HAJI DR. RAJIEE HADI

HAJI DR. RAJIEE HADI
SERIBU WARNA SERIBU MAKNA

21 Disember 2016

DR KAMARUDDIN KACHAR KEMBALI KE RAHMATULLAH

PRESIDEN Pertubuhan Pemikir Profesional Melayu Malaysia, Prof. Datuk Seri Dr. Kamaruddin Kachar, 82, telah kembali ke rahmatullah di Institut Jantung Negara (IJN) di sini, 20 Disember 2016.
Add caption
Anak Allahyarham, Datuk Amir Arif berkata, bapanya itu menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 8.45 malam dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Ramal, Kajang, Selangor.Menurut beliau, Allahyarham menghidap penyakit jantung sejak empat tahun lalu dan semakin teruk sejak sebulan lalu.

“Sebelum menghembuskan nafas, arwah berpesan kepada semua anak-anak supaya menjaga emak dengan baik,” kata anak ketiga Allahyarham ketika dihubungi.
Allahyarham meninggalkan seorang balu, Datin Seri Che Tom Osman bersama tiga anak lelaki dan seorang anak perempuan.

Kamaruddin merupakan tokoh Melayu yang banyak menyumbang dan berbakti kepada negara serta pernah menggalas pelbagai jawatan penting, antaranya Ketua Pengarah Biro Tatanegara, Pengarah Pendidikan Yayasan Pelajaran Majlis Amanah Rakyat (Mara), Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara dan Timbalan Naib Canselor Universiti Pertanian Malaysia (Universiti Putra Malaysia) dan Dekan Fakulti Pengajian Pendidikan UPM yang diasaskannya selepas Fakulti Perkhidmatan Pendididikan yang ditubuhkan oleh Allahyarham Prof Dr Atan Long. 


Kenangan yang saya tidak lupa ialah beliau tidak lupa menyebut nama saya setiap kali bersua muka dengan saya walaupun telah bertahun-tahun beliau bersara rasmi daripada UPM. Beliau dengan lawak muka bersahaja sering menyebut nama saya "Rajiun@Rojiun". Sebenarnya sebutan itu mula diucapkan sewaktu beliau kali pertama (sebagai Dekan FPP UPM) berucap di hadapan para mahasiswa baharu FPP pada awal tahun 1980-an dahulu. Tentu ada sesuatu yang menarik antara saya dan beliau. Sememangnya  ada sesuatu yang melucukan..Cerita ini sudah saya paparkan dalam buku memoir tulisan saya , TRAVELOG GURU (2015, Awan Prima). 


Jasa beliau neningkatkan taraf akademik golongan guru tetap diingat dan dikenang sepanjang zaman .Dan saya akhirnya jua mengucapkan kalimah "llnalillahwainailahirojiun"..menyebut kalimah "rojiun" buat Allahyarham Ayahanda Dr Kamaruddin. Al- Fatihah, semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan dimasukkan ke dalam golongan para syuhada di syurga kelak. Amin ya Rabbal alamin.


16 Disember 2016

SUATU WAKTU DI KUCHING, SARAWAK, BUMI KENYALANG



 Perjalanan  hampir 100  kilometer dari bandar raya  Kuching ke Perkampungan Hari Puisi Nasional ke-9 di Pantai Sematan Daerah Lundu amat mengesankan sebilangan besar para peserta  yang menghadiri pertemuan  pada 2 hingga 6 Ogos 1984 di Sarawak. Lebih 200 peserta yang datang dari Semenanjung, Sabah, Negara Brunei Darussalam, Singapura, Filipina dan Indonesia terpaksa menghadapi pelbagai dugaan dan cabaran yang hebat. Seolah-olah bertepatan dengan temanya ‘Alam, Penyair dan Puisi’ yang mengajak sekalian penyair berkongsi  menimba kepahitan dan getir bagi sebilangan besar penduduk di bumi kenyalang itu. 
 
Bandar Raya Kuching, Sarawak.


          Minda saya ketika itu masih terakam akan kata-kata  Ketua Satu Gabungan Persatuan Penulis Sarawak (GPPS)  Adi Badiozaman Tuah (Datuk Dr.) dalam buku cenderamata Hari Puisi  1984 yang antara lain menyebut …” Kita yakin akan dapat mendekatkan diri kita  kepada alam yang mencorakkan  dan mewarnakan kewujudan kita  sebagai makhluk  Allah di dunia  yang fana ini. Kesedaran akan hubungan yang saling bertalian  di antara manusia dengan alam sekitar akan dapat  membuka mata dan hati kita tentang hakikat  bahawa sesungguhnya kita tidak bersendirian di bumi ini …” Nafas Sematan

Dan atas dasar itulah, enam buah bas yang membawa para peserta dengan melalui jalan raya yang bengkang-bengkok, berliku-liku dan berlubanglubang dipenuhi debu  yang menyeka mata hampir  100 km memakan masa lebih tiga jam menuju Pantai Sematan memberi perkongsian  pengalaman dan kenangan yang sukar dilupakan. Apatah lagi, ada bas yang telah mengalami kerosakan pendingin hawa, situasi yang cukup memanaskan hati dan perasaan. 

Kemarahan dalaman yang membuak-buak disogokkan pula dengan berita ramai  peserta kelaparan. Lebih-lebih lagi sewaktu meninggalkan kediaman sementara di Maktab Perguruan Batu Lintang, Kuching pada 2.30 petang, rata-rata para peserta tidak berkesempatan  ataupun tidak disediakan makanan  tengah hari  oleh urus setia. Difahamkan pihak urus setia menghadapi kerumitan dan masalah penyelenggaraan dan logistik.


Perjalanan menuju ke Sematan, Sarawak bersama Yusnor EF dan beberapa penulis Singapura
(1984)
           Namun masalah demi  masalah yang dihadapi oleh para peserta  dapat ditenteramkan oleh keindahan  asli Pantai Sematan yang terbentang luas menghadap  Laut China Selatan. Tidak jauh dari pantai itu, kelihatan  jelas Pulau Talang-Talang yang terkenal kerana destinasi  lubuk penyu bertelur. Para peserta yang bagaikan terkurung seperti patuh pada setiap acara yang dijalankan. Lantas Dewan Balai Raya  Sematan yang antik  itu tidak dirasai kekosongannya. 
Lokasi pantai Sematan & Pulau Talang-Talang

Walaupun para peserta  terpaksa menapak juga dari perkampungan puisi ke dewan makan di Sekolah Kebangsaan Sematan, Lundu dan  kemudian berpatah balik ke balai raya  yang hampir 2 km, namun para peserta begitu tabah dan tidak mahu ketinggalan dalam setiap acara. Walau bagaimanapun, kepenatan para peserta diredakan juga oleh beberapa persembahan kesenian masyarakat Sarawak,  sama ada tarian  tradisi, drama, lagu-lagu puisi oleh Abdillah S.M (meninggal dunia 2014) dengan Kumpulan Marhaen dan persembahan muzik tradisional suku kaum bumiputera Sarawak. 

Saya gembira kerana buat pertama kalinya dapat menonton secara langsung tarian tradisional suku kaum Bidayuh, Melanau, Iban Kenyah  dan Dayak Laut yang dipersembahkan   oleh kumpulan Seri Tarina, Seridaya  Sarawak dan  Rumpun Seni
Budaya Sarawak (RUSDA) yang sungguh mengasyikkan sebilangan  besar hadirin yang agak keletihan  pada malam-malam Hari Puisi itu. Kumpulan RUSDA pula berjaya mendramakan kisah ‘Si Tanggang” dalam persembahan taridra yang mengharukan pada malam keduanya.

