HAJI DR. RAJIEE HADI

HAJI DR. RAJIEE HADI
SERIBU WARNA SERIBU MAKNA

28 September 2017

Puisi: GURU



Guru oh Guru
awal pagi desa
setiap pagi kota
kujejaki janji
falsafah terkini
wawasan sejati

Guru oh Guru
kudampingi derita
kasih berpanjangan
memahami kepayahan
setiap manusiawi
wahyu ya Rabbi

Guru oh Guru
kurindui kembali
bersemi sanubari
bersatu nurani
derap sepatu
selamat pagi

Guru oh Guru
kusuapkan nasi
sama rasai
anak & isteri
menanti di rumah
tidak mengerti

Guru oh Guru
sepanjang hayat
kasih abadi
jasmani rohani
emosi insani
jiwa hakiki

Guru oh Guru
jambatan lilin
seberang dinihari
lelah dan jerih
azabnya meraih
halal rezeki

Guru oh Guru
telah kuhabiskan
sepanjang usiaku
tanpa rasuah &
tuntutan palsu
syukurku kepada-Mu



DR RAJIEE HADI
BSP Bangi.
27 September 2017.


26 September 2017

Puisi: GILA

dia kian
semakin gila
gila nama
gila kuasa
gila harta
dunia merata

dia kian
semakin gila
gila agenda
gila legenda
gila berganda
segala benda


dia kian
semakin gila
gila melabur
gila menabur
sana bubur
sini lebur

dia kian
semakin gila
gila empati
gila simpati
gila sakti
berpeti teka-teki

dia kian
semakin gila
gila syahdu
gila mendayu
gila merayu
ya bedabedu...


RAJIEE HADI
Nilai N9,
26 September 2017.

Puisi: NURANI

bersatu tubuh
perahu kecil
belayar malam
tanpa berucap
dermaga berangkat
ke pelabuhan pasrah
asmara & belai


bersatu tubuh
dua tambatan
menjadi kesatuan
tiada hambatan
dinihari nyaman
desir pertemuan
subuh di lautan

bersatu tubuh
gempita perang
palu rebana
kian menjauh
bisik batini
santapan rohani
nikmat nurani

bersatu tubuh
selamat tinggal
gema tabuh
kian menghilang
singkirkan sengketa
rengekan mendalam
adam & hawa


RAJIEE HADI
USIM, N9
26 September 2017.

21 September 2017

Puisi: SILAP

di manakah silapnya
pemerintah
dimanakah silapnya
aristokrat
di manakah silapnya
politikus
di manakah silapnya
pentadbir
di manakah silapnya
ibu bapa
di manakah silapnya
keluarga
di manakah silapnya
pendidik
di manakah silapnya
masyarakat
di manakah silapnya
birokrasi
di manakah silapnya
komuniti
di manakah silapnya
buku
di manakah silapnya
sejarah
di manakah silapnya
komunikasi
di manakah silapnya
media ICT
di manakah silapnya
takdir
salahkah Tuhan?


RAJIEE HADI
16 September 2017,
Nilai, Negeri Sembilan.

14 September 2017

Puisi: SAHABATKU PROFESOR


lebih dua dekad
tidak bersua muka
ketika itu aku
dia & isteri romantis
semeja di larizza
cafe dingin aroma
angin kolej varsiti

seringkali kami
bersua di seminar
negara & antarabangsa
sementelahan isterinya
penyair jurutera
mula membina nama
di dewan bahasa

dia dosen muda
mencipta nama
hujah-hujah lslami
maknawi saintis sufi
sastera kolaborasi
perjuangan insani

bertahun lembaran
saling tidak ketahui
kini kami saling
menggilap usia
perjalanan & pengalaman
dia mencapai tahta

dia meluahkan rasa
sepi kehilangan isteri
anak pergi selamanya
tika punya nama
pangkat & harta
dimiliki segala!


RAJIEE HADI
Bandar Baru Bangi,
13 September 2017.

12 September 2017

Puisi:: BANDAR BARU BANGI

Suatu pagi
Bangi menerpaku
setelah beberapa waktu
wajahnya kian menjauh
kerana pernah terluka

Bangi saat kuingati
semenda kota ilmu
di sini kutuangkan
masa lampau itu
telaah sarat buku

Apakah ilusi mimpi
di kamar peraduan
bercakaran hiba
sesama sendiri
kita pun alpa

Pencakar menjulang
Melayuku hilang
di celah-celah tiang
di mana-mana ruang
warga asing berdendang

Bangi oh Bangi
aku rindu masa lalu
bening dalam tenang
berlarian di taman
pelangi petang

Bangi oh Bangi
persis tanah air
maju tidak pasti
mandiri tanpa mengerti
profesor telah mati!

RAJIEE HADI
Bandar Baru Bangi,
12 September 2017.

Puisi: BERSATU



Langit & bumi
berkibar batini
menyatukan nurani
jarak insani
seakan mengerti

Lautan  & daratan
berenang ke tepian
ikan-ikan mesra alam
di pesisir pantai
saling bersalaman

Awan & burung
saling berkejaran
alam saujana
gemawan cantik
milik sedetik

Ucap & kata
panji semarak
masa hadapan
singkiri retorika
manusiawi  tercinta

Siang & malam
bersatu wadah
lontarkan jahiliah
punah masa lalu
demi esok mentari.

RAJIEE HADI
Bandar Baru Bangi
11 September 2017

9 September 2017

SAYA & UMNO


SEBAGAI  anak Melayu jati kelahiran bumi Johor Darul Takzim khususnya di sebuah kampung dalam daerah Muar (kini dalam daerah Ledang); sedikit sebanyak persekitaran dan budaya banyak membentuk peribadi dan sahsiah diri saya.

Saya dan ibu, 9 September 2017
Dalam artikel pendek ini, saya mahu mengaitkan secalit semangat perjuangan dan politik kepartian dalam kehidupan saya. Autobigrafi dan memoir lanjut cebisan perjuangan saya, bolehlah tuan/puan telusuri lebih lanjut dalam buku saya "TRAVELOG GURU" ( Penerbitan Awan Prima, 2015) yang telah lebih dua tahun diterbitkan.

Pada tahun 1978, sebagai guru muda lepasan Maktab Perguruan Bahasa (MPB), Lembah Pantai, Kuala Lumpur yang tersohor itu, saya ditempatkan mengajar di sebuah sekolah menengah yang jauhnya kira-kira 10-12 km dari kampung kelahiran saya.

Sebagai guru muda lepasan MPB dan memiliki pengalaman belajar hingga ke peringkat tingkatan enam di sebuah sekolah terkenal dan memiliki kelulusan akademik STP/HSC ketika itu tentulah dianggap saya "generasi perintis zaman".

Sebagai guru muda yang yang hanya mampu bermotosikal Honda Cub baharu  (JX 5310) berharga RM1,800/ dibayar ansuran bulanan maka saya bertuah kerana tinggal bersama dengan ibu bapa saya yang telah "bersara tanpa pencen bulanan".

Bertuahnya saya kerana saya diberikan kebersamaan tinggal bersama ibu bapa untuk memikul sedikit tanggung jawab dan merasakan pahit getir cuma mengambil upah menoreh getah di kebun yang sekangkang kera sahaja. Adik-adik saya masa itu masih di bangku sekolah rendah dan menengah rendah.Semasa kecil dan alam persekolahan saya tinggal bersama datuk saya.

Di kampung, khususnya kampung-kampung dalam mukim Serom golongan guru menjadi nadi penggerak United Malays National Organisation (UMNO) sejak zaman penubuhannya sejak era Dato Onn Jaafar lagi. Maklumlah negeri Johor adalah kubu UMNO , khususnya dalam daerah Muar yang banyak melahirkan para pejuang dan nasionalis tanah air.

Sehubungan ini, saya dianggap tidak terkecuali termasuk rakan sejawat saya (rakan sekelas) Cikgu Ngarisan Jurimi (Haji, pencen Guru Besar) yang menjadi Ketua Cawangan UMNO ketika berusia 20-an), Cikgu Abu Bakar Affandi (rakan sejawat, Haji, pencen Guru Besar) yang menjadi Ketua Pemuda Bahagian ketika berusia 20-an dan ramai lagi.Besar kemungkinan, keadaan latar penduduk di kampung masing-masing memerlukan kepemimpinan mereka.


Saya hadir sebagai penulis dan wartawan pada 9 September 2017
Saya sebagai guru muda juga mempunyai idealisme dan jati diri. Ketika itu nama saya mula terlakar di media-media cetak arus perdana; baik dalam akhbar mahupun dalam majalah-majalah popular. Karya-karya saya seperti puisi dan cerpen kian mendapat tempat di penghujung 1970-an dan awal 1980-an.

Selain menulis karya kreatif; saya juga menulis rencana dan berita secara aktif dan serius. Saya kemudian terpilih menyertai Kursus Penulisan Kreatif anjuran DPB- GAPENA 1980 mewakili Wilayah Selatan atas tiket Persatuan Penulis Johor (PPJ) di Muar pada 1980. Pada 1981 saya terpilih pula mengikuti Bengkel Penulisan Berita & Rencana anjuran The New Strait Times (NST) &  PPJdi Batu Pahat,Johor.

Kemudian pada tahun itu saya dilantik menjadi "Stringer" Berita Harian/Berita Minggu secara rasmi sebagai "Wartawan Pos" oleh A.Samad lsmail (Allahyarham Tan Sri, Tokoh Wartawan Negara).  Ada dalam kalangan rakan saya; yang terus menerima kerjaya wartawan tetap di BH/BM dengan tawaran gaji yang lumayan.  Namun saya tetap dan mencintai kerjaya  saya sebagai pendidik.

Bersandarkan latar belakang ringkas itu, tentulah sebagai penulis, saya dianugerahi llahi memiliki daya sensitiviti halus dan peka serta minda yang kritis. Situasi psikologi ini tentulah bertentangan dengan personaliti seorang pemimpin kepartian.Seperti Anwar lbrahim (DSAI) juga, ibu bapa mereka "bising" mengharapkan beliau menganggotai parti politik UMNO.

Situasi begini, saya pun tidak terkecuali. lbu saya mula mengeluarkan kata-kata amaran mengenai adat budaya kampung dalam hal kenduri-kendara dan perlaksanaan majlis-majlis perkahwinan yang banyak melibatkan orang-orang kampung yang majoritinya ahli parti. Apakah kenduri majlis perkahwinan saya kelak akan diboikot (kerana ketika itu tidak ada lagi katering) kerana tidak menganggotai parti?lnilah dilema saya yang ketika itu "gah" memakai t-shirt bertulis "GAPENA....Gabungan Penulis Nasional".

Tanpa saya duga, rupa-rupanya ibu saya secara senyap telah membayar yuran keahlian parti UMNO (tentulah UMNO lama)  untuk saya sejak 1978 lagi. Saya cuma tahu hal ini pada tahun 1979. Maklumlah yuran tahunan cuma RM1.00 satu tahun. Bukan isu yang membebankan.Walaupun saya terkejut seperti "tidak begitu suka" tetapi demi ibu dan tidak mahu mengecilkan hatinya; saya diamkan sahaja.

Pada tahun 1979, saya pula telah terpilih mewakili PPJ/GAPENA ke Pertemuan Sasterawan Nusantara di Jakarta, lndonesia ketika usia baharu melepasi 22 tahun. lni merupakan penyertaan sulung  saya dalam berpersatuan. Pendedahan saya ke peringkat antarabangsa ini menyebabkan saya lebih berjiwa besar dan berpandangan luas. Saya rasa rendah diri kerana dilingkungi oleh para sarjana yang memiliki ijazah Doktor Falsafah ;baik dari ASEAN mahupun melangkau hingga ke Eropah, USA dan Timur Jauh.

Saya juga bersua muka dengan penulis-penulis ternama seperti Pramoedya Ananta Toer, Achdiat K.Miharja, Putu Wijaya, W.S Rendra, H.B Jassin, Masuri SN, Ajip Roesdi, Abdullah Hussin, Arena Wati dan penulis-penulis muda lndonesia seperti Pipiet Senja, Eddy D lskandar, lwan Soekri Moenaf dan ramai lagi.

Hari-hari berikutnya saya terus "gah &istiqamah" dengan tinta atau dunia penulisan untuk sebuah perjuangan ummah dan sejagat. Saya terus "mara" dengan kalam menghasilkan  karya yang tersiar saban minggu dalam akhbar  Berita Minggu dan akhbar-akhbar lain serta majalah-majalah popular, pelajar dan sastera  dengan menggunakan pelbagai nama pena.

Namun isu-isu politik semasa, pendidikan dan sosiobudaya serta sastera  budaya kreatif menjadi minat dalam pembacaan saya. Di samping itu saya meluangkan masa untuk mengulangkaji lagi  peperiksaan STP/HSC bagi memohon kelayakan masuk ke universiti yang terhad dan terbatas ketika itu.

Pada tahun 1981, di cawangan parti kampung saya diadakan mesyuarat agung dan pemilihan semua jawatan AJK parti. Sebenarnya kampung saya, Kampung Serom 2 Hilir tidak mempunyai cawangan kerana bilangan pemastautinnya telah berkurangan dan kian pupus kerana kematian dan penghijrahan. Manakala Kampung Sungai Keladi di hujung kampung di tepian Sungai Muar, saya tidak pasti status kepartiannya.

Cuma apa yang saya tahu pada era parti Semangat 46 wujud Allahyarham Haji Saadon Jabar telah menubuhkan cawangan parti tersebut.Justeru ahli kampung saya yang minoriti ini bergabung dengan cawangan Kampung Serom Satu yang ahlinya majoriti dan dinamakan "Cawangan Serom Satu, Bahagian Ledang, Johor". Saya pun reda dan  pasrah tetapi tidaklah amarah.

Pada zaman keberadaan saya di kampung sebagai guru muda, Dato Ngah Abdul Rahman (Exco Johor) sebagai Ketua Bahagian parti.Manakala  Dato Embong Yahya (@Ngumba/ Timbalan Menteri Penerangan) sebagai timbalannya ( orang luar, khabarnya anak kelahiran Mersing Johor). Saya masih ingat betapa patriotik dan nasionalistiknya ucapan-ucapan mereka apabila membangkitkan isu -isu"Tanah Melayu, Hak Ketuanan  & Keistimewaan Melayu". Apabila terkenangkan sekarang; saya tersenyum sendirian.

Usia saya mahu berparti politik masih mentah dan hijau.Namun pada peringkat kampung juga sudah ada elemen "dipijak & memijak", kronisme dan nepotisme. Kerana saya kurang berminat dan bukan peribadi saya begitu (memijak & dipijak) dan saya lebih yakin, "mata pena lebih tajam daripada mata pedang" maka saya tidaklah terlalu serius ketika usia yang belum lagi 25 tahun.

Saya & Halim ..rakan sekuliah yang bertemu selepas 30 tahun
Pada tahun 1981 (jika tidak silap saya)..saya terpanggil untuk menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan peringkat Cawangan Serom Satu di laman surau kampung tersebut.ltupun setelah didesak oleh ibu saya berkali-kali. Dengan bersangka baik; saya pun menghadirinya dengan sekerat dua orang kampung saya. Ketika itu ketua cawangan diterajui oleh Cikgu Haji Atan (Allahyarham).

Cikgu Haji Atan guru agama yang sudah bersara adalah guru saya yang mengajar saya di sekolah rendah agama ketika saya kanak-kanak dahulu. Saya menghormatinya. Manakala setia usaha disandang oleh Cikgu Selamat Markom adik ipar Cikgu Atan ; seorang guru siswazah muda (khabarnya asal dari Kg.Parit Jawa Muar, wallahualam) yang sedang menggilap nama sebagai "Mr Mind" di cawangan tersebut. Kebanyakan AJK cawangan tersebut terdiri daripada adik -beradik, ipar duai, biras, menantu, saudara mara Cikgu Atan. Biasalah.

Apabila bab pemilihan AJK, saya tidak sangka Pak Bakar Hassan (  Allahyarham, sepupu ibu saya) telah mencalonkan nama saya sebagai ketua cawangan. Dan ada pula penyokongnya. Pak Bakar telah memberi sebab musabab dan rasionalisasi mengapa nama saya dicalonkan. Saya terkejut  (Cikgu Selamat pun mungkin terkejut) kerana saya tidak melobi; dan tidak ada hasrat memuncak dan tidak pun bersedia 100%. Pencalonan dan pemilihan itu secara angkat tangan dapatlah kita "membaca hasrat nurani" para perwakilan orang-orang kampung ketika itu. Nama saya sebagai "penulis" pun sudah diketahui oleh penduduk kampung.

Apabila tiba saat pengundian pemilihan ketua cawangan; saya dapat melihat tangan Cikgu Selamat tidak pun diangkat untuk memilih saya. Semua wakil kampung saya dan sebahagian penduduk kampung sebelah memilih /mengundi saya .Kesudahannya saya tewas dengan 3@4 (jika tidak silap) sahaja.Ada juga pengekalan dan perubahan dalam AJK baharu. 0leh kerana masih mahukan saya, nama saya dicalonkan lagi untuk jawatan Pengerusi Tetap dan tandingan saya ialah Pak Talib (biras Cikgu Atan) seorang kaki tangan JPS.

Kesudahannya, saya menang majoriti sebagai Pengerusi Tetap UMNO Cawangan Serom Satu ketika usia yang muda. Biasanya "orang tua" yang memegang jawatan tersebut. Lucu kerana situasi ini terbalik. Saya pun pasrah kerana semata-mata mengenangkan ibu saya. Saya tahu kenapa dan mengapa, nama saya tidak terpilih untuk mewakili cawangan ke Perhimpunan Umno Bahagian di Tangkak. Biarlah perkara itu menjadi sejarah.

Apa yang masih saya ingat, ketika suatu seminar pendidikan tahun 1979 anjuran Biro Pendidikan UMNO bahagian, di dewan Sek.Rendah Abdullah, Sungai Mati, ahli panel dan perucap utama ialah Datuk Murad Mohd.Nor Ketua Pengarah KPM (Allahyarham Tan Sri). Entah kerana dorongan intelektualisme, maka saya telah memberanikan diri bangun bertanya dan berhujah serta memberi pandangan kepada Datuk Murad dan para hadirin berhubung isu-isu pendidikan semasa. Para tetamu/peserta kebanyakannya golongan guru dalam daerah tersebut dan merupakan "orang-orang kuat"  UMNO. Dan para tetamu  tersebut saling berpandangan ke arah saya.

Berbalik peristiwa semasa perhimpunan agung peringkat bahagian, di sekolah tempat saya mengajar., Cikgu Abu Bakar Affandi yang ketika itu Ketua Pemuda Umno mengucapkan tahniah kepada saya kerana nama saya ada tersenarai  dalam buku cenderamata program Umno Bahagian Ledang sebagai Pengerusi Tetap cawangan.

Selama ini beliau menjangkakan saya berkawan dengan sahabat-sahabat yang "condong ke kiri" di sekolah itu (ada yang ahli PSRM, DAP,PAS) tidak berminat dengan Umno. Sebenarnya Cikgu Abu Bakar tidak mengetahui situasi saya yang tinggal bersama ibu bapa saya. Begitu juga Cikgu Ngarisan rakan lama sekolah saya juga mengucapkan tahniah dan rasa gembira kerana berasa  seronok saya seperti "sekapal" dengan mereka. Hanya Allah yang Maha Mengetahui gelora hati saya ketika itu.

Namun jauh di sudut hati ,saya mahu belajar lebih tinggi mencapai sebagai seorang sarjana (scholar) tidak pernah terpadam. Allah jua yang maha menentukan; apabila pada awal 1980-an saya telah berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah di universiti tempatan. Sesuatu yang "hebat dan membanggakan" ketika itu. Bukan mudah tetapi tidak mustahil jika kita ada keazaman dan kemahuan. Saya dengan cara "terhormat" menulis surat rasmi perlepasan/perletakan jawatan saya kepada Cikgu Atan.

Hari-hari dan tahun-tahun berikutnya apabila UMNO diharamkan dan diganti dengan "UMNO BAHARU" saya tidak pernah pun memperbaharui keahlian saya. Apatah lagi ketika itu penjawat awam kumpulan A dilarang memegang sebarang jawatan dalam politik kepartian. lbu saya memberitahu saya "nama saya telah dihilangkan" tetapi saya tidaklah memberitahu bahawa saya telah menulis dan menyerahkan surat rasmi kepada Cikgu Atan.


Oleh kerana saya telah berhijrah ke negeri Selangor dan telah berumahtangga (syukur majlis kenduri perkahwinan saya secara gotong-royong mendapat kerjasama yang amat baik oleh semua orang kampung termasuk Cikgu Atan)  dan telah melakar suatu perjalanan yang panjang dalam kehidupan maka saya dapat merenung kembali (refleksi) kisah-kisah masa silam itu.

Yang penting ibu bapa saya tidaklah risau lagi persoalan 'Saya dan UMNO'. Dan termasuklah saya tidak mengecilkan hati guru saya Cikgu Atan yang "seronok" menyebut nama saya kerana dalam sebuah puisi panjang saya (PEKAN SEROM MASIH KUINGAT LAGI) yang tersiar dalam majalah MASTIKA, 1994 ,saya ada membariskan namanya sebagai beberapa nama idola "orang tua" di kampung saya yang banyak berjasa dan tersiarnya puisi tersebut terus  menjadi "hebohan" para pengunjung tetap (sudah tentulah golongan guru) di 'Kedai Buku Usaha Kita' milik Pak Hashim (Allahyarham) di pekan Serom Tiga, Muar.







Al- Fatihah kepada mereka yang telah kembali ke rahmatullah.Amin ya Rabb..... (by TB@DRH).