HAJI DR. RAJIEE HADI

HAJI DR. RAJIEE HADI
SERIBU WARNA SERIBU MAKNA

31 Mac 2014

PROFESION KEGURUAN SEMAI PENDIDIKAN SEPANJANG HAYAT


PROFESION keguruan selamanya dianggap mulia dan disanjung tinggi kerana peranan guru atau pendidik bukan sekadar mengajar dan mendidik anak bangsa tetapi sebenarnya untuk melahirkan satu generasi yang seimbang dan berketrampilan diri yang unggul.

Justeru sebagai pendidik, sewajarnya kita berbangga dan menghargai kerjaya yang dihormati ini agar kita berjaya merealisasikan hasrat murni yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Negara.Apatah lagi cabaran dunia pendidikan era globalisasi abad ke-21 yang hebat ini memerlukan guru melengkapkan diri dengan ciri-ciri berkualiti bagi membawa tahap pendidikan negara yang lebih cemerlang.

Dan tuntutan semasa juga memerlukan warga pendidik atau guru memerlukan kemahiran generik seperti kemahiran teknologi maklumat (ICT), kemahiran komunikasi dan hubungan interpersonal dan berusaha melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang relevan.

Para pendidik juga dituntut agar sentiasa meningkatkan tahap kecekapan kerja melalui amalan budaya kerja cemerlang, pembelajaran sepanjang hayat dan kod etika tatasusila perguruan  serta mengamalkan budaya kerja yang positif serta amanah dalam menguruskan sumber pendidikan.

Kendatipun warga pendidik merupakan agen perangsang minda utama pembangunan minda masyarakat namun berbekalkan semangat yang kental dan obor perjuangan yang membara maka mereka boleh berjaya mendepani dan menangani pelbagai masalah demi mendidik anak-anak bangsa.

Dengan menghayati sifat-sifat dan nilai-nilai murni, kualiti guru atau pendidik akan lebih perkasa lagi dengan sikap guru yang inovatif , kreatif dan kritis. Lantaran guru yang membudayakan dan memakmurkan ilmu,menatarkan kemahiran dan keupayaan, sering menggabungjalinkan dengan maklumat dan pendekatan baru kependidikan, bersifat dan bersikap penuh profesionalisme setiap masa akan melahirkan ke arah guru yang lebih berkualiti.

Guru-guru yang memiliki peribadi dan sahsiah mulia sebagai model akan menjadi ikutan pelajar. Sementelahan pula seorang guru  berkualiti ialah yang mempunyai ilmu yang tinggi dan relevan, ketinggian budi pekerti, bersangka baik, ikhlas,keyakinan diri yang tinggi,berfikiran terbuka dan mempunyai jati diri yang mantap.

Dan kesyukuran tidak terhingga saya kepada Allah Subhanahuwataala yang telah memberikan limpah hidayah dan rahmat-Nya kepada penulisan buku ini. Semoga buku “Travelog Guru ” yang dipaparkan ini dapat dijadikan teladan, kiasan, perbandingan,peringatan dan sempadan dalam kehidupan warga pendidik.

Kepada bakal-bakal guru yang akan menerjuni bidang keguruan kelak, buku ini diharapkan akan menjadi aspirasi dan motivasi untuk anda jadikan bimbingan dan pedoman dalam perjuangan di lapangan ini.

Kepada Hajah Misah binti Mos ibu saya yang banyak membuahkan inspirasi dalam hidup saya; tiada dapat budinya dibalas seumur hidup saya. Begitu juga kepada anak-anak dan menantunya sekalian serta cucu-cucitnya khususnya cucu-cucunya: Muhammad Hatta, Halimatuns Saqdiyah, Muhammad Haziq, Hayati Syaqira, Muhammad Haqim, Hazira Syafiqa, Muhammad Helqmi, Muhammad Hafizi Syauqi, Harlina Fatihah, Hasmaheera Syafiqa dan Muhammad Hilqman didoakan akan ada di antara kalian akan meneruskan perjuangan dalam bidang pendidikan yang murni ini.

Dan kepada sesiapa juga yang turut membangkitkan jiwa dan semangat saya dalam menjayakan penulisan dan kelahiran buku ini tetapi tidak disebut namanya satu persatu namun mereka tetap tersemat di kalbu saya.Semoga Allah S.W.T sentiasa memelihara dan melindungi kita dari dunia hingga ke akhirat.Salam takzim saya kepada semua yang berbudi. Selamat membaca.(oleh : Dr. Haji Rajiee Hadi)


Tiada ulasan:

Catat Ulasan