          Oleh sebab pada masa itu belum wujud lagi Perkampungan Budaya Sarawak seperti yang ada sekarang sebagai produk pelancongan negeri Sarawak, maka persembahan badan-badan kesenian anak negeri ini banyak memberi input dan pengalaman yang menarik. Walaupun  atur cara siangnya dipadatkan dengan  pembentangan dan perbahasan  kertas kerja yang dimulakan pada  hari pertamanya oleh penyair Dharmawijaya  (Allahyarham) dan berikutnya oleh Kemala yang berkisar pada persoalan alam kepenyairan berlandaskan keislaman. 
 
Kampung Pueh, Sematan, Sarawak.

Situasi yang kadangkala hangat runcing diselang-seli pula oleh beberapa kelucuan  dan kegamatan yang memecah keheningan Balai Raya Sematan. Diskusi sastera yang diperkatakan oleh A. Samad Said,  Muhamad Haji Salleh dan Ramli Isin berkisar pengalaman masing-masing cukup menarik. Sebelum itu, Siti Zainon Ismail (Prof. Dr.) turut memberikan warna ke dalam puisi-puisi mutakhirnya seolah-olah terpaksa mempertahankan hujahnya  yang kian menjadi polemik,  dan Zainon gigih sekali mempertahankan dengan tangkisan dan bidasan keilmuannya. 

Pesona Alam

Walau apapun yang dirakamkan dengan tinta pena tentang hari puisi, namun sejenak di Rumah Panjang Kampung Pueh, Lundu pada  hari-hari terakhir saya dan teman-teman penyair di Sematan dapat merasakan getar hidup anak-anak peribumi serta banyak mengenali sahabat handai dari Semenanjung akan arus kemajuan  yang dirasakan,  turut dirasakan apabila Bumi Kenyalang ini bergabung dalam Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963 lampau. 

Dan  nikmat pembangunan yang dikecapi oleh sebilangan besar  masyarakatnya  yang selama ini dirasakan terpencil dapat memberi impak dan menjanjikan masa hadapan yang lebih cerah. Dan atas  keramahan dan kemesraan  dengan beberapa penari daripada suku kaum Bidayuh Kampung Pueh sudah cukup sebagai oleh-oleh para peserta dari setiap pelosok Asia Tenggara.
          Kenangan terus ‘terikat’ dengan budi mesra Bapa Budayawan Sarawak Datuk Haji Noor Tahir, Menteri Perhutanan Sarawak ketika itu  di kediamannya di Petra Jaya, Kuching pada malam perpisahan. Dirasakan getaran sukma bapa budayawan yang menyampaikan sumbangsih lagu dan turut mendeklamasikan puisi terbawa-bawa dalam kenangan peserta. Jelasnya, nafas dan desah sendu suara kepenyairan A. Samad Said, Muhammad Haji Salleh, Kemala, Siti Zainon Ismail, Adi Badiozaman Tuah (Datuk Dr.), Saiee Driss, Abdillah S.M. dan Mat Segalang (sekadar menyebut beberapa nama) terus meninggalkan kesan  di pesisir Pantai Sematan, khususnya di Bumi Kenyalang dengan terus menyemarakkan alam, penyair dan puisinya. 

Sehingga kini pada tahun 2013, Tasik Biru Bau, Sungai Lundu,  Pantai Sematan, Kampung Pueh dan pulau Talang-Talang masih hidup mekar segar dalam kotak memori nostalgia saya, ketika saya mengunjunginya buat kali kedua. Nama-nama penulis Sarawak yang menyusul kemudian seperti Jais Sahok, Jeniri Amir, Margie Leo, Ratnawati Jamil dan lain-lain terus bertakhta di lanskap sastera tanah air. 

Dan sejak itu, saya banyak menghasilkan sajak-sajak tentang Sarawak.  Antaranya, sajak yang dihasilkan 10 tahun kemudian mengenai pembangunan Sarawak telah disiarkan oleh majalah Mastika’ terbitan April 1994. Kebetulan pula, pengarang majalah Mastika, Ratnawati Jamil ialah anak jati Sarawak:

MENDEPANI KOTA SAMARAHAN
(kepada Unimas)

Masihkah kau menyisip nostalgia
kita bagaikan gerup dengan sisir*
menyimpan segala lara
mencanang setiap kebaikan
tidak kulupa
saat-saat di Sematan
singgah di kota kembang Samarahan
di tanah Lundu termeterai temali ingatan
 di hujung pulau Talang-Talang masih terpandang
 dan deru ombak turut menyisir pesona
tanah Semenanjung yang ditinggalkan
semadi kasihku abadi mencengkam semi
dan masih kuingat lagi
kerikil rentang ke Kampung Pueh
pedalaman gubuk panjang lembut tari anak peribumi
kental mendakap tradisi
kini mahasiswa universiti!


Rajiee Hadi,
Mastika, April, 1994.



Salam puisi yang berkekalan daripada saya. Jadikan alam indah yang terkembang sebagai guru.

oleh: RAJIEE HADI

28 Oktober 2016

SELAMAT MENJAWAT PEGAWAI PASCA PERKHIDMATAN.....

KEPADA para sahabat yang telah dan akan bersara wajib, berdoalah agar anda semua dapat meniti hari demi hari ke saat tarikh yang dinantikan. Dan saya ucapkan selamat bersara dengan beroleh nikmat kesihatan dan segala ganjaran untuk kebahagian anda dan keluarga.

Sehubungan dengan ini, saya juga mahu menceritakan serba sedikit apa yang dikatakan bersara pilihan pencen berbayar dan bersara pilihan pencen tidak berbayar. Mengikut Pekeliling Sistem Saraan Baharu (SSB) dahulu, penjawat awam boleh memohon bersara awal ketika umur 40 tahun dengan kelulusan bersebab daripada ketua jabatan atau majikan. 

Mercu Tanda Kompleks Kerajaan Persekutuan Putrajaya
Namun pencen bulanan hanya akan dibayar kepada penjawat lelaki ketika berumur 50 tahun, manakala penjawat wanita ketika berumur 45 tahun berdasarkan perkiraan gaji akhir semasa permohonan bersara diluluskan. Namun demikian, saya nasihatkan kepada para pembaca yang berminat membincangkan topik ini, sila rujuk pekeliling terkini berhubung kes persaraan. 

Walau bagaimanapun, warga Kementerian Pendidikan Malaysia  di sektor pengajaran dan pembelajaran (mungkin ada kementerian lain yang menggariskan klausa dan peraturan tambahan)  tidak membenarkan bersara pilihan tatkala usia 40 tahun ke atas dengan alasan keperluan kritikal. 

Mereka hanya dibenarkan bersara pilihan bagi lelaki 50 tahun dan wanita 45 tahun dengan mengajukan permohonan kepada Ketua Setiausaha, Ketua Pengarah / Ketua Bahagian masing-masing untuk kelulusan. Namun, tidak semudah itu! Ada syarat-syarat di peringkat sumber manusia dan perlu mendapat kelulusan bahagian lain terlebih dahulu.
           
Seorang penjawat awam daripada kumpulan profesional yang terbabit secara langsung dalam sektor pendidikan beberapa tahun lalu telah mula merancang mahu bersara awal ketika berusia 48 tahun. Borang permohonan dan segala yang diperlukan  telah dikemaskini. Penjawat awam tersebut berasa kecewa  dan hilang kepercayaan kerana peluang untuk kenaikan pangkat agak tipis kerana amalan kronisme oleh ketua jabatan dalaman yang tidak profesional, tidak beretika dan tidak  beramanah.

Bayangkan  selama  lebih 30 tahun  beliau  berkhidmat dengan penuh dedikasi, ketua jabatan atau wakilnya tidak pernah bersemuka menemuinya untuk  memberikan markah atau menilai prestasi. Walhal  jika mengikut prosedur JPA, semua  penilai wajib bersemuka dan berbincang untuk tujuan pemarkahan. Ini   jelas  melanggar etika dan peraturan. 

Kompleks Pejabat JPA Putrajaya
Apatah  lagi  jika   kedapatan  ketua  jabatan  atau   ketua  pejabat  dalam  set minda  telah  tersedia  memberikan  gambaran  negatif  dan  prasangka  peribadi  kepada  seseorang  penjawat awam di bawahnya. Menurut  penjawat awam  tersebut,  beliau  hilang  kepercayaan  dan  bertegas  memegang prinsip kentalnya mahu bersara pilihan kerana 10 faktor berikut:

1.            Hilang kepercayaan dan keyakinan kepada  majikannya.

2.       Kelayakan pada tarikh bermulanya permohonan   yang dimahukannya, usianya genap 50 tahun. Beliau mengajukan permohonan ketika berusia 49 tahun.

3.            Tidak pernah dan bebas daripada dikenakan Tindakan Tatatertib.

4.       Tidak pernah disabitkan dengan hukuman atau  perintah mahkamah yang menyebabkan hilang kelayakan.

5.            Tugas yang disandangnya kini bukan kategori  perkhidmatan kritikal.

6.            Bebas daripada     ikatan   perjanjian biasiswa/pinjaman pelajaran kerajaan.

7.        Bebas daripada Pinjaman Perumahan  Kerajaan, Kenderaan Kerajaan dan Cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri.

8.         Bebas dan melepasi tapisan Kementerian Dalam Negeri yang disabitkan dengan rasuah dan apa jua kesalahan yang melanggari syarat.

9.  Mahu berkhidmat dan berjuang di luar sektor kerajaan ataupun menerima tawaran perkhidmatan di agensi lain yang menawarkan ganjaran yang lebih baik dan munasabah.

10.  Telah cukup syarat berkhidmat lebih daripada 600 bulan sebagai kakitangan kerajaan terlatih  yang telah disahkan dalam perkhidmatan awam.


Berdasarkan 10 perkara di atas, maka tepat pada tarikh hari lahirnya, beliau 'dianugerahkan'  bersara pilihan dengan dibayar berkuat kuasa pencen bulanan dan ganjaran imbuhan yang sepatutnya selama tempoh perkhidmatannya. Sebenarnya memperoleh 'anugerah' pesara kerajaan bukanlah mudah pada zaman yang penuh pancaroba ini.  

Di samping menghadapi kesihatan dan maut yang bakal menjemput, penjawat awam juga tidak terlepas daripada menempuh dugaan dan cubaan kehidupan seperti salah laku rasuah, jenayah, pecah amanah dan sebagainya ketika meniti hari-hari ke gerbang persaraan wajib. Rancanglah pengisian ketika menempuh hari-hari pascaperkhidmatan agar diri kita tidak dilanda kemurungan. 

Namun mereka  yang telah mendapat 'title' itu ialah insan terpilih oleh Allah S.W.T terutamanya yang Bersara Wajib (55,56,58,60) dan Bersara Pilihan Atas Pilihan Sendiri.. Sebagai insan kerdil, tidak salah jika saya mengingatkan kepada penjawat awam yang masih muda bahawa ‘ibarat bagai pelepah yang muda di pepohonan, janganlah ketawakan pelepah yang telah jatuh terdampar di permukaan bumi; lambatlaun semua akan merasainya’. 

Selamat berjuang menempuh fajar baharu dan usah mengalah dalam menghadapi cabaran dalam kehidupan ini.Sebenarnya bagi penjawat awam yang bersara, demi psikologi dan berkaitan dengan kajian kemurungan selepas bersara dalam pelbagai tesis pascasiswazah, anda cuma beralih ke Bahagian Pasca Perkhidmatan JPA Kerajaan Malaysia. Dan amat diharapkan agar Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) tidak mengganggu anda pada saat 'dunia baharu ini'. Dan tidak salah, anda kini adalah "Pegawai Pasca Perkhidmatan'. Hebatnya! 

(oleh Syeikh al-Latis)





16 Oktober 2016

ORANG BRUNEI BERASAL DARI MINANGKABAU ?



 Disesuaikan oleh SYEIKH AL-LATIS


SALASILAH  Kerajaan Brunei mengikut pada Batu Tarsilah (bersurat?) dimulai dari kisah Awang Alak Betatar iaitu raja pertama yang memeluk agama Islam (1368) bergelar  Sultan Muhammad Shah (1368-1402). Catatan dari Tanah Besar China menyebut 'Mohamo Sha'. Dan daripada tradisi lisan (sastera rakyat) diperoleh daripada Syair Awang Semaun yang menyebutkan Brunei berasal dari perkataan “baru nah” setelah rombongan  suku Sakai (sukuan Melayu Asli) yang dipimpin Pateh Berbai pergi ke Sungai Brunei mencari tempat untuk mendirikan negeri baharu.

Peta Lokasi Negara Brunei Darussalam.


Setelah mendapatkan kawasan tersebut yang memiliki kedudukan sangat strategik dan  diapit oleh bukit dan air, mereka membuka petempatan baharu di situ.Kesesuaian kawasan baharu ini kerana kemudahan  untuk melancarkan sistem perhubungan dan pengangkutan.Apatah lagi sungai di situ  terdapat banyak ikan sebagai sumber rezeki dan makanan dan lalu mereka pun menyebut perkataan “baru nah” yang bermaksud tempat itu sangat baik, berkenan dan bersesuaian di hati mereka untuk mendirikan negeri seperti yang mereka inginkan.
Buku-buku rujukan/kajian yang berkaitan dengan Syair Awang Semaun.




Kemudian perkataan “baru nah” itu lama kelamaan berubah menjadi Brunei. Dan dalam erti kata lain, dapatlah kita simpulkan, berdasarkan syair Awang Semaun tadi, bahawa Pateh Berbai adalah pimpinan rombongan suku Sakai (sukuan Melayu Asli) yang melakukan penghijrahan dari luar pulau Borneo untuk mendirikan sebuah negeri. Sebagaimana diketahui umum  Melayu Asli sukuan Sakai ini jika ditelusuri daripada sejarah adalah sekumpulan Orang Minangkabau yang melakukan penghijrahan ke pedalaman Riau pada abad ke-14 M lalu.lni turut berlaku juga kepada  Suku Ocu, Orang Kuantan, dan Orang Inderagiri. Manakala suku Sakai merupakan kelompok masyarakat daripada Pagar Ruyung yang berhijrah ke daratan Riau sejak berabad-abad lalu.
Dari sinilah (Riau) kelompok masyarakat Sakai yang dipimpin Pateh Berbai berlayar menuju Borneo dan mendirikan sebuah pemukiman. Dari gelar yang digunakan Pateh Berbai pun sangat erat hubungannya dengan gelar bangsawan Pagar Ruyung yang sering menggunakan istilah Patih (Parpatih Nan Sabatang contohnya).

Masjid Sultan Omar Ali Saifuddin tersergam indah.


Dalam syair Awang Semaun itu juga disebutkan nama saudara daripada Awang Alak Betatar yang mirip dengan nama yang dipakai Kerajaan Minangkabau masa silam seperti gelar “Pateh” dan “Damong”. Begitu pula gelar “Pengiran Bendahara” dan “Pengiran Tumenggong” (Minang: Katumanggungan).
Sementara kedatangan masyarakat Minangkabau yang kedua dapat dilihat dari datangnya kerabat Diraja Minangkabau yang bernama Raja Umar pada masa pemerintahan Sultan Nasruddin (1690-1710). Kemudian Raja Umar yang selanjutnya dikenal dengan Dato Godam ini datang ke Brunei menyamar sebagai saudagar. Beliau merupakan keturunan Bendahara Tanjung Sungayang, Pagar Ruyung. Ayah Dato Godam yang bernama Bendahara Harun kahwin dengan seorang wanita Belanda iaitu anak Jan Van Groenewegen yang menjawat sebagai Residen Belanda di Padang.
Pemandangan di salah sebuah kampung air di Negara Brunei Darussalam.

Menurut adat Minangkabau, Bendahara Harun merupakan anggota “Basa Ampek Balai” yang menjalankan pentadbiran/urusan pemerintahan kerajaan secara bersama. Keputusan “Basa Ampek Balai” sebelum dilaksanakan haruslah mendapat persetujuan dari Raja Alam, Raja Adat dan Raja Ibadat. Raja Alam merupakan penguasa kerajaan dan menguasai hukum menurut adat yang turun- temurun. Raja Ibadat adalah raja yang menguasai hukum Islam sebelum dijalankan di tengah masyarakat. Dewan “Basa Ampek Balai” tersebut terdiri daripada:
  1. Bendahara di Sungai Tarab.
  2. Tuan Gadang di Batipuh.
  3. Raja Indomo di Saruaso.
  4. Angku Kadi di Padang Ganting.
Apa yang nyata, kedatangan gelombang pertama yang dipimpin Pateh Berbai sangat kental nuansa orang Sumatera (sukuan Melayu Asli Sakai) yang menurut sejarah merupakan kelompok masyarakat Pagar Ruyung (Minangkabau) yang hijrah ke pedalaman Riau. Analisis kedua ini yang mendapatkan perakuan daripada sejarawan  Brunei adalah keturunan Minang berdasarkan syair Awang Semaun tadi yang menyebutkan nama  Awang Alak Betatar yang menggunakan gelar khas Pagar Ruyung.
Kemudian  gelombang kedua dengan kedatangan Raja Umar (Dato’ Godam). Dato Godam merupakan seorang yang bijaksana dan terdidik serta memiliki pengetahuan yang tinggi sehingga dirinya cepat dikenali di Brunei. Kehadirannya disambut baik oleh Sultan yang memerintah iaitu Sultan Nasruddin kerana  memiliki pengetahuan dan kecekapan  dalam  pemerintahannya.


Sultan Brunei meminta Dato Godam menetap di Brunei dan disuruh berkahwin dan bersemenda di Brunei. Kerana berasa “terhutang budi”, Sultan Nasruddin menawarkan Dato Godam apa jua permintaan akan baginda penuhi. . Dato Godam kemudian menyatakan keinginannya mempersunting anak Pengiran Tumenggong Pengiran Abdul Kadir yang menjadi isteri ketiga Sultan. Permintaan tersebut dikabulkan Sultan. Bersama perempuan bernama Tandang Sari inilah, Dato Godam kemudian mendapatkan dua anak iaitu Manteri Uban dan Manteri Puteh. Dato Godam berjasa menyelesaikan berbagai-bagai permasalahan yang terjadi pada waktu itu sehingga beliau semakin disukai Sultan. Apa yang dilakukannya tidak lepas daripada pengalamannya semasa bersama Kerajaan Minangkabau lalu.

Penulis sedang menyusuri sungai di Brunei bukan mahu
'membuka negeri baharu' tetapi menjejaki sejarah silamnya.

Atas permintaan ayahnya Bendahara Harun, Dato Godam berhasrat meninggalkan Brunei untuk kembali ke Minangkabau dengan membawa anaknya, Manteri Uban (nama sebenarnya Abdul Rahman). Dengan berat hati Sultan Nasruddin memberi izin dengan syarat agar anak keduanya, Manteri Puteh tetap tinggal di Brunei sebagai bakal waris yang boleh menguruskan hal  pemerintahan dan diharapkan dapat berbakti kepada Sultan sebagaimana yang telah ditunjukkan Dato Godam.

Di samping itu, Sultan Nasruddin berjanji akan menganugerahkan keistimewaan kepada anak cucu Dato Godam sebagai keturunan bangsawan sebagaimana di Minangkabau. Keturunan inilah yang sekarang disebut ‘Awang-awang Damit’ dan dipilih oleh para Sultan Brunei untuk dianugerahi gelar ‘manteri’ iaitu pembesar negara yang turun- temurun.
Penulis di Pasar Tamu Kianggeh Bandar Seri Begawan.

Sehingga masa kini masih banyak kosa kata Brunei yang mirip dengan bahasa Minang .Berikut adalah sekadar contoh daripada sekian banyaknya pengaruh yang berkaitan dengan kebahasaan,  seperti:
  • inda (Brunei) – indak (Minang).
  • kalat mata (Brunei) – kalok mato / ngantuk (Minang).
  • banar (Brunei) – bana (Minang).
  • basuh (Brunei) – basuah (Minang).
  • hampir (Brunei) / dekat (dalam Bahasa Melayu Standard) – hampia (Minang).
  • nini (Brunei) / datuk = Bahasa Melayu Standard – niniak (Minang).
  • bulih (Brunei) – buliah (Minang).
Justeru bersandarkan  fakta sastera sejarah yang bermula dari Awang Alak Betatar atau kemudian Pateh Berbai beserta rombongan Melayu Asli sukuan Sakai mendirikan suatu pemukiman yang disebut “baru-nah” / Brunei sehingga kedatangan Raja Umar / Dato Godam.Apa yang jelas  Brunei sangat erat kaitannya dengan Minangkabau.
Analisis  ini mungkin merujuk pada kebenaran atau tidak semuanya ada kemungkinan. lni disebabkan sejarah Brunei dalam kalangan ahli sejarah mahupun masyarakat Brunei; mereka selalu merujuk kepada syair Awang Semaun .Syair ini menceritakan sejarah awal bangsa Melayu Brunei dimulai kira-kira pada abad ke-14 masehi. Manakala masyarakat Minang mengkaji asal usul sejarah suku kaum mereka berdasarkan kitab “Tambo" yang lebih kuno lagi tarikh sejarahnya daripada syair Awang Semaun.
Dalam kitab Tambo sendiri, nenek moyang sukuan Minang diceritakan daripada keturunan Iskandar Dzulkarnain (Alexander The Great) Walau bagaimanapun dalam kitabTambo ini tidak dijelaskan siapakah lsakandar Dzulkarnain ini. Adakahkah Iskandar Dzulkarnain yang disebutkan dalam al-Quran atau Iskandar Dzulkarnain yang lain, adalah tidak pasti. Penulis menyerahkan kepada para penyelidik lain untuk mengkajinya. Namun mengenai indikasi bahawa masyarakat Brunei merupakan keturunan Minangkabau dengan merujuk riwayat syair Awang Semaun yang mengatakan Pateh Berbai / Sultan Ahmad memimpin rombongan kaum Melayu Asli sukuan Sakai yang mencari petempatan baharu untuk mendirikan sebuah negeri sangat meyakinkan.
Walau bagaimanapun, penulis suka memetik pendapat Awang Haji Metassim bin Haji Jibah (2004:137, Dokumentasi, terbitan Pusat Sejarah), "...penulisan sejarah itu boleh direka bentuk, menurut kehendak seseorang individu,penyelidik, penulis atau institusi atau berdasarkan ideologi negara..Penulisan sejarah yang semacam inilah yang sangat ditakuti.Kerana ia bukan sahaja merendahkan nilai saintifik ilmu persejarahan itu, malah ia juga menjadikan bidang ilmu sejarah sebagai suatu propaganda atau manifesto bagi kepentingan golongan atau puak..."


Bahkan menurut pandangan Haji Abdul Latif Haji lbrahim (1989), "sejarah Brunei pada pendapat setempat adalah dirangkum dalam bentuk sejarah seperti hikayat atau syair.Namun tradisi sastera lisan atau yang dibawa dari mulut ke mulut dari satu generasi ke satu generasi yang tidak ditapisi atau disesuaikan dibimbangi mengandungi unsur-unsur penambahan atau unsur-unsur yang berlebihan yang mungkin sahaja boleh menjejaskan akidah...."


Kesimpulannya sebagaimana diketahui sepanjang sejarah Nusantara, tidak diketahui pula penghijrahan Melayu Asli suku Sakai lain kecuali yang mendiami pedalaman Riau (keturunan Minang zaman Pagar Ruyung). Sekiranya mungkin ada sukuan Melayu Asli dari Champa maka sewajarnya ditelaah bersandarkan daripada  penelitian sejarah secara pendekatan ilmiah dan kajian kepustakaan. (oleh Syeikh Al-Latis)  



(Rujukan:  Syair Awang Semaun, The Earl History of Brunei up to 1432 AD by Mohd.Jamil al-Sufri, The Minanggel Wordpress.com, rumpunsuarablogspot.com/ dll.)
Hak Cipta dilindungi SKMM.

6 Oktober 2016

22 TAHUN LALU SAYA DI GERMANY ( JERMAN ). - 6102016 (Tarikh lstimewa)



PADA TARIKH 6 OKTOBER 2016 genaplah 22 tahun, ulang tahun  saya buat pertama kalinya menginjak kaki di bumi Jerman. Jerman bukanlah asing dalam hidup saya. Sebagai pelajar sejarah dunia dan sebagai pelajar geografi pada zaman persekolahan masa silam, nama Jerman banyak mengingatkan saya mengenai kekuatan dan iltizam satu bangsa yang maju dan gigih meneroka bidang teknologi moden khususnya teknologi automotif dan kejuteraan di samping jatuh bangun politik Nazi.


Karl Benz dan Gottlieb Daimler telah mencipta kerta mewah Mercedes-Benz yang tersohor hingga kini. Manakala nama Adolf Hitler (20 April 1889 - 30 April 1945) ahli politik diktator yang menjadi ketua pemimpin Nazi Jerman, mengingatkan kita pada Perang Dunia 1 yang mana Hitler membina empayar Jerman di Eropah dengan kekuatan tenteranya.


Dan pagi 6 Oktober 1994 waktu tempatan di sana ketika itu saya masih ingat, apabila saya keluar dari pesawat Lufthansa LH 0783, pramugarinya yang manis mengucapkan selamat tinggal dalam bahasa Jerman.  Simpati  saya mengulum melihat raut wajah mereka tampak keletihan.  Apa tidaknya lantaran tugas yang dilaksanakan sepanjang malam yang panjang.


Peta negara Jerman dan jiran di sekitarnya.

Dan tiba-tiba saya dicuit kegusaran di muka pintu pesawat kerana disambut dua pegawai imigresen (ataupun mungkin pegawai polis, saya tidak pasti)  Jerman yang berwajah bengis. Walaupun ada debar pertama namun jauh di hati saya berbisik menyatakan pada kebiasaannya  jarang berlaku di mana-mana lapangan terbang antara bangsa, kedatangan pengunjung disambut “wajah-wajah bengis” yang tersembul di muka pintu pesawat.  Ini menimbulkan pelbagai tafsiran antara kami.  Walau bagaimanapun , setelah dokumen perjalanan kami diperiksa, mereka berpuas hati lalu menyambut “mesra” kehadiran rombongan kami di Frankfurt am Main, Republik Persekutuan Jerman.

Sebenarnya perjalanan malam yang panjang lebih empat belas jam dalam pesawat tersebut daripada Kuala Lumpur-Bangkok-Frankfurt cukup mengesankan. Memandangkan pesawat berangkat membelah dinihari angkasa dan kesibukan pramugari dan pramugara saban waktu hilir-mudik dalam perut pesawat menyebabkan terlalu payah mata saya dan teman-teman untuk ditutup rapat dan untuk berehat seketika.  Walaupun ada segelintir penumpang yang enak melelapkan mata tanpa mempedulikan susana sekeliling namun ramai di antara mereka bersembang dan usik mengusik di antara satu sama lain.





Akhirnya saya sampai di kota raya Frankfurt am Main

Alhamdulillah, kami sampai ke destinasi yang ditujui pada 6 Oktober 1994 jam 6.45 pagi waktu tempatan (Malaysia:1.41 petang/Bertolak 11.05 malam 5 Oktober 1994).  Keadaan suhu sebaik-baik pesawat mendarat ketika itu 0°C dengan kabus memutih menutupi hampir seluruh landasan dalam jarak penglihatan sekitar 50 meter sahaja.  Ini sudah cukup membuatkan saya dan teman-teman serombongan seramai 18 orang delegasi Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) yang diketuai Timbalan Presidennya Baharuddin Zainal ( ketika itu Baha Zain, kini Dato’ (Dr) Baha Zain Sasterawan Negara ke-12) dicengkam kedinginan hingga ke tulang sum-sum.

Apa yang menginsafkan saya apabila saya terkenang ketika teringat menyaksikan kabus tebal jerebu di Kuala Lumpur dan membandingkannya baharulah saya menyedari  situasi di Frankfurt lebih menyeksakan lagi.  Ini membuatkan kami memanjatkan kesyukuran kepada Ilahi berkali-kali.  Apatah lagi di tanah air ketika itu heboh dilanda “demam jerebu” yang menggusarkan banyak pihak.  Walau apa pun di wajah kami masih terpancar kelopak riang dengan senyuman menjejaki pengalaman yang melegakan.


Pemandangan Kota Frankfurt am Main

Saya dan teman-teman dari pelbagai lapangan begitu amat mesra sekali. Walaupun ada yang berkhidmat sebagai guru sekolah, wartawan, pensyarah- profesor universiti, pegawai kastam, usahawan,pegawai bank, akauntan, pesara kerajaan, pegawai kedutaan, pegawai kanan KPM dan sebagainya tapi kami bersatu hati sebagai kumpulan penulis.  Kami disambut Toni, pengurus rombongan yang siap sedia menanti kami di lapangan terbang. Toni wanita ramah, fasih berbahasa Inggeris berketurunan Tagalog Filipina kini pemastautin tetap yang mana kini bersuamikan Benz, warga Jerman. 

Dan sepanjang perjalanan, kami melalui lebuh raya sehala tiga lorong yang nyaman dan jauh daripada kesesakan.  Lucunya, Toni memanggil satu per satu  nama kami dengan slanganya yang menghiburkan.  Dan dengan sejelas-jelasnya Toni menghebahkan  sama ada di antara kami akan menginap di Hotel Arkaden di pekan kecil Gravenwiesbach atau Hotel Usingen di Bandar Usingen, pinggir kota Frankfurt.

Gravenwiesbach dan Usingen ialah dua dearah di luar bandar yang menghubungkan lapangan terbang dengan kota utamanya Frankfurt am Main dengan jarak 100 km.  Lebuh raya yang kami lalui hanya dihiasi dengan hutan-hutan kecil pokok pain (pine) yang sengaja dibiarkan bagi tujuan pemuliharaan alam sekitar.  Tidak seperti kebanyakan negara lain, yang biasanya jalan menuju lapangan terbang dipenuhi dengan kawasan perumahan atau perindustrian. 

Walaupun perjalanan agak sedikit membosankan namun kelincahan Toni yang petang menerangkan serba sedikit tentang kota Frankfurt dan atur cara yang telah disediakan membuatkan kami terhibur.  Sekali-sekala bas kami melintasi padang ragut saujana menghijau dan ladang kentang luas terbentang.

Saya dan anggota rombongan tiba di bandar Usingen tpat jam 9.37 pagi ( menurut rakaman kaset yang saya buat).  Bagi mereka yang telah ditetapkan menginap di Hotel Usingen (Saudara Baha Zain, Dino S.S (Pengarang Kanan Berita Harian/Berita Minggu, Allahyarham), Cikgu Maaruf Mahmud (novelis remaja tersohor,Allahyarham), Fatimah Suryani , Abu Hassan Adam, Syed Salim, Salasiah, dan Reza), sibuk memunggah bagasi masing-masing.  

Saya bersama Dr Abdul Rahman Napiah (mantan Profesor), Profesor Dr Bukhari Lubis, Dr Sufian Hussein dan teman-teman.



Manakala teman-teman yang lain sibuk mundar-mandir mencari sudut sesuai bagi rakaman kamera.  Ketika itu penduduk Usingen dengan pakaian musim dingin yang anggun kelihatan tenang memikat hati kami.  Anehnya , kebanyakan golongan veteran menghuni bandar ini.  Namun rata-ratanya bergaya dengan model terkini serba canggih BMW atau Mercedes Benz.


Setelah selesai menguruskan penginapan kumpulan kedua (saudara T. Alias Taib (Allahyarham), Dr. Zakaria Ali, Dr. Abdul Rahman Napiah atau Mana Sikana, Wahid Kasran, Dr. Haji Bukhari Lubis atau Rizi S.S., Marzuki Ali, Jamaluddin D. (Allahyarham), Rasanubari Asmaramah, Dr. Sufian Hussain, Wahba, Rashid Ahmad dan saya sendiri) di Hotel Arkeden, Gravenwiesbach. Kami semua bertolak ke kota Frankfurt pada jam 10.35 pagi.   Sebelum tiba ,kami menempuh Natrupark, Hochtahus, Saalburg, Bad Homburg, Oberursel, dan beberapa pekan kecil  di pinggir kota. 


Sebenarnya kawasan  luar kota yang kami lalui cukup banyak mencambahkan inspirasi dan kuntuman ilham istimewa bagi golongan penulis.  Dan semasa perjalanan ke Frankfurt sejauh 54 km lagi, Baha Zain berbicara lembut dengan humornya tersendiri memperkenalkan satu persatu anggota rombongan kami yang kurang mengenali secara peribadi dan tentang Malam Kesusateraan Malaysia di Fikenhof keesokannya.  Katanya, di antara kami akan diminta membaca puisi.

Wan Hamzah Awang (WAHBA) pengarang kanan Mastika &Utusan Melayu/Utusan Zaman  bersama Wahid Kasran, saya dan Allahyarham Jamaluddin D.

Kami tiba di kota Frankfurt tempat berlangsungnya Frankfurt International Book Fair sekitar jam 12.50 tengah hari.  Kawasan pesta buku terbesar di dunia ini amat luas.  Jikalau hendak dikunjung secara terperinci setiap gerai yang ada , kurang lebih memakan masa seminggu dua! Selain diadakan pameran buku seluruh dunia daripada pelbagai bahasa, diadakan juga sudut forum, diskusi dan pertemuan antara penerbit buku, pengarang dan pembaca amnya.  Mereka saling bertukar maklumat bagi mempertingkatkan mutu dan daya intelek. Yang melucukan dan menggelisahkan, semua anggota rombongan kami berpecah tanpa disedari dan tidak menemui antara satu sama lain sehinggalah jam 4.30 petang pada waktu dan tempat yang ditetapkan.


Saya (yang sebelum itu merungut kerana keletihan mencari teman-teman) , T. Alias Taib (Tengku yang rajin membelek-belek buku), Dr. Zakaria Ali (yang tertinggal seketika sewaktu asyik berwawasan di sebalik tiang di sebuah kiosk makanan) dan Syed Salim (yang rajin bagai musafir berkelana) tidak menemui rakan-rakan lain di kompleks pesta tersebut lalu  mengambil keputusan berjalan-jalan di pinggir  terminal trem yang kemudian menerima baik keputusan Syed Salim agar membeli tiket berharga enam Deutschemark (DM) seorang bagi menaiki trem yang merentangi jantung kota Frankfurt.


Sebenarnya nilai karcis tersebut boleh digunakan  sehari sama ada menaiki trem , bas awam, LRT atau tube di subway (SU).  Dengan cara ini pengguna tidak perlu bimbang akan tersesat atau tertipu.  di sini apa yang saya perhatikan, tidak kelihatan remaja berpeleseran di mana-mana terminal.  Jauh sekali di pusat-pusat membeli-belah mereka mahu berkeliaran tanpa sebab.  Golongan remaja juga kurang kelihatan di kota ini.  lni menjadi tanda tanya pada hari pertama saya di sini.  Seperkara lagi wajar dipuji ialah tentang kebersihan kota ini yang nampak terserlah.  Agaknya, di dalam diri warga kota ini telah sedia tertanam dispilin sekian lama.


Pada malam pertama saya di Gravenwiesbach  , agak sukar melelepkan mata.  Saya ke bilik Wahid Kasran,wartawan kanan Mingguan Malaysia.  Beliau begitu “sibuk” dengan bekalan mee segera bersama Dr. Mana Sikana, dan Dr. Hj. Bukhari Lubis pun berkeadaan sedemikian.   Mungkin mengalami pelbagai kejutan perubahan cuaca. 


Pada keesokannya kami dibawa dengan koc khas bersiar-siar mengelilingi dan melawat tempat-tempat menarik dan bersejarah di kota Frankfurt dengan lebih dekat.  Antaranya Muzium Dinosour, Johann Walfgang Universitat, dan melihat bangunan-bangunan bersejarah peningglan maharaja silam (bangunan yang telah dibaik pulih akibat serangan  bom Perang Dunia Pertama dan Kedua), munyusuri pesisir Sungai Maine cabang Sungai Rhine yang terkenal itu, mengunjungi beberapa buah toko buku dan melawat bekas kediaman mendiang J.W. Goethe.Terasa syahdu apabila saya betul-betul berada di sungai Maine-Rhine yang pernah saya temui namanya ketika belajar Geografi dan seterusnya menjadi guru Geografi.


Marzuki Ali (aktivis teater) , Abu Hassan Adam ( mantan Pengarah MSD London) , saya dan Rashid Ahmad dari Utusan Malaysia.
Cuaca pagi musim gugur yang dingin menyebabkan baik warga tempatan mahupun para pelancong asing, masing-masing mengenakan pakaian anti dingin dengan pelbagai fesyen yang menawan. Dino S.S. dengan sut jaket labuh yang anggun dan bertopi koboi ala Dallas cukup bergaya sekali.  Dr. Zakaria Ali dengan fesyen kalis salji.  Begitu juga T. Alias Taib yang bagaikan pengintip rahsia 007.  Tidak kurang hebatnya gaya Marzuki Ali, Jamaluddin D., Mana Sikana, dan Wahid Kasran.  Masing-masing menampilkan gaya di jantung kota  Frankfurt yang merupakan salah sebuah kota termaju dan tercanggih di Eropah.


Kami tiba di rumah Goethe jam 9.55 pagi 7 Oktober 1994.  Setiap rakyat Jerman mengenali nama tersebut.  Bahkan nama itu turut dinobatkan di sebuah universiti terkemuka di Frunkfurt.  Sebenarnya Goethe atau nama penuhnya Johnn Wolfgang Von Goethe adalah penyair, novelis, dramawan, dan ahli falsafah terkemuka Jerman.  Beliau lahir di Frankfurt pada 28 Ogos 1749.  Goethe belajar pengajian undang-undang  di Leopzing dan Strassburg.  Keistimewaannya berbagai-bagai termasuk  menulis bidang botani dan biologi. 


Saya berkesempatan melawat seketika rumah kelahirannya yang terletak di tengah kota Frankfurt dan merasakan sedikit cemburu lantaran betapa hebatnya warga Jerman menyanjungi pujangga mereka.  Di rumah ini dikhabarkan mengandungi hasil peninggalan Goethe termasuk karya-karya aslinya yang ditulis tangan masih disimpan rapi.  Sebuah skrip dramanya yang terkenal, Fausti turut dipamerkan. Yang menarik, bilik kerjanya sebagai seorang seniman membangkitkan sesuatu yang nostalgik kepada para pengunjung.


