DALAM siri jelajah kembara
saya ke negara-negara dalam Asia yang seterusnya ialah ke destinasi negara
Kemboja (Cambodia) khususnya di Phnom Penh City. Saya begitu teruja apabila
menjejaki Phnom Penh kerana ibu kota ini pernah dikenali sebagai "Mutiara Asia" pada zaman
1920-an dan mempunyai seni bentuk bina Perancis dan Khymer.
Phnom Penh menjadi pusat
perdagangan, politik dan kebudayaan negara Kemboja mempunyai penduduk satu juta
iaitu petempatan yang paling ramai di Kemboja.Bandar ini telah menjadi ibu kota
Kemboja sejak abad ke-15, apabila raja Ponhea Yat memindahkan
pusat pemerintahan Kerajaan Khymer . Saya juga bertemu dengan pekerja
hotel, gadis Melayu Champa yang pernah bekerja beberapa tahun di Kampung
Baharu, Kuala Lumpur.
![]() |
Peta negara Cambodia (Lihat lokasi Tonle Sap, tasik paling besar di Asia) |
Di tengah kota Phnom Penh
berhampiran pasar besar, ada restoran halal milik orang Malaysia, D'Nyonya Penang Restaurant yang mana
pengurusnya anak muda Melayu dari Batu Pahat, Johor. Di restoran ini, kita
boleh menikmati teh tarik tarik, roti canai dan segala aneka mee; termasuk sate
dan lontong cita rasa Malaysia.
![]() |
D'Nyonya Penang Restaurant Phnom Penh. |
Manakala kota Siem Reap di sebelah barat laut yang bersempadan Thailand, Laos, Vietnam dan China adalah kota atau bandar yang paling pesat pertumbuhannya di Kemboja sebagai
kota kecil yang menawan dan tempat persinggahan utama sebelum mengunjungi
candi-candi terkenal (bagi yang bukan lslam) di Angkor. Daya tarikan
Angkor Wat ini menyebabkan Siem Reap telah bangkit menjadi pusat
pelancongan utama dan menjadi kota yang hidup dengan dipenuhi hotel dan
tarikan pelancongan lainnya khususnya dari Barat.
Umat
Islam di Kemboja sekarang kelihatan mulai bangkit selepas dicengkam kekejaman
rejim Pol Pot. Selama empat tahun Kemboja (1975-1979) di bawah pemerintahan
komunis Khmer Rouge pimpinan Pol Pot yang zalim.Beliau dan rejim pimpinannya
bertanggungjawab ke atas pembunuhan kejam kira-kira setengah juta rakyatnya
termasuk Islam dan bukan lslam , golongan dewasa, wanita dan bayi.
Saya
menitiskan air mata menyaksikan sendiri ‘Padang Pembunuhan’ (The Killing
Field). Saya merasakan begitulah kekejaman komunis yang sepatutnya menjadi iktibar
kepada rakyat Malaysia dan di negara-negara sahabat saya di Brunei, lndonesia,
Singapura dan Thailand. untuk bersama-sama bersyukur kerana masih bebas
mengamalkan ajaran Islam secara aman dan damai.Pemerintahan komunis Khmer Rouge
membunuh sesiapa sahaja yang beragama.
Malah dikatakan wujud perkampungan di Kemboja
yang bukan sahaja tiada manusia hidup selepas kemasukan askar Khmer Rouge
bahkan haiwan juga tiada lagi bernyawa kerana semuanya dibunuh kejam oleh
komunis Khmer Rouge. Saya berpeluang melawat lokasi bersejarah seperti
tempat seksaan Toul Sleng (asalnya sekolah terkenal di tengah kota Phnom Penh)
dan padang di pinggir kota Phnom Penh yang dipanggil ‘Killing Field’ (Padang
Pembunuhan).
Pokok bercerita .... pembunuhan kejam ke atas kanak-kanak dan bayi |
Di celah-celah pokok rendang di padang itu
masih tertegak sebatang ‘pohon pembunuh’ yang digunakan askar komunis Phnom
Penh untuk membunuh bayi dan anak kecil tidak berdosa yang menangis tanpa
henti-henti mohon simpati Andai kata pokok itu boleh berbicara, pasti
diceritakan bagaimana askar Khmer Rouge menghayunkan kepala bayi dan anak kecil
ke pokok itu hingga tidak bernyawa.
Saya merasakan pohon tersebut turut menangis
kesedihan kerana kekejaman manusia yang tidak bertimbang rasa.Pohon
menangis bukan suatu yang asing dalam tradisi Islam kerana dalam sirah
Nabawiyah pernah menyebut bagaimana sepohon batang kurma yang pernah dijadikan
tempat Rasulullah S.A.W berkhutbah menangis.
Diriwayatkan daripada Abdullah ibnu Umar: “Suatu ketika
dahulu Nabi Muhammad S.A.W berkhutbah di atas sebatang kurma. Tatkala baginda
membuat mimbar maka baginda telah berpindah ke mimbar itu.Kemudian batang kurma
itu pun menangis (dalam satu riwayat lain, kami mendengar seperti suara unta
menangis).Maka Nabi S.A.W mendatanginya sambil meletakkan tangannya pada batang
kurma itu (untuk menenangkannya).” – (Hadis riwayat Bukhari dan Tirmizi)
Di padang pembunuhan itu, di hadapan ‘pohon pembunuh’ itu
juga bayi dibunuh dengan cara dilambung tinggi di udara lalu dilepaskan
tembakan ke arah mereka oleh askar yang tiada peri kemanusiaan. Bayi tidak
bernyawa itu kemudian disepak dan diterajang ke dalam satu lubang besar yang
menempatkan mayat bayi-bayi yang tidak berdosa itu. Apabila ditanya
kepada penduduk tempatan; mengapakah askar Khmer Rouge sanggup
memperlakukan sedemikian lalu mereka memberitahu askar Kemboja itu amat kejam dan tidak
berhati perut.
Inilah yang dikatakan bagaimana besar pengaruh
sesuatu ideologi terhadap manusia sehingga boleh menjadikan manusia hilang
kewarasan akal apabila ketaksuban menguasai diri. Pemikiran askar itu telah
dirasuk untuk mencapai matlamat ideologi komunis yang kononnya mahu melahirkan
masyarakat sama rata. Lantaran itulah Islam menyeru umatnya supaya bersederhana
dalam setiap perkara kerana itulah yang terbaik.
![]() |
Saya, di sisi Sungai Mekong |
SELAMAT PAGI PHNOM PENH
Mentari di hujung senyuman Mekong
telah lama mengintai derita tanah air
dalam kancah dan pecah penjajah
perang dan berang sesama sendiri
dirimu yang rugi merana di setiap bilah hari
Purnama malam kelmarin kelihatan
di hadapan Royal Palace yang sepi
sesekali anak muda Perancis hilir-mudik
menyusuri warisannya dan meneguk cafe
bangga bertutur bahasanya dengan anak peribumi
angin sendu di Stupa Genosid Memorial
jasad mangsa Choeung Ek dipelihara penuh hormat
kerana angkara algojo Khmer Rouge
kenangan kegelapan suram Him Sophy
boleh didengar di mana-mana setiap masa
kubur 166 ngeri tidak berkepala
kotak gelas tulang dan rumah roh
pokok kekejaman bercerita padang pembunuhan
melingkari sejarah Pol Pot dan konco-konco merahnya
setiap rakyat mewarisi derita sengsara lara
kehilangan bayi, ulama dibunuh seksa, gadis diperkosa
oh! Phnom Penh disemadikan kini dalam kejap udara pagi!
RAJIEE HADI,
Phnom Penh, Cambodia.
6 Jun 2012.
Selepas
saya meneroka setiap pelosok Phnom Penh dan persekitarannya (di timur laut Phnom Penh, ialah wilayah Kampung Cham yang didiami majori lslam Melayu Champa) selama tiga hari,
saya pun bertolak ke sebelah barat lautnya menuju Siem Reap. Saya berada di kota Siem Reap selama
tiga malam empat hari. .Saya dapati di mana-mana sikap rakyat Kemboja
(Cambodia) lebih suka berurusan jual beli dengan Dolar USA ( USD) kerana
mahukan keuntungan. Sebenarnya nasihat saya, bertegaslah gunakan wang Kemboja
(Riel Kemboja). Dengan gunakan Riel kita akan dapat harga yang lebih
menguntungkan dalam urusan jual beli di Kemboja.
