SECARA professional,kerjaya guru berkait rapat dengan konsep pendekatan pengajaran - pembelajaran (p-p) bagi mencapai matlamat p - p dengan berkesan. Kamus Dewan (2010) menjelaskan bahawa pendekatan bermaksud perihal , mendekati atau mendekatkan bagi memulakan dan melaksanakan tugas. Dalam pengertian yang lebih luas, pendekatan juga boleh diertikan sebagai to come near to in any sense atau jalan yang diambil untuk melakukan sesuatu dengan arah atau hala yang diambil untuk menuju sesuatu sasaran.
Memandangkan pendekatan penting bagi mencapai semaksimum mungkin objektif p-p maka guru yang sentiasa kreatif kerapkali berusaha mengaplikasikan berbagai-bagai pendekatan bagi menambat minat dan hati pelajar terhadap pelajaran.
Justeru, dengan pendekatan humanistik yang menekankan kasih sayang dan mengutamakan aktualisasi kendiri maka guru sentiasa merujuk kepada motivasi manusia untuk menggunakan potensi pelajar sepenuhnya.Apatah lagi pendekatan yang berpaksikan kasih sayang mengutamakan kepercayaan dan potensi semula jadi dan memperakui pengalaman unik setiap individu.
Kendatipun ada segelintir masyarakat beranggapan guru kini mula terhakis nilai-nilai kasih sayangnya lantaran tempias materialisme namun masih belum terlambat lagi andainya golongan pendidik/guru berusaha mengubah persepsi tersebut dengan jujur,telus dan ikhlas.
Walau bagaimanapun sistem pendidikan tidak boleh dipersalahkan disebabkan sikap guru yang hanya bertindak sebagai pengajar bukan pendidik yang hanya menyampaikan maklumat mengenai mata pelajaran yang dipertanggungjawabkan ke atasnya sahaja.
0leh yang demikian pendekatan bertunjangkan kasih sayang guru terhadap pelajar dalam konteks p-p bilik darjah dan aktiviti kokurikulum meliputi:
1. Guru sentiasa kreatif dan inovatif mewujudkan suasana ceria yang sesuai dengan bahasa badan, komunikasi lisan , komunikasi bertulis, komunikasi isyarat yang pelbagai seperti: menggunakan kata-kata sapaan yang lebih bersopan jika memberi teguran; contoh perkataan: jahat kepada nakal, menggunakan isyarat ibu jari tangan bukan jari telunjuk bagi menunjukkan arah atau sesuatu, tidak mencebikkan bibir atau membeliakkan mata dan tidak menghamburkan kata-kata jelek yang mana boleh menggambarkan emosi guru tidak stabil dan kurang bijaksana.
- Guru sentiasa memberi semangat kepada pelajar sama ada yang lemah mahupun yang berpotensi kerana setiap pelajar mempunyai potensi diri tersendiri, kemahiran dan kelebihan masing-masing.
- Guru memberikan ganjaran seperti kata-kata pujian kepada pelajar secara berterusan demi meningkatkan keyakinan minda dan kebolehpercayaan diri terhadap guru dan mata pelajaran yang dipelajari. Contoh perkataan:
”kamu bijak”, ”kamu cerdik”, ”tahniah kamu berjaya”, ”jawapan kamu betul cuma belum lengkap” dan sebagainya.
- Guru menunjukkan kesungguhan dan keikhlasan terhadap pelajarnya dengan menyediakan bahan bantu mengajar supaya menarik minat pelajar meningkatkan motivasi dan memudahkan proses p-p. Dengan ini pelajar merasakan dirinya disayangi, dihargai dan diberi perhatian tanpa adanya perbezaan kasih sayang. Dengan ini dapat mengelakkkan pelajar mengambil kesempatan bertemu kaunselor sekolah pada masa guru atau mata pelajaran yang kurang diminati.
- Guru bersikap terbuka dan profesional kerana sedia menerima teguran atau cadangan positif sama ada daripada rakan sejawat mahupun pelajar demi kecemerlangan proses p-p.
- Guru sentiasa memberi peluang para pelajar menunjukkan bakat dan kepemimpinan dalam aktiviti kokurikulum tanpa prasangka. Dengan ini setiap pelajar akan berasa diri mereka dihargai dan disayangi.
Kesimpulannya guru perlu melengkapkan pujian dengan fitur paralinguistik, iaitu isyarat bukan bahasa yang mengiringi pertuturan seperti senyuman, bermuka manis dan sentuhan tangan yang tidak melanggar batas-batas agama,etika dan budaya. Suara lembut tapi tegas dan berhemah menunjukkan kasih sayang dan intonasi girang guru. Dengan kasih sayang guru dalam p-p ini diharapkan mencapai matlamat untuk mempengaruhi pelajar dari segi budaya, pemikiran dan tingkah laku ke arah kecemerlangan emosi,jasmani, rohani dan intelek.
Sesungguhnya matlamat wawasan pendidikan itu sendiri adalah usaha budaya penyayang yang merealisasikan matlamat masyarakat prihatin dan penyayang . 0leh itu usaha golongan pendidik menggembleng tenaga mendukung dan mencapai lunas-lunas tersebut adalah usaha yang murni dan disanjungi.(sumber: Dr Rajiee Hadi, majalah PENDIDIK, Oktober, 2010)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan