HAJI DR. RAJIEE HADI

HAJI DR. RAJIEE HADI
SERIBU WARNA SERIBU MAKNA

8 September 2011

PROSEDUR MENILAI PRESTASI GURU WAJAR DIPERBETULKAN

PENULIS  terima banyak aduan sama ada melalui percakapan tidak formal mahupun menerusi persatuan dan kesatuan guru sama ada semasa lalu mahupun hingga kini, tentang rasa tidak puas hati warga pendidikan terutama di kalangan guru-guru atau pegawai perkhidmatan pendidikan; baik yang bertugas di sekolah-sekolah, maktab-maktab perguruan (kini lnstitut Pendidikan Guru Malaysia/IPGM) dan pejabat-pejabat pendidikan daerah.
 
Penulis tidak mahu menyentuh selok-belok di kementerian-kementerian lain.Tetapi memadailah bahagian-bahagian di Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).ltupun bukan semua aspek; sekadar secebis atau sekelumit isu ketidakpuasan hati para penjawat ini.
 
Rata-ratanya menzahirkan rasa tidak puas hati; bukan sahaja di kalangan mereka yang sedang berkhidmat atau mengajar tetapi ramai juga yang berstatus mulia sebagai pesara kerajaan Malaysia; meliputi mereka yang bersara wajib dan bersara pilihan kerana kelayakan dan hak-hak mereka yang tidak boleh dipertikaikan sesiapapun.

 

Ketidakpuasan ini bagaikan rumah siap pahat berbunyi.Walaupun kini situasi dan peluang kenaikan pangkat amat cerah dalam KPM kerana 'sesiapa yang rasakan dirinya layak boleh memohon sendiri' adalah adil dan bijak tetapi kisah-kisah masa lalu wajar penulis catatkan agar menjadi peringatan untuk generasi pendidik hari ini dan masa akan datang.
 
Semua pihak menyedari bahawa melalui beberapa skim/sistem yang diperkenalkan oleh kerajaan masa lalu seperti Sistem Saraan baru (SSB) dan Sistem Saraan Malaysia (SSM) pada idea asalnya baik dan ada beberapa yang boleh diterima pakai. Tetapi yang menjadi permasalahan pokok ialah pada peringkat perlaksanaannya.
 
Tanyalah guru-guru di sekolah atau pensyarah-pensyarah di mana-mana IPGM rata-ratanya (tidak semua) tidak berpuas hati dengan markah prestasi yang diperolehi, pemilihan kuota yang menimbulkan ketidakadilan dan kronisme yang diamalkan.Walaupun ini bukan tuduhan tetapi penulis cuma terima reaksi yang menzahirkan sedemikian.
 
Walaupun begitu  penulis cuma mahu bertanya; apakah pihak ketua pejabat atau jabatan seperti Pengarah atau Pengetua ataupun Guru Besar dan Timbalan atau Penolongnya benar-benar mematuhi prosedur yang ditetapkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) ketika melaksanakan memberi markah dan penilaian ke atas maklumat/borang Sasaran Kerja Tahunan (SKT) yang menetukan prestasi penjawat di bawahnya? Maksudnya adakah Penilai Pertama, Penilai Kedua atau sesiapa yang telah dipertanggungjawabkan berjumpa,bersemuka dan berbincang dengan stiap staf ketika markah prestasi diberikan agar pihak/individu yang dinilai itu bersetuju?
 
Sebenarnya pertemuan bersemuka adalah salah satu prosedur telus dalam pemberian markah. Jika penjawat atau guru yang dinilai itu bersetuju atau tidak bersetuju adalah tidak salah mereka memberi sebab dan alasan-alasan konkrit yang mana akhirnya mereka boleh bersetuju atau menolaknya.Soalnya; adakah prosedur seperti ini ada dilakukan?
 
Penulis tidak menafikan, tidak semua Ketua Jabatan bersikap semborono atau tangkap muat sahaja. Namun sikap ambil mudah dan lepas tangan ini bukanlah mustahil ada terjadi.Yang mendukacitakan,implikasi dan impak ketua atau penolong ketua seperti ini yang bersikap 'tutup sebelah mata' adalah umpama parasit yang menjahanamkan sesuatu sistem dalam sesebuah organisasi.
 
Walhal tujuan kerajaan; khususnya Kementerian Pelajaran Malaysia adalah baik dan murni.Namun ada juga segelintir warga KPM pada masa lalu yang iri hati, dengki dan cemburu sesama sendiri. Natijahnya siapakah yang rugi jika ada di kalangan warga KPM khususnya di sekolah dan IPGM  yang hilang keyakinan dan hilang kepercayaan yang mana menjejaskan prestasi kerjaya mereka?
 
Justeru penulis menyeru jika fenomena atau senario ini masih berlaku atau terjadi, kepada warga KPM silalah buat aduan terus ke pihak atasan KPM atau melalui kesatuan-kesatuan dan persatuan perguruan. Ketahuilah hak-hak anda sebagai seorang penjawat awam! (oleh Dr Rajiee Hadi)
 
Penulis ialah Presiden Persatuan Pengamal Pendidikan Malaysia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan