HAJI DR. RAJIEE HADI

HAJI DR. RAJIEE HADI
SERIBU WARNA SERIBU MAKNA

26 Januari 2016

MUKHRIZ MAHATHIR CETUS ISU PANAS?


KONTROVERSI politik yang melanda Kedah ketika ini mungkin dapat dihindarkan sekiranya Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir menerima jawatan dalam rombakan Kabinet, tahun lalu. Veteran UMNO, Tan Sri Rahim Tamby Chik, berkata inisiatif itu ditawarkan kepada beliau kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yakin bahawa kedudukan Mukhriz terancam kerana ramai pemimpin bahagian UMNO di Kedah menolaknya. 

Rahim yang juga Pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Melayu (GABEM) berkata, tindakan itu dicadangkannya ketika beliau menjadi 'pendamai' antara Najib dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. "Apabila Dr Mahathir tanya kenapa perlu ubah kedudukan anaknya daripada jawatan Menteri Besar Kedah, saya menjelaskan bahawa Najib yakin bahawa kedudukan Mukhriz terancam kerana ramai pemimpin UMNO Kedah yang menolak beliau. 

"Dr Mahathir minta saya jumpa Mukhriz untuk menyampaikan tawaran Najib itu dan beliau ikut saja apa yang diputuskan. Malangnya, Mukhriz menolak tawaran Najib itu," katanya dalam kenyataan, malam tadi. Beliau juga kesal kerana penolakan itu menjadi punca kegagalan inisiatifnya bersama Ketua UMNO Bahagian Kota Baharu, Datuk Mohamad Fatmi Che Salleh untuk mendamaikan Najib dan Dr Mahathir.

 "Saya yakin jika tawaran itu diterima Mukhriz, beliau bukan saja terhindar daripada kontroversi politik yang melanda Kedah sekarang, malah hubungan baik Najib dan Dr Mahathir mungkin menjadi realiti sejarah kepada perpaduan Melayu dan UMNO," katanya. (disesuaikan daripada Berita Harian, 26 Januari 2016)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan