SIASAH:MEWAWANCARAI DR. RAJIEE HADI ISU PPSMI (Siasah , 15-21 Mac 2009)
ISU PPSMI semakin hangat sekarang. Pada 7 Mac lalu perarakan raksasa 100,000 orang ke Istana Negara adalah manifestasi bantahan rakyat terhadap dasar yang akan merugikan bahasa dan bangsa Melayu dalam tempoh jangka panjang. Kepupusan tulisan jawi berlaku selama 30 tahun selepas dihapuskan pembelajaran tulisan itu di sekolah-sekolah. Maka perkara yang sama akan berlaku kepada bahasa Melayu dalam jangka masa 30 tahun lagi. Ramai pihak yang menentang dan yang paling lantang ialah Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) yang diketuai oleh Datuk Dr. Hassan Ahmad, Prof, Dr. Shahrir Mat Zin dan SN Datuk A. Samad Said. Salah sebuah pertubuhan yang membantah PPSMI ialah Persatuan Pengamal Pendidik Malaysia (PPPM/Pendidik) yang ahli-ahlinya terdiri daripada mereka yang memiliki tauliah dan kelayakan ikhtisas dalam bidang pendidikan sama ada yang sedang berkhidmat atau yang sudah bersara. Sehubungan dengan itu SIASAH telah berkesempatan mewancara Presiden Pendidik baru-baru ini iaitu Dr. Rajiee Hadi. | |
SIASAH | Apakah pendirian Persatuan Pendidik dalam isu PPSMI? |
DR. RAJIEE | Persatuan kami berdiri teguh dan menyokong penuh GMP yang gigih memperjuangkan supaya PPSMI dihapuskan. Kita mahu kembalikan pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Melayu sepenuhnya. Ketika menjadi Presiden Kesatuan Kebangsaan Guru Bahasa Melayu Se-Malaysia ( KKGBMS) dahulu, pernahkah kesatuan ini dipanggil untuk membincangkan isu PPSMI ini? KKGBMS ialah sebuah kesatuan sekerja yang mewakili golongan guru. Ianya macam sebuah badan pemikir dalam Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ketika itu. Berbagai-bagai isu yang berkaitan dengan pendidikan di sekolah-sekolah dibincangkan dalam Majlis Permuafakatan Pengurusan Pendidikan KPM ini. Mengenai PPSMI, seingat saya pernah iaitu pada tahun 2002. Pada tahun itu, Dr. Mahathir telah membangkitkan betapa ramainya pegawai diplomatik (PTD) dan pelajar universiti tidak fasih bertutur dalam bahasa Inggeris. Dr. Mahathir tidak senang dengan keadaan itu dan mencadangkan supaya bahasa Inggeris digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik. Kami dipanggil dalam suatu taklimat bagi membicangkan isu PPSMI ini. Pada taklimat itu Ketua Pengarah Pendidikan ketika itu (sekarang Kementerian Pelajaran) Allahyarham Tan Sri Mohd, Rafie Mahat memberitahu bahawa PPSMI merupakan projek percubaan atau perintis selama lima tahun. Sekiranya tidak berjaya maka projek ini akan dibatalkan. Juster, tiada perbincangan serius. Mungkin kerana ianya hanya percubaan. Ia serupa dengan projek Sekolah Bestari. Selama 6 tahun, projek ini ternyata gagal maka kerajaan harus membatalkannya tanpa bersusah payah mengadakan perbincangan meja bulat. Akan tetapi kami dapat merasakan bahawa taklimat itu hanya sebagai memenuhi proses pengurusan dan pentadbiran sahaja. Saya dapat merasakan keputusan sudah diambil untuk melaksanakan PPSMI ini. Pada awal tahun 2002, ketika Kongres Pendidikan Melayu diadakakan, borang-borang kaji selidik sudah diedarkan kepada para peserta. Kesatuan kami membantah pelaksanaan projek ini kerana akan menghadapi permasalahan kekurangan guru-guru yang mahir dan terlatih dalam bahasa Inggeris dan dari aspek ilmu psikolinguistik cara ini bertentangan. |
Pengarah-pengarah Pendidikan yang lain tidak membantah? | |
Saya percaya ramai yang tidak bersetuju termasuk Ketua Pengarah DBP. Oleh kerana mereka ini pegawai kerajaan yang mesti patuh kepada kerajaan dan tertakluk di bawah General Order maka mereka tidak ada keberanian untuk menyuarakan bantahan secara jelas. | |
Apakah diundang golongan akademik, ahli bahasa dan persatuan-persatuan penulis seperti GAPENA dalam perbincangan ini? | |
Pada taklimat itu tidak ada seorang pun golongan akademik, ahli bahasa dan GAPENA. Mereka tidak dipanggil kerana mungkin mereka bukan Ahli Majlis Permuafakatan KPM ini. | |
Adakah selepas taklimat itu mereka dipanggil? | |
Seingat saya tidak ada. Itulah taklimat pertama dan terakhir. Isu sesi taklimat bukan sesi perbincangan atau percambahan pendapat. Sebab itu saya yakin keputusan sudah dibuat terlebih dahulu. Saya tidak ingat ada apa-apa sesi perbincangan pun sebelum dilaksanakan PPSMI ini pada tahun 2003. Mungkin pihak atasan, saya tidak tahu. Tetapi kalau pihak atasan takkan berani mereka menyuarakan bantahan. PM sendiri sudah mula melaksanakan dasar itu. | |
Jadi, jelas bantahan sudah dibuat pada peringkat awal lagi dan tidak pernah diadakan perbincangan dengan para akademik, ahli bahasa dan persatuan penulis? | |
Ya! Tidak ada. Tidak payah pun susah-susah hendak diadakan persidangan meja bulat bagi melaksanakan PPSMI ini. Sekarang ini entah berapa banyak persidangan meja bulat diadakan bagi mengkaji keberkesanan projek PPSMI ini. Saya rasa membuang masa sahaja. Daripada kajian para akademik, professor dalam bidang matematik, bahasa dan pendidikan seperti Prof. Dr. Shahrir Mat Zain, Prof. Abdullah Hassan dan beberapa orang lagi profesor dan pensyarah, jelas menunjukkan bahawa PPSMI ini gagal dalam projek perintisnya. Kalau kajian atau pendapat profesor-profesor ini kita tidak percaya, siapa lagi harus kita percaya? Prof Dr. Shahrir yang pernah belajar di aliran kebangsaan dan mendapat Ph.Dnya di Australia dalam bidang matematik tentu sedia arif. Maaf, kalau hendak dibandingkan dengan Menteri Pelajaran kita, pendapat siapa harus kita terima? | |
Tidak timbullah isu ini tetapi baru ditimbulkan sekarang pula? | |
Perkara ini sudah dibangkitkan pada 2002 lagi. Selepas itu ada suara-suara bantahan daripada pejuang-pejuang bahasa, persatuan-persatuan penulis dan orang Melayu. Bahkan seminar, kongres dan memorandum turut diserahkan kepada pihak berkuasa. Mungkin suara-suara mereka tidak selantang sekarang kerana pada masa itu masih lagi dalam percubaan. Tetapi sekarang sudah 6 tahun, jelas projek ini gagal.Hapuskan sahajalah. Tidak payah lagi nak diadakan meja bulat. Menteri ada kuasa membatalkannya. Lebih lama dibiarkan, akan lebih rumit dan parah lagi. | |
Bagaimana pandangan Dr. terhadap saranan PM minta Menteri Pelajaran atasi segera kemelut ini bagi mengelakkan tercetus masalah yang lebih besar lagi? | |
Ini satu perkembangan yang baik. Ada nada positif dalam saranannya itu. Dalam bahasa politik, ianya suatu bayangan bahawa PM memberi arahan kepada Menteri Pelajaran supaya PPSMI ini dihapuskan segera. Mungkin saya salah, tetapi itu bacaan saya. BN khususnya UMNO mesti mengambil berat isu ini kerana orang Melayu suda mula marah pada kerajaan yang semacam bersikap sambil lewa menangani isu ini. Kekalahan BN/UMNO dalam pilihan raya umum tahun 2008 diikuti oleh pilihan raya kecil di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu adalah juga disebabkan oleh isu ini. Kalau UMNO mahu sokongan Melayu semula, hak dan bahasa kepunyaan orang Melayu ini hendaklah dikembalikan . ingat. SN A. Samad Said juga telah menyarankan, jika PPSMI tidak dimansuhkan, beliau telah meminta pengundi menggunakan kuasa undi mereka dalam mana-mana pilihan raya. Suara Pak Samad tidak boleh diremehkan. Pengaruh beliau sudah menular di kalangan rakyat terutama orang Melayu. Tetapi saya kira isu ini dapat diselesaikan segera kalau PM sendiri mengambil keputusan menghapuskan PPSMI ini. PM juga semacam tidak ada political will dalam menyelesaikan isu ini. PM mesti ada keberanian, kerana projek ini hanya percubaan. Tetapi sekarang ianya mahu terus dikekalkan pula. Pasti ada dalang di sebalik usaha meneruskan PPSMI ini. Jikalau Hishamuddin tanya siapa dalang di sebalik GMP, maka kita juga boleh bertanya siapakah dalang di sebalik usaha mahukan PPSMI ini? Apakah impaknya daripada perhimpunan dan perarakan ajuran GMP pada 7 Mac lalu? Oh! Impaknya besar sekali. Jika tidak ada perhimpunan dan perarakan yang dihadiri lebih 50,000 orang itu, tentu sekalali PM tidak respons dalam masa beberapa jam sahaja pada hari yang sama. Diikuti pula reaksi daripada pelbagai pemimpin UMNO dan menteri, sama ada positif atau negatif, tidak kiralah. Yang jelas ianya mendapat perhatian segera daripada mereka . Seandainya diadakan setakat kongres, seminar, penyerahan memorandum dan laporan polis sahaja, tidak akan memberi bekas. Perhimpunan itu adalah menifestasi rakyat membantah terhadap PPSMI. Itu suara rakyat, itu petanda kemusnahan BN/UMNO terserahlah kepada rakyat memikirkannya. | |
Tapi, pada perhimpunan itu kemuncaknya adalah penyerahan memorandum kepada Yang DiPertuan Agong? | |
Benar…tetapi itu adalah simbolik sahaja. Jikalau penyerahan memorandum itu dilakukan oleh 7 orang wakil GMP sekalipun, impaknya menjadi berita besar, kerana penyerahan memorandum telah biasa dilakukan. Tetapi perhimpunan dan perarakan itulah menunjukkan betapa rakyat sudah mual, jemu, bosan malah marah terhadap sikap sambil lewa Menteri Pelajaran. Sekiranya setakat perhimpunan dalam kawasan Masjid Negara sahaja, tanpa perarakan ke Istana Negara, impaknya juga tidak sama. Yang menjadi berita besar ialah perarakan itu dan serangan gas pemedih mata oleh anggota polis simpanan persekutuan (FRU). Bagaimana dengan tuduhan Hishamuddin bahawa GMP didalangi oleh parti pembangkang. Apa pandangan Dr.? Saya bersetuju dengan padangan Datuk Dr. Hassan Ahmad, Pengerusi GMP bahawa jika ada dalang, tentu ada boneka seperti wayang kulit. Dalang dalam wayang kulit bersembunyi di sebalik tabir. Tetapi pemimpin parti pembangkang seperi Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan yang lain-lain turut bersama-sama memperjuangkan isu ini secara terang-terangan. Itu bukan dalang namanya. Ada ketelusan dan keikhlasan. Mereka tidak sembunyi di sebalik tabir. Datuk Hassan Ahmad seorang ilmuwan dan cendekiawan, tentu sekali dia tidak mudah dijadikan boneka. Tuduhan itu satu penghinaan kepada Datuk Hassan. Tidak adillah. | |
Apa pandangan Dr. seterusnya berkaitan dengan dasar PPSMI ini? | |
Bagi saya dan juga Persatuan Pengamal Pendidikan Malaysia, PPSMI ini wajar dibatalkan sahaja dan dikembalikan kepada dasar sebelum ini. Meneruskan dasar PPSMI akan memberi kesan negatif kepada bahasa dan bangsa Melayu dalam tempoh 30 tahun akan datang. Buktinya tulisan jawi. Bahasa menunjukkan bangsa dan bahasa adalah sebahagian daripada budaya sesuatu bangsa yang membina tamadun bangsa itu.Apa guna jika kita mempertahankan Melayu dan institusi raja jika kita hilang bahasa kebangsaan,bahasa rasmi kita sendiri. Saya teringat kata-kata Tun Syed Nasir salah seorang pejuang bahasa kebangsaan kita yang unggul dahulu yang saya ingat pernah disiarkan dalam majalah Dewan Masyarakat April 1969 yang mana beliau ada menyatakan bahawa ada sesetengah golongan mengemukakan hujah iaitu lebih baik jurusan sains itu diajar terus menerus dalam bahasa Inggeris. Tetapi dalam soal ini hendaklah kita faham sungguh-sungguh, iaitu jika kita lakukan demikian hanya membawa erti bahawa kita semata-mata mengajar pengetahuan sahaja, dengan tidak memberi peluang memajukan bahasa Melayu untuk menjadi bahasa ilmu pengetauan.0leh itu sama-sama kita renung-renungkan dan dijadikan ikhtibar. |
(sumber:Wawancara akhbar SIASAH dengan DR RAJIEE HADI, SIASAH,15-21 Mac 2009/18-24 Rabiuawal 1430,Bilangan 0140)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan