HAJI DR. RAJIEE HADI

HAJI DR. RAJIEE HADI
SERIBU WARNA SERIBU MAKNA

19 Mei 2012

IKHTISAS KEGURUAN


PERSATUAN Pengamal Pendidikan Malaysia (PENDIDIK) menyambut baik cadangan Kementerian Pelajaran Malaysia yang mahu mengkaji cadangan supaya setiap guru di negara ini perlu memiliki lesen keguruan oleh sebuah organisasi profesional seperti yang perlu dimiliki oleh doktor atau peguam.

Sehubungan itu pihak PENDIDIK bersetuju pandangan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zakarshi bahawa dengan adanya lesen ia merupakan salah satu kaedah bagi mengekalkan integriti, imej dan martabat guru di negara ini dalam memastikan orang ramai tidak hilang kepercayaan kepada golongan tersebut.

Namun pihak persatuan suka mengingatkan bahawa kaedah seperti lesen ini pernah dipraktikkan oleh Kementerian Pelajaran sebelum era 1980- an yang mana setiap guru terlatih yang baru ditempatkan mengajar di sesebuah sekolah diwajibkan mendaftar dan memohon buku pendaftaran sebagai guru terlatih daripada Pendaftar Sekolah-Sekolah Kementerian Pelajaran.

Dengan memiliki buku pendaftaran yang bagaikan seperti lesen guru-guru tersebut secara rasmi diterima sebagai pegawai perkhidmatan pendidikan/pelajaran.

Buku pendaftaran yang diperbaharui setiap tahun itu juga berfungsi bagi membatalkan atau menggantungkan lesen mengajar seseorang penjawat itu.

Soalnya, adakah prosedur ini masih dipraktikkan? Jika tidak dipraktikkan mengapa dimansuhkan?

Bagaimanapun persatuan berpandangan bahawa apa yang penting seseorang guru itu wajib memiliki kelulusan ikhtisas dalam bidang keguruan sama ada di peringkat sijil, diploma atau sarjana muda pendidikan. Memiliki kelulusan ikhtisas dalam bidang pendidikan adalah kriteria wajib bagi memperoleh lesen mengajar. Justeru sudah tiba masanya kaedah ini diperluaskan juga di sekolah-sekolah persendirian dan kelas-kelas tiusyen. Dengan ini profesion keguruan tidak sewenang-wenangnya disandang oleh guru sandaran/sementara/gantian.

Seperti mana profesion kedoktoran atau guaman yang tidak ada ada label sandaran, sementara atau gantian maka pihak persatuan berpendapat sudah tiba masanya Kementerian Pelajaran bertegas dalam soal ini demi memartabatkan profesion keguruan agar terus dihormati oleh masyarakat sepanjang masa.(sumber: Persatuan Pengamal Pendidikan Ulas Lesen GuruUM, 27/05/10)

DR. RAJIEE HADI
Presiden

Tiada ulasan:

Catat Ulasan