HAJI DR. RAJIEE HADI

HAJI DR. RAJIEE HADI
SERIBU WARNA SERIBU MAKNA

8 April 2013

PSIKOLOGI WAJAR DIKAWAL DENGAN AKTA?




PSIKOLOGI sebagai satu disiplin keilmuan ditakrifkan sebagai satu bidang yang mengkaji dan memahami tingkahlaku manusia secara saintifik. Ia mengkaji perhubungan dan perkaitan di antara fungsi otak dan pemikiran, emosi, biologi, sosial dan tingkahlaku seseorang individu manusia dan kesannya kepada individu terbabit.

Sementara itu, psikologi merupakan satu bentuk perkhidmatan yang berasaskan kepada ilmu dan pengetahuan dalam bidang psikologi yang dilaksanakan berdasarkan kepada asas sains atau disokong oleh fakta dan kajian yang empirikal.

Sebagai satu bentuk perkhidmatan, ia adalah satu profesion yang akan memberi implikasi di mana bidang psikologi dan segala kemahiran serta pengetahuan yang ada padanya akan diaplikasikan dalam seluruh ruang kehidupan individu. Matlamatnya untuk mewujudkan kesejahteraan dalam kehidupan manusia yang terbit daripada kestabilan dan kesejahteraan. Kesejahteraan psikologi dilihat sebagai kestabilan pada aspek yang melibatkan emosi, pemikiran dan tingkah laku.

Oleh itu, dalam erti kata lain, psikologi, sama ada sebagai satu bidang ilmu atau pun profesion, adalah merupakan bidang yang membantu dan mendorong umat manusia untuk mencapai dan memelihara tahap kesihatan mental yang baik dalam sepanjang kehidupan mereka.

Memiliki tahap kesihatan mental yang baik sepanjang masa dalam segenap ruang kehidupan bermakna berusaha membantu manusia agar dapat mencapai kesejahteraan dalam keluarga dan masyarakat, sejahtera dalam kerjaya dan organisasi tempat kerja mereka, dan mampu mewujudkan perhubungan interpersonal yang baik serta berusaha untuk mengekalkan perhubungan yang baik itu pada setiap masa.

Memandangkan sedemikian rupa matlamat dan kumpulan sasaran bidang ini, secara asasnya ia diiktiraf secara global sebagai bidang yang memiliki ruang lingkupnya tersendiri dalam mewujudkan masyarakat yang memiliki tahap kesejahteraan dan kesihatan mental yang baik pada sepanjang masa.

Sebagai satu profesion yang terlibat secara langsung dalam meningkatkan tahap kesihatan mental dan kesejahteraan individu dan masyarakat manusia, ia sudah pasti akan tertakluk kepada nilai dan peraturan hukum yang tertentu dalam sesuatu masyarakat itu. Inilah asas dan indikator kepada sesuatu bidang perkhidmatan yang ingin mencapai tahap profesionalisme mereka.

Dalam konteks masyarakat di negara ini, bidang psikologi sebagai satu profesion masih lagi dilihat tidak tertakluk kepada mana-mana nilai setempat, atau secara khususnya ia tidak dinaungi atau dikawal oleh mana-mana akta. Setakat ini, tiada sebarang akta yang mampu mengawal profesion ini, baik untuk para pengamalnya, mahupun kepada pesakit atau klien yang datang memerlukan perkhidmatan mereka.

Sesuatu akta adalah merupakan satu set rang undang-undang yang mengawal perilaku sesuatu profesion dan perkhidmatan, ahli profesional serta pelanggan yang datang kepada mereka untuk mendapatkan khidmat mereka.
Kebiasaannya, undang-undang ini membicarakan perihal hak dan peranan atau tanggungjawab serta maruah dan kehormatan kedua-kedua belah pihak sebagai pemberi dan penerima. Objektif undang-undang ini adalah bagi menjamin wujudnya satu bentuk perhubungan atau interaksi yang adil untuk semua pihak, tanpa wujud sebarang ketidakadilan dan penganiayaan.

Apabila tiada sebarang peraturan yang dapat mengawal profesion seperti ini, maka akan muncullah salah laku dan kezaliman di mana-mana pihak.

Psikologi merupakan bidang yang amat luas dengan pengkhususan profesion yang pelbagai. Profesion yang sudah biasa dikenali adalah seperti psikologi kaunseling, industri, sukan, perubatan dan klinikal. Buat masa kini, hanya beberapa pengkhususan iaitu psikologi kaunseling yang tertakluk kepada undang-undang di bawah Persatuan Kaunseling Malaysia, manakala psikologi klinikal bakal tertakluk kepada undang-undang mereka yang akan dipantau dan dikawal oleh Kementerian Kesihatan melalui Akta Sains Kesihatan Bersekutu.

Begitu juga bidang perubatan psikologi atau psikiatri adalah tertakluk kepada Akta Perubatan dan Akta Kesihatan Mental. Sementara itu, bidang psikologi lain, seperti psikologi sukan dan industri serta lain-lain, masih tidak dikawal oleh sebarang rang undang-undang ataupun akta, walhal ahli-ahlinya semakin bertambah dan turut memberikan perkhidmatan mereka kepada masyarakat, namun tanpa kawalan dan seliaan.

Tambahan pula, sekarang ini terdapat pelbagai isu berkaitan bidang pengkhususan dalam perkhidmatan psikologi seperti ujian dan pemeriksaan, rawatan dan intervensi, latihan, khidmat kesihatan mental, penyaksian di mahkamah, dan sebagainya yang didapati semakin berkembang luas tetapi dilakukan oleh mereka yang sekadar berminat, atau dengan niat yang ikhlas, namun tidak mempunyai sebarang latihan dan kemahiran asas yang khusus dalam keilmuan psikologi individu.

Ilmu dan bidang psikologi adalah bidang yang menyeronokkan dan menarik minat ramai, sehinggakan terdapat pihak yang sanggup menyamar dan mengaku sebagai pakar psikologi, lantas memberi perkhidmatan rawatan dan ujian psikologi, serta melatih ramai orang untuk menjadi pakar dan mengambil upah untuk khidmat yang diberikan walaupun tanpa kebenaran dan sokongan akademik. Ia berlaku secara bebas tanpa sebarang kawalan.
Profesion ini sebenarnya amat memerlukan satu undang-undang yang khusus untuk semua individu yang memiliki kelayakan akademik dalam bidang psikologi tanpa mengira sebarang status pengkhususan, dan yang dapat mengawal aktiviti semua ahli dan pelanggannya.

Persoalannya, siapakah atau manakah kementerian atau jabatan di peringkat kerajaan yang akan menguruskan usaha-usaha untuk menubuhkan satu undang-undang yang dapat mengawal aktiviti dan perkhidmatan profesional ahli-ahli psikologi seperti ini?

Memang betul negara mempunyai Persatuan Psikologi Malaysia atau PSIMA yang ditubuhkan pada 1988 dan di peringkat perkhidmatan awam atau JPA turut memiliki Bahagian Pengurusan Psikologi yang mula beroperasi pada 1992, namun peranan mereka boleh diberi perhatian lebih mendalam oleh kerajaan seperti meningkatkan lagi jumlah pegawai psikologi yang bertauliah, melibatkan mereka dalam urusan di peringkat dasar berkaitan pemartabatan ilmu dan profesion psikologi peringkat nasional, atau menaiktaraf perkhidmatan dan bahagian psikologi sedia ada kepada taraf jabatan atau institut seperti yang diamalkan di kebanyakan negara-negara yang lebih maju.

Usaha ini perlu bagi memperluas dan memperkayakan lagi perkhidmatan yang telah sedia ada, serta dapat membantu mempercepatkan lagi kewujudan akta psikologi negara yang akan dapat mengawal profesion psikologi dan semua ahlinya.

Dalam Islam, pengamal psikologi juga boleh bertindak sebagai seorang da'i, iaitu berusaha memupuk nilai-nilai yang mulia dan murni agar pelanggan dapat kembali menghayati ajaran agama sebagai asas kepada rawatan psikososial. Ambillah kesempatan mulia ini kerana mereka adalah diiktiraf sebagai pakar rujuk kepada ummah dan ini bertepatan dengan firman Allah dalam surah An Nahl (14) ayat 43 yang bermaksud - bertanyalah kepada orang yang berpengetahuan jika kamu tidak mengetahui. (sumber: Felo Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM))




2 ulasan:

  1. Dr Rajiee ..saya tertarik dengan artikal ini.Ia membawa banyak percabangan minda,membentuk pemikiran kritikal......saya ingin ketahui beberapa perkara:
    1.Bagaimana menguji tahap pengetahuan psikologi seseorang guru?
    2.Tahap Psikologi dan pendidikan khas

    kalau sudi tolong bantu...Terimakasih Dr

    BalasPadam
  2. Terlalu banyak mahu diungkapkan secara spesifik.Apapun ujian-ujian kecerdasan boleh dilakukan sama ada melalui disiplin kaunseling gunaan dan klinikal.Dengan mengetahui latat responden termasuk latar pencapaian akademik dan pengalaman-pengalaman lalu dan sedia ada boleh banyak membantu mendapatkan info yang diselidiki.

    BalasPadam