HAJI DR. RAJIEE HADI

HAJI DR. RAJIEE HADI
SERIBU WARNA SERIBU MAKNA

6 Februari 2016

DARIPADA GURU MENJADI PENSYARAH


APA yang saya ingat, saya telah terpilih untuk menghadiri sesi temuduga bagi pemilihan  pensyarah maktab-maktab perguruan Malaysia KPM pada tahun 1991. Ketika itu BPG terletak di Jalan Pudu, Kuala Lumpur. Seingat saya, antara pegawai-pegawai kanan BPG yang sedang berkhidmat ketika itu ialah Datuk Dr lsa Ramli, Datuk Mahfor Baba, Dr Hanafi Kamal dan Haji Omardin Ashaari.Saya tidak pasti, adakah Encik Dawam Kahat yang pernah mengajar saya di MPB dahulu telah berpindah ke situ.

Dalam temuduga itu; yang mana sesi pertanyaan banyak menyentuh tentang penglibatan saya dalam kokurikulum, penglibatan saya dalam dunia penulisan dan ada juga menyentuh beberapa aspek pedagogi bahasa serta metodologi pengajaran.Alhamdulilah, saya dapat bersoal jawab dengan penuh tertib dan yakin. Pihak panel temuduga ada bertanyakan, adakah saya sanggup ditempatkan di Sabah atau Sarawak. Jauh di lubuk nurani saya seakan-akan senyum sinis teringatkan mengapa Zaid dan Rosman yang bersepupu saudara  masih bujang dan rakan sekuliah dengan saya semasa di universiti dahulu mendapat tempat sebagai pensyarah di Maktab Perguruan Perempuan,Durian Daun,Melaka? Adakah saya boleh terima telahan rakan-rakan lain yang mengatakan bahawa mereka mempunyai kabel kuat di KPM?

Tersenyum pendek saya apabila teringatkan Sabah atau Sarawak ketika saya rela ke sana apabila tamat kursus perguruan asas di MPB lebih sepuluh tahun yang lalu.Saya Cuma menjawab ringkas, “Jika dapat, pihak tuan dapat tempatkan saya di lnstitut Bahasa (setelah ditukarkan nama  daripada MPB). “Mengapa?” Tanya salah seorang panel.
“Saya minat ke IB. Saya bekas pelajar situ”,jawab saya ringkas penuh mengharap.Tanpa memandang wajah saya, anggota panel yang bertanya saya terus mencelah,” Jika kamu hendak di Semenanjung…MPSI ada kosong..”.

MPSI ialah Maktab Perguruan Sultan ldris (dahulu dikenali SITC)di Tanjung Malim,Perak.Saya masih ingat, MPSI ialah salah sebuah maktab yang menjadi saingan maktab saya MPB ketika PESTARAMA 1977 (Pesta Antara Maktab Perguruan)yang mana diadakan pertandingan bidang kesenian seperti drama teater, tarian, band muzik dan nyanyian. MPSI terkenal dengan teater ‘Jin Bersaudara’ yang menjadi saingan sengit dengan ‘Hari Jadi Nona’ teater persembahan MPB.Saya berasa amat seronok ketika itu. Terasa berat hati mahu pulang ke rumah sewa saya yang terletak di tingkat dua di deretan  rumah kedai di Jalan Bangsar berhadapan Taman Ghazali Shafie (sekarang sudah tidak wujud) berdekatan Jalan Riong yang bersebelahan bangunan The New Strait Times Press.

Dalam temuduga tersebut saya tidak dapat memutuskan bahawa saya bersetuju menerima tawaran ke MPSI .Jauh di sudut hati kecil saya masih mengharapkan ditempatkan di MPB atau lB.Saya dimaklumkan, jika saya mahu ke MPSI, saya hendaklah memaklumkan kepada BPG seberapa segera mungkin. Sebagaimana yang sedia maklum, saya dan ahli keluarga saya kesemuanya berasal dari selatan tanah air. Bagi saya ketika usia begini dan bilangan anak telah bertambah empat orang, biarlah destinasi Kuala Lumpur menjadi kemuncak kerjaya saya. Pada ketika itu saya telah pun berkhidmat sebagai guru di Johor, Negeri Sembilan, Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Selepas dua bulan saya ditemuduga, saya dan keluarga telah meninjau kampus MPSI dan bandar (sebelum itu dikenali ‘pekan’) Tanjung Malim,Perak. Saya dan keluarga cuba membayangkan apakah kami boleh berhijrah untuk bersemenda di sini. Ketika itu harga barangan keperluan harian dan sara diri di bandar tersebut berada pada tahap sederhana. Dalam ayat lain; tidaklah semahal Kuala Lumpur atau tidaklah menghadapi persaingan seperti di Serdang atau Seri Kembangan ataupun di Bandar Baru Bangi yang terletak dalam negeri Selangor Darul Ehsan.

Saya tidak mahu mengenangkan kekecewaan saya pada tahun 1993, apabila saya mendapat berita rakan semaktab saya (MPB) Omar Mamat yang menjadi junior saya di Universiti Pertanian Malaysia, Serdang (UPM, sekarang Universiti Putra Malaysia)mendapat tempat sebagai pensyarah di IB. Saya yakin tentu En Dawam Kahat yang khabarnya menjadi Ketua Jabatan di Maktab Tentera DiRaja (MTD/RMC),Sungai Besi tempat Omar Mamat bertugas turut membantunya. Saya yang telah menolak penempatan pertukaran saya pada tahun 1989 dari Sekolah Menengah Datuk Mohd.Said, Nilai, Negeri Sembilan (SMDMS) ke MTD tentu ‘malu’ menemui Encik Dawam Kahat. Sebenarnya, pada masa dan tahun yang sama Bahagian Sekolah Berasrama Penuh (SBP) KPM telah ‘memilih’ saya untuk ditempatkan berkhidmat di Sekolah Menengah Sains Selangor (SMSS), Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur.0leh kerana itulah saya terpaksa menolak tawaran ke MTD. Jika tidak, sedikit sebanyak kehidupan tentera yang pernah saya idam-idamkan semasa di bangku  sekolah tingkatan dua dahulu tentu turut mempengaruhi hidup saya.

Dan bertambah kecewa lagi walaupun tidak ke tahap amarah hati apabila mendapat berita bekas sahabat sekuliah saya semasa menuntut ijazah pertama di UPM, Serdang iaitu Ali Mahmood (kini Dr Ali Mahmood, mantan Timbalan Pengarah IPGM Kampus Bahasa Melayu atau IB) dan Supian Mohd.Nor (Dr) turut juga mendapat tempat sebagai pensyarah di IB pada tahun 1993 (tidak pasti).Saya yang ketika itu telah bertukar dari Sekolah Menengah Taman Desa, Kuala Lumpur ke Sekolah Menengah Sungai Besi (SMSB), Kuala Lumpur berhampiran kem Sungai Besi telah mula sibuk dan aktif dalam sebuah kesatuan guru di Wilayah Persekutuan,Kuala Lumpur.

Saya telah memegang jawatan  Naib Presiden dan kemudian Timbalan Presiden Kesatuan Kebangsaan Guru Bahasa Malaysia, Malaysia Barat (KKGBMMB). Sebagai rekod,lima tahun kemudian kesatuan ini bertukar nama kepada ‘Kesatuan Kebangsaan Guru Bahasa Melayu Se-Malaysia (KKGBMS)’ yang mana saya sebagai presidennya.Di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, saya pernah dilantik beberapa tahun sebagai ahli jawatankuasa pengelola Hari Guru peringkat Kuala Lumpur.Yang membanggakan ,Encik Abdul Ghafar Mahmud (kini mantanTan Sri Ketua Pengarah Pelajaran KPM) yang berkhidmat di Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan (JPWP) Kuala Lumpur turut menganggotai jawatankuasa perayaan hari guru peringkat JPWP bersama-sama saya, Haji Karim Abdullah (Tokoh Guru Kebangsaan 2002),Chan Seng Choy, Haji Hambali, Haji Othman,Zulkefli, Bing Selamat dan lain-lain.   

Saya diundang mendeklamasikan puisi khas Hari Guru dua tahun berturut-turut  di Dewan Kampo Rajo, Pusat Belia Antarabangsa Cheras, Kuala Lumpur dan di Dewan Pusat lslam, Jabatan Agama lslam (JAWI),Kuala Lumpur.Kemungkinan kerana kesibukan dan ‘keasyikan’ tugas luar, saya telah terlepas pandang pasal MPB atau lB.Saya juga terus terlupa bahawa MPI telah dibuka dengan rasminya pada tahun 1991 di kampus baharunya di Jalan Maktab berhampiran Kampung Sungai Merab Luar, Dengkil dalam daerah Sepang. Tetapi MPI lebih dirujukkan lebih hampir dengan Bandar Baru Bangi dalam  Kajang daerah Hulu Langat,Selangor.

Pada pertengahan tahun 1992, bertempat di Dewan Mesyuarat  Masjid Negeri, Seremban,Negeri Sembilan, saya, Mana Sikana (Dr Abdul Rahman Napiah, mantan Profesor Madya UKM), Ustaz Haji Abu Bakar  Lebai Mat yang ketika itu Pengetua Sekolah Menengah Agama Persekutuan,Labu,Negeri Sembilan (SMAP)dan beberapa sahabat penulis yang berorientasikan lslam telah menubuhkan jawatankuasa penaja ‘Persatuan Sasterawan lslam Malaysia ‘. Saya telah dilantik sebagai Penolong Setiausaha jawatankuasa penaja. Sementara menanti proses pendaftaran di pejabat pendaftaran pertubuhan (ROS) saya dan AJK penaja telah beberapa kali mengadakan mesyuarat di dewan mesyuarat masjid tersebut. Di sinilah saya mengenali rapat Ustaz Abu Bakar Lebai Mat.

Pada tahun 1994, barulah saya mengetahui bahawa Ustaz Abu Bakar telah beberapa tahun bertukar dari SMAP Labu ke MPI, Bangi sebagai sebagai pengetua yang baru.Sebenarnya semasa saya bertugas di SMDMS,Nilai 1987-88, saya telah pun mengenali  beliau dari jauh sebagai rakan jiran sekolah saya. Saya mengenali Penolong Kanan SMAP Labu seperti Cikgu Jaafar Abdullah dan Ustaz Naim kerana saya pernah bermesyuarat sebagai Ketua Panitia BM/KM di SMDMS bersama Cikgu Mohamad Rohani,Ketua Panitia BM  di SMAP Labu dan guru-guru lain.

Dalam suatu pertemuan mesyuarat  AJK penaja persatuan, saya sempat menyuarakan hasrat saya mahu berkhidmat sebagai pensyarah maktab perguruan. Kebetulan MPI,Bangi tidak jauh dari rumah saya di  Taman Kembangsari, Seri Kembangan,Serdang.MPSI dan IB telah mengaburkan peluang saya. Saya pasrah bahawa semuanya itu ada hikmahnya.

Tanpa saya menduga, suatu hari pada bulan Februari 1995, kerani perjawatan SMSB telah menyerahkan surat tawaran pensyarah maktab perguruan dan penyataan berhubung perpindahan saya dari Bahagian Sekolah- Sekolah (BSS) ke Bahagian Pendidikan Guru (BPG)KPM yang berkuat kuasa mulai…………………………..

Bermula daripada episod tarikh keramat tersebutlah saya menjalani perkhidmatan yang paling lama dalam perkhidmatan pendidikan di MPI bermula  Haji Abu Bakar Lebai Mat yang cuma sempat saya membantu perpindahannya di banglo pengetua MPI ke Kedah (kerana bersara wajib pada Februari 1995), kemudian  ke era pengetua MPI disandang oleh Haji Abdul Rahman Halim, Dato’ Mohd.Yusof Ahmad dan Haji Shuib Arshad.Semasa di hujung perkhidmatan saya di MPI pada tahun 2005, pengetua ketika itu Haji Shuib Arshad yang datang daripada pengetua sekolah dan tidak mempunyai sebarang pengalaman pun sebagai pensyarah maktab perguruan.

Sebagai Ketua Pentadbir di maktab perguruan dan tidak mempunyai secebis pengalaman pun sebagai pensyarah maktab perguruan, sedikit sebanyak memberi impak terhadap aspek hubungan komunikasi yang berkaitan dengan kurikulum dan fungsi istitut latihan perguruan itu. Saya rasa isu ini pasti dalam makluman BPG jua.Sebagai contoh, selama saya berada dan bertugas di MPI selama sepuluh tahun, tidak sekali pun pegawai penilai pertama dan penilai kedua yang bersua muka dan berbincang dengan saya untuk memberikan markah penilaian prestasi tahunan.

Ketika saya berada di dalam dan di luar MPI, saya terima banyak aduan sama ada melalui percakapan tidak formal mahupun menerusi persatuan dan kesatuan guru sama ada semasa lalu mahupun hingga kini, tentang rasa tidak puas hati warga pendidikan terutama di kalangan guru-guru atau pegawai perkhidmatan pendidikan; baik yang bertugas di sekolah-sekolah, maktab-maktab perguruan (kini lnstitut Pendidikan Guru Malaysia/IPGM) dan pejabat-pejabat pendidikan daerah.

Dalam memoir/catatan ini saya tidaklah mahu menyentuh selok-belok di kementerian-kementerian lain. Tetapi memadailah bahagian-bahagian di Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).ltupun bukan semua aspek; sekadar secebis atau sekelumit isu ketidakpuasan hati para penjawat ini.

Rata-ratanya menzahirkan rasa tidak puas hati ketka itu; bukan sahaja dalam kalangan mereka yang sedang berkhidmat atau mengajar tetapi ramai juga yang berstatus mulia sebagai pesara kerajaan Malaysia; meliputi mereka yang bersara wajib dan bersara pilihan kerana kelayakan dan hak-hak mereka yang tidak boleh dipertikaikan sesiapapun.

Ketidakpuasan ini bagaikan rumah siap pahat berbunyi.Walaupun kini situasi dan peluang kenaikan pangkat amat cerah dalam KPM kerana 'sesiapa yang rasakan dirinya layak boleh memohon sendiri' adalah adil dan bijak pada era Menteri Pelajaran merangkap Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Mahyuddin Mohd.Yassin  (kini mantan TPM) ;tetapi kisah-kisah masa lalu wajar saya catatkan agar menjadi peringatan untuk generasi pendidik hari ini dan masa akan datang.

Semua pihak menyedari bahawa melalui beberapa skim/sistem yang diperkenalkan oleh kerajaan masa lalu seperti Sistem Saraan baru (SSB) dan Sistem Saraan Malaysia (SSM) pada idea asalnya baik dan ada beberapa yang boleh diterima pakai. Tetapi yang menjadi permasalahan pokok ialah pada peringkat perlaksanaannya.

Tanyalah guru-guru di sekolah atau pensyarah-pensyarah di mana-mana IPGM rata-ratanya (tidak semua) tidak berpuas hati dengan markah prestasi yang diperolehi, pemilihan kuota yang menimbulkan ketidakadilan dan kronisme yang diamalkan.Walaupun ini bukan tuduhan tetapi saya cuma terima reaksi yang menzahirkan sedemikian.

Walaupun begitu saya cuma mahu bertanya; apakah pihak ketua pejabat atau jabatan seperti Pengarah atau Pengetua ataupun Guru Besar dan Timbalan atau Penolongnya benar-benar mematuhi prosedur yang ditetapkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) ketika melaksanakan memberi markah dan penilaian ke atas maklumat/borang Sasaran Kerja Tahunan (SKT) yang menetukan prestasi penjawat di bawahnya?

Maksudnya adakah Penilai Pertama, Penilai Kedua atau sesiapa yang telah dipertanggungjawabkan berjumpa,bersemuka dan berbincang dengan stiap staf ketika markah prestasi diberikan agar pihak/individu yang dinilai itu bersetuju?