Begitulah Goethe, yang namanya masih harum walaupun telah  meninggal dunia pada 22 Mac 1832 di Wiemer, Saxe namun penduduk Frankfurt khususnya amat menyanjungi beliau.  Sesungguhnya kunjungan saya ke kediaman Goethe mengingatkan saya kepada Allahyarham Syed Sheikh Al-Hadi, Ruhi Hayat (Ahmad Boestamam) , Keris Mas, Pak Sako, Rahim Kajai dan Za’ba ( atau yang terdahulu seperti Tun Seri Lanang dan Abdullah Munsyi) yang telah pergi meninggalkan alam fana tanpa sesuatu yang wajar untuk kita memperingatinya.  Justeru , sewajarnya kita usahakan sesuatu bagi mereka yang pergi buat dikenang zaman berzaman. Dan sesungguhnya kunjungan ke rumah Goethe telah memberi makna yang mendalam kepada saya; apatah lagi sekiranya anda seorang guru atau pensyarah tentu anda berhasrat mahu berkongsi bersama para pelajar anda kelak.



Dan bagi saya Frankfurt terus menuntut kesabaran dan kekuatan iman.  Dan tidak kurang juga memberi pengajaran tidak ternilai tentang makna kepesatan teknologi dan kemelesetan rohani.  Namun demikian sikap menghargi bahasa sendiri amatlah dikagumi. Di mana-mana  kita temui bahasa Jerman terpampang megah, baik di papan slaid iklan di merata-rata jalan, petunjuk arah di terminal trem, bas dan tiub.


Saya juga menemui warga kotanya yang terdiri bukan sahaja berbangsa Jerman bahkan pendatang asing dari Timur Tengah dan Afrika.  Mereka tidak mempedulikan sama sekali sama ada audien faham atau sebaliknya apabila menonton teater atau opera di Jerman.  Yang tersirat, mereka mempunyai nasionalisme dan sudah tersemai patriotisme.  Di sana sini bangunan-bangunan batu sasa yang kukuh berusia beratus-ratus tahun dijaga rapi dan dibaikpulihkan dan dipulihara kembali,sebaik mungkin.

        
Dan di sepanjang Sungai Maine cabang Sungai Rhine yang subur itu,  kami menemui kehebatannya.  Teringat kami Sungai Klang-Gombak di Kuala Lumpur.  Sayu. Ah, alangkah indah andainya Sungai Klang-Gombak diperindahkan sebegini,getus hati saya. Tegasnya, apa yang dapat saya tanggapi: rakyat Jerman amat menghargai nilai sejarah walaupun canggih dengan teknologi terkini.



Sehingga jam 4.30 petang 7 Oktober , rombongan kami pulang ke Usingen dan Gravenwiesbach kecuali saya dan Tengku yang mengambil keputusan akan pergi sendiri berasingan daripada yang lain untuk menghadiri Malam Kesusasteraan Malaysia di Jalan Fikenhof 17 sebelum jam 8.30 malam nanti.  Bagi memanfaatkan masa dan perjalanan ini, kami mengambil kesempatan pada sebelah petangnya menyusuri dari satu jalan ke satu jalan di Hallgarten, Frieddberger Land, Vogelsberg dan Alta Gasse bagi mengenali kota Frankfrut  dengan lebih akrab.  


Dan apabila saya menuruni tangga menuju ke terminal tiub (tube) di subway, barulah saya menemui para remajanya (sekaligus jawapan kepada tanda tanya) yang berkumpul sama ada menanti ketibaan tiub untuk ke detinasi atau bersembang-sembang di kiosk-kiosk.


Saya difahamkan, generasi muda Jerman kini mula bertambah bilangannya yang tahu berbahasa Inggeris.  Apabila saya mengajukan pertanyaan kepada sekumpulan remaja tentang bagaimana mereka berinteraksi sesama mereka, maka salah seorang di antara mereka menjelaskan (dalam bahasa Inggeris) bahawa mereka lebih senang bertemu  dengan teman-teman sebaya di tempat-tempat hiburan yang telah dikhaskan bagi golongan mereka dan menggunakan tiub sebagai pengangkutan utama.  Yang jelas, remaja Frankfurt tidak mudah dilihat “melepak” di tempat-tempat awam.  Mungkin mereka tahu menghargai masa atau bijak menggunakan akal bicara.


Seperti kebanyakan kota besar, Frankfurt juga tidak sunyi daripada pelbagai bentuk kegiatan kesenian.  Bagi bulan Oktober dan November telah sedia disajikan  pelbagai aneka persembahan teater, opera, ballet, cabaret dan okestra daripada pemuzik terkenal seperti Peter Brotzmann, Toshinori Kondo, William Parker dan Hamid Drake. Apatah lagi kegiatan kesenian dan kebudayaan kian rancak berikutan Frankrut International Book Fair yang sedang berlansung.  Dan kedinginan yang menyelubungi kota Frankfurt  tidak mematahkan semangat kami.


Walaupun terpaksa memakai tidak kurang empat lapis pakaian dan menghadapi kejutan cuaca, telah saya perjelaskan tadi bahawa saya dan Tengku mahu memanfaatkan perjalanan ini sebaik mungkin.  Baik di terminal  bas dan trem mahupun di stesen tiub, orang ramai berjejal mengikut haluan masing-masing dengan pantas.  Mereka tidak mahu membuang masa. Anak-anak remaja lebih gemar menggunakan tiub bawah tanah ke destinasi.  Di jalan-jalan raya BMW dan Mercedes bersimpang- siur.  Baik siang ataupun malam, situasi kota Frankfurt tidak jauh bezanya.


Selepas maghrib, saya dan Tengku tergesa-gesa hendak ke Fikenhof.  Kami tidak pasti sama ada mahu menaiki teksi, bas atau tiub.  Toni mengandaikan tambang teksi ke Fikenhof sekitar DM30 (RM50).  Masalahnya kami tidak pasti  arah ke destinasi tersebut. Kami bertanya beberapa orang yang memberi pelbagai saranan sama ada dalam bahasa Inggeris atau Jerman.  Tengku mula gelabah dipagut resah.  Saya cuba mententeramkannya.  Kata putusnya, kami menaiki teksi yang kebetulannya model BMW terbaharu!
Saya dan Allahyarham Tengku Alias Taib

Sepanjang perjalanan, saya dan Tengku mula diselubungi kebimbangan.  Tengku yang duduk di hadapan cuba berkomunikasi mudah.  Yang nyata, pemandu teksi berketurunan Turki itu tidak boleh berbahasa Inggeris.  Pada mulanya, kami berasa lega. Maklumlah mungkin seagama.  Tetapi dugaan kami meleset. Dengan caranya memandunya yang agak membahayakan sambil merepek-repek menyebut…”I love you… I love you…I love you….”  lalu diputarnya kaset lagu-lagu berbahasa Jerman berentak ala padang pasir sambil kedua-dua tangannya mengangkat melepasi stereng dan tubuhnya digoyang-goyangkan menyusuri dari satu lorong ke satu lorong.  Kami mula dihimpit pelbagai sangkaan buruk(“Apakah pemandu ini sex-mania,hetrosexual ?” “Apakah pemandu ini mabuk?” “Apakah pemandu ini pejuang homoseksual?”   “Apakah pemandu ini juga penyamun?” – Sekarang kami berada di sebuah kota di Eropah. Kejadian-kejadian buruk bila-bila masa boleh berlaku. Bukan mustahil.  Dan lebih menggusarkan , pemandu yang mencemaskan itu tanpa sebarang sebab kerap mengherdik kasar.  Jauh di lubuk hati, saya mula membaca ayat Kursi dan beberapa potong doa peninggalan Allahyarham bapa saya.


Dan bagi menghilangkan “ketakutan“ saya yang duduk di belakang turut mencelah menyahut, “Ya … habibi… Ya…. Habibi … ! sambil pura-pura ketawa.  Apalagi semakin ghairah gelagat dan aksinya.  Tidak semena-mena teksi berhenti di sebatang lorong sunyi.  Ah , saya pun berbisik ke arah Tengku menyatakan  beberapa kemungkinan yang akan berlaku.  Saya mula berdebar.  Dengan  kasar disuruhnya segera kami membuka pintu.  Meter tambang cuma menunjukkan DM11! Ini menambahkan curiga dan ketidakpastian kami.  Kami mundar-mandir tetapi bersikap tenang hampir sepuluh minit.


Tiba-tiba dalam lorong yang gelap,sebuah teksi berhenti .  Kedua-dua lampunya betul-betul ke arah saya.  Kerana terperanjat, beg kembara saya terjatuh bersama-sama alat perakam yang tercampak keluar.  Bateri di dalamnya bertaburan.  Hilang.  Dalam samar-samar saya nampak beberapa wajah. Alhamdulillah wajah Melayu; di antaranya wajah Haji Shaari Abdullah, Timbalan Ketua Pengarah DBP ketika itu dan perwakilannya yang terbabit secara langsung dengan pesta buku tersebut.  Syukur, debaran yang mencemaskan betul-betul berada di Jalan Fikenhof 17 tempat berlangsungnya majlis tersebut. Akhirnya saya berjaya menjejaki Fikenhof .Dan kami menyimpan ketenangan sebelum ketibaan rakan-rakan lain.


Sebaik sahaja saya dan Tengku muncul di sebuah restoran terkemuka di Finkhof.  Duta besar Malaysia di Jerman ketika itu Mohamad Amir Jaafar (kini Datuk,telah bersara) dan para kaki tangan kedutaan Malaysia telah sedia menanti kami.  Profesor Dr Muhammad Haji Salleh  yang kelihatan gembira terus berbisik ke arah kami, mempelawa ke Leiden, Belanda.  Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh ketika itu sedang membuat penyelididkan di Lieden, Belanda didatangkan khusus pada malam itu sempena pelancaran kumpulan puisinya Sajak-Sajak Sejarah Melayu (Malaiische Wanderungen) dalam bahasa Jerman di samping karya Sasterawan Negara A. Samad Said, Sungai Mengalir Lesu ( Feuer Uber Dem Flub) . Dan selang beberapa minit kemudian, dewan restoran kian meriah dengan kehadiran rakan-rakan daripada PENA.  Mereka berpandangan di antara satu sama lain kerana kami tiba lebih awal.

Saya bersama para sarjana dan tetamu pada Malam Kesusasteraan Malaysia di Fikenhof, Jerman.

Kami difahamkan firma penerbitan Horlemann yang dimiliki Jurgen Horlemann telah menterjemahkan dan menerbitkan sepuluh karya penulis Indonesia, China dan India termasuk karya Premoedya Ananta Toer, Mochtar Lubis, Armin Pane, W.S Rendra dan Zhang Xiguo ke bahasa Inggeris.  Sayangnya, Jurgen Horlmann tidak dapat hadir kerana keuzuran. 


Dan di majlis tersebut Muhammad Amir Jaafar telah diberi penghormatan melancarkan kedua-dua buku tersebut .Beliau antara lain menyifatkan kejayaan tersebut sebagai suatu petanda dan titik sejarah gemilang buat rakyat Malaysia amnya dan dunia kesusasteraan Melayu khususnya di mata antara bangsa.  Beliau amat bangga dengan usaha murni dan kerjasama yang dikendalikan oleh penerbit Horlemann dan PENA ini.
Saya pernah menyusuri bersantai di sepanjang Sungai Maine ini.
Dan sebaik sahaja majlis pelancaran , SN Muhammad Haji Salleh diberi penghargaan memperkatakan serba sedikit intisari dan latar karya serta proses kreatif penghasilan kumpulan puisinya  Sajak-Sajak Sejarah Melayu .  Muhammad dengan suara gemersiknya kemudiannya memulakan bacaan petikan “ceretera yang keenam belas” (Sechzehntes Buch); antara lain mengungkapkan:

                “Anum, kupilihmu dari seratus dayang istana,
            kerana kau melembutkan suaraku,
            memulakan rindu kepada malam,
            memadamkan marah kepada sultan.
            Anum, kupilihmu dari seratus kampung.”

Bacaan Muhammad itu kemudiannya diterjemahkan ke bahasa Jerman oleh Puan Beate Carle, Isteri Profesor Dr. Rainer Carle sarjana dari Universiti Hamburg yang mencintai kesusasteraan Melayu dengan secara spontan agar mudah difahami audien berbahasa Jerman yang hadir:

           
                ‘Anum , ich wahlie dich aus einhundert Madchen  Madchen des Palastes,
            weil du meine Stimme sanft warden lafst,
            meine Sehnusucht weckst narch der Nacht,
            und meine Wut auf den Sultan besanftigst.
            Anum, ich wahte dich aus einhundert Dorfern”
           
Pendek kata, Malam Kesusteraaan Malaysia turut memberi penghormatan kepada ketua delegasi PENA Baha Zain, yang membentangkan kertas kerjanya berjudul “Malay Literature and the Furture” (Kesusasteraan Melayu dan Masa Depan.”).  Kemudian disusuli ucapan pasangan suami isteri , Renate dan Hansheinrich L┼Źdel memperkatakan tentang pengalaman mereka selama enam bulan menterjemahkan novel SN A. Samad Said, Sungai Mengalir Lesu.  Dan bagi para hadirin khususnya delegasi Malaysia yang hadir pada malam itu, waktu begitu pantas mencecah dinihari. 


Keratan akhbar Utusan Malaysia,16 November 1994 yang melaporkan rakaman kunjungan saya ke Jerman.

Kemesraan yang sedia terjalin di antara kami bagaikan sukar dilerai.  Walaupun di luar suhu dingin namun bahang pemanas udara amat  menyegarkan.  Suasana semakin mesra dengan hidangan makan malam  ala Jerman.  Para hadirin yang terdiri daripada beberapa kakitangan Horlemann, para sarjama beramah mesra dalam bahasa Melayu.  Hal ini cukup membanggakan saya. Mahu saya cerita kepada seluruh warga KPM agar mereka semua tahu dan mengerti betapa tinggi darjatnya bahasa Melayu di bumi Eropah pada malam itu.


Dan di wajah masing-masing terpancar kepuasan dan kebanggaan kerana majlis tersebut mengandungi seribu pengertian.  Sekurang-kurangnya sastera Melayu dan dunianya kian menambat hati orang Jerman.  Apa yang tersurat, kami terpaksa meninggalkan Jalan Fikenhof 17 dengan seribu warna dan semerbak kuntum mewangi. 


Saya dan Tengku turut pulang  bersama bas rombongan PENA menuju Gravenwiesbach yang memakan masa perjalanan hampir dua jam.   Dan sepanjang perjalanan, kisah perjalanan saya yang mendebarkan bersama Tengku  turut menjadi bahan gurauan (bagi mereka yang mengatahuinya) buat menghilangkan keletihan.  Dan pada dinihari yang didakap dingin sepi dibuai malam yang syahdu di Hotel Arkaden , saya lena  dibuai dendangan syair ‘anum yang dipilih dari seratus dayang istana’ dan mimpikan kota Paris yang melambai-lambai kehadiran kami! (oleh Dr Haji Rajiee Hadi @ Syeikh al-Latis)

Hak Cipta Terpelihara dilindungi SKMM

Al-Fatihah:

Kepada para sahabat yang telah kembali ke rahmatullah kita titipkan sedekah bacaan surah al-fatihah, agar mereka semua diampunkan Allah SWT dan dihimpunkan roh mereka dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang beriman dan ahli syurga. (P).