha..ha..sekarang sesiapa boleh melayari blog saya....tiub bocor blogspot.com

Bermakna masa-masa luang Dr diisi dengan perkara yang bermanfaat lah ya.  Jadi tiada istilah rehat nampaknya.

Emm. Dah minat dan menjadi tanggungjawab saya untuk memperbetulkan perkara yang saya kurang senang..yelah..mesti ada KBKK...kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif!

Berdasrkankan pernyataan Dr dari tadi, dapat saya ambil kesimpulan bahawa Dr seorang yang berdikari , maksud saya semasa menuntut di universiti sehingga ke peringkat PhD , Dr tidak mendapatkan mana-mana biasiswa pun.  0leh itu apakah prinsip Dr sebenarnya.

Saya berpegang kepada prinsip berdikari tanpa ’ ”tongkat ’. Sebenarnya saya belajar dan menyelidik berdasarkan kemahuan dan minat sendiri bukan mengikut acuan pihak lain.ltu adalah  prinsip saya. Hasil daripada pengamatan positif saya sendiri. . Itulah prinsip mandiri  saya.  Saya berpegang kepada prinsip seperti mana semasa mesyuarat permuafakatan pengurusan KPM  bagi  penentuan PPSMI dahulu saya dan KKGBMS berterus terang menyatakan tidak setuju  berhubung pelaksanaan PPSMI.Saya mengemukakan hujah-hujah akademik di meja mesyuarat yang dipengerusikan Ketua Pengarah Pelajaran ketika itu. 

Dalam erti kata lain, bermakna kita tidak boleh mengharapkan mana-mana pihak untuk menempa kejayaan? Maksudnya berusaha sendiri. Tetapi   pernahkah Dr bergantung dengan mana-mana individu atau pihak hatta dengan keluarga?.

Kami dari keluarga yang sederhana.  Saya tidak bergantung dengan keluarga kerana kerana datuk saya juga terpaksa memelihara 9 cucunya yang yatim piatu.   Saya lebih memandang kepada adik beradik saya.  Biarlah ibu bapa saya memberikan tumpuan kepada mereka.  Saya tidak bergantung dengan mana-mana pihak pun.Ada juga   frust sebab beberapa kali mohon biasiswa peringkat sarjana dan doktor falsafah diketepikan. Namun kenangan manis yang tidak dapat lupakan ialah kejayaan saya memperoleh ijazah sarjana (M.A) secara separuh masa cuma dua semester atau satu tahun  sahaja di UKM.Kemudian saya ditawarkan terus melanjutkan pelajaran ke peringkat Ph.D di universiti yang sama. Bagi saya itu adalah hikmah yang tidak terhingga kerana saya tidak terikat dengan mana-mana agensi atau menggunakan wang rakyat. Saya  bebas.

’Bebas’.  Seronok bunyinya ya Dr.
Memang seronok saya tidak terikat, tidak terasa termakan budi, tidak rasa bersalah kepada masyarakat dan tiada masalah dengan mana-mana  pihak.

Berdasarkan   keceriaan Dr ,memang saya dapat lihat Dr menikmati erti kebebasan ini.

Dapat dizahirkan dengan keceriaan saya sekarang.  Bukan apa puan, saya telah mengalami pelbagai kisah  pahit duka menempuh kejayaan yang saya perolehi sekarang.  Kena banyak bersabar.  Sebab ramai yang mencemburui kejayaan saya.  Saya tidak suka pula untuk bersaing.  Apabila  ada persaingan saya lebih suka  mengalah dan angkat kaki dulu sebelum apa-apa berlaku.Tetapi bukan bererti saya mengalah begitu sahaja tetapi saya akan terus bersemangat menempa kejayaan seterusnya.Maksudnya saya berfikiran positif..

Adakah Dr seorang yang suka melihat kebahagiaan orang lain daripada kebahagiaan sendiri?

Ya. Emmm betul...apa pun bergantung kepada sikon.(situasi dan kondisi)

Bagaimana dengan kehidupan rutin Dr?

