HAJI DR. RAJIEE HADI

HAJI DR. RAJIEE HADI
SERIBU WARNA SERIBU MAKNA

14 Ogos 2015

BIODATA PENULIS DR. HAJI RAJIEE BIN ABDUL HADI @ DR. RAJIEE HADI


DR HAJI RAJIEE BIN ABDUL HADI ialah anak jati Muar, Johor,  kelahiran Serom 2 Hilir yang menggunakan nama pena RAJIEE HADI dan ROHA. Nama samaran lain yang pernah digunakan ialah Guru Bahasa, Pak Ngah, R.H.Roy, Adzie Roha , Idah Eeijar , Syeikh Al-Latis, Meera Nur Adira dan lain-lain lagi.  DR.RAJIEE HADI memperoleh pendidikan dasar    dan menengah hingga ke tingkatan enam di Muar,Johor. Pada tahun 1976 melanjutkan pendidikan perguruan di Maktab Perguruan Bahasa, Kuala Lumpur (kini lnstitut Pendidikan Bahasa Melayu) sehingga memperoleh sijil perguruan ikhtisas @setaraf Diploma Perguruan Malaysia pada tahun 1977. Mula dilantik menjawat guru terlatih @Pegawai Perkhidmatan Pendidikan pada 3 Januari 1978. 

Setelah mengajar beberapa tahun di sekolah menengah beliau melanjutkan pelajaran pada tahun 1983 di Universiti Pertanian Malaysia (UPM) dan memperoleh Sarjana Muda Pendidikan  Kepujian (B.Ed.Hons) dalam kajian bidang metodologi dan pedagogi bahasa.Kemudian pada sesi 1987/88 beliau diterima meneruskan pengajian Sarjana Sastera (M.A) di Fakulti Sains Kemasyarakatan dan Kemanusiaan UKM Bangi dalam kajian teori dan puisi.  Dan kemudian beliau berkhidmat sebagai pensyarah dan Ketua Unit di Maktab Perguruan lslam,Bangi (MPI, kini lnstitut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Pendidikan lslam)  Seterusnya pada sesi 1996/97 beliau  melanjutkan pengajian ijazah kedoktoran  di UKM dan di Liberal Arts Berkeley University, California,USA dan memperoleh Ph.D pada 2002 dalam bidang kajian psikologi bahasa dan sastera.

Dalam bidang penulisan, beliau menulis pelbagai genre sastera termasuklah puisi, cerpen, skrip drama dan novel kanak-kanak.  Beliau juga menulis kertas kerja, resensi, jurnal, esei, rencana dan buku-buku kajian  sosiobudaya, pendidikan, psikologi, kesusasteraan dan kebahasaan. Beliau menulis di Berita Harian/Berita Minggu sejak penghujung tahun 1970-an.  Beliau pernah dilantik sebagai stringer Berita Harian/Berita Minggu secara rasmi bermula pada tahun 1983 di Muar, Johor, setelah mendapat bimbingan bengkel daripada Tokoh Wartawan Negara  A. Samad lsmail (Tan Sri, Allahyarham) dan Ahmad Sebi Bakar (Datuk). Kemudian pada tahun 1981, beliau menjadi penulis tamu akhbar Warta Tebrau atas undangan  SN A. Samad Said (Datuk). 

Karya beliau tersiar dalam pelbagai akhbar dan majalah di Malaysia, Singapura, Brunei dan Indonesia,  antaranya ialah Dewan Sastera, Dewan Siswa, Teman Pelajar, Dian, Jurnal Dewan Bahasa, Pelita Bahasa, Mastika, Al-Islam, Harakah, Jurnal Pemikir, Jurnal Penulis, Berita Minggu, Mingguan Malaysia,  Bahana (Brunei Darussalam), Nino Bagus, Fikiran Rakyat (Indonesia), portal berita Harakahdaily, Malaysiakini dan banyak lagi. Karyanya dalam bentuk buku ialah cerpen perseorangan Tirai Malam (1981, Tra-Tra Publication), novel kanak-kanak Pengadilan (1988, Pustaka Yakin Pelajar), Bumi Hijau (1991, Marwilis Publisher & Distributors), kumpulan puisi perseorangan Cinta Arafah (2003, Diwangsa Publications & Distributors), dan buku-buku akademik persekolahan terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, Fajar Bakti, Pustaka Sistem Pelajaran, Pustaka Pertiwi, Edusystem Sdn. Bhd., Travelog Guru Seribu Warna Seribu Makna (2015) terbitan Awan Prima,  Antologi Puisi Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta (2015) Awan Prima dan lain-lain lagi.

          Beliau juga aktif dalam beberapa pementasan teater bersama Badan Teater Rakyat Muar (BATERA, 1978-1982)  bersama-sama penggiat teater tempatan ketika itu, seperti Saparman Bakri, Dzulkarim Daud dan Mahfar Tahir. Di Universiti Pertanian Malaysia, Serdang (UPM), beliau pernah berlakon dalam teater Atap Genting, Atap Rumbia (1985) arahan Aripin Said /Roselina Khir Johari. 

Di Maktab Perguruan Bahasa, Kuala Lumpur (MPB), beliau terbabit dalam pementasan teater Hari Jadi Nona (1976) dan Bayang-Bayang (1977) di bawah arahan Elias ldris dan Khairuddin Wahab. Beliau pernah memenangi hadiah utama, antaranya Sayembara Penulisan Puisi dan Cerpen MPB (1977, kini IPGM Kampus Bahasa Melayu), Sayembara Penulisan Kreatif UPM, Serdang (1984), Sayembara Penulisan Puisi Sejarah Nasional (1992) dan Sayembara Puisi Hari Guru Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (1994) dan Sayembara Puisi Bosnia, 1994 (menggunakan nama wanita) dan memenangi tempat pertama dengan hadiah RM3000.00. Beliau ialah salah seorang pemenang pertandingan menamakan kereta nasional, Proton Saga (1985) yang mendapat hadiah sagu hati bernilai RM3000.00.          

 Sebagai aktivis bahasa, sastera dan kemasyarakatan, beliau pernah menganggotai Persatuan Penulis Nasional (PENA), Persatuan Penulis Johor (PPJ), Kelab Sastera Dewan Bahasa dan Pustaka (KSDBP), Persatuan Kesusasteraan Bandingan   Malaysia          (PKBM)          dan     Persatuan Linguistik Malaysia (PLM).  Beliau turut bergerak cergas sebagai Presiden Kesatuan Kebangsaan Guru Bahasa Melayu Se-Malaysia (KKGBMS), Exco Kongres Guru-Guru dalam Perkhidmatan Pendidikan (KONGRES),  Ahli Majlis Permuafakatan Pengurusan Pendidikan Kementerian Pendidikan/ Pelajaran Malaysia dan Ahli Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Guru Kebangsaan (1998-2005). Kini, beliau ialah Presiden Pengamal Pendidikan Malaysia (PPPM/PENDIDIK) sejak tahun 1999. Beliau juga pernah bergiat dalam NGO (Badan Bukan Kerajaan) seperti  Pertubuhan Pasukan Pengakap Negeri Johor, Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM), Persatuan Persahabatan Malaysia-China (PPMC), Persatuan Pengguna Selangor-Kuala Lumpur (FOMCA) dan persatuan penduduk/ kariah masjid setempat.

           Sebagai guru pelatih, beliau menjalani practical teaching di Sekolah Rendah Brickfield, Kuala Lumpur (1976) dan Sekolah Menengah Taman SEA, Petaling Jaya, Selangor (1977). Kemudian beliau bertugas sebagai guru terlatih (1978-1995) Kementerian Pelajaran/Pendidikan Malaysia di beberapa buah sekolah harian dan Sekolah Berasrama Penuh di Johor, Negeri Sembilan, Selangor dan Kuala Lumpur. Di samping itu, beliau berkhidmat sebagai pensyarah   sambilan   di Kolej   Anjung   Selatan, Bandar Baru Salak Tinggi, Universiti Tenaga Nasional ( UNITEN, 1998-2000) Kajang-Putrajaya dan UPM  Serdang   (1998-2000).  Beliau  pernah   berkhidmat  sebagai  Pengerusi  PIBG  di salah  sebuah  sekolah menengah agama di Selangor Darul Ehsan, 2003-2004. 

            Dalam kerjaya pendidikan, Dr. Rajiee bin Abdul Hadi juga pernah berkhidmat sebagai pensyarah dan menjawat jawatan Ketua Unit Pembanguan Profesionalisme Keguruan, di Jabatan Penyelidikan dan Pembangunan Profesionalisme, Maktab Perguruan Islam (kini, Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Pendidikan Islam) Bangi, Selangor Darul Ehsan (1995-2005). Beliau pernah dilantik oleh Bahagian Pendidikan Guru (BPG) Kementerian Pelajaran/Pendidikan Malaysia sebagai Ahli Panel Penggubal Soalan M-Test, iaitu peperiksaan untuk mengikuti kursus perguruan lepasan ijazah di IPBA, Kuala Lumpur (2003). 

           Setelah berkhidmat sebagai Ketua Fasilatator Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 2006-2007, kemudian pada tahun 2008 beliau berkhidmat sebagai Pensyarah Kanan di Universiti Kolej Perguruan Ugama  Seri Begawan Negara Brunei Darussalam. Semasa di Brunei Darussalam, beliau dilantik menjadi ahli panel penemuduga kemasukan para pelajar baharu untuk mengikuti kursus Diploma Perguruan,Diploma Perguruan Tinggi, dan Sarjana Muda Perguruan. Beliau pernah dilantik menjadi ketua hakim bagi Pertandingan Forum Hijrah IPTA Negara Brunei Darussalam 1429H/2008. Beliau yang telah berkecimpung dalam dunia pendidikan selama 35 tahun sebagai guru terlatih (1978-2013) juga ialah  kolumnis majalah PENDIDIK, penyair, penganalisis, blogger, fasilatator, motivator dan sebagai Ketua Pengarah kepada DRH Consultants and  Services & Research lnstitute. Kini, beliau ialah penyair dan penulis bebas, di samping selaku CEO kepada Awan Prima (002413917-D).