Sebenarnya pertemuan bersemuka adalah salah satu prosedur telus dalam pemberian markah. Jika penjawat atau guru yang dinilai itu bersetuju atau tidak bersetuju adalah tidak salah mereka memberi sebab dan alasan-alasan konkrit yang mana akhirnya mereka boleh bersetuju atau menolaknya.Soalnya; adakah prosedur seperti ini ada dilakukan?

Saya tidak menafikan, tidak semua Ketua Jabatan bersikap semborono atau tangkap muat sahaja. Namun sikap ambil mudah dan lepas tangan ini bukanlah mustahil ada terjadi.Yang mendukacitakan,implikasi dan impak ketua atau penolong ketua seperti ini yang bersikap 'tutup sebelah mata' adalah umpama parasit yang menjahanamkan sesuatu sistem dalam sesebuah organisasi.

Walhal tujuan kerajaan; khususnya Kementerian Pelajaran/Pendidikan Malaysia adalah baik dan murni., namun ada juga segelintir warga KPM pada masa lalu yang iri hati, dengki dan cemburu sesama sendiri. Natijahnya siapakah yang rugi jika ada di kalangan warga KPM khususnya di sekolah dan IPGM yang hilang keyakinan dan hilang kepercayaan yang mana menjejaskan prestasi kerjaya mereka?

Justeru saya menyeru  kepada rakan taulan ,jika fenomena atau senario ini masih berlaku atau terjadi, kepada warga KPM silalah buat aduan terus ke pihak atasan KPM atau melalui kesatuan-kesatuan dan persatuan perguruan. Biarlah pengalaman saya bagaikan menjaring suria untuk menerangi buana indah ini selama sepuluh tahun pedih luka ditanggung oleh mereka yang berkenaan. Saya yakin jawatan adalah amanah dan amanah akan disoal oleh Yang Maha Berkuasa di alam lain kelak.  Walau bagaimanapun sekarang kebajikan dan prospeks kerjaya keguruan seperti sistem ‘time-based’ amat diberi perhatian oleh pihak kerajaan. Bahkan menjelang mana-mana pilihan raya umum pun pihak pembangkang turut mewarwarkan ganjaran yang lebih baik kepada para guru. Saya sukalah menyeru agar kita kaum guru dan juga para penjawat awam yang lain sewajarnyalah mengetahui dan memahami hak-hak anda sebagai seorang penjawat awam agar kita tidak diperkotakkatikkan oleh pihak atau individu yang tidak berhati perut. (oleh Dr Haji Rajiee Hadi al-Latis)




5 Februari 2016

MAKTAB PERGURUAN BAHASA: PART 2


KETIKA saya menerima tawaran dan mula mengikuti kursus asas perguruan di maktab perguruan tersohor iaitu Maktab Perguruan Bahasa /MPB (Language lnstitute) di Lembah Pantai,Kuala Lumpur pada tahun 1976, perasaan,emosi dan minda saya berbaur syukur, bangga yang patriotik dan terharu yang boleh menyebabkan titis-titis jernih membasahi pipi.

Sebagai bekas pelajar Tingkatan Enam yang menempuh dan meraih Sijil Tinggi Persekolahan (STP/HSC) sudah tentu saya merasakan ada sedikit kelebihan daripada para pelajar lepasan SPM/MCE.

Namun sangkaan saya meleset. Di MPB saya bertemu rakan-rakan guru pelatih yang lebih senior usianya. Ada yang pernah menjadi guru sandaran tidak terlatih, ada yang sebelum itu pernah bekerja di sektor awam mahupun swasta.

Dan ada yang menganggur bertahun-tahun sebelum berjaya ke MPB.Dan di sinilah kami bertemu, bergaul berganding bahu dan menimba ‘cerita kota ’ suka duka selama dua tahun.

Dengan elaun guru pelatih di luar kampus RM150 setiap bulan atau RM40 berbaki setiap bulan jika tinggal dalam kampus boleh menyebabkan bertambah lagi air mata saya jatuh berguguran ketika baru menginjak usia yang ke-19 tahun.

Bagi kami, ibu bapa pada zaman itu hanya membekalkan semangat dan doa restu;bukan wang ringgit atau apa jua yang boleh melegakan. Jika ada guru pelatih yang berwang kemungkinan mereka sebelum itu telah mempunyai pekerjaan lain.

Kejayaan memasuki kursus  pendidikan asas perguruan semata-mata demi menjamin kerjaya masa hadapan di samping minat yang mendalam dalam bidang pendidikan dan keguruan.

Dalam bab ini bukanlah saya mahu mengisahkan rentetan perjalanan kehidupan saya semasa di MPB tetapi mahu menghubungkaitkan bagaimana Maktab Perguruan lslam (MPI) itu telah menyentuh kehidupan saya seawal tahun 1977 lagi. Ketika itu saya berada pada tahun kedua di MPB.

Saya masih ingat MPI ‘menumpang’  premis MPB ketika saya seronok menjalani aktiviti kokurikulum di sebelah petang. Saya aktif dalam pasukan pengakap MPB.Saya juga bergiat dalam aktiviti kesenian di samping turut masuk kelab karate MPB dan persatuan-persatuan lain.Kisah ini akan saya paparkan khusus dalam bab lain.

Setiap petang rabu saya akan siap beruniform pengakap bersama rakan-rakan sekuliah; Sahak Wahid, Museri Talib, Chew Hock Liong, Azizi Zakaria,Arshad, Arumugasamy dan lain-lain. Kami dari kelas kuliah kumpulan PMIA 2 (Pengajian Melayu &llmu Alam).

Manakala pasukan pandu puteri atau pengakap wanita dari kelas kami ialah Teh Khadijah, Rusni, Asmah, Rukiah,Che Puteh dan Rohayah.Kumpulan pengakap dari kelas kuliah PMS (Pengajian Melayu&Sejarah) seingat saya Hassan Topit,Koshim Lebai Ahmad, Khairuddin Kuala Pilah, Zaid Melaka, Chong,, Kadir Abdullah,0mar Mamat,Rashid Dogol dan  Kamaruzaman Abdullah.

Dari kelas PIIA (Pengajian lnggeris & llmu Alam) antaranya Roslan,Shanmugam, Rashid, Ranjit Singh dan Reduan. Dan dari kelas PPAK (Pengajian Pendidikan Awal Kanak-Kanak) tidak ketinggalan Chan, Khairuddin Wahab, Khatijah dan Hajah Kamisah Puasa.

Apabila tiba jam 3.30 petang kami berkumpul di dataran MPB di hadapan bangunan ala Minangkabau lalu berbaris dan berkawad dengan penuh semangat yang berkobar-kobar.

Kebetulan saya adalah ketua kumpulan bagi grup PMIA. Sahak Wahid pula penolong ketua kumpulan.Dalam angin sepi-sepoi bahasa petang itu rambut saya yang panjang dengan cermin mata persis Bruce Lee, berbuai-buai ditiup angin.

Kebetulan pada waktu itu juga jelas di hadapan dataran tempat kami berhimpun kelihatan para guru pelatih MPI keluar dari bilik kuliah masing-masing kerana menikmati waktu rehat.

Ada juga kelihatan beberapa pelajar MPI bersembang di hadapan pejabat pengetua. Pengetua  MPI (pengetua pertama) ketika itu, Dr Abdul Hamid 0thman (Tan Sri, meninggal dunia 2012).

Sebagai anak-anak muda tentu kami ada sikap mahu menunjuk-nunjukkan ‘kehebatan dan ketampanan’ kami ketika berkawad ketika itu. Apatah lagi ketika pelajar-pelajar puterinya@ bakal-bakal ustazah yang melintas hilir-mudik di hadapan kami dengan tunduk sopan tersenyum-senyum mendalam penuh makna.

Sebenarnya pada peringkat awalnya, MPI hanya merupakan satu unit Pendidikan Agama Islam di Maktab Perguruan Ilmu Khas (MPIK) Cheras, Kuala Lumpur pada bulan Februari 1977.

Unit Pendidikan Agama Islam telah menawarkan kursus kepada 87 orang pelatih dengan tiga orang pensyarah. Kursus yang ditawarkan hanyalah Kursus Perguruan Sekolah Menengah sahaja.

Selepas itu pada 25 April 1977, tertubuhlah Maktab Perguruan Islam secara rasmi dan berpindah dari satu unit di MPIK ke bangunan MPB, sesi sebelah petang sehingga November 1977. Di sini, Kursus Pendidikan Perguruan Sekolah Rendah dimulakan dengan pengambilan 237 orang pelatih baru Tahun 1. Tiga jabatan diwujudkan iaitu Jabatan Pengajian Agama Islam, Jabatan Pendidikan dan Jabatan Bahasa Malaysia.

MPI di MPB hanyalah sehingga November 1977, ketika saya kian hampir menamatkan kursus perguruan asas.Kemudian MPI berpindah kali kedua di bangunan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di kampus Petaling Jaya sehingga April 1983.

Bermula bulan  Mei 1983, Maktab Perguruan Islam berpindah pula di bangunan UKM, Lembah Pantai Kuala Lumpur, sementara menunggu bangunan baru maktab siap di pinggiran Bandar Baru Bangi, Selangor Darul Ehsan.

MPI mengalami perkembangan pesat sejak ia ditubuhkan. Pada tahun 1990 bilangan pelatih meningkat kepada 1,217 orang dan pensyarahnya bertambah kepada 110 orang. Kursus-kursus yang ditawarkan selain dari Kursus Perguruan Asas Pendidikan Sekolah Menengah dan Rendah, Kursus Dalam Cuti, Kursus Diploma Pendidikan dan Kursus Dalam Perkhidmatan turut ditawarkan.

Dan sudah tentu kini di MPI setelah dinaikkan taraf kepada lnstitut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) mulai 1 April 2006 telah menjalani banyak perubahan pesat dalam kurikulumnya; antaranya mengendalikan kursus sarjana muda perguruan (B.Ed.) dan terus mengelolakan Kursus Perguruan Lepasan ljazah (KPLI), Kursus Lepasan ljazah Guru J-QAF dan latihan-latihan guru dalam perkhidmatan.

Sepanjang yang saya tahu dan ketika memoir ini ditulis lapan buah jabatan telah ditubuhkan iaitu Jabatan Pendidikan Islam, Jabatan Pengajian Al-Quran dan Sunnah, Jabatan Bahasa Arab dan Tamadun Islam, Jabatan Pendidikan, Jabatan Pengajian Melayu,Jabatan Bahasa, Jabatan Kajian Sosial dan Jabatan Bahasa Inggeris dan Jabatan Penyelidikan. (oleh Dr Haji Rajiee Hadi al-Latis)

BAHASA MELAYU & CABARAN MASA KINI



TANYA PADA HISHAMUDDIN SIAPA DALANG PERTAHAN PPSMI….


ISU PPSMI semakin hangat sekarang.  Pada 7 Mac lalu perarakan raksasa 100,000 orang ke Istana Negara adalah manifestasi bantahan rakyat terhadap dasar yang akan merugikan bahasa dan bangsa Melayu dalam tempoh jangka panjang. Kepupusan tulisan jawi berlaku selama 30 tahun selepas dihapuskan pembelajaran tulisan itu di sekolah-sekolah.  Maka perkara yang sama akan berlaku kepada bahasa Melayu dalam jangka masa 30 tahun lagi.

Ramai pihak yang menentang dan yang paling lantang ialah Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) yang diketuai oleh Datuk Dr. Hassan Ahmad, Prof, Dr. Shahrir Mat Zin dan SN Datuk A. Samad Said.

Salah sebuah pertubuhan yang membantah PPSMI ialah Persatuan Pengamal Pendidik Malaysia (PPPM/Pendidik) yang ahli-ahlinya terdiri daripada mereka yang memiliki tauliah dan kelayakan ikhtisas  dalam bidang pendidikan sama ada yang sedang berkhidmat atau yang sudah bersara.  Sehubungan dengan itu SIASAH telah berkesempatan mewancara Presiden Pendidik baru-baru ini iaitu Dr. Rajiee Hadi.

Dr. Rajiee Hadi adalah mantan Presiden Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Bahasa Melayu Se-Malaysia (KKGBMS) dari tahun 2000-2005.  Beliau sekarang berkhidmat sebagai pensyarah kanan di salah sebuah universiti di luar negara.
SIASAH       
Apakah pendirian  Persatuan Pendidik dalam isu PPSMI?
DR. RAJIEE
Persatuan kami berdiri teguh dan menyokong penuh GMP yang gigih memperjuangkan supaya PPSMI dihapuskan.  Kita mahu kembalikan pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Melayu sepenuhnya.

Ketika menjadi Presiden Kesatuan Kebangsaan Guru Bahasa Melayu Se-Malaysia  ( KKGBMS) dahulu, pernahkah kesatuan ini dipanggil untuk membincangkan isu PPSMI ini?

KKGBMS ialah sebuah kesatuan sekerja yang mewakili golongan guru.  Ianya macam sebuah badan pemikir dalam Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ketika itu.  Berbagai-bagai isu yang berkaitan dengan pendidikan di sekolah-sekolah dibincangkan dalam Majlis Permuafakatan Pengurusan Pendidikan KPM ini.  Mengenai PPSMI, seingat saya pernah iaitu pada tahun 2002.  Pada tahun itu, Dr. Mahathir telah membangkitkan betapa ramainya pegawai diplomatik (PTD) dan pelajar universiti tidak fasih bertutur dalam bahasa Inggeris.  Dr. Mahathir tidak senang dengan keadaan itu dan mencadangkan supaya bahasa Inggeris digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik.

Kami dipanggil dalam suatu taklimat bagi membicangkan isu PPSMI ini.  Pada taklimat itu  Ketua Pengarah Pendidikan ketika itu (sekarang Kementerian Pelajaran) Allahyarham Tan Sri Mohd, Rafie Mahat memberitahu bahawa PPSMI merupakan projek percubaan atau perintis selama lima tahun.  Sekiranya tidak berjaya maka projek ini akan dibatalkan. Juster, tiada perbincangan serius. Mungkin kerana ianya hanya percubaan.  Ia serupa dengan projek Sekolah Bestari.

Selama 6 tahun, projek ini ternyata gagal maka kerajaan harus membatalkannya tanpa bersusah payah mengadakan perbincangan meja bulat.

Akan tetapi kami dapat merasakan bahawa taklimat itu hanya sebagai memenuhi proses pengurusan dan pentadbiran  sahaja.  Saya dapat merasakan keputusan sudah diambil untuk melaksanakan PPSMI ini.  Pada awal tahun 2002, ketika Kongres Pendidikan Melayu diadakakan, borang-borang kaji selidik sudah diedarkan kepada para peserta.  Kesatuan kami membantah pelaksanaan projek ini kerana akan menghadapi permasalahan kekurangan guru-guru yang mahir dan terlatih dalam bahasa Inggeris dan dari aspek ilmu psikolinguistik cara ini bertentangan.
Pengarah-pengarah Pendidikan yang lain tidak membantah?
Saya percaya ramai yang tidak bersetuju termasuk Ketua Pengarah DBP.  Oleh kerana mereka ini pegawai kerajaan yang mesti patuh kepada kerajaan dan tertakluk di bawah General Order  maka mereka tidak ada keberanian untuk menyuarakan bantahan secara jelas.
Apakah diundang golongan akademik, ahli bahasa dan persatuan-persatuan penulis seperti GAPENA dalam perbincangan ini?
Pada taklimat itu tidak ada seorang pun golongan akademik, ahli bahasa dan GAPENA.  Mereka tidak dipanggil kerana mungkin mereka bukan Ahli  Majlis Permuafakatan  KPM ini.

Adakah selepas taklimat itu mereka dipanggil?
Seingat saya tidak ada.  Itulah taklimat pertama dan terakhir.  Isu sesi taklimat bukan sesi perbincangan atau percambahan pendapat.  Sebab itu saya yakin keputusan sudah dibuat terlebih dahulu.  Saya tidak ingat ada apa-apa sesi perbincangan pun sebelum dilaksanakan PPSMI ini pada tahun 2003.  Mungkin pihak atasan, saya tidak tahu.  Tetapi kalau pihak atasan takkan berani mereka menyuarakan bantahan.  PM sendiri sudah mula melaksanakan dasar itu.

Jadi, jelas bantahan sudah dibuat pada peringkat awal lagi dan tidak pernah diadakan perbincangan dengan para akademik, ahli bahasa dan persatuan penulis?

Ya! Tidak ada.  Tidak payah pun susah-susah hendak diadakan persidangan meja bulat bagi melaksanakan PPSMI ini.  Sekarang ini entah berapa banyak persidangan meja bulat diadakan bagi mengkaji keberkesanan projek PPSMI ini.  Saya rasa membuang masa sahaja.  Daripada kajian para akademik, professor dalam bidang  matematik, bahasa dan pendidikan seperti Prof. Dr. Shahrir Mat Zain, Prof. Abdullah Hassan dan beberapa orang lagi profesor dan pensyarah, jelas menunjukkan bahawa PPSMI ini gagal dalam projek perintisnya.  Kalau kajian atau pendapat profesor-profesor ini kita tidak percaya, siapa lagi harus kita percaya? Prof Dr. Shahrir yang pernah belajar di aliran kebangsaan dan mendapat Ph.Dnya di Australia dalam bidang matematik tentu sedia arif. Maaf, kalau hendak dibandingkan dengan Menteri Pelajaran kita, pendapat siapa harus kita terima?

Tidak timbullah isu ini  tetapi baru ditimbulkan sekarang pula?
Perkara ini sudah dibangkitkan pada 2002 lagi.  Selepas itu ada suara-suara bantahan daripada pejuang-pejuang bahasa, persatuan-persatuan penulis dan orang Melayu.  Bahkan seminar, kongres dan memorandum turut diserahkan kepada pihak berkuasa.  Mungkin suara-suara mereka tidak selantang sekarang kerana pada masa  itu masih lagi  dalam percubaan.  Tetapi sekarang sudah 6 tahun, jelas projek ini gagal.Hapuskan sahajalah.  Tidak payah lagi nak diadakan meja bulat. Menteri ada kuasa membatalkannya.  Lebih lama dibiarkan, akan lebih rumit dan parah lagi.

Bagaimana pandangan Dr. terhadap saranan PM minta Menteri Pelajaran atasi segera kemelut ini bagi mengelakkan tercetus masalah yang lebih besar lagi?
Ini satu perkembangan yang baik.  Ada nada positif  dalam saranannya itu.  Dalam bahasa politik, ianya suatu bayangan bahawa PM memberi arahan kepada Menteri Pelajaran supaya PPSMI ini dihapuskan segera.  Mungkin saya salah, tetapi itu bacaan saya.

BN khususnya UMNO mesti mengambil berat isu  ini kerana orang Melayu suda mula marah pada kerajaan yang semacam bersikap sambil lewa menangani isu ini.  Kekalahan BN/UMNO dalam pilihan raya umum tahun 2008 diikuti oleh pilihan raya kecil di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu adalah juga disebabkan oleh isu ini.  Kalau UMNO mahu sokongan Melayu semula, hak dan bahasa kepunyaan orang Melayu ini hendaklah dikembalikan .  ingat. SN A. Samad Said juga telah menyarankan, jika PPSMI tidak dimansuhkan, beliau telah meminta pengundi menggunakan kuasa undi mereka dalam mana-mana pilihan raya.  Suara Pak Samad tidak boleh diremehkan.  Pengaruh beliau sudah menular di kalangan rakyat terutama orang Melayu.

Tetapi saya kira isu ini dapat diselesaikan segera kalau PM sendiri mengambil keputusan menghapuskan PPSMI ini.  PM juga semacam tidak ada political will dalam menyelesaikan isu ini.  PM mesti ada keberanian, kerana projek ini hanya percubaan.  Tetapi sekarang ianya mahu terus dikekalkan pula.  Pasti ada dalang di sebalik usaha meneruskan PPSMI ini.  Jikalau Hishamuddin tanya siapa dalang di sebalik GMP, maka kita juga boleh bertanya siapakah dalang di sebalik usaha mahukan PPSMI ini?

Apakah impaknya daripada perhimpunan dan perarakan ajuran GMP pada 7 Mac lalu?
           
Oh! Impaknya besar sekali.  Jika tidak ada perhimpunan dan perarakan yang dihadiri lebih 50,000 orang itu, tentu sekalali PM tidak respons dalam masa beberapa jam sahaja pada hari yang sama.  Diikuti pula reaksi daripada pelbagai pemimpin UMNO dan menteri, sama ada positif atau negatif, tidak kiralah.  Yang jelas ianya mendapat perhatian segera daripada mereka  .  Seandainya diadakan setakat kongres, seminar, penyerahan memorandum dan laporan polis sahaja, tidak akan memberi bekas.  Perhimpunan itu adalah menifestasi rakyat membantah terhadap PPSMI.  Itu suara rakyat, itu petanda kemusnahan BN/UMNO terserahlah kepada rakyat memikirkannya.
Tapi, pada perhimpunan itu kemuncaknya adalah penyerahan memorandum kepada Yang DiPertuan Agong?
Benar…tetapi itu adalah simbolik sahaja.  Jikalau penyerahan memorandum itu dilakukan oleh 7 orang wakil GMP sekalipun, impaknya menjadi berita besar, kerana penyerahan memorandum telah biasa dilakukan.  Tetapi perhimpunan dan perarakan itulah menunjukkan betapa rakyat sudah mual, jemu, bosan malah marah terhadap sikap sambil lewa Menteri Pelajaran.  Sekiranya setakat perhimpunan dalam kawasan Masjid Negara sahaja, tanpa perarakan ke Istana Negara, impaknya juga tidak sama.  Yang menjadi berita besar ialah perarakan itu dan serangan gas pemedih mata oleh anggota polis simpanan persekutuan (FRU).

Bagaimana dengan tuduhan Hishamuddin bahawa GMP didalangi oleh parti pembangkang. Apa pandangan Dr.?
Saya bersetuju dengan padangan Datuk Dr. Hassan Ahmad, Pengerusi GMP bahawa jika ada dalang, tentu ada boneka seperti wayang kulit.  Dalang dalam wayang kulit bersembunyi di sebalik tabir.  Tetapi pemimpin parti pembangkang seperi Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan yang lain-lain turut bersama-sama memperjuangkan isu ini secara terang-terangan.  Itu bukan dalang namanya.  Ada ketelusan dan keikhlasan.  Mereka tidak sembunyi di sebalik tabir.  Datuk Hassan Ahmad seorang ilmuwan dan cendekiawan, tentu sekali dia tidak mudah dijadikan boneka.  Tuduhan itu satu penghinaan kepada Datuk Hassan.  Tidak adillah.
Apa pandangan Dr. seterusnya berkaitan dengan dasar PPSMI ini?
Bagi saya dan juga Persatuan Pengamal Pendidikan Malaysia, PPSMI ini wajar dibatalkan sahaja dan dikembalikan kepada dasar sebelum ini.  Meneruskan dasar PPSMI akan memberi kesan negatif kepada bahasa dan bangsa Melayu dalam tempoh 30 tahun akan datang.  Buktinya tulisan jawi.  Bahasa menunjukkan bangsa dan bahasa adalah sebahagian daripada budaya sesuatu bangsa yang membina tamadun bangsa itu.Apa guna jika kita mempertahankan Melayu dan institusi raja jika kita hilang bahasa kebangsaan,bahasa rasmi kita sendiri.

Saya teringat kata-kata Tun Syed Nasir salah seorang pejuang bahasa kebangsaan kita yang unggul dahulu yang saya ingat pernah disiarkan dalam majalah Dewan Masyarakat April 1969 yang mana beliau ada menyatakan  bahawa ada sesetengah golongan mengemukakan hujah iaitu lebih baik jurusan sains itu diajar terus menerus dalam bahasa Inggeris.  Tetapi dalam soal ini hendaklah kita faham sungguh-sungguh, iaitu jika kita lakukan demikian hanya membawa erti bahawa kita semata-mata mengajar pengetahuan sahaja, dengan tidak memberi peluang memajukan bahasa Melayu untuk menjadi bahasa ilmu pengetauan.0leh itu sama-sama kita renung-renungkan dan dijadikan ikhtibar.

3 Februari 2016

MAKTAB PERGURUAN BAHASA (Language lnstitute): TEMPAT JATUH LAGIKAN DIKENANG...




PADA bulan Mac 1995 ,saya memulakan era baru dalam bidang pendidikan daripada seorang guru di bilik darjah yang mengendalikan secara terus pengajaran-pembelajaran (P&P) di sekolah-sekolah harian dan berasrama penuh (SBP) hampir 17 tahun di bawah Bahagian Sekolah Kementerian Pelajaran/Pendidikan Malaysia (KPM) kepada pendidik guru atau pensyarah di maktab perguruan di bawah Bahagian Pendidikan Guru (BPG) KPM.

Berbekalkan pengalaman sebagai guru hampir 17 tahun dalam perkhidmatan dan berpengalaman mengajar pelajar-pelajar kelas peralihan (Remove Classes), tingkatan 1,2,3,4,5,6 Rendah dan 6 Atas adalah amat membantu yang mana rata-rata berpendapat kesahan dan kebolehpercayaan itu  tidak boleh dipertikaikan.Walhal untuk menjadi pensyarah maktab perguruan pengalaman minimum lima tahun mengajar di sekolah,sudah dikira memadai.

Sebenarnya maktab perguruan KPM ini bukan sekadar institusi untuk menimba ilmu pendidikan dan pedagogi sahaja.Bahkan apa yang paling utama ialah institusi  ini adalah  ‘sekolah latihan ‘yang membina sahsiah dan  insaniah guru. Di sinilah dahulu kami belajar mendisiplinkan diri, etika berambut rapi dan berpakaian kemas, berinteraksi dan berganding bahu dengan mengikut batasan agama dan budaya setempat serta belajar berketrampilan ketika berkomunikasi dua hala.

Pada mulanya saya tidak pernah mengimpikan mahu berkhidmat di MPI. Walaupun nama MPI pernah hadir dalam kehidupan saya .Saya menyimpan hasrat  sudah sekian lama mahu berkhidmat dan berbakti di MPB (kini IPGM Kampus Bahasa Melayu Malaysia), Lembah Pantai, Kuala Lumpur. Lagu MPB masih menjadi hafalan dan siulan saya sehingga hari ini: (Nota: Versi 2006: Judul 'Maktab Perguruan Bahasa' ditukarkan kepada 'lnstitut Bahasa' dengan sedikit pengubahsuain)

LAGU IPGM KAMPUS BAHASA MELAYU
Institut Bahasa yang berjasa
Institut mulia berharga
Tempat kami bersama-sama
Menjunjung bahasa ibunda
Kami pelajar seluruhnya
memegang tujuan yang satu
Institut Bahasa yang berjasa
Lambang bangsa yang berpadu
Bahasa akan kami perkaya
Budaya kami bela
Tetap mempertinggi mutu bangsa
Untuk selama-lamanya
Institut Bahasa yang berjasa
Institut mulia berharga
Tempat kami bersama-sama
Menjunjung bahasa ibunda
Pencipta: Mustafa Kamil Yassin (Kala Dewata)
Gubahan: A Murad Hamid

 Bukan sekadar lagu MPB bahkan pentas dewan MPB (kini dinamakan Dewan Za’ba) dan sekitar Lembah Pantai masih menjadi nostalgia yang tidak luput daripada memori saya. Di pentas itu saya menyanyi dengan penuh perasaan lagu ‘Selamat Tinggal Bungaku’ dengan iringan band MPB secara bidan terjun.Maklumlah malam itu merupakan minggu terakhir kami di MPB, sebelum kami akan menerima surat posting (penempatan) seawal bulan Januari nanti.

Persembahan saya yang mengejut dan mendapat tepukan sorakan yang memberangsangkan.Selepas menyanyi, pada keesokan harinya Datin Kwok  pensyarah muzik saya begitu bersemangat memuji dan memberi galakan kepada saya.

“Tidak sangka, kamu boleh menyanyi.Kamu bagus menyanyi.Bagus…bagus..bagus”, ujar Datin Kwok berulang-kali. Saya hanya tersipu-sipu.Lagu tersebut begitu tersemat jauh di jiwa saya:

SELAMAT TINGGAL BUNGAKU
Selamat tinggal bungaku
Aku bermohon pergi dahulu
Terima kasih seruanku
Jasamu untuk diriku

Ke timur atau ke utara
Tak tentu di mana nak tujukan
Setitik air mata
Dititiskan dibuang jangan

Sekiranya aku masih
Berada nun jauh di balik awan
Salam yang bahagia
Khabar yang gembira kukirimkan

Inikah akhir bertemu
Bila nian kan berjumpa lagi
Ingatlah pesananku
Jaga baik dirimu sendiri

( 
Lagu : Johar Bahar / Ahmad Wan Yet - Lirik : Johar Bahar )


Di pentas dewan MPB itu juga gelanggang saya bersama teater ‘Hari Jadi Nona’ (1976) yang mana saya turut bersama terbabit dalam persembahan sketsa kuda kepang Johor bersama Khairuddin Wahab, Ali Mustari, Selamat 0mar dan lain-lain lagi.Pada tahun 1977 saya bersama Mahali (jika tidak silap) mempersembahan teater ‘Bayang-Bayang'. Saya yang memegang watak ‘wali’ terpaksa meminjam telekung guru pelatih wanita MPI yang tinggal berjiran dengan saya untuk menjayakan teater tersebut.

Justeru MPB tentulah tidak dapat luput daripada kenangan hidup saya.Kisah bunga hutan yang saya bawa dari Cameron Highland ketika hujan turun di tangga bukit MPB terkulai lesu layu dan jatuh bertebaran di tengah gelita malam; adalah sebuah kisah lucu yang tidak kesampaian.

Kisah pensyarah yang menguruskan penempatan Encik Dawam Kahat (yang turut memberi kuliah Kesusasteraan Melayu) yang mencari saya kerana belum menyerahkan borang penempatan tetap menjadi ingatan saya. “Kenapa kamu belum serahkan borang?” Tanya Encik Dawam di hadapan kelas PMIA 2.

Saya diam seketika lalu bertanya, “Boleh saya minta posting ke Sabah Cikgu?”. Mendengarkan permintaan saya,kawan-kawan sekuliah saya semuanya tergelak tanpa mengetahui hujung pangkalnya.Saya tahu mereka yang digelar ‘Sabah Ranger’ dan ‘Sarawak Ranger’ telah mula menampakkan  kemurungan  di raut wajah masing-masing.

Ada yang terpaksa meninggalkan buat sementara tunangan dan kekasih hati. Ada yang berangan-angan mahu memperisterikan gadis Kadazan di pinggir lembah Kundasang,di lereng Kinabalu yang terkenal berkulit putih mulus. Omar Mamat, Kamaruzzaman Abdullah dan  Hassan Topit adalah antara sahabat semaktab saya yang akan dihantar ke Malaysia Timur.

“Mengapa? Kamu tahu, semua kawan kamu nak ke Semenanjung..kamu pula yang nak ke Sabah. Kenapa…?” tanya Encik Dawam lagi.

“Aghh…saya tak ada buah hati pun di sini..” jawapan saya yang bersahaja membuat seisi kelas  ketawa mengilai ;termasuk Encik Dawam pun turut merasakan kelucuan itu.Dipendekkan cerita,peristiwa itu biarlah setakat itu sahaja.Apa yang berlaku kemudian adalah sejarah yang menjadi sejarah.

Saya telah katakan sejak awal bahawa MPB tetap terpahat di wadi kalbu saya.Sebab itu sejak penghujung tahun 1980-an saya telah ‘mengintai dan merisik’ di BPG bertanyakan mengenai peluang kekosongan jawatan pensyarah di MPB. Tetapi ditakdirkan ketika itu; jawapannya belum ada kekosongan. (oleh Dr Haji Rajiee Hadi al-Latis)- BERSAMBUNG.


2 Februari 2016

GURU DAN KOMUNIKASI


Semasa saya berada di bangku tingkatan dua pada tahun 1968 di Sekolah Menengah Tengku Mahmud lskandar, Sungai Mati Muar,Johor iaitu sekolah yang menyediakan dua aliran; aliran Bahasa Melayu dan aliran Bahasa lnggeris,  guru bahasa lnggeris Encik Gan Ju Eng telah bertanyakan saya dalam bahasa lnggeris, ‘apakah cita-cita saya?’. Dengan spontan dan sudah tentulah dalam bahasa lnggeris juga, saya menjawab dengan penuh bangga bahawa saya mahu menjadi Jeneral dalam pasukan tentera.

Walaupun seisi kelas ketawa tetapi  semangat saya tidak mudah lentur. Sebagai ahli pengakap sekolah pada masa itu, tentulah pekerjaan yang berkaitan pakaian beruniform memikat hati saya.Encik Gan Ju Eng yang menerima jawapan saya terus memperlekehkan cita-cita saya dengan nada sinis dan menakut-nakutkan saya, “Jika kamu mahu jadi Jeneral..kamu mesti cuci tandas dahulu,” Saya terpinga-pinga menerima penjelasan daripada guru bahasa lnggeris saya.Dan saya merasakan pekerjaan tentera itu umpama tukang cuci tandas yang tidak mempunyai sebarang pun keistimewaan.Ataupun saya telah beranggapan bahawa profesyen tentera tidak menjanjikan masa hadapan. Dalam erti kata lain, sukar dan menakutkan.

Dan sekarang setelah lebih empat puluh tahun lalu, kata-kata Encik Gan Ju Eng itu masih terngiang-ngiang dan berbekas di kalbu saya.Saya merasakan kata-kata itu memberi persepsi negatif dan bersilang arah di minda saya.Saya tidak nafikan bahawa menjadi seorang anggota tentera ;baik dari peringkat bawahan mahupun pegawai atasan bukanlah semudah  yang disangkakan.Liku-liku perjalanan, ketaatan dan pengorbanan sentiasa melingkari dalam kehidupan seorang tentera.Sebenarnya pendedahan saya dengan buku-buku cerita bercorak patriotik banyak mempengaruhi kehendak dan cita-cita yang bersarang dalam naluri saya.

Sebagai pelajar yang meminati pelajaran sejarah, saya bukan sahaja membaca kisah-kisah perjuangan pahlawan watan seperti Tuk Bahaman, Dol Said, Maharajela Lela, Tuk Janggut dan Leftenan Adnan Saidi  tetapi saya juga membaca kisah-kisah kepahlawanan lslam zaman lslam seperti Umar Al-Khatab, Usman Affan, Ali bin Abi Talib,Saidina Hamzah, Khalid Al-Walid, Muawiyah bin Abi Suffian, dan termasuk para pejuang tanah air seperti Dipo Negoro di Jawa,lndonesia, Napoleon Bonarpate di Perancis, John of Arch di Jerman ,Ho Chi Minh di Vietnam dan lain-lain lagi.

Sebagai guru, saya amat bersetuju andainya budaya berkomunikasi dianggap kemahiran atau kegiatan yang terpenting dalam perhubungan manusia. Apatah lagi komunikasi; sama ada komunikasi lisan, bertulis ataupun isyarat sewajarnya diketahui bagaimana caranya agar berkesan dan difahami. Dengan kata lain, sebarang bentuk komunikasi hanya akan dianggap berkesan jika wahana yang digunakan itu betul,tepat dan mantap.

Berdasarkan kisah ringkas di atas, akibat kurangnya kemahiran komunikasi guru-pelajar  maka sedikit sebanyak telah menjejaskan misi falsafah pendidikan negara yang mahukan satu usaha berterusan ke  arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu.Guru sewajarnya turut membantu dan menggalakkan para pelajarnya  mencapai salah satu matlamat dalam sistem pendidikan iaitu turut membantu negara menyediakan sumber tenaga manusia untuk keperluan kemajuan negara.

Rata-ratanya masyarakat menganggap proses komunikasi sama ada komunikasi lisan,isyarat ataupun bahasa badan dianggap mudah dan remeh. Namun saban hari kita sering menghadapi kegagalan komunikasi berlaku di dalam bilik darjah, di dalam perhimpunan sekolah, bersama rakan sejawat di dalam bilik guru, di bilik-bilik mesyuarat dan sebagainya. Lantas itu, kita sering menerima pelbagai peristiwa dan kesan mengalami salah faham,salah tanggapan dan kekeliruan mesej dalam kehidupan seharian.0leh itu guru-guru hendaklah acapkali menunjukkan teladan yang baik apabila berkomunikasi dengan para pelajar sama ada menggunakan bahasa yang berhemah dan  bertatasusila.

Semasa saya berada di tingkatan enam Sekolah Menengah Dato’ Sri Amar DiRaja 1973, saya masih ingat Cikgu Mohd Rashdi Ramlan, guru subjek ekonomi yang berbicara lembut,jelas dan tegas. Sehinggkan setelah saya menjadi guru saya berbangga sebagai bekas anak muridnya. Saya juga turut berbangga kejayaan kerjayanya  yang mencapai tangga jawatan sebagai Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (TKPP)KPM. Mohd Rashdi Ramlan atau 'Cikgu Rashdi' (kini Dato’Haji Mohd.Rashdi bin Ramlan) sering memberi motivasi , panduan prospek  kerjaya dan menghubungkaitkan pelajaran ekonomi dengan dunia semasa ketika dalam kelas.Selain Cikgu Rashdi , Cikgu Mohd Radzi Rahim, Cikgu Rahim Omar ,Miss Kim Davis, Cikgu lsmail Mahayuddin, Cikgu Abdul Rahim Ahmad dan lain-lain lagi tidak kurang juga memberi semangat agar  kami terus maju jaya.Guru-guru yang saya sebutkan itu,masing-masing ada cara berkomunikasi  tersendiri yang diselitkan dengan cerita-cerita lucu yang menarik hati kami.

Saya masih ingat ketika itu Cikgu Rashdi masih 'muda belia', masih 'bujang trangtang' dan masih 'meronda-ronda berbasikal di Tanjung Ketapang,Muar'. Beliau saling bersapa apabila bertembung kami yang juga ‘meronda-ronda’ makan angin. Seperti biasa, kelas keesokannya, sahabat saya Najib yang bertubuh gempal akan menjadi bahan usikan Cikgu Rashdi. Walaupun saya tidak bijak sangat dalam subjek Ekonomi seperti sebilangan besar rakan-rakan sekelas saya seperti Borhan (Datuk Bandar Johor Baharu), Baharu Kemat (Profesor Ekonomi), Norizan (Timbalan SUK Johor) Abu Hassan (Guru Kanan Ekonomi) atau Syed Jaafar (Arab, telah kembali ke rahmatullah,2006) tetapi Cikgu Rashdi tetap melayan  cara berkomunikasi mesra semua muridnya dalam kelas dengan penuh tanggung jawab.

Cikgu Rashdi dikenali sebagai guru yang bergaya dan berketrampilan dalam berpakaian. Rata-rata kami para pelajarnya ketika itu sering memerhatikan  komunikasi bahasa badan dan gayanya dalam berpakaian Apatah lagi Cikgu Rashdi yang kami tahu lepasan siswazah luar negara (Australia) ketika itu sering menjadi idola kami. Kami juga tetap tidak lupa guru-guru kami ketika itu yang sering memberi motivasi juga  kepada kami sebagaimana yang telah saya sebutkan di atas.

Gambaran yang saya berikan semasa Cikgu Rashdi sebagai guru saya dan Cikgu Rashdi dalam kerjaya seterusnya sebagai Pegawai PPD, Pengetua MCKK, Pengarah JPN dan Timbalan Ketua Pengarah KPM tentulah tidak sama. Namun kata-katanya yang tegas disulami senyum lembut  dan kiasan bermakna tetap berkesan menjadi ingatan kepada saya dan warga KPM yang sentiasa mendampinginya.
 
Cikgu Rashdi yang kami kenali seorang yang mudah tersenyum.Ada ketikanya senyuman beliau adalah senyuman sinis.Beliau ketika itu kelihatan romantis,berbicara lembut dan mesra pelajar. Ya, mungkin pendekatan psikologi ke atas kami para pelajar tingkatan enam agak berbeza lantaran mungkin kami lebih tampak menuju kematangan.

Saya bertemu seterusnya dalam beberapa mesyuarat peringkat tertinggi KPM semasa beliau menginjak setapak demi setapak dalam kerjayanya sebagai pegawai utama PPD, Pengarah JPN Johor dan pegawai atasan di KPM manakala saya ketika penghujung era 1990-an dan 2000 saya terbabit sebagai aktivis utama kesatuan sekerja sektor keguruan.Lantaran itu kami sering bersua di mesyuarat Majlis Permuafakatan Pengurusan Pendidikan KPM pada zaman Tan Sri Dr Wan Zahid , Datuk Mat Nor Daim, Tan Sri Dr Abdul Shukor (Allahyarham) dan Tan Sri Mohd Rafie (Allahyarham).

Begitulah Cikgu Rashdi, cikgu saya yang saya rasakan diri saya sebagai insan kerdil tetapi saya rapati dan perkenalkan diri saya semula sewaktu roda sejarah kehidupan berputar kembali sewaktu waktu dahulu. Cikgu Rahsdi tentu berbangga anak muridnya berjaya mencapai dalam akademik walaupun saya tidak berjaya sehebat beliau menaiki 'tangga pangkat'. Walaupun saya juga telah dianggap 'tua' ketika itu, tetapi rasa hormat dan 'malu' amat menebal juga di jiwa saya. 
 
Justeru apabila transformasi  kurikulum persekolahan diperkenalkan pada tahun 2011 maka aspek komunikasi diberi penekanan dan tunjang  utama  dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) . KSSR merupakan usaha menyusun semula dan menambah baik kurikulum sedia ada bagi memastikan murid dibekalkan dengan pengetahuan, kemahiran dan nilai yang relevan dengan keperluan semasa bagi menghadapi cabaran abad ke -21. Dalam proses transformasi kurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah membuat penandaarasan  dengan kurikulum negara  maju bagi memastikan kurikulum persekolahan kebangsaan setanding dengan pendidikan global.

Saya juga difahamkan bahawa melalui transformasi kurikulum ini Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah ( KBSR) diperkukuh serta ditambah baik dan dikenali sebagai Kurikulum Standard Sekolah Rendah ( KSSR) yang mula dilaksanakan secara berperingkat mulai 2011 lalu. 0leh itu  berlandaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan mengekalkan prinsip KBSR maka penambahbaikan dilakukan kepada reka bentuk, organisasi, pedagogi, penegasan kurikulum, peruntukan masa dan pengurusan kurikulum untuk membangunkan KSSR yang antara lain tunjangnya ialah aspek pengukuhan kemahiran komunikasi.

Saya sudah menjangkakan,bagi mengukuhkan kemahiran komunikasi, sandaran adalah berdasarkan teori psikologi pengajaran bahasa yang mana aktiviti pengajaran dan pembelajaran (P&P) lisan mestilah diutamakan sebelum mengajar aspek kemahiran bacaan dan penulisan. Kemahiran dalam lisan memainkan peranan penting dalam penguasaan bahasa para pelajar. Apatah lagi dari sudut psikolinguistik wujudnya perhubungan antara bahasa dengan pemikiran. Pemikiran melibatkan simbol tertentu. Kebiasannya simbol ini ialah lambang-lambang pertuturan tertentu yang merupakan perkataan. Maksudnya jika murid tidak dapat menguasai perbendaharaan kata yang luas maka mereka tidak dapat berfikir dengan jelas.

Oleh yang yang demikian sudah tentulah penekanan adalah bersandarkan bahasa atau kemahiran lisan adalah kemahiran asas bagi bahasa pertama yang dikuasai oleh murid normal.  Sebelum mempelajari kemahiran membaca dan menulis khususnya murid Tahun Satu di semua sekolah rendah seluruh negara wajar diberikan penekanan utama dalam kemahiran komunikasi lisan KSSR. Sementelahan pula kurikulum ini berpaksikan kepada prinsip pendekatan bersepadu, perkembangan individu secara menyeluruh, pendidikan yang sama untuk semua murid dan berkonsepkan pendidikan seumur hidup.

Sukalah saya menegaskan dalam komunikasi, penggabungjalinan kemahiran bahasa secara lisan dan bukan lisan semasa berinteraksi menjadi keutamaan guru ketika proses P&P berlangsung dalam bilik darjah. Sehubungan dengan ini guru sewajarnya berupaya menyampaikan isi pelajaran, pengetahuan, idea, maklumat, nasihat dan tunjuk ajar kepada murid dengan tepat tanpa menimbulkan salah faham, kekeliruan dan kekaburan.Yang nyata, sudah semestinya guru itu menggunakan bahasa yang betul, sesuai dan sempurna tatabahasanya.

Dan sebagai pensyarah pedagogi dan metodologi di institut latihan perguruan saya sering mengingatkan ketika kemahiran lisan difokuskan oleh guru dalam P&P, aspek kemahiran mendengar dan bertutur hendaklah diberikan penekanan utama. Dalam kemahiran mendengar guru hendaklah  sentiasa memastikan apa yang murid faham dan ingat dengan melalui latihan-latihan khas yang dilakukan secara berperingkat-peringkat. Manakala kemahiran bertutur ialah aktiviti melafazkan bunyi-bunyi yang dihasilkan daripada artikulator manusia dan merupakan kemahiran interaksi dalam suasana berbahasa.

Dalam hal ini aspek asas seperti sebutan, tekanan, mora (panjang-pendek),jeda (persendian), intonasi, nada, tatabahasa, kelancaran, kefasihan dan laras bahasa wajar diberikan penekanan oleh guru khususnya guru bahasa. Dalam erti kata lain, aktiviti lisan seperti perbualan, bercerita, lakonan, berpuisi, melaporkan berita, menyanyi, bacaan bersuara/lantang, bercakap berdasarkan gambar, perbincangan adalah aktiviti yang membolehkan murid mengamalkan bahasa dalam bidang komunikasi yang  mana paling hampir dengan kehidupan seharian mereka.

Lantaran itulah dalam memoir ini telah saya sentuh sejak awal tadi bahawa betapa pentingnya aspeka-aspek amalan dalam komunikasi dititikberatkan oleh guru.Apatah lagi apabila KPM memperkenalkan aspek komunikasi yang menjadi salah satu tunjang utama KSSR adalah wadah penting dalam transformasi pendidikan ini. Sementelahan pula komunikasi ialah proses penyampian maklumat daripada satu pihak kepada satu pihak lain. Keberkesanannya bergantung kepada maklum balas dan seterusnya tindak balas antara guru-murid. Apa yang diharapkan komunikasi yang berkesan juga akan dapat mengubah cara berfikir individu terutamanya dalam perlakuan dan tindak-tanduk seseorang.

Dengan ini natijahnya  akan memberikan impak positif dan menggalakkan penglibatan murid-murid secara aktif dan dinamik. Maka apabila saya menyebut nama Cikgu Rashdi atau Dato’Haji Mohd Rashdi bin Ramlan sebagai model guru saya yang bijak berkomunikasi berkesan lalu tergetus di hati saya,sekiranya, saya ada 'kelayakan' seperti tahun-tahun 1998-2005 yang mana saya adalah ‘AJK pemilihan tokoh guru kebangsaan'  maka tidak teragak-agak saya akan turut mencalonkan beliau sebagai Tokoh Guru Kebangsaan. Namun atas kecemerlangannya dan takdir llahi,  beliau akhirnya  dipilih dan dinobatkan juga sebagai Tokoh Guru Kebangsaan 2008 ketika saya berkhidmat sebagai Pensyarah Kanan di sebuah IPTA di luar negara. Tahniah, Cikgu Rashdi dengan model komunikasinya! (oleh Dr Haji Rajiee Hadi al-Latis).