Dahulu  ada perancangan jangka pendek mahupun jangka panjang.Saya ada syarikat konsultans sendiri yang pernah mengendalikan beberapa seminar tetapi tidak aktif.lnsya-Allah, saya akan menggerakkan sepenuh masa pada masa yang sesuai kelak. Maklumlah kita sebagai hamba Allah hanya mampu merancang dan berusaha.  Kenalah banyak menempuhi cabaran dengan penuh kesabaran yang banyak.

Betul Dr...  kita kena banyak bersabar dalam setiap perjalanan kehidupan in.Harapan UN kepada  Dr yang secekal ini  yang betah dengan pelbagai kesulitan dan cabaran agar mendorong motivasi kepada guru-guru muda hari ini.

Bagi saya senang atau sukar kita mesti  sentiasa yakin diri berpaksikan keyakinan kepada Allah dan banyak bersabar.Biar orang menganiaya kita, jangan kita menganiaya orang lain.Ada ubi ada batas....

Benar...  Tentu  ada kekuatan dalam diri Dr  .

Kekuatan dalam diri saya ialah yakin, berdikari dan ada motivasi pembangunan diri sendiri.  Saya suka melihat ke hadapan dan menoleh ke belakang untuk membuat penambahbaikan.Mesti ada wawasan!

Dr sudah lama berkecimpung dalam profesion pendidikan . Kalau tidak silap lebih  30 tahun.  Apakah sumbangan yang telah Dr berikankan?

Pengalaman dalam bidang pendidikan selama 30 tahun. Penglibatan dalam NGO dan organisasi persatuan selama 20 tahun. Penglibatan dalam penulisan sama ada penulisan deskritf dan kreatif.Pengalaman menghadiri dan terlibat dalam seminar di dalam dan luar negara termasuk mengembara  ceruk rantau dalam negeri dan luar negara. Pengalaman yang digarap ini biasanya secara gabung jalin dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran, dalam kuliah saya kongsikan untuk para pelajar saya.Tujuannya meningkatkan motivasi mereka.Selain itu saya garapkan ke dalam karya-karya kreatif. 

Walau banyak kejayaan yang Dr perolehi, tentu ada pelbagai bentuk cabaran dan halangan yang terpaksa Dr hadapi.  Adakah begitu Dr?.

Biasalah puan, kita bekerja dengan manusia dan persekitaran.Ada interaksi dan komunikasi.Tentu ada halangan-halangannya. Tentu ada yang tidak senang dengan apa yang kita miliki.  Ramai yang cemburu dengan kejayaan kita dan orang lain.  ltu lumrah kehidupan.  Bagi saya  halangan  perlu saya ditatangi dengan merangka pelan A,pelan B dan seterusnya. Sikap cemburu,dengki dan khianat orang lain  anggaplah suatu persaingan sihat.Kita jangan putus-asa.Dalam diam kita boleh bertindak.Umpama menarik tepung dalam rambut.Rambut tidak putus,tepung tidak tumpah.Apa salahnya kita berhijrah ke tempat lain untuk mendapatkan pengalaman baru dan menyebarluaskan kepada ilmu pada orang lain.Berhubung dengan halangan-halang birokrasi,tidak perlulah saya bercerita panjang. Ada yang bersifat personal.Namun peraturan yang sedia ada tidak silap tetapi manusia yang melaksanakannya tidak cekap,tidak amanah.   Yang paling mengecewakan saya ialah apabila bertemu ketua majikan yang opurtunis,hipokrit dan tidak ada pendirian; bagai lalang ditiup angin. 

Wah, macam tidak puas hati luahan Dr?

Tidak puas hati adalah fitrah.Saya manusia hamba-Nya yang serba lemah dan kekurangan.Sebenarnya saya jenis kakitangan yang  bertindak atau menegur mengikut peraturan sedia ada.Perintah Am Kerajaan.  Saya akan merujuk Perintah Am bagi penambahbaikan dalam sesebuah organisasi.Bukan menyembunyikan habuk di bawah karpet. Selain itu perkara yang berkaitan penilaian prestasi yang ada elemen ketidakadilan kerana tidak mematuhi prosedur penilaian.Misalnya semasa zaman penilaian SSB  masih banyak kedapatan Ketua Pejabat yang tidak memanggil staf mereka bagi melaksanakan prosedur penilaian secara telus.Mereka menilai pada padangan luaran dan emosi tetapi bukan kepada sumbangan dan penghasilan kerja kita seperti yang digariskan dalam  panduan skema.  Ini membuatkan saya tidak berpuas hati dan berasa kecewa serta hilang kepercayaan!

Baiklah Dr.  Saya rasa bual bicara  kita sudah  ke penghujungnya.  Saya ingin membuat kesimpulan dengan apa yang diperkatakan.  Beginilah Dr.. Pada padangan saya, Dr adalah seorang cekal menerokai  bidang akademik .  Banyak buku Dr telah diterbitkan pada suatu masa dahulu.. begitu juga dengan cerpen dan  puisi.  Penglibatan Dr dalam NGO banyak membawa implikasi positif sehingga hari ini.  Kekuatan Dr adalah prinsip hidup tidak bergantung dengan sesiapa tetapi tidak malu bertanya kepada mereka yang tahu dan berilmu.  Sejarah hidup Dr banyak membantu Dr untuk mengecapi kejayaan di samping pengorbanan ahli keluarga yang sanggup berkongsi suka duka sepanjang kerjaya Dr.  Itu adalah kekuatan dalaman Dr.  Bagi saya Dr orang yang tabah dan kuat menghadapai cabaran dan dugaan  kerana Dr berpaksikan keyakinanan kepada Allah.  Bagaimana Dr? Adalah Dr setuju dengan kesimpulan saya.

Tidak ada salahnya puan membuat kesimpulan ini.  Tapi saya ingin melengkapkan lagi rumusan puan ni .  Bagi saya setiap pekerjaan mesti ada perancangan, setelah dirancang lakukan pelaksanaan dengan teratur dan buatlah pemantauan dari semasa ke semasa bagi menentukan perancangan dan pelaksanaan dapat  dilaksanakan dengan bersistemetik.lnsya-Allah jika dikurniakan kesihatan diri yang sihat walafiat saya akan membuat penyelidikan untuk ijazah Ph.D dalam bidang lain pula.

Syabas dan didoakan Dr terus berketrampilan dan berdaya saing dalam kerjaya dan beroleh kejayaan dengan cita-cita Dr yang tidak pernah luntur,tidak kunjung padam itu.Baiklah Dr.  Saya sangat-sangat bertuah dapat mewawancara  dalam sesi bual bicara motivasi ini.    Terima kasih.

Saya pun bertuah kerana dapat berkongsi apa yang saya miliki dan pernah miliki sebelum ini dalam kerjaya saya.  Bolehlah yang baik diambil sebagai panduan dan yang tidak elok dijadikan sempadan. Yang baik datangnya daripada Allah S.W.T, yang kurang daripada saya sendiri.Sama-sama.

(sumber: umminessa.blogspot.com/ Blogger ini kini sedang   menyiapkan PhD dalam bidang kepemimpinan dan dakwah di sebuah IPTA Malaysia. Wawancara telah dilakukan  pada tahun 2009).

26 Oktober 2011

SIASAH MEWAWANCARAI DR. RAJIEE HADI ISU PPSMI (Siasah , 15-21 Mac 2009)


TANYA PADA HISHAMUDDIN SIAPA DALANG PERTAHAN PPSMI….


ISU PPSMI semakin hangat sekarang.  Pada 7 Mac lalu perarakan raksasa 100,000 orang ke Istana Negara adalah manifestasi bantahan rakyat terhadap dasar yang akan merugikan bahasa dan bangsa Melayu dalam tempoh jangka panjang. Kepupusan tulisan jawi berlaku selama 30 tahun selepas dihapuskan pembelajaran tulisan itu di sekolah-sekolah.  Maka perkara yang sama akan berlaku kepada bahasa Melayu dalam jangka masa 30 tahun lagi.



Ramai pihak yang menentang dan yang paling lantang ialah Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) yang diketuai oleh Datuk Dr. Hassan Ahmad, Prof, Dr. Shahrir Mat Zin dan SN Datuk A. Samad Said.
DR. RAJIEE HADI

Salah sebuah pertubuhan yang membantah PPSMI ialah Persatuan Pengamal Pendidik Malaysia (PPPM/Pendidik) yang ahli-ahlinya terdiri daripada mereka yang memiliki tauliah dan kelayakan ikhtisas  dalam bidang pendidikan sama ada yang sedang berkhidmat atau yang sudah bersara.  Sehubungan dengan itu SIASAH telah berkesempatan mewancara Presiden Pendidik baru-baru ini iaitu Dr. Rajiee Hadi.

Dr. Rajiee Hadi adalah mantan Presiden Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Bahasa Melayu Se-Malaysia (KKGBMS) dari tahun 2000-2005.  Beliau sekarang berkhidmat sebagai pensyarah kanan di salah sebuah universiti di luar negara.

SIASAH       
Apakah pendirian  Persatuan Pendidik dalam isu PPSMI?

DR. RAJIEE
Persatuan kami berdiri teguh dan menyokong penuh GMP yang gigih memperjuangkan supaya PPSMI dihapuskan.  Kita mahu kembalikan pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Melayu sepenuhnya.

Ketika menjadi Presiden Kesatuan Kebangsaan Guru Bahasa Melayu Se-Malaysia  ( KKGBMS) dahulu, pernahkah kesatuan ini dipanggil untuk membincangkan isu PPSMI ini?

KKGBMS ialah sebuah kesatuan sekerja yang mewakili golongan guru.  Ianya macam sebuah badan pemikir dalam Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ketika itu.  Berbagai-bagai isu yang berkaitan dengan pendidikan di sekolah-sekolah dibincangkan dalam Majlis Permuafakatan Pengurusan Pendidikan KPM ini.  Mengenai PPSMI, seingat saya pernah iaitu pada tahun 2002.  Pada tahun itu, Dr. Mahathir telah membangkitkan betapa ramainya pegawai diplomatik (PTD) dan pelajar universiti tidak fasih bertutur dalam bahasa Inggeris.  Dr. Mahathir tidak senang dengan keadaan itu dan mencadangkan supaya bahasa Inggeris digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik.

Kami dipanggil dalam suatu taklimat bagi membicangkan isu PPSMI ini.  Pada taklimat itu  Ketua Pengarah Pendidikan ketika itu (sekarang Kementerian Pelajaran) Allahyarham Tan Sri Mohd, Rafie Mahat memberitahu bahawa PPSMI merupakan projek percubaan atau perintis selama lima tahun.  Sekiranya tidak berjaya maka projek ini akan dibatalkan. Juster, tiada perbincangan serius. Mungkin kerana ianya hanya percubaan.  Ia serupa dengan projek Sekolah Bestari.

Selama 6 tahun, projek ini ternyata gagal maka kerajaan harus membatalkannya tanpa bersusah payah mengadakan perbincangan meja bulat.

Akan tetapi kami dapat merasakan bahawa taklimat itu hanya sebagai memenuhi proses pengurusan dan pentadbiran  sahaja.  Saya dapat merasakan keputusan sudah diambil untuk melaksanakan PPSMI ini.  Pada awal tahun 2002, ketika Kongres Pendidikan Melayu diadakakan, borang-borang kaji selidik sudah diedarkan kepada para peserta.  Kesatuan kami membantah pelaksanaan projek ini kerana akan menghadapi permasalahan kekurangan guru-guru yang mahir dan terlatih dalam bahasa Inggeris dan dari aspek ilmu psikolinguistik cara ini bertentangan.


Pengarah-pengarah Pendidikan yang lain tidak membantah?


Saya percaya ramai yang tidak bersetuju termasuk Ketua Pengarah DBP.  Oleh kerana mereka ini pegawai kerajaan yang mesti patuh kepada kerajaan dan tertakluk di bawah General Order  maka mereka tidak ada keberanian untuk menyuarakan bantahan secara jelas.


Apakah diundang golongan akademik, ahli bahasa dan persatuan-persatuan penulis seperti GAPENA dalam perbincangan ini?


Pada taklimat itu tidak ada seorang pun golongan akademik, ahli bahasa dan GAPENA.  Mereka tidak dipanggil kerana mungkin mereka bukan Ahli  Majlis Permuafakatan  KPM ini.



Adakah selepas taklimat itu mereka dipanggil?


Seingat saya tidak ada.  Itulah taklimat pertama dan terakhir.  Isu sesi taklimat bukan sesi perbincangan atau percambahan pendapat.  Sebab itu saya yakin keputusan sudah dibuat terlebih dahulu.  Saya tidak ingat ada apa-apa sesi perbincangan pun sebelum dilaksanakan PPSMI ini pada tahun 2003.  Mungkin pihak atasan, saya tidak tahu.  Tetapi kalau pihak atasan takkan berani mereka menyuarakan bantahan.  PM sendiri sudah mula melaksanakan dasar itu.



Jadi, jelas bantahan sudah dibuat pada peringkat awal lagi dan tidak pernah diadakan perbincangan dengan para akademik, ahli bahasa dan persatuan penulis?



Ya! Tidak ada.  Tidak payah pun susah-susah hendak diadakan persidangan meja bulat bagi melaksanakan PPSMI ini.  Sekarang ini entah berapa banyak persidangan meja bulat diadakan bagi mengkaji keberkesanan projek PPSMI ini.  Saya rasa membuang masa sahaja.  Daripada kajian para akademik, professor dalam bidang  matematik, bahasa dan pendidikan seperti Prof. Dr. Shahrir Mat Zain, Prof. Abdullah Hassan dan beberapa orang lagi profesor dan pensyarah, jelas menunjukkan bahawa PPSMI ini gagal dalam projek perintisnya.  Kalau kajian atau pendapat profesor-profesor ini kita tidak percaya, siapa lagi harus kita percaya? Prof Dr. Shahrir yang pernah belajar di aliran kebangsaan dan mendapat Ph.Dnya di Australia dalam bidang matematik tentu sedia arif. Maaf, kalau hendak dibandingkan dengan Menteri Pelajaran kita, pendapat siapa harus kita terima?



Tidak timbullah isu ini  tetapi baru ditimbulkan sekarang pula?


Perkara ini sudah dibangkitkan pada 2002 lagi.  Selepas itu ada suara-suara bantahan daripada pejuang-pejuang bahasa, persatuan-persatuan penulis dan orang Melayu.  Bahkan seminar, kongres dan memorandum turut diserahkan kepada pihak berkuasa.  Mungkin suara-suara mereka tidak selantang sekarang kerana pada masa  itu masih lagi  dalam percubaan.  Tetapi sekarang sudah 6 tahun, jelas projek ini gagal.Hapuskan sahajalah.  Tidak payah lagi nak diadakan meja bulat. Menteri ada kuasa membatalkannya.  Lebih lama dibiarkan, akan lebih rumit dan parah lagi.



Bagaimana pandangan Dr. terhadap saranan PM minta Menteri Pelajaran atasi segera kemelut ini bagi mengelakkan tercetus masalah yang lebih besar lagi?


Ini satu perkembangan yang baik.  Ada nada positif  dalam saranannya itu.  Dalam bahasa politik, ianya suatu bayangan bahawa PM memberi arahan kepada Menteri Pelajaran supaya PPSMI ini dihapuskan segera.  Mungkin saya salah, tetapi itu bacaan saya.

BN khususnya UMNO mesti mengambil berat isu  ini kerana orang Melayu suda mula marah pada kerajaan yang semacam bersikap sambil lewa menangani isu ini.  Kekalahan BN/UMNO dalam pilihan raya umum tahun 2008 diikuti oleh pilihan raya kecil di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu adalah juga disebabkan oleh isu ini.  Kalau UMNO mahu sokongan Melayu semula, hak dan bahasa kepunyaan orang Melayu ini hendaklah dikembalikan .  ingat. SN A. Samad Said juga telah menyarankan, jika PPSMI tidak dimansuhkan, beliau telah meminta pengundi menggunakan kuasa undi mereka dalam mana-mana pilihan raya.  Suara Pak Samad tidak boleh diremehkan.  Pengaruh beliau sudah menular di kalangan rakyat terutama orang Melayu.

Tetapi saya kira isu ini dapat diselesaikan segera kalau PM sendiri mengambil keputusan menghapuskan PPSMI ini.  PM juga semacam tidak ada political will dalam menyelesaikan isu ini.  PM mesti ada keberanian, kerana projek ini hanya percubaan.  Tetapi sekarang ianya mahu terus dikekalkan pula.  Pasti ada dalang di sebalik usaha meneruskan PPSMI ini.  Jikalau Hishamuddin tanya siapa dalang di sebalik GMP, maka kita juga boleh bertanya siapakah dalang di sebalik usaha mahukan PPSMI ini?

Apakah impaknya daripada perhimpunan dan perarakan ajuran GMP pada 7 Mac lalu?
           
Oh! Impaknya besar sekali.  Jika tidak ada perhimpunan dan perarakan yang dihadiri lebih 50,000 orang itu, tentu sekalali PM tidak respons dalam masa beberapa jam sahaja pada hari yang sama.  Diikuti pula reaksi daripada pelbagai pemimpin UMNO dan menteri, sama ada positif atau negatif, tidak kiralah.  Yang jelas ianya mendapat perhatian segera daripada mereka  .  Seandainya diadakan setakat kongres, seminar, penyerahan memorandum dan laporan polis sahaja, tidak akan memberi bekas.  Perhimpunan itu adalah menifestasi rakyat membantah terhadap PPSMI.  Itu suara rakyat, itu petanda kemusnahan BN/UMNO terserahlah kepada rakyat memikirkannya.


Tapi, pada perhimpunan itu kemuncaknya adalah penyerahan memorandum kepada Yang DiPertuan Agong?


Benar…tetapi itu adalah simbolik sahaja.  Jikalau penyerahan memorandum itu dilakukan oleh 7 orang wakil GMP sekalipun, impaknya menjadi berita besar, kerana penyerahan memorandum telah biasa dilakukan.  Tetapi perhimpunan dan perarakan itulah menunjukkan betapa rakyat sudah mual, jemu, bosan malah marah terhadap sikap sambil lewa Menteri Pelajaran.  Sekiranya setakat perhimpunan dalam kawasan Masjid Negara sahaja, tanpa perarakan ke Istana Negara, impaknya juga tidak sama.  Yang menjadi berita besar ialah perarakan itu dan serangan gas pemedih mata oleh anggota polis simpanan persekutuan (FRU).

Bagaimana dengan tuduhan Hishamuddin bahawa GMP didalangi oleh parti pembangkang. Apa pandangan Dr.?
Saya bersetuju dengan padangan Datuk Dr. Hassan Ahmad, Pengerusi GMP bahawa jika ada dalang, tentu ada boneka seperti wayang kulit.  Dalang dalam wayang kulit bersembunyi di sebalik tabir.  Tetapi pemimpin parti pembangkang seperi Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan yang lain-lain turut bersama-sama memperjuangkan isu ini secara terang-terangan.  Itu bukan dalang namanya.  Ada ketelusan dan keikhlasan.  Mereka tidak sembunyi di sebalik tabir.  Datuk Hassan Ahmad seorang ilmuwan dan cendekiawan, tentu sekali dia tidak mudah dijadikan boneka.  Tuduhan itu satu penghinaan kepada Datuk Hassan.  Tidak adillah.


Apa pandangan Dr. seterusnya berkaitan dengan dasar PPSMI ini?


Bagi saya dan juga Persatuan Pengamal Pendidikan Malaysia, PPSMI ini wajar dibatalkan sahaja dan dikembalikan kepada dasar sebelum ini.  Meneruskan dasar PPSMI akan memberi kesan negatif kepada bahasa dan bangsa Melayu dalam tempoh 30 tahun akan datang.  Buktinya tulisan jawi.  Bahasa menunjukkan bangsa dan bahasa adalah sebahagian daripada budaya sesuatu bangsa yang membina tamadun bangsa itu.Apa guna jika kita mempertahankan Melayu dan institusi raja jika kita hilang bahasa kebangsaan,bahasa rasmi kita sendiri.

