HAJI DR. RAJIEE HADI

HAJI DR. RAJIEE HADI
SERIBU WARNA SERIBU MAKNA

8 Ogos 2011

KOMUNIKASI TUNJANG UTAMA KSSR

TRANSFORMASI  kurikulum persekolahan merupakan usaha menyusun semula dan menambah baik kurikulum sedia ada bagi memastikan murid dibekalkan dengan pengetahuan, kemahiran dan nilai yang relevan dengan keperluan semasa bagi menghadapi cabaran abad ke -21. Dalam proses transformasi kurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia telah membuat penandaarasan  dengan kurikulum negara  maju bagi memastikan kurikulum persekolahan kebangsaan setanding dengan pendidikan global.

Melalui transformasi kurikulum ini Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah ( KBSR) diperkukuh serta ditambah baik dan dikenali sebagai Kurikulum Standard Sekolah Rendah ( KSSR) yang mula dilaksanakan secara berperingkat mulai 2011 ini.


 Justeru  berlandaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan mengekalkan prinsip KBSR maka penambahbaikan dilakukan kepada reka bentuk, organisasi, pedagogi, penegasan kurikulum, peruntukan masa dan pengurusan kurikulum untuk membangunkan KSSR yang antara lain tunjangnya ialah aspek pengukuhan kemahiran komunikasi.


Bagi mengukuhkan kemahiran komunikasi, sandaran adalah berdasarkan teori psikologi pengajaran bahasa yang mana aktiviti pengajaran dan pembelajaran (P&P) lisan mestilah diutamakan sebelum mengajar aspek kemahiran bacaan dan penulisan. Kemahiran dalam lisan memainkan peranan penting dalam penguasaan bahasa para pelajar. Apatah lagi dari sudut psikolinguistik wujudnya perhubungan antara bahasa dengan pemikiran. Pemikiran melibatkan simbol tertentu. Kebiasannya simbol ini ialah lambang-lambang pertuturan tertentu yang merupakan perkataan. Maksudnya jika murid tidak dapat menguasai perbendaharaan kata yang luas maka mereka tidak dapat berfikir dengan jelas.

Oleh itu bersandarkan lisan adalah kemahiran asas bagi bahasa pertama yang dikuasai oleh murid normal.  Sebelum mempelajari kemahiran membaca dan menulis khususnya murid Tahun Satu di semua sekolah rendah seluruh negara wajar diberikan penekanan utama dalam kemahiran komunikasi lisan KSSR. Sementelahan pula kurikulum ini berpaksikan kepada prinsip pendekatan bersepadu, perkembangan individu secara menyeluruh, pendidikan yang sama untuk
semua murid dan berkonsepkan pendidikan seumur hidup.

Dalam komunikasi, penggabungjalinan kemahiran bahasa secara lisan dan bukan lisan semasa berinteraksi menjadi keutamaan guru ketika proses P&P berlangsung dalam bilik darjah. Sehubungan dengan ini guru sewajarnya berupaya menyampaikan isi pelajaran, pengetahuan, idea, maklumat, nasihat dan tunjuk ajar kepada murid dengan tepat tanpa menimbulkan salah faham, kekeliruan dan kekaburan.Yang nyata, sudah semestinya guru itu menggunakan bahasa yang betul, sesuai dan sempurna tatabahasanya.

Ketika kemahiran lisan difokuskan oleh guru dalam P&P, aspek kemahiran mendengar dan bertutur hendaklah diberikan penekanan utama. Dalam kemahiran mendengar guru hendaklah sentiasa memastikan apa yang murid faham dan ingat dengan melalui latihan-latihan khas yang dilakukan secara berperingkat-peringkat. Manakala kemahiran bertutur ialah aktiviti melafazkan bunyi-bunyi yang dihasilkan daripada artikulator manusia dan merupakan kemahiran interaksi dalam suasana berbahasa.

Dalam hal ini aspek asas seperti sebutan, tekanan, mora (panjang-pendek),jeda (persendian), intonasi, nada, tatabahasa, kelancaran, kefasihan dan laras bahasa wajar diberikan penekanan oleh guru khususnya guru bahasa. Dalam erti kata lain, aktiviti lisan seperti perbualan, bercerita, lakonan, berpuisi, melaporkan berita, menyanyi, bacaan bersuara/lantang, bercakap berdasarkan gambar, perbincangan adalah aktiviti yang membolehkan murid mengamalkan bahasa dalam bidang komunikasi yang  mana paling hampir dengan kehidupan seharian mereka.

Kesimpulannya aspek komunikasi yang menjadi salah satu tunjang utama KSSR adalah wadah penting dalam transformasi pendidikan ini. Apatah lagi komunikasi ialah proses penyampian maklumat daripada satu pihak kepada satu pihak lain. Keberkesanannya bergantung kepada maklum balas dan seterusnya tindak balas antara guru-murid. Apa yang diharapkan komunikasi yang berkesan juga akan dapat mengubah cara berfikir individu terutamanya dalam perlakuan dan tindak-tanduk seseorang. Dengan ini natijahnya  akan memberikan impak positif dan menggalakkan penglibatan murid-murid secara aktif dan dinamik.
(Sumber :Dr Rajiee Hadi,  majalah Pendidik , Januari 2011)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan