Maktab Perguruan Bahasa (1977), Sayembara Penulisan Kreatif UPM (1984),
Sayembara Penulisan Puisi Sejarah Nasional (1992) dan Puisi Hari Guru
Wilayah Persekutuan (1994).
Ketua Unit Pembangunan Profesionalisme, Jabatan Penyelidikan dan
Pembangunan Profesionalisme, Maktab Perguruan Islam (kini IPGM Kampus lslam) mengungkap nikmat
cinta kepada Allah SWT dan sesama insan lewat puisi. Ikuti wawancara IMLAN
ADABI bersama pengarang ini.
DR RAJIEE baru selesai menghasilkan antologi puisi Cinta Arafah. Kenapa
judulnya sedemikian?
Cinta Arafah mengandungi 95 sajak yang dihasilkan sejak dekad 70-an
hingga 2003. Keseluruhan sajak dipilih berdasarkan tema cinta. Cinta
kepada Tuhan, alam, manusia dan kehidupan. Puncak segala cinta adalah
cinta kepada Allah yang membentuk kehidupan insani.
Dr Rajiee sentiasa aktif menulis, tiada zaman menurun sejak dekad 70-an.
Apakah faktor rangsangan?
Saya sentiasa menulis dan menulis. Untungnya saya tidak terbabit dalam
sesuatu genre saja. Saya menulis puisi, rencana ilmiah dan umum serta
cerpen. Apabila kita mempelbagaikan hasil penulisan, kita tidak akan
menemui zaman pasang surut. Idea sentiasa ada dan ruang sentiasa terbuka.
Sebagai penulis kita akan sentiasa segar menghasilkan karya.
Kenapa ramai penulis sezaman dengan Dr Rajiee menghilangkan diri? Apakah
kerana tiada usaha berterusan atau faktor kehidupan yang mengikat?
Saya 'perasan' ramai yang muncul bersama saya 30 tahun lalu dan kini
menghilang. Dulu ada Lokman Abdullah, Moechtar Awang dan ramai lagi. Nama
mereka sudah menghilang dengan alasan masing-masing dan tersendiri.
Tentunya persoalan hidup dan kehidupan mengikat mereka.
Apakah kebanyakan penulis kita tidak berdaya tahan atau tidak mempunyai
stamina yang panjang?
Sebagai penulis, kita perlu ada motivasi, perlu ada faktor dorongan
daripada luar dan dalam diri. Penulis tanpa motivasi akan segera hilang
apabila kehidupannya tidak membabitkan hal kesenian. Faktor dorongan
sering dikaitkan dengan latar belakang, kehidupan dan ruang. Penulis yang
komited lazimnya lahir daripada kemiskinan jiwa untuk menulis.
Barangkali penulis muda hari ini kurang kekuatan untuk bertahan lama
kerana ramai yang lahir tergesa-gesa dan akibatnya segera hilang?
Segala-galanya kerana komitmen. Menulis bukan kerana glamor atau
keseronokan sementara tetapi lebih kepada kesedaran mengungkapkan tema dan
persoalan. Penulis sejati mesti tahu matlamat penulisan. Penulis tidak
perlu menjadikan bidang sastera sebagai usaha sementara tetapi
mengungkapkan kesedaran sosial, agama dan puncak cintanya. Karya cinta
terbaik tentunya membabitkan insani dan Allah yang Maha Pencipta. Seniman
kerdil di sisi Allah kerana Allah yang lebih mencipta. Penulis sekadar
mencipta karya hasil daripada nikmat Allah.
Nama Dr Rajiee tidak disebut sebagai penulis semata-mata tetapi juga aktif dalam bidang
akademik?
Sebagai tenaga pengajar saya juga tidak dapat mengelak daripada menumpukan kepada kerjaya kerana itu bidang
saya. Ia tidak membataskan kerja kreatif. Saya sudah melahirkan kumpulan
cerpen perseorang Tirai Malam. di samping antologi bersama. Begitu juga dalam genre puisi.Saya juga aktif dengan kesatuan guru. Kesibukan tugas
sebenarnya mengilhamkan, bukan memundurkan usaha berkarya. Walaupun saya
bertugas di Maktab Perguruan Islam, bukan pusat kegiatan sastera seperti
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), saya berjuang sendiri untuk menulis.
Alangkah baiknya jika tenaga pengajar sekali gus menjadi pencinta seni
kreatif. Justeru, saya terus menulis dan pada masa sama mengajar. Jangan
sekali-kali menjadikan alasan jika hanya bertugas di DBP baru boleh
berkarya. Kita sendiri yang harus mencorakkan bidang sastera sesuai dengan
kehendak semasa dan cita rasa peribadi.
Hari ini ramai penulis yang terlalu mendadak naik dan terlalu tergesa menghilang. Apa komen Dr Rajiee?
Ini satu fenomena yang luar biasa, lucu dan aneh. Penulis yang lahir
dengan cepat akan turun dengan lekas. Bukan satu dua, tetapi ramai.
Penulis harus membina karya dan membina namanya. Saya kagum dengan T Alias
Taib (kini Allahyarham) Walaupun hanya genre puisi, dia terus bertahan hingga kini, sentiasa dan
segar dengan karya baru.
Khabarnya Dr Rajiee juga menulis novel?
Novel saya Menjaring Suria dalam proses di samping sebuah lagi kumpulan
puisi bakal diterbitkan. Saya berselang-seli menulis. Tidak menumpukan
kepada sesuatu genre pada satu masa.
Dr Rajiee pernah menulis sajak kepada Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad.
Apakah judul puisi itu dan apa motifnya?
Puisi Persoalan saya hasilkan pada 1992 ketika bersantai di Universiti Putra Malaysia yang berhampiran rumah saya di
Serdang. ketika itu.Puisi ini sebenarnya secara sinis saya kaitkan dengan mitos
bangsa Melayu khususnya cerita jenaka mengenai Pak Kaduk, Lebai Malang,
Luncai dan Mat Jenin. Dr Mahathir adalah pemimpin besar berpandangan jauh,
pintar dan ada wawasan.
Dr Rajiee juga menulis puisi kepada Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik
Aziz Nik Mat?
Puisi Tanpa Sebarang Pengertian secara sinis menilai Kelantan khususnya
Pantai Dasar Sabak sebagai wilayah terawal jatuh ke tangan Jepun. Hari ini
Kelantan masih begitu-begitu. Apakah kita tidak belajar daripada sejarah.
Perselisihan bangsa Melayu perlu diredakan. Kekuatan bangsa perlu
disemarakkan agar Melayu menjadi bangsa bermaruah. (sumber, oleh Imlan Adabi,Berita Harian, 6 September 2003)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan