HAJI DR. RAJIEE HADI

HAJI DR. RAJIEE HADI
SERIBU WARNA SERIBU MAKNA

16 April 2016

KETIKA WAJAH ZAMAN
      (MUHAMMAD YA RASULULLAH)

Ketika wajah zaman terlalu liar
Gusar mengancam setiap gurun
Langit kalut gelita kemanusian tercari-cari
Kehidupan yang mencakar dan terbakar
Kaum jahiliah yang hilang nurani
Maka tiba saatnya 12 Rabiulawal
Lahirlah Muhammad S.A.W  pesuruh Allah
Pemimpin sejati ummah akhiri kini
Umpama setulusnya kalbu, gemerlapan terserlah
Pengutus kedamaian kehidupan yang berbalah

Ketika wajah zaman terlalu gementar
Sengketa bunuh yang tiada pusara
Muhammad  S.A.W cekal tabah dan tekal wibawa
Sopan budi akhlak al-amin gelaran mulia
Dengan sari yakin disingkirnya mimpi wasangka
Memulakan tindak uji dalam ribut duri
Menapis hemah menghindari bencana
Saat wangsa berkabilah tradisi tanpa hati
Ternyata Baginda unggul dalam seru
Membawa nur llahi terbuka pintu baharu


Ketika wajah zaman merentasi sempadan
Muhammad S.A.W mengembang niaga dagangan khadijah
Ketokohan baginda diyakini semua lapisan
Belas, hormat, amanah dan setia terserlah
Menambat hati Khadijah bersatu hati bersama Baginda
Damai berumah tangga terkelip sinar dan ikhtibar
Ragu awal, bayu yakin berterbangan menjauh
Bahagia resah segar mendalami sukma diri
Gurun dan angkasa bertemu akrab setia temani
Khadijah isteri, Muhammad S.A.W suami lambang abadi


Ketika wajah zaman terlalu gersang
Kebendaan adalah berhala puja di sana sini
Yang diwarisi kemelut turun-temurun
Baginda beruzlah mencari sinar mentari takwa
Di Gua Hira’ wahyu baca ilmu dipinta
Jibril yang memeluk mesra utusan Allah
Sedangkan musuh di luar menghidu garang
Berhari-hari Ramadan sepulangannya dalam resah hati
Khadijah si jelita setia mendakap syahdu perkhabaran itu
Muhammad S.A.W empat puluhan pesuruh Ilahi

Ketika wajah zaman terlalu gusar
Panji perang berkibar panah menusuk berpusar
Baginda mengepalai dengan bijaksana akal
Seteru yang ramai tidak dapat disangkal
Dengan maruah lslami dibina demi ibadah
Degup kalbu dinyalakan dengan mercup iman
Dengan kemenangan demi kemenangan berpihak
Api yang sekian lama menyala pun terpadam
Deru angin kabut pasir yang menggila terhenti
Muhammad S.A.W menjadi cahaya  akhir zaman!


DR. HAJI RAJIEE HADI,
Bukit Mahkota, Bangi, SDE.

1 Rejab 1437.

(Puisi di atas ditulis mengaplikasikan pendekatan intertekstualiti dan telah dideklamasikan oleh penyair (penulis puisi di atas) pada Majlis Baca Puisi Alunan Puisi lslami di SMA Mahaad Loghatul Quran Ledang, Kesang Tasik, Tangkak, Johor Darul Takzim pada 9 April 2016 bersamaan 1 Rejab 1437)