Saya teringat kata-kata Tun Syed Nasir salah seorang pejuang bahasa kebangsaan kita yang unggul dahulu yang saya ingat pernah disiarkan dalam majalah Dewan Masyarakat April 1969 yang mana beliau ada menyatakan  bahawa ada sesetengah golongan mengemukakan hujah iaitu lebih baik jurusan sains itu diajar terus menerus dalam bahasa Inggeris.  Tetapi dalam soal ini hendaklah kita faham sungguh-sungguh, iaitu jika kita lakukan demikian hanya membawa erti bahawa kita semata-mata mengajar pengetahuan sahaja, dengan tidak memberi peluang memajukan bahasa Melayu untuk menjadi bahasa ilmu pengetauan.0leh itu sama-sama kita renung-renungkan dan dijadikan ikhtibar.


(sumber:Wawancara akhbar SIASAH dengan DR RAJIEE HADI, SIASAH,15-21 Mac 2009/18-24 Rabiuawal 1430,Bilangan 0140)

1 Oktober 2011

KRITERIA KELUARGA: KESAN KEPADA PELAJAR

 
PARA  pelajar pada awal remaja sewajarnya didekati  seperti seorang sahabat dengan  kasih sayang yang bertegas;  baik di kalangan ibu bapa mahupun para pendidik.Sikap bertegas tidak salah namun alangkah baiknya kita melayani mereka sebagai teman di sisi, berkongsi suka duka agar mereka berasa disayangi dan dihargai seperti anak-anak atau pelajar yang lain.
Sebenarnya perubahan  pelajar pada awal remaja ke arah negatif  bukanlah menjadi masalah besar andainya guru/pendidik sedia berubah persepsi minda,   memahami tempoh tersebut adalah zaman pancaroba  pelajar dan adalah penting guru memahami  warna dan tona dalam kehidupan para pelajar. Justeru elakkan jangan terlalu mengawal atau membiarkan mereka sewenang-wenangnya hanyut dengan pelanggaran disiplin di sekolah.
Ibu Bapa Yang Saling Berkomunikasi Bersama Anak-Anak Akan
Memupuk Hubungan Positif
 Guru sepatutnya berbincang aspek pro dan kontra akan  setiap perubahan tingkahlaku demi masa hadapan para pelajar. 0leh itu keupayaan guru memahami pengaruh dan lingkungan kehidupan ibu bapa pelajar, persekitaran psikologikal dan sosial adalah suatu kelebihan bernilai.Keupayaan guru boleh mempengaruhi perkembangan pelajar pada tempoh awal remaja yang mana tempoh penting  mencegah dan membimbing selaras dengan perumpamaan Melayu, melentur buluh biar daripada rebungnya
 Guru; sama ada guru kurikulum, guru kokurikulum, guru darjah/tingkatan/mentor, guru kaunseling dan guru disiplin yang memahami perbezaan didikan keluarga yang berbagai-bagai  latar, corak dan ragam boleh mengaplikasikan pelbagai pendekatan dan strategi dalam pengurusan bilik darjah, hal ehwal pelajar serta pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran.
a.       Keluarga Yang Autokratik
Menurut kajian  rumah tangga   autokaratik merupakan rumah tangga yang di dalamnya tidak ada penyesuaian,  sentiasa berkonflik, sering berlaku  perselisihan faham  antara ibu bapa dengan anak-anak  yang bagaikan berumah di tepi tebing. Walhal anak-anak atau pelajar ini sangat memerlukan perhubungan sosial yang baik, hubungan kekeluargaan yang sempurna serta lingkungan yang kondusif.  Dalam situasi begini  pelajar merasakan bahawa kepentingan dan minatnya tidak dipedulikan atau tidak dianggap penting.  Manakala pelajar berusaha untuk mendapatkan perhatian ibu bapa atau guru di sekolah dengan berusaha menonjolkan diri minta diberi perhatian walaupun terpaksa menerima hukuman atau denda kerana kesilapan akhlak yang dilakukannya.   Lantaran sikap ibu bapa yang tidak memberikan perhatian  untuk memahaminya,  mereka lebih cenderung tidak menghiraukan  keluarga dan sikap ini terbawa-bawa ke bilik darjah.

     Terdapat dua bahagian sikap autokratik ibu bapa terhadap pelajar. Pertama, autokratik  bersifat kekal:  iaitu ibu bapa yang mengamalkan sikap autokratik  sejak awal perkahwinan dan mereka tidak tidak mempunyai rasa kasih sayang terhadap anak-anaknya . Kedua, autokratik yang tidak mahu bertolak- ansur dengan segala keinginan  anak-anak mereka yang mana lebih bersikap tidak  mahu  
bekerjasama dengan anak-anaknya. Akibatnya,pelajar bersikap memberontak dan sering mempamerkan  gejala-gejala immoral. 
b.      Keluarga Yang Terlalu Toleransi

Keluarga yang terlalu toleransi adalah pelajar  yang mendapat perhatian berlebihan daripada keluarga. Bahkan kedapatan sikap ibu bapa menyamai perilaku  mereka.  Hal ini bertepatan dengan kajian yang  menunjukkan bahawa ibu bapa yang terlalu toleransi    mempengaruhi perkembangan  pelajar dari sudut kebebasan. Kesannya pelajar mengalami kesukaran penyesuaian dalam  bilik darjah, budaya sekolah, masyarakat dan lingkungannya . Pelajar lebih selesa mencari perhatian dan bantuan orang lain tanpa mahu berusaha dan berdikari. Pelajar begini  sangat bergantung kepada ibu bapa  sehingga impaknya  mendambakan kehidupan  setelah dewasa dan di alam perkahwinan  serta tidak mahu tinggal jauh daripada ibu bapa. Mereka  juga didapati kurang mampu menyelesaikan pelbagai masalah yang
berkaitan dengan pembelajaran dan tugasan. 

c.
       Keluarga Yang Demokratik

Perhubungan  dan komunikasi yang baik mudah diperpolehi dalam keluarga yang mengamalkan demokratik. Ibu bapa lebih memahami  pelajar sebagai individu yang mempunyai keterampilan peribadi dan tidak mengarah pelajar secara autokratik. Pelajar lebih diberikan kebebasan berdikari dan pandai membuat keputusan sendiri. Dengan ini pelajar  berkesempatan mengupayakan kebebasan minda sendiri dengan kritis dan analitis.
Ada berberapa cara  merealisasikan rumah tangga  demokratik yang antara lainnya:

1.   Menghormati keperibadian pelajar dalam rumah tangga.
2.   Berusaha mengembangkan sahsiahnya dengan menganggap pelajar memiliki standard keunggulan,
kemampuan kendiri dan berbagai-bagai kecenderungan  tersendiri dan harus memberinya kesempatan untuk berkembang sejauh mungkin.
3.   Memberikan ruang seluas-luasnya aspek kemahiran berfikir secara kritis, berekspresi dan tahu hala tuju kerjaya masa hadapannya.   Namun demikian kebebasan itu masih dalam koridor kebaikan bersama dan tujuan-tujuan yang bersifat umum. Tegasnya di sini  kebebasan itu bukan tanpa batas tetapi masih dibatasi oleh ketentuan-ketentuan sosial.
      Keluarga  demokratik itu banyak mendatangkan kebaikan dalam hubungan kasih sayang . Manakala keluarga autokratik lebih memberi kesan elemen kekerasan, ketakutan dan pelanggaran disiplin.  Pelajar yang datang dari keluarga demokratik yang sihat mendorong  lebih bersifat  bertanggungjawab dalam kehidupan,  mempunyai idea yang mampu berfikir positif, bersedia saling membantu  dan bekerjasama dalam kehidupan bermasyarakat.
 Kesimpulannya bahawa di samping memperoleh maklumat dan data daripada pihak Hal Ehwal Murid (HEM), guru yang bijaksana dan berhemah akan menyelidiki serba sedikit latar situasi para pelajarnya apabila penerapan gabung jalin dengan pelbagai aktiviti,kaedah,pendekatan dan teknik tatkala pengajaran dan pembelajaran berlangsung di bilik darjah. Dalam erti kata lain, sikap guru juga ada baiknya selaras dengan perkembangan psikologi dan persekitaran pelajar agar hubungan komunkikasi dua  antara guru dan pelajar  terjalin demi manfaat bersama.(oleh Dr Rajiee Hadi)