Perjalanan
menggunakan jalan darat dengan bas dari Phnom Penh ke Siem Reap sekitar lapan
jam dengan tambang 11,000 riel dengan bas Syarikat Sorya yang agak lambat dan
banyak kerenahnya. Dengan bas syarikat Paramount sekitar USD 5 agak lancar.
Terlalu banyak ragam dan kerenah saya perhatikan gelagat masyarakat Kemboja yang
juga pelbagai etnik; baik dalam bas mahupun sepanjang perjalanan yang saya lihat
di luar bas.
Salah satu warisan seni bina bangunan peninggalan Perancis. |
Ada yang
agak santai buang air kecil sesuka hati di mana-mana. Ada penumpang yang bawa
hasil ternakan ayam dan anak kambing hidup dalam bas.Manakala video dalam bas,
memutarkan lagu-lagu dan tarian tradisi Kemboja. Kebanyakan lagu yang diputarkan
penuh kesyahduan. Walaupun saya tidak faham tetapi dari segi nilai rasa dan
emosi, karya seni tradisi itu banyak menyuarakan suara dan rintihan hati rakyat
Kemboja pada masa lalu yang punah kehilangan akibat perang saudara. Sebagai
seorang peneliti sosiobudaya dan psikologi segala ragam ini saya amati dari
sisi lain.
Saya
bertolak dari Phnom Penh sekitar jam 11 pagi dan sampai kota Siem Reap sekitar
jam 8 malam. Saya sampai di terminal lalu disambut dalam samar kegelapan malam
seorang pemandu teksi beroda tiga (seperti tuttut di Thailand).Walaupun ini
adalah pengalaman pertama saya dan tidak mengenali sesiapapun namun saya hanya
bertawakal kepada Allah.
Mujurlah pengetahuan masa lalu, semasa di alam kanak-kanak dan remaja saya suka kepada subjek geografi/ilmu alam dan sangat gemar menelaah atlas peta dunia membuatkan saya sering berfantasi mahu mengembara seluruh dunia, membuatkan saya bersemangat dan bermotivasi tinggi. Yang lucunya dalam hidup saya, di sekolah saya pernah mendapat anugerah pelajar terbaik bagi subjek Sejarah. Tetapi apabila terpilih mengikuti kursus perguruan saya dipilih untuk mengikuti opsyen Geografi/Ilmu Alam. Lantaran itu, jadilah saya seorang guru geografi buat beberapa tahun.
Mujurlah pengetahuan masa lalu, semasa di alam kanak-kanak dan remaja saya suka kepada subjek geografi/ilmu alam dan sangat gemar menelaah atlas peta dunia membuatkan saya sering berfantasi mahu mengembara seluruh dunia, membuatkan saya bersemangat dan bermotivasi tinggi. Yang lucunya dalam hidup saya, di sekolah saya pernah mendapat anugerah pelajar terbaik bagi subjek Sejarah. Tetapi apabila terpilih mengikuti kursus perguruan saya dipilih untuk mengikuti opsyen Geografi/Ilmu Alam. Lantaran itu, jadilah saya seorang guru geografi buat beberapa tahun.
Saya
terus dibawa ke kota Siem Reap yang perjalanan dari terminal sekitar 20 minit.
Saya bernasib baik mendapat bilik hotel yang sederhana harganya, bersih, ada
sarapan dan di tengah kota.Harga hotel sekitar 2-3 bintang puratanya
antara USD 15 -USD 25 . Manakalah 'guest house' bagi pengembara yang
mementingkan bajet harganya satu malam sekitar USD 2-5 .
Di Siem Riep masjid yang berhampiran bandar terletak di sebuah perkampungan
lslam kira-kira 2km iaitu di Stueng Thmey Village. Saya menjamu
selera di Restoran Muslim Kemboja (Cambodian Muslim Restaurant) milik Encik Yan
Soffy yang boleh bertutur dalam bahasa Melayu dan bahasa lnggeris dengan baik.
Encik Yan Soffy pernah datang dan bekerja di Malaysia semasa zaman mudanya
dahulu.Pelbagai menu termasuk makanan Thai yang sudah sebati dengan selera
orang Malaysia.Restoran dan perkampungan lslam ini (ada kira 350 buah keluarga)
terletak di perkampungan tersebut.
Sebenarnya Siem
Reap merupakan ibu kota lama kerajaan Kemboja purba dan bandar
bagi keluarga diraja. Bandar ini terletak di bahagian barat laut negara dan
merupakan pusat pelancongan dan budaya penting di Kemboja kerana menjadi
pintu masuk menuju kawasan purbakala kota Angkor yang
terkenal. Bandar ini memiliki iklim tropika. Pada tahun 2006, bandar
ini memiliki jumlah penduduk seramai 139,458 orang.Kini tidak mustahil
penduduknya telah bertambah lebih 200,000 orang.
![]() |
Angkor Wat di Siem Reap antara tujuh keajaiban dunia |
Kata Siem Reap bermaksud 'Kekalahan Siam'(kini Thailand) dan merujuk pada permusuhan dan pertumpahan darah selama berabad-abad dan peristiwa yang diperingati dalam ukiran sejarah dan monumen. Nama ini juga dapat diterjemahkan sebagai 'Kegemilangan Siam', kerana selama 500 tahun sebelum peperangan, kota ini menjadi jalan utama dari Kemboja kuno menuju ke Thailand (Negara Siam ketika itu)
Pada 1901 École
Française d'Extrême Orient (EFEO) mula menghubungkaitkan dengan Angkor apabila
beliau mula menerokai kembara ekspedisi memasuki Siam dan Bayon. Pada
1907 Angkor, yang telah direbut daripada Siam dengan paksa, dikembalikan kepada
Kemboja. EFEO bertanggungjawab membersihkan situs purbakala ini daripada
cengkeraman hutan.
Pada tahun yang sama
pelancong pertama tiba di Angkor dan sejumlah 200 orang pelancong yang
tinggal di Angkor selama tiga bulan. Angkor kembali diselamatkan daripada
diselubungi hutan tebal dan mula mendapat perhatian dunia.
Ketika ditemui penjelajah
Perancis pada abad ke-19, Siem Reap hanyalah berupa desa sederhana.Dengan penguasaan
Angkor oleh Perancis pada 1907, Siem Reap mulai berkembang dan menerima
gelombang pelancong pertamanya. Grand Hotel d'Angkordibuka
tahun 1929 dan candi-candi di Angkor menjadi salah satu daya tarik pelancongan
Asia utama hingga akhir 1960-an.
Tokoh terkenal
seperti Charlie Chaplin dan Jackie
Kennedy, adalah mereka yang pernah mengunjungi Angkor. Pada 1975, sebahagian
besar penduduk kota Siem Reap, bersama seluruh penduduk kota lainnya di
Kemboja dianiayai kejam oleh komunis Khmer
Merah yang mana baki penduduknya menyelamatkan diri dan tinggal
di kawasan kampung pedalaman.
Seluruh negara dan rakyat
Kemboja menderita di bawah rejim kejam Khmer Merah sehingga kedatangan misi
keamanan PBB dan
kematian Pol Pot pada 1998 barulah keamanan mulai terserlah dan
membangkitkan industri pelancongan yang sangat penting untuk memulihkan
Kemboja. Justeru setelah sekian lama menyep barulah kinii Siem Reap mulai
bangkit sejak pertengahan 1990-an.
Kini anak Kemboja ramai yang pintar sehingga ada berjaya
melanjutkan pelajaran ke Malaysia. Di sinilah pentingnya kerjasama umat Islam
dalam membantu saudara seagama atas dasar peri kemanusiaan. Inilah sumbangan
kerajaan Malaysia memberi pendidikan kepada umat Islam di negara penganut
Islamnya minoriti.
Bagaimanapun di sebalik kedaifan itu kini ramai anak
Kemboja berjaya bangkit daripada kesan kancah api perang saudara dan mula
bersaing sesama mereka untuk merebut kejayaan dalam kehidupan. Yang
membanggakan rakyat Muslim Kemboja ada yang sudah berjaya menjawat
jawatan Timbalan Menteri, wakil rakyat, ada juga menjadi usahawan
berjaya.
oleh Dr Haji Rajiee Hadi @ Syeikh Al-Latis
Teks, Foto & Puisi Hakcipta Rajiee Hadi. Hakcipta Terpelihara SKMM.
oleh Dr Haji Rajiee Hadi @ Syeikh Al-Latis
Teks, Foto & Puisi Hakcipta Rajiee Hadi. Hakcipta Terpelihara SKMM.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan