HAJI DR. RAJIEE HADI

HAJI DR. RAJIEE HADI
SERIBU WARNA SERIBU MAKNA

5 Mei 2014

SAYA HANYA PENULIS KAMPUNG

oleh DR HAJI RAJIEE HADI

SECARA peribadi, saya pernah menulis untuk ruangan surat pembaca akhbar Utusan Melayu pada tahun 1970 ketika saya di bangku menengah tingkatan empat. Saya menulis mengadu mengenai sistem perparitan dan saliran yang menyebabkan seringkali berlaku banjir kilat di kampung saya khususnya rumah gadang datuk saya, di Kampung Serom 2 Hilir, Sungai Mati, Muar. 0leh kerana di sinilah tanah tumpah darah pertama saya yang mana saya dilahirkan di sini maka segala punca yang membabitkan kesejahteraan alam sekitar turut memberi kesan mendalam terhadap rasa kepekaan atau deria sensitiviti di sanubari saya.

Tidak lama kemudian selepas tersiarnya aduan tulisan saya maka datanglah sebuah jentolak kapal korek memulakan operasi pendalaman parit atau anak sungai yang kian tohor. Sebenarnya pada tahun 1960-an dahulu parit sepanjang kampung saya yang menuju ke Kampung Sungai Keladi dan alirannya terus menjengah masuk ke Sungai Muar ini tidak setohor itu. Di parit inilah saya menyaksikan budak-budak kampung saya berkubang renang sambil mencari haruan,keli dan puyu ( Pekan Serom: Masih Kuingat Lagi: Rajiee Hadi, Mastika, April 1991):


PEKAN SEROM: MASIH KUINGAT LAGI

Sungguhpun kerap pulang ke desa dan pekan kelahiranku
saban waktu sejarah mengembalikan ingatan
semasa kecil air melimpah -ruah
selepas hujan di halaman rumah opah
agung pesaka moyang sejak zaman berzaman
kini tinggal sisa-sisa menyayatkan 
Tempayan purba sepi menyembah bumi 
parit besar kami menangkap keli
mandi-manda riang nakal aku menyusuri sungai
sekampung bermukim mencucuh buluh meriam
hilang gerangan entah ke mana 
resah mengatur liku kehidupan
dibesarkan oleh luas alam berkembang
segala-galanya kini bagai hamparan kenangan.

Pulang semata-mata kerana ibu ayah
kedut wajah bagai kerikil perjalanan hidupku
menyimpan rapi sisa-sisa usia
menempuh menghambat serentetan kekesalan
seperti sepi malam di desa jauh ditinggalkan
suara cengkerik rengetan sang katak bersahutan
mencengkam ke jantung album rindu
seorang pengembara menyimpul igauan malam
tiba-tiba di desa dan pekan terbina catatan 
semuanya berubah dengan kelahiran dan kematian

Pekan Serom, tidak kutemui lagi riakmu
umpama malam-malam lalu dengan gelak tawa taulan
lagu-lagu evergreen berkumandang di pawagam Kimhwa
bujang lapuk jungle april pool watari bertukar ganti
kini detingan besi wajah kusam menyelubungi ngeri
kedai hailam roti bakar ais kepal dijilat  api
warung lontong enak tempeh kuih mata kerbau
celoteh Wak Lip, Atan Salu, Abu Amin
Atan Khatab dan diam Mat Gedebuk
khutbah Cikgu Atan bergema lantang selalu dan
pangkalan jeti panggung serom tiga setia berlagu

Di sini Matnor Kelawar terkubur dalam usia remaja
perahu penambang tanjung selabu hilir mudik
anak-anak kecil menongkah arus
menimba ilmu menyabung nyawa
ada tragedi menyayat hati luput ditelan polusi
dusun semusim di Belemang, Parit Kangkar Sungai Keladi
kini lamunan terhakis dalam hangat rinduku

Pada hari itu aku kembali  menatap potretmu
petang redup bermotosikal bersama ngarisan
gadis manis hujung kampung melambai menyentuh perasaan
bercerita tentang politik ekonomi dan masa depan Melayu
sementara dinding rumah rapuh dimamah ansai
subur pohon nyiur pelepah tua gugur disambar petir
basikal usang di bawah rumah tetangga tersungkur rebah
seterika antik tersembunyi dalam peti misteri
tv tua hitam wajah tidak berseri lagi
pintar si babu mengatur dagangan setiap hari
malam dingin lampu sepanjang jalan bergelap sekian lama
pekerja hari ini  mungkin tidak ambil peduli
asyik mengkhayalkan saham penswastaan melabakan
tanpa keringat menjual pinkform impian termahal

Ah, Pekan Serom menjenguk hadir mimpi-mimpimu
getar menggugat manusuk hati rawanku
geromal Atan Salu senyum Atan Khatab senda Abu Amin
pilu Uda Bakar puterinya menyahut panggilan Illahi
barah meragut kesalnya tidak terperi
pulangnya Mat Gedebuk kian terkumpul dalam sendu puisi
citra Pekan Serom kian hilang bagai kaca-kaca bertaburan
sayunya hati tidak upaya kucantum lagi!

Begitu juga apabila saya masih berdukacita melihatkan jalan kampung saya ini masih beralaskan batu-batu kerikil dan tanah merah.Sedangkan di kampung-kampung sekitar telahpun diturap tar.Tanah-tanah milik Melayu kian hari kian banyak yang tergadai atau terjual. Sehubungan ini saya amat susah hati. Seingat saya dalam tahun 1985 saya telah menulis dalam ruangan ‘Surat Pembaca’ Berita Harian.

 Namun entah bagaimana kemudiannya pada tahun 1989 sewaktu saya membawa murid-murid dari sebuah sekolah berasrama penuh di Kuala Lumpur melawat Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia, saya mengambil kesempatan bersua muka di luar ruang legar Dewan Rakyat lalu menyatakan masalah jalan merah di kampung saya kepada Haji Abdul Ghani Othman             (Dato’, wakil rakyat Parlimen Ledang/ ADUN Serom, kini telah bersara) .

Saya tidak pasti sama ada beliau terkejut atau tidak apabila saya terus meluru bertemunya ketika itu.Dalam pertemuan itu, mungkin tanpa berfikir panjang beliau terus mencadangkan agar saya menubuhkan cawangan Umno di kampung saya. Saya sedar selama ini, sudah turun-temurun cawangan Umno kampung saya  yang minoriti ini bergabung dengan Kampung Serom Satu.Seterusnya Haji Abdul Ghani menegaskan bahawa Kampung Sungai Keladi di penghujung kampung saya  yang turut menggunakan jalan merah kampung saya telah menubuhkan Parti Semangat 46 yang dikepalai oleh Haji Saadon Jabar(Allahyarham).

Kemungkinan ancaman senyap ini mula beliau rasakan. Namun saya juga bertegas bahawa saya bukan mahu bercakap pasal soal politik tetapi soal jalan berturap tar dan soal kebajikan rakyat. Haji Abdu Ghani terdiam dan dialog saya dan beliau hanya setakat itu dan kami kemudian tidak pernah bersua muka hingga ke hari ini. Apa yang saya tahu, selepas itu jalan kampung saya pun terus diturap tar dan kami semua selesa dengan alam sekitar tanpa debu yang menyeka mata, terima kasih. Sajak berjudul  Suatu Permintaan (buat Ngumba): (Rajiee Hadi:Warta Tebrau, 18 Februari 1982) adalah suara hati saya yang mewakili sebahagian besar penduduk kampung saya yang kepinginkan jalan  yang berturap.Ngumba ialah nama pena bagi Datuk Embong bin Yahya Ahli Parlimen Ledang dalam kawasan kampung saya.Beliau ketika itu adalah Timbalan Menteri Penerangan Malaysia. Berikut adalah puisi yang dimaksudkan:


 SUATU PERMINTAAN
(buat Ngumba)

Yang kami pinta hanyalah
kerja nyata
bukan gunting-guntingan pita
atau batu-batu permata.

Yang kami pinta hanyalah
dedikasi luhur
bukan semboyan-semboyan
mahupun slogan
ataupun pepatah kuno.

Yang kami pinta hanyalah
ketegasan sebuah harapan
bukan cuma sensasi melulu
ataupun suatu kejutan kosong.

Tuan-tuan terhormat
lihatlah kami yang terpaku
di celah-celah debu 
tatapan merah menebal.

Andainya dilupa selepas pilihan raya
kami beratap langit bertilam tanah
seperti nenek moyang mewarisi sejak dulu
apalah ertinya sebuah kemerdekaan  masa kini.

Namun di desa ini
kami tumpahkan setia
bersama keteguhan hati ini
takkan goyang ditiup angin
semangat ini takkan lebur ditimpa hujan.

Yang kami pinta hanyalah
sejalur tar menutup 
debu-debu menyeka
yang esok entah musnah ditiup angin.
Serom 2 Hilir, Muar.



Minat saya terhadap bidang penulisan terus bersinar di MPB,Lembah Pantai, Kuala Lumpur 1976-77. Pada tahun 1977 saya telah menyertai Sayembara Penulisan Puisi dan Cerpen anjuran MPB.Sememangnya tidak diduga, saya telah memenangi hadiah utama bagi penulisan puisi dan cerpen. Sayangnya, saya tidak ingat apakah judul puisi dan cerpen itu. Apatah lagi hasil karya itu  telah hilang ditelan zaman.Saya sungguh kesal kerana tidak menyangka pada hari ini, jika hasil tulisan tersebut ada tentu amat bernilai.Saya cuma dapat menerbitkan sebuah antologi/kumpulan puisi stensilan saya berjudul ‘Mereka Yang Pergi’ (1977). Sutau peristiwa lucu semasa saya di MPB ialah saya menggunakan nama samaran ‘Geletek Sayang’ untuk menulis apa jua perkara kebaikan dan cadangan-cadangan membina dan pandangan kritis di papan kenyataan utama Persatuan Pelajar MPB di laluan menuju ke dewan kantin.Saya menulis secara rahsia tanpa diketahui sesiapa.


Tulisan saya itu saya tampalkan di papan kenyataan pada sebelah malam. Pada keesokannya ramai pelajar yang membacanya dan mendapat reaksi yang pelbagai. Sejak itu menjadi tanda tanya, siapakah gerangannya ‘Geletek Sayang’ yang tidak diketahui hingga hari ini.Saya rasa Abdul Kadir Abdullah yang pernah menjadi Yang DiPertua Persatuan Pelajar MPB tentu tersenyum membaca pendedahan saya ini. Saya harap beliau masih ingat lagi isu peritiwa ‘Geletek Sayang’ yang menjadi pojok tumpuan pelajar ketika itu.


Seperkara lagi yang saya suka perkatakan ialah walaupun saya telah  menempa  dalam bidang penulisan sewal 1970-an namun  secara seriusnya ialah setelah puisi ‘Aidilfitri’ disiarkan dalam Berita Minggu pada 26 0gos 1979.Namun demikian saya masih meneruskan penulisan di ruangan surat pembaca, forum pembaca, apa pembaca kata, medan pembaca dan seumpamanya bagi menyampaikan suara hati ‘rakyat bawahan’ dengan pelbagai nama samaran. Antaranya ‘Banyak Tanah Melayu Tergadai di Muar’ kiriman ‘Anak Perantau,Kuala Lumpur’ yang disiarkan dalam ‘Apa Kata Pembaca’ di akhbar Mingguan Malaysia pada 22 Februari 1987.

Saya juga bertanggungjawab menulis berita rencana bergambar mengenai keuzuran dan kedaifan Madrasah Al-Shamsuddiniah, Kundang Hulu, Muar (milik Kiyai Haji Shamsuddin yang terkenal di Johor) yang disiarkan dalam akhbar ‘Berita Minggu’ bertarikh 22 Februari 1981 dengan tajuk besar ‘Madrasah Kian Uzur, Bilakah Bantuan Nak Diberi’. Rencana ini telah menarik perhatian simpati beberapa orang kenamaan di Johor.Sekarang, siapa sangka madrasah yang uzur itu telah bertukar menjadi sekolah agama moden yang mendapat taraf ‘Sekolah Agama Bantuan Kerajaan’ (SABK) dan kini dikenali ‘ Sekolah Menengah Agama Shamsuddiniah’. Kundang Hulu, Muar,Johor.

Kendatipun saya diarahkan bertugas ‘pulang ke kampung’ dan melaporkan diri secara rasmi pada 3 Januari 1978 di Sekolah Menengah Bukit Gambir,Muar,Johor maka bukan bermakna cita-cita saya mahu melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi dan maju jaya dalam bidang penulisan terus berkubur di kampung halaman.Tidak sama sekali.Saya terus menulis jika ada idea atau ilham dengan menggunakan mesin taip usang yang saya tidak ingat milik siapa. Seingat saya, pada tahun 1979 saya dapat membeli mesin taip baru berjenama ‘Olivetti’  dan pada tahun 1980 kemudian saya membeli mesin taip berjenama ‘Olympia’ yang lebih besar.

Pada awal tahun 1978 saya mengajar di SMBG, karya saya mula didengar kawan-kawan di Radio Malaysia (RTM) dalam rancangan ‘Kenangan Mengusik Jiwa’ terbitan Kamaruddin Ahmad dan Amran Sharif. Penyampai rancangan ini yang gemersik syahdu suaranya ialah Amran Sharif, Mustaza Ma’ah, Chuari Selamat, Ngasri Sain dan Zainal Abas. Sayangnya saya terlepas pandang lantaran siaran radio itu berkemundang pada sebelah malam yang mana saya tidak pasti jaminan siarannya.Kemudian beberapa coretan tulisan saya disiarkan dalam akhbar Utusan Malaysia dalam ruangan ‘Secebis Kisah’ kelolaan Nora.

Buat permulaan ini, saya sering menggunakan nama samaran seperti Adzie Roha, R.Hadi , ROHA dan R.H.Roy. Walau bagaimanapun nama ringkas saya ‘Rajiee Hadi’ yang berkekalan hingga hari ini.Tetapi oleh kerana saya dianggap berbakat juga dalam penulisan rencana di akhbar dan majalah maka untuk ‘cari makan’ saya gunakan nama samaran Guru Bahasa, Pak Ngah, Adzie Hasra, Cucu Tuk Manja  dan ldah Eeijar .Karya kreatif saya pada masa itu seperti sajak,pantun dan cerpen tersiar juga di Berita Minggu, Bacaria, Watan dan di majalah-majalah seperti Variapop,URTV,Dewi,Jelita,Wanita,Dian,Aktual,Variasari dan Penghibur.. Dan antara yang pahit dan manis pada tahun 1981 saya dapat membeli seutas jam tangan berjenama ‘Citizen Digi-Ana’ buatan asli Jepun berharga hampir RM200/ hasil daripada wang penulisan saya.

Adalah sudah ditakdirkan dengan reda, pada tahun 1982 apabila saya pulang berjoging dari bandar Maharani,Muar kerana bersarapan nasi kukus yang enak di perhentias bas Jalan Maharani melalui jambatan Sultan lsmail dengan menunggang Vespa JM 195, jam tangan yang saya masukkan ke dalam saku seluar sukan telah terjatuh hilang entah di mana tanpa saya sedari. Saya amat bersedih dan air mata cuma bergenang di pelipis mata tanpa saya mahu salahkan sesiapa. Namun jam tangan itu tetap menjadi kenangan dan simbol sebuah perjuangan yang saya perolehi hasil daripada jerih ilham pena kreativiti yang tidak boleh dinilaikan dengan wang ringgit.


Di SMBG saya berkenalan dengan Cikgu Mokhtar Yusoff (Zahmy) yang sudah dua tahun mengajar di sekolah tersebut. Selain Mokhtar, saya juga memperoleh beberapa orang sahabat karib seperti Cikgu Abu Bakar Sobor (Allahyarham), Cikgu Ali Sugiman (Allahyarham), Cikgu Ghafar Saad (Allahyarham), Cikgu Abu Mansor (Allahyarham),Cikgu Mohamad Aman, Cikgu Alaguru, Cikgu Loke, Cikgu Kuan,Cikgu Shaarani Sapari, Cikgu Poh Lee Koon,Cikgu Abu Bakar Atan,Cikgu Sheikh lsmail, Cikgu Shahruddin Mukhri dan ramai lagi.Pada waktu itu jumlah guru lelaki lebih ramai daripada guru wanita

Rakan-rakan sejawat ini, selain mereka juga guru bahasa, mereka juga adalah guru-guru muda yang masih bujang dan aktif dalam pasukan pengakap daerah dan negeri..Sijil kursus asas manik kayu  786 ,bertarikh 2 Oktober 1977 (No.Pendaftaran: B 0418) yang saya hadiri di Kem Kota Raya, Jalan Padang Tembak,Kuala Lumpur sungguh amat bermakna.Lantaran pembabitan saya secara berterusan dan komited kepada pasukan pengakap maka  saya telah ditauliahkan Persekutuan Pengakap Malaysia oleh Ketua Pengakap Negara sebagai pemimpin pengakap bagi kumpulan pengakap Bukit Gambir ke-3 (M4810) dengan nombor tauliah: M.19716 bertarikh 13 Disember 1979

Dan kebetulan pula di SMBG, guru lelaki yang masih bujang agak ramai maka aktiviti berpengakap begitu semarak hinggakan kami pernah menghadiri jambori negeri di kem Tangjung Labuh Batu Pahat dan aktiviti berkhemah gabungan kokurikulum di luar daerah seperti di Tanjung Bidara,Melaka, Port Diskson, Negeri Sembilan dan di Teluk Cempedak,Kuantan,Pahang bersama para pelajar pengakap dan pandu puteri. Lucunya tahun demi tahun kami menanti ‘nasi minyak’ antara kami tetapi belum ada sesiapa yang terbuka untuk menjamu kami. Malangnya, sungguhpun kami adalah guru-guru yang aktif berpersatuan namun penantian ke atas kedatangan guru-guru perempuan yang masih bujang bagi dijadikan calon isteri hanya tinggal penantian yang panjang.


Walaupun ada ketikanya kami seperti berebut-rebut apabila ada guru wanita bujang melaporkan diri di SMBG namun penghujungnya kami hampa kerana mereka tunangan orang. Kesudahannya  setiap tahun kehadiran guru bujang wanita begitu menghampakan. Sebab itulah, ramai di antara kami di SMBG ketika itu berkahwin dengan bekas anak murid. Senario pada zaman itu jauh berbeza dengan zaman sekarang. Situasi sekarang berbeza. Di mana-mana dilaporkan guru wanita jauh melebihi lelaki; termasuklah yang belum berumah tangga. Ah, alangkah bertuahnya guru zaman sekarang!

Cikgu Mokhtar Yusoff yang saya sebutkan lebih awal tadi, sudah mula mencipta nama dalam penulisan kewartawanan; termasuk rencana dan berita. Hasil-hasil penulisannya yang tersiar dalam akhbar Berita Harian dan Watan sering ditunjukkan kepada saya. Saya pun mula bersahabat dan mendekati beliau dengan turut menjadi ahli Persatuan Penulis Johor (PPJ) pada tahun 1978 dan dilantik sebagai ahli jawatankuasa kegiatan daerah Muar. PPJ Muar dipimpin oleh Cikgu Aris Tahir atau Said Johor (Allahyarham) seorang aktivis masyarakat yang terkenal di Muar.Mokhtar Yusoff pula adalah setiausaha PPJ Muar dan  merangkap pula AJK PPJ peringkat negeri bersama Zam lsmail, Mas’ud Abdul Rahman, Aris Tahir, Said Jamhari, Matlob,Shukor lsmail, Md.Noh Atan, Juma’noh Abdul Bunga dan lain-lain lagi.


 Apabila saya menghadiri mesyuarat PPJ Muar, menghadiri bengkel penulisan di Tanjung Emas Muar, saya terkenangkan motosikal baru jenis Honda Cub bernombor flat JX 5930 yang saya beli dari sebuah kedai motosikal di Jalan Meriam, Muar seminggu lebih awal sebelum sekolah dibuka pada sesi 1978 tahun pertama saya mengajar.Motosikal baru yang berharga RM1800/ saya beli dengan wang deposit RM600/ yang saya pinjam dahulu daripada pak cik saya. Apabila saya mendapat gaji pertama pada bulan Mac 1978, saya terus segera memulangkan wang pinjaman kepada pak cik tersebut.

Di kampung saya; baik di Serom atau Sungai Mati, nama Nora atau Haji Ali bin Haji Ahmad begitu dikenali sebagai ‘orang surat khabar’.Apatah lagi bagi penduduk di kampung Kesang Tasik atau di Batu 7 Jalan Sungai Mati-Sungai Senduk;nama  sasterawan dan wartawan Nora yang bekerja di Utusan Melayu/Utusan Malaysia sememangnya amat dikenali oleh generasi ketika itu.Nora sering memberi inspirasi kepada anak-anak kampung yang mahu menjadi penulis termasuk saya.Namun masa dan waktu terus berlalu mengikut arus kehidupan. Sehingga hampir 25 tahun selepas pertemuan terakhir 1987 maka saya kemudiannya  mencari dan akhirnya menemui Nora yang ketika itu telah lanjut usia.

 Perjalanan hidup Nora, saya tahu begitu  panjang dan berliku. Beliau tersisih dari kehidupan dan rakan-rakan. Selepas zaman kemuncaknya dalam dunia sastera beliau kini menjalani kehidupan hari tua yang sepi. Kudrat untuk berkarya semakin susut ditambah pula ingatannya semakin berkurangan akibat alzheimer yang dihidapinya.

Demikianlah kenyataan hidup seorang sasterawan Haji Ali Haji Ahmad atau Nora yang pernah mencatatkan nama di persada dunia sastera negara ini.

Pertemuan saya dengan Pak Nora kali ini amat berbeza dengan pertemuan dulu terutama ketika beliau masih bertugas di Utusan Melayu.  Pak Nora yang  saya temui pada 2011 telah berpindah rumah dari Ampang Jaya dan  menetap di Taman Bandar Tasik Puteri, Rawang, Selangor. Pak Nora ketika itu berusia 84 tahun, uzur dan menghidapi alzheimer, perlahan-lahan hilang daya ingatannya. Namun kudrat kemahuannya masih ceria dan bersemangat bercerita tentang sastera , dunia penulisan dan kewartawanan.

Pak Nora lahir di Kampung Sungai Mati, Muar, Johor pada 25 Jun 1927. Mendapat pendidikan Melayu dan Inggeris. Beliau pernah berkhidmat dalam pasukan polis (1951-1959) tetapi kerana minat mendalam dalam bidang penulisan, beliau diberhentikan.

Kemudian berpindah ke Kuala Lumpur menceburkan diri dalam bidang kewartawanan di Utusan Melayu pada  sebagai penyunting (editor)1969 hingga 1982. Di samping menulis cerpen, beliau aktif menghasilkan skrip drama (pentas, radio dan tv), novel dan esei. Antara novelnya ialah Puntung Hanyut (1965), Gelodak (1968), Gelandangan (1975) dan Kemarau di Hujung Daun (1977),lktikaf (1994) dan banyak lagi.



Bersama sasterawan Nora (Haji Ali Haji Ahmad) dalam suatu pertemuan baca puisi di UPM, Serdang 1987.

Pada tahun 1976, beliau memenangi hadiah ketiga mengarang novel anjuran GAPENA dengan judul Seribu Musim Kering. Cerpen-cerpennya terkumpul dalam kumpulan cerpen perseorangan, Di Kelopak Senja (1973) dan lain-lain lagi. Beliau pernah memenangi beberapa anugerah antaranya Hadiah Sastera Perdana Malaysia, Hadiah Sastera Kumpulan Utusan ExxonMobil dan Hadiah Karyawan Sastera Johor.

Hari-hari biasa Pak Nora meneruskan kehidupan  di penghujung senjanya. Sejak enam tahun lalu isterinya, Maznah juga terlantar akibat angin ahmar. Dahulu isterinyalah yang membuat kuih-muih tradisional untuk Pak Nora menghantarnya ke gerai-gerai sekitar Ampang Jaya, Selangor. Kini keadaan sudah banyak merubah hidupnya. Kedua-dua mereka terlantar tidak berdaya dan mengharapkan bantuan anak-anak dan sahabat-handai membantunya.

Apakah dalam mengejar kebendaan masyarakat kita kini, tiada pihak yang menyanjungi insan yang menghasilkan banyak khazanah bangsanya? Saya berharap kita tidak hanya mengenangkan seniman kreatif setelah ketiadaannya. Semoga karya-karya beliau dapat dihayati oleh generasi muda dengan beberapa inisiatif yang boleh difikirkan bersama untuk dihadirkan kembali kepada khalayak.

Saya sebenarnya telah lama berhajat berkunjung ziarah ke rumah Pak Nora. Saya pernah ke rumah beliau di Ampang Jaya dan bermalam di situ pada tahun 1976 dahulu sewaktu melanjutkan pelajaran di Kuala Lumpur.

Malah saya pernah berkunjung ke meja penyunting ruangan Sastera Utusan Malaysia/Mingguan Malaysia/Utusan Zaman ketika Pak Nora bertugas di sana. Pak Nora pada ketika itu berkhidmat sebagai wartawan dan penyunting akhbar Utusan Malaysia/Utusan Melayu di Jalan Chan Sow Lin , Kuala Lumpur.

Semarak obor dan nyalaan semangat  membara dalam bidang penulisan ketika itu dibajai hasil kunjungan saya ke pejabat Utusan Melayu sekaligus mendekati Pak Nora yang menjadi kebanggaan kampung halaman kelahiran saya di Serom,Sungai Mati,Muar, Johor. Kesan kunjungan itu karya-karya saya yang menggunakan pelbagai nama pena yang memaparkan pelbagai kisah kasih sayang dan masyarakat mendapat tempat di akhbarUtusan Malaysia dalam kolum Secebis Kisah yang dikelolakan Pak Nora.

Walaupun seribu musim datang dan pergi namun kenangan saya kepada Pak  Nora tetap segar dalam ingatan. Kami saling berhubung sehinggalah beliau bersara daripada Utusan Melayu pada tahun 1982. Kemudian Pak Nora bergerak cergas dalam pertubuhan Al-Arqam dan mengasuh beberapa penerbitan Al-Arqam dan beberapa penerbitan lain yang bercorak keagamaan dan dakwah.

Pertemuan saya dengan  Pak Nora pada tahun 1987 di majlis baca puisi di UPM Serdang, Selangor. Selepas itu kami berpisah dan tidak kesempatan bertemu. Tetapi ditakdirkan terbuka hati saya  dan berkesempatan berkunjung ke sebuah kedai buku dan menemui sebuah autobiografi kisah hidup Pak Nora yang ditulisnya tetapi disusun oleh Zakaria Sungip daripada Penerbitan Galeri llmu.

Pak Nora selepas bersara daripada Utusan Melayu lebih dikenali sebagai "Sasterawan Agama" yang terus menerus mengalirkan tintanya untuk dakwah dan tarbiah. Khalayak bukan hanya membaca fakta, cerita dan kenangannya tetapi turut juga merasakan detak dan nilai rasa, limpahan sungai pengalaman kehidupannya dan sama-sama merasai bahang keyakinan menerusi himpunan tulisan Pak Nora yang sarat dengan nilai dakwah dan tarbiah di media-media dakwah tanah air.

Pada awal tahun 2011 saya berjaya menghubungi Zakaria Sungip di Galeri llmu dan daripada beliau akhirnya saya dapat berhubung dengan anak Pak Nora dan dapat mengunjunginya bagi mendapat gambaran sebenar  keadaan beliau.Setahun kemudian saya mendapat khabar bahawa
sasterawan Nora kembali ke rahmatullah pada 7 April 2012 lalu pada usia 85 tahun. Sebagai anak jati Sungai Mati; adakah masyarakat setempat menyedarinya? Adalah wajar pihak yang berkaitan mengenangkan buat sesuatu kepada anak bangsa ini misalnya pihak berkuasa tempatan boleh menamakan sebatang jalan di Sungai Mati atau dalam daerah Tangkak dengan nama pena atau nama penuh beliau.Penulis dan Sasterawan bukanlah mudah dilahirkan.Mereka adalah anugerah alam dengan bakat batini dan deria rasa kurnia Allah SWT.Kini saya anak jati Serom 2 Hilir akan meneruskan legasi dan akan memupuk suburkan sastera bangsa selagi hayat dikandung badan (Dia Yang Pergi: Rajiee Hadi)





DIA YANG PERGI
( Al Fatihah Sasterawan Nora @ Hj. Ali bin Hj. Ahmad)

Sebagai anak sekampung pascamerdeka
segala nukilan kreatif menjadi pedoman
kebanggaan kehebatan kemashyuran
namamu Nora di tinta pena yang meniti
dari waktu remajaku bersemi alam ini

Sebagai anak sekampung yang menyeka debu
merah jalan becak bendang belukar melalang
menjadi teladan generasimu yang di kota
menyalur berita akhbar ternama di utusan
saban minggu mengasuh hati nurani sastera bangsa

Sebagai anak sekampung yang juga menitip
keluh rasa surat pembaca dan secebis kisah
kau dengan tekun membimbing dan membina
setiap bait klausa dan untaian puitis
menjadi nama besar dalam karya dan sebuah nama

Nora, di penghujung hayatmu di luar rumah utusan
nama Sungai Mati sering kau sulam dalam madah
setiap tazkirah kata hikmat pujangga sabda dan firman
katamu kehidupan di sebalik sana nanti kau impikan
kampung kelahiran  pangkalan menemui tanah sejati

Begitulah kudrat iradat yang tercatat
di mana-mana adalah milik Tuhan
kita hanya merancang dan mahu merasakan
manisnya hari di penghujung usia yang kental ini
ada ketikanya kita rapuh dengan fitrah ini
menemui Kekasih Abadi!



Rumah Mahkota Bangi SDE
21/9/2012
(oleh Dr. Haji Rajiee Hadi)
 (Dr. Rajiee Hadi)



Tiada ulasan:

Catat